Walau apa pun reaksinya, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah pun membuat keputusan mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel. Trump tetap berdegil dan tidak hiraukan bantahan masyarakat Islam seluruh dunia. Kini kita tahu siapa musuh baharu yang mengancam Islam. Sentimen kebencian terhadap kuasa besar itu yang telah lama reda, memuncak kembali angkara Trump. Malaysia turut menzahirkan bantahan keras sebagaimana ucapan Perdana Menteri, Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO, Khamis lepas. Pada perhimpunan lepas Najib lantang menentang penindasan terhadap etnik Rohingya yang disusuli ke saluran diplomatik dan ternyata ia telah memberi impak. Ucapannya pada perhimpunan kali ini pula begitu responsif kepada isu terkini Baitulmuqaddis. Ia menyerlahkan keberanian Najib dan mencerminkan konsistensi Malaysia dalam memperjuangkan isu-isu kepentingan Islam global. Sebagai rakyat Malaysia, Awang bersyukur atas peranan kita yang diiktiraf dunia. Sehari selepas itu, pada hari Jumaat, pelbagai badan bukan kerajaan mengadakan demonstrasi di depan Kedutaan AS yang turut disertai Pergerakan Pemuda UMNO dan Pas. Awang berpendapat pengiktirafan ke atas Baitulmuqaddis adalah kesilapan paling besar AS terutama Trump dalam polisi antarabangsanya. Sepatutnya Palestin yang telah lama tertindas diiktiraf oleh AS, bukan sebaliknya. Ia juga pengkhianatan AS terhadap umat dan negara-negara Islam yang banyak memihak kepada Washington termasuk ketika Perang Dingin. Perkembangan terbaharu ini menuntut umat Islam buka mata, bersatu dan bangkit berjuang. Berdemonstrasi sahaja tidak memadai, lebih daripada itu ambillah segala langkah wajar yang mampu memberi tekanan kepada AS dan Israel seperti boikot. Kita boleh melakukannya secara diam tanpa perlu heboh. Sebagaimana doa, kuasa boikot ada pada umat Islam sama ada secara individu, keluarga mahupun persatuan dan pertubuhan. Solidariti dan keyakinan umat Islam sebenarnya adalah senjata yang mampu memberi impak. Inilah masa untuk bertindak. Semboyan jihad sudah berbunyi.

 

MUDARAT ZAID

Kenyataan biadab pemimpin DAP, Zaid Ibrahim terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi mencerminkan sikap jelik beliau. Awang tidak faham bagaimana Zaid menerusi Twitternya tergamak menghina Sultan Selangor hanya disebabkan baginda menegur Dr. Mahathir Mohamad antaranya berkaitan isu lanun Bugis dan mudarat yang dibawa oleh bekas Perdana Menteri itu. Pada hakikatnya baginda kerap mengeluarkan peringatan dan teguran dalam pelbagai isu tanpa memihak mana-mana parti politik. Titah baginda jika diamati tidak bersifat politik sebaliknya telah dipolitikkan oleh Zaid sendiri. Sebenarnya apabila menyentuh perihal Zaid, segala-galanya berbaur – sikap tidak menghormati Raja, krisis identiti, tiada jati diri Melayu, celupar dan memudaratkan Islam serta Melayu. Sultan Selangor yang murka ke atas Zaid menyifatkannya sebagai kacang lupakan kulit. Tentu Zaid mengerti apa yang dimaksudkan. Sebenarnya ramai yang tahu kisah beliau termasuk bagaimana menjadi kaya selain seorang liberal dengan gaya hidupnya yang mengalahkan orang Barat. Pada Awang ungkapan kacang lupakan kulit masih lembut, yang paling sesuai buat Zaid adalah tak sedar diri. Apa yang dilakukan oleh Zaid ternyata suatu penderhakaan, yang tidak boleh dibiarkan. Kegagalan untuk bertindak akan memberi isyarat yang salah kepada masyarakat seolah-olah raja-raja dan Sultan boleh dihina sedemikian rupa dan akan menjadi satu aliran atau trend. Apakah juga Zaid mempunyai imuniti sehingga bebas berulang kali menghina dan mempersoalkan Raja Melayu? Siasatan polis terhadap beliau seperti yang diyatakan oleh Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun kelmarin adalah tepat. Awang tidak pasti sama ada beliau mahupun partinya DAP yang bercita-cita menubuhkan negara republik suatu hari nanti akan memohon maaf atas kebiadaban itu. Dalam nada tegas, Sultan Sharafuddin bertitah agar Zaid balik ke negeri asalnya di Kelantan tetapi hakikatnya orang Kelantan sudah lama menolaknya. Awang juga musykil mengapa Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali membisu dalam hal ini seolah-olah merelakan perbuatan Zaid. Apakah Azmin mahu lebih menjaga hati Zaid rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan lalu memilih untuk tidak mempertahankan institusi Raja Selangor yang dihina?

 

ERA CHENG HOE

Akhirnya Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada meletakkan jawatan, yang disambut kelegaan para peminat bola sepak tanah air. Awang melihat langkah itu amat wajar memandangkan prestasi buruk pasukan negara, yang beliau harus mengambil tanggungjawab. Lebih menceriakan adalah pelantikan Tan Cheng Hoe, bekas jurulatih Kedah sebagai ketua jurulatih, yang beliau turut membantu Vingada sejak Mei lalu. Pada Awang, beliau adalah jurulatih tempatan terbaik buat masa ini. Kebolehan Cheng Hoe dalam strategi permainan pantas serta menyerang telah mengangkat pasukan Kedah sebelum ini. Bersama Vingada, Cheng Hoe tentu tidak dapat menyerlahkan kebolehannya tersendiri. Walaupun cabaran membimbing Harimau Malaya lebih besar dan tidak sama dengan pasukan negeri, namun Awang ada keyakinan terhadapnya untuk membawa impak kebangkitan. Ini era Cheng Hoe.

 

BERUNDURLAH

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Ahmad Ismail membayangkan tidak akan mempertahankan jawatannya jika ada individu lebih layak menggantikannya pada pemilihan PSM akan datang. Bagaimanapun beliau dilaporkan berkata tidak akan teragak-agak untuk terus mempertahankan jawatan sekiranya individu berkenaan hanya mahu meraih kepentingan peribadi dan politik. Mesej beliau itu  bercelaru.  Awang mendapat banyak maklum balas yang sinikal terhadap kenyataan itu. Apakah tiada tokoh yang layak menjadi Presiden PSM yang baharu melainkan beliau? Ternyata sentimen menolak Ahmad Ismail makin kuat walaupun nampaknya beliau masih mahukan jawatan itu. Prestasi pasukan sepak takraw negara makin merudum sejak beliau menerajui persatuan itu pada 2012 dan tiada tanda-tanda akan bangkit. Nasihat Awang, belajarlah terima hakikat untuk berundur dan beri peluang kepada orang lain dengan penuh budiman. Sudah-sudahlah.

 

YNWA...

Slogan You'll Never Walk Alone (YNWA) oleh pasukan kelab bola sepak Liverpool (LFC) menjadi perhatian pada Perhimpunan Agung UMNO. Awang sekadar senyum kerana slogan itu kerap menjadi latar status Whatsapp pada telefon bimbit Awang. Tidak sangka pula semangat Liverpool menerusi YNWA mewarnai perhimpunan kali ini bermula persidangan sayap hinggalah sesi penggulungan. Awang setuju dengan Ketua Puteri, Mas Ermieyati Samsudin bahawa tidak salah menggunakan YNWA bagi menunjukkan kecekalan dan kesetiaan. Itulah keistimewaan LFC yang diterap oleh para penyokongnya iaitu sanggup bersama biarpun kalah dan ketika melalui saat sukar. Juga tidak pernah putus asa untuk mencapai kejayaan walau apa pun rintangannya. Malah sentiasa berbangga dengan pasukan. Dengan kata lain, ia cara tersendiri kelab itu dalam memupuk semangat berpasukan yang kental dan keyakinan yang tinggi. Setiap kelab Liga Perdana Inggeris seperti Manchester City, Manchester United, Chelsea dan Arsenal juga ada formula masing-masing untuk mendorong kejayaan. Cuma untungnya LFC mempunyai slogan terbaik dan indah - YNWA.

 

UMNO, REALITI, CABARAN

Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang berakhir semalam memberi mesej jelas bahawa UMNO dalam kedudukan terbaik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Sama ada dari segi keteguhan, solidariti dan kehadiran lebih ramai ahli serta orang Melayu, perhimpunan kali ini dilihat kejayaan buat UMNO. Memandangkan ia perhimpunan terakhir sebelum PRU-14 yang dijangka April depan, UMNO nampak mempunyai banyak kelebihan. Daripada perasmian Perhimpunan tiga sayap Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri, Selasa lalu hinggalah kepada sesi penggulungan semalam, ia pakej perhimpunan terbaik untuk mengekalkan momentum mentaliti menang. Persekitaran yang sangat positif pada Perhimpunan Agung itu jauh berbeza jika dibandingkan dengan parti-parti di bawah Pakatan Harapan. Persidangan tahunan DAP hambar dengan ramai yang tidak hadir. Bahkan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP menyaksikan hampir 50 peratus perwakilan tidak hadir - memalukan. Lebih teruk situasi dihadapi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang gagal mengadakan Mesyuarat Agung tahunan selain ramai keluar parti. Persidangan PKR dan PAN juga hambar dan banyak kerusi kosong. Maka Perhimpunan Agung UMNO kali ini memperkukuhkan jenama UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti masa depan biarpun pada usia 70 tahun. Malah Awang lihat ia petanda awal kepada misi BN untuk menang besar pada PRU-14. Lebih-lebih lagi kerajaan BN yang diterajui oleh UMNO telah melepasi banyak cabaran beberapa tahun kebelakangan ini. Kebolehan menangani krisis dan bangkit di sebalik apa sahaja dugaan adalah kelebihan UMNO di bawah pimpinan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Najib Tun Razak. Semua itu bukan datang bergolek, ia adalah atas faktor kepimpinan Najib yang tabah dan lasak dengan dibantu Ahmad Zahid Hamidi dan pasukan pentadbirannya. Namun sebagai parti terbesar dan lama memerintah Kerajaan Pusat, cabaran UMNO juga tentu lebih besar. Ukuran kekuatan bukan semata-mata pada kejayaan perhimpunan walaupun faktor itu menyumbang. Realitinya nanti adalah di cawangan dan bahagian terutama ketika menghadapi perhitungan sebenar selepas pengumuman calon. Sejauh mana ahli-ahli UMNO bersatu pada waktu kemuncak itu akan banyak menentukan kejayaan parti pada PRU-14. Juga sejauh mana perwakilan berpegang kepada sumpah dibacakan Zahid semalam termasuk tidak merajuk dan boikot keputusan parti dalam pemilihan calon. Satu lagi, sejauh mana UMNO menterjemah sokongan jitu masyarakat Melayu dan bumiputera selama ini? Tanpa sokongan majoriti Melayu siapalah UMNO. Lihatlah bagaimana UMNO terselamat daripada hilang kuasa di sebalik gerakan besar-besaran mahu menjatuhkan kerajaan pada PRU-13 iaitu dengan penentuan orang Melayu. Ambillah iktibar meskipun UMNO juga perlu bijak mengimbangi pendekatan menarik sokongan semua kaum. Maka apabila pemimpin dan perwakilan pulang ke kawasan masing-masing dan kembali bertugas, mohon jangan dilupa hakikat itu.