Penahanan itu dibuat empat hari selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad dalam wawancara eksklusif dengan Mingguan Malaysia, Ahad lepas - tiada lagi amaran kepada penjawat awam yang rasuah.

Sejak beliau menerajui SPRM, banyak kes berprofil tinggi dibongkar antaranya rasuah di Jabatan Air Sabah yang menggemparkan negara dengan rampasan wang tunai RM114.5 juta dan kes rasuah pengurusan tertinggi Bank Rakyat. Episod memerangi rasuah dan salah guna kuasa menjadi makin menarik perhatian pada tahun ini. Inilah kali pertama dalam sejarah, iltizam memerangi rasuah diterjemahkan dalam bentuk tindakan secara begitu ketara.

Malah Dzulkifli pada Khamis lepas menyatakan ada beberapa lagi tangkapan dan pertuduhan akan dibuat dalam tempoh setiap minggu pada tempoh terdekat ini.

Awang tertanya-tanya siapakah lagi orang kenamaan yang terpalit rasuah akan ditahan. Khabarnya, sudah ada yang panas dan mahu mencari talian hayat atau bantuan daripada pihak atasan. Kita tunggu dan lihat, siapa lagi 'jerung' yang mahu menutup muka ketika direman.


Foto bersama dialog kedi golf wanita di Jakarta mengeluh kerana ramai pemain golf dari Malaysia tidak muncul di banyak padang golf di negara itu minggu ini, yang berlegar dalam media sosial, membuatkan Awang tersenyum.

Sememangnya itulah keadaannya , yang ada kaitan dengan pembongkaran SPRM terhadap gejala rasuah melibatkan penjawat awam bermain golf di luar negara. Ia menunjukkan betapa ramai penjawat awam kita bermain golf pada saban minggu di negara jiran itu sehingga sebahagiannya mempunyai wanita simpanan.

Melalui gejala itu, SPRM telah mengesan para penjawat awam termasuk berprofil tinggi yang disyaki terbabit dengan rasuah melibatkan pihak-pihak berkepentingan seperti ahli perniagaan, kontraktor, pembekal dan pelobi bisnes.

Awang sudah lama dengar cerita bagaimana golf yang ditaja menjadi saluran untuk merasuah penjawat awam. Kalangan penjawat awam inilah kemudian menjadi Napoleon Kecil dalam pelbagai jabatan di perkhidmatan awam, dengan mendapat sokongan kartel di luar. Sukan golf yang merupakan aktiviti riadah yang murni dan sihat telah dicemari gejala itu. Tiket penerbangan, hotel , malah set golf serta hiburan malam semuanya disediakan bertujuan mempengaruhi penjawat awam.

Maka inilah masa untuk SPRM membetulkan kepincangan biar apa pun cabarannya. Masih belum terlewat ...


Dari semasa ke semasa, ada petugas SPRM dikenakan tindakan dan didakwa di mahkamah atas salah guna kuasa dan rasuah. Harapkan pegar, pegar makan padi. Dengan kata lain, SPRM tidak kebal atau terkecuali daripada diambil tindakan jika membuat onar.

Sebab itu, jika ada pegawai kanan SPRM termasuk yang telah bersara dikesan (semasa perkhidmatan mereka) melakukan salah guna kuasa, rasuah mahupun kesalahan lain, mereka wajar disiasat dan diheret ke muka pengadilan. Tiada siapa boleh berselindung di sebalik lambang SPRM. Itu barulah integriti namanya.

Kit Siang TPM? 
Entah kenapa Lim Kit Siang menjadi tidak keruan macam cacing kepanasan berhubung isu beliau didakwa bakal menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Mukhriz Mahathir sebagai Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Semua itu bermula daripada pendedahan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim terhadap perancangan sulit antara Kit Siang dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Dr. Mahathir Mohamad. 

Tunku Aziz turut mencabar Kit Siang membuat akuan bersumpah jika menafikan dakwaan beliau itu, yang setakat ini tidak disahut. Sebaliknya pemimpin DAP itu bertindak balas dengan tindakannya mahu menyaman Utusan Malaysia dan The New Straits Times. Tunku Aziz pula tampil dengan satu lagi cabaran agar Kit Siang menyaman beliau dan bukannya media yang hanya menyiarkan kenyataan tersebut. Sekali lagi isunya adalah reaksi keterlaluan Kit Siang, yang menimbulkan tanda tanya besar. 

Jika dakwaan itu benar, Kit Siang akan mencatat sejarah sebagai penyandang bukan Melayu dan bukan Islam yang pertama. Itu akan menjadi antara pencapaian terbesar DAP. Apakah Kit Siang tidak mahu masyarakat Melayu mengetahui perancangan sulit itu? Seandainya dakwaan itu salah, sebagai pemimpin politik, beliau berhak menafikannya dengan penjelasan yang meyakinkan, bukannya dengan menyaman media. Berbanding Kit Siang, nampaknya Tunku Aziz lebih matang dan budiman. Buku telah bertemu ruas. 

Shahrir, Felda 
Akhirnya segala teka-teka dan spekulasi berkaitan perubahan kepimpinan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sejak bulan lalu terjawab dengan pelantikan Ahli Parlimen Johor Bahru, Shahrir Abdul Samad sebagai pengerusi yang baharu. Shahrir menggantikan Isa Samad, yang tamat tempoh perkhidmatan dan dilantik sebagai Pengerusi Felda Global Ventures Holding Berhad. (FGV). Awang ucapkan tahniah kepada Shahrir, yang mendapat keyakinan Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak bagi menerajui Felda. 

Pelantikan tersebut mendapat respons sangat positif daripada pelbagai pihak sebagaimana ketika bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Wahid Omar dilantik sebagai Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB). Najib membuat keputusan terbaik melantik Shahrir. Dengan kewibawaan, integriti dan pengalaman luas termasuk pernah menjadi menteri di tiga kementerian, Awang percaya beliau akan membawa impak baharu demi kepentingan Felda terutamanya masa depan para peneroka. 

Namun cabaran yang menanti Shahrir cukup besar dalam menangani kompleksiti, yang tentunya menuntut beliau melakukan langkah-langkah pembetulan termasuk rombakan di Felda. Amanah berat kini terpikul di bahu Shahrir, harapan kepadanya juga tinggi. Selamat bertugas. 

Apa sudah jadi? 
Awang terganggu dengan makin banyak maklum balas negatif terhadap perkhidmatan Malaysia Airlines (MAB) kebelakangan ini termasuk kejadian berpatah balik disebabkan masalah teknikal. Tidak silap Awang, sekurang-kurangnya empat insiden seumpama itu berlaku, dengan dua melibatkan penerbangan KL-London dan London-KL. Terbaru, kelmarin, pesawat MH104 yang dalam perjalanan ke Bangalore, India berpatah balik selepas juruterbang mengesan unit kuasa tambahan tidak berfungsi. 

Pada 22 Disember lalu, para penumpang dari London melalui pengalaman meresahkan apabila pesawat MAB terpaksa berpatah balik selepas dua jam berlepas kerana masalah teknikal pada salah satu pintu pesawat. Apa sudah jadi dan apa lagi yang tidak kena? Dalam Awang menyanjung segala langkah dan orientasi MAB mengutamakan keselamatan penumpang, pengurusan syarikat penerbangan nasional itu perlu mengambil iktibar daripada kekerapan gangguan teknikal. Ia bukan sahaja menjejaskan imej MAB malah negara. Rakyat Malaysia sangat berharap MAB akan bangkit cemerlang menutup episod hitam dua tragedi menggemparkan dunia. 

Sampai hari ini kehilangan MH370 masih misteri hingga hari ini dan satu lagi insiden iaitu pesawat MH17 ditembak jatuh militan pemisah di ruang udara Ukraine - bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga. Maka jalan keluar terbaik bagi MAB adalah melonjakkan perkhidmatan berkualiti, selesa dan meyakinkan, yang semua itu dalam jangkauan kita. Awang harap Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Peter Bellew, warga asing kedua dilantik oleh Khazanah Malaysia (pemegang saham utama) sejak pelan pemulihan bermula 2014, benar-benar menyelamat dan memulihkan MAB. Awang tertanya-tanya, ke mana hala tuju MAB yang kini armada penerbangannya terus menguncup seolah-olah bukan lagi syarikat penerbangan nasional. 

St. Petersburg... 
Tahukah anda, di manakah terletaknya bangunan ini, sama ada di Rusia, Jerman, Amerika Syarikat atau United Kingdom? Jika anda memilih salah satu daripadanya, ia tetap salah. Sebenarnya bangunan tersebut, St. Petersburg adalah sebuah kondominum di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Awang paparkan hal ini kerana makin banyak kondominium, projek perumahan dan pusat membeli-belah menggunakan nama bahasa Inggeris. 

Kondominium St. Petersburg adalah salah satu daripada ratusan daripada nama asing pada bangunan di ibu negara dan sekitar. Awang hairan mengapa pihak berkuasa tempatan dengan mudah memberi kebenaran kepada pemaju projek perumahan dan komersial mengagung-agungkan bahasa asing di tanah air ini. Apakah bos-bos PBT tunduk kepada pengaruh pemaju sehingga menghakis kedudukan Bahasa Kebangsaan? Amat menyedihkan kerana lebih banyak nama Inggeris digunakan selepas merdeka berbanding ketika negara dijajah oleh British. Awang tidak akan terkejut jika selepas ini Kuala Lumpur akan menyaksikan lambakan nama-nama yang tebal elemen bahasa asing seperti St. Peterburg. Di mana jati diri kita?