Awang sokong ketegasan Khalid. Biarlah polis memantau Dr. Zakir sepanjang berada di negara ini tanpa dicabar oleh Hindraf. Setakat ini pendakwah itu tidak menimbulkan sebarang masalah. Ternyata beliau bukan musuh maka untuk apa Pengerusi Hindraf, P. Waythamoorthy dan kelompoknya rasa terancam. Dr. Zakir yang pakar dalam perbandingan agama, perlu dihadapi oleh Hindraf dengan pendekatan ilmiah, bukannya secara sentimen liar dan ekstrem. Awang mengucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri kerana tidak tunduk kepada tekanan Hindraf. 

Baru-baru ini Zahid mengesahkan bahawa Zakir (Tokoh Maal Hijrah 2013 ) diberi status penduduk tetap, yang membuatkan Hindraf mendesak agar ia dibatalkan. Malah Hindraf agresif meningkatkan bantahannya sehingga kepada Jawatankuasa Memerangi Keganasan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ini yang dikatakan kaduk naik junjung. 

Awang bimbang jika Hindraf terus melakukan provokasi, ia akan mengundang gelombang tindak balas banyak pihak yang mahu mempertahankan Zakir. Antaranya, Perkasa pimpinan Dr. Ibrahim Ali yang turut menghantar surat ke PBB membalas kenyataan Hindraf selain mencelah saman Waythamoorthy di mahkamah. Bukan itu sahaja, sudah ada aduan polis dibuat ke atas kebiadapan Hindraf, yang Awang harap polis mengambil langkah pre-emtif. 

Dengan ancaman Daesh yang sedang ditangani pihak berkuasa, janganlah Hindraf pula mahu mencetuskan ketegangan agama. Bara mudah menjadi api apatah lagi di negara majmuk seperti Malaysia. Waspadalah.

 

WIRA SEJATI

Keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak saman Presiden PAN, Mohamad atau Mat Sabu terhadap Utusan Melayu (M) Berhad pada 2 Mei lalu begitu signifikan kepada sejarah negara. 

Hakim, Zakaria Sam (kini Hakim Mahkamah Rayuan) dalam keputusannya menyatakan ketiga-tiga artikel yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada 27 dan 28 Ogos 2011 berhubung ucapan Mat Sabu tentang serangan Bukit Kepong tidak berunsur fitnah. Tegasnya, ucapan tersebut tidak boleh dibuat tanpa mendapat kritikan (media ). Mat Sabu antara lain dalam ucapannya pada ceramah di Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011 mendakwa Mat Indera yang mengetuai serangan di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 adalah pejuang kemerdekaan tanah air. Kenyataan Mat Sabu itu menerima bantahan banyak pihak di seluruh negara. 

Kes yang dibicarakan pada Oktober 2012 berakhir kini dengan hakikat bahawa Parti Komunis Malaya (PKM) termasuk Mat Indera adalah pengganas dan musuh negara, bukannya wira.

Seorang sarjana yang pakar dalam sejarah PKM iaitu Dr. Karl Hack dari United Kingdom mengesahkan Mat Indera adalah pemimpin Melayu dalam PKM. Perspektif Karl begitu meyakinkan dan Mat Indera bukan pejuang.

Iktibar daripada semua ini adalah pemimpin politik perlu berhati-hati agar tidak memanipulasi fakta sejarah untuk kepentingan politik yang sempit. Apatah lagi ia membawa implikasi besar kepada soal pengorbanan pasukan keselamatan, yang selama ini diiktiraf dan diperakukan. Puluhan ribu meliputi tentera, polis dan orang awam telah gugur angkara PKM dari dekad 40an hingga 80 an. 

Dalam kes tersebut, Awang kagum dengan bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor yang tampil secara sukarela sebagai saksi Utusan Melayu demi maruah pasukan keselamatan. Walaupun beliau tiada kaitan sama sekali dengan kes tersebut, Abdul Rahim memilih berdepan dengan Mat Sabu dalam perbicaraan mahkamah di Pulau Pinang. Beliau sanggup ulang-alik memandu sendiri kereta dari ibu negara pada usia yang lanjut. Hujah-hujah beliau berhubung ancaman PKM begitu kukuh apatah lagi pernah mengetuai Cawangan Khas PDRM. 

Istimewa tentang Abdul Rahim, beliau mempunyai pemikiran serta ingatan yang tajam umpama arkib bergerak. Lagi hebat sifat keberanian dan keyakinannya. Antara kata-kata Abdul Rahim sebelum perbicaraan: "Saya tidak akan biarkan Utusan bersendirian hadapi Mat Sabu. Utusan pertahan sejarah dan maruah pasukan keselamatan, saya tidak boleh hanya menjadi pemerhati dari jauh."

Peranan Abdul Rahim dan Karl ( selain laporan Utusan yang bertanggungjawab) membawa kejayaan dalam kes tersebut dan disifatkan kemenangan moral buat pasukan keselamatan. Pada Awang, tokoh seperti Abdul Rahim adalah wira sejati. Sama ada ketika berkhidmat mahupun selepas bersara, obor polis dan jati dirinya tidak sedikit pun kendur apalagi berubah. 
Terima kasih dan tabik Tan Sri.


SEEBELUM JADI BUDAYA

Khabar paling gembira buat rakyat minggu ini, Awang kira, adalah perisytiharan polis bagi memerangi ketua-ketua kumpulan gengster atau samseng di negara ini. 

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Noor Rashid Ibrahim, PDRM akan melancarkan operasi khas dan menetapkan tempoh setahun setengah bagi menumpaskan kegiatan gengsterisme. 

Inilah sebenarnya diharapkan oleh rakyat berikutan ancaman gengsterisme yang makin berleluasa termasuk dalam kalangan remaja. 

Masyarakat semakin resah sehingga ada tanggapan bahawa kumpulan-kumpulan samseng jauh lebih berpengaruh dan berkuasa daripada pihak berkuasa itu sendiri. 

Sudah menjadi rahsia terbuka bahawa orang India paling ramai terjebak dalam gejala gengsterisme iaitu 71.75 peratus. 

Seorang penulis Ravindran Raman Kutty menerusi tulisannya dalam akhbar Borneo Post 19 April lepas melahirkan rasa terkejut dan bimbang dengan pembabitan belia India walaupun gejala itu merentasi semua kaum.

Awang berharap, selain pihak berkuasa, parti-parti politik kaum India lebih agresif memainkan peranan untuk menangani isu tersebut. Adalah kerugian besar kepada kaum itu membiarkan masalah gengsterisme berlarutan. Inilah masa untuk bertindak sebelum gengsterisme menjadi budaya di negara ini.


TAHNIAH...

Kejayaan dua pelajar Malaysia memenangi pingat emas Pertandingan Matematik Dunia (WMC2017) di Manila, Filipina baru-baru ini, membanggakan negara.

Awang ucapkan tahniah kepada Jad Haris Sabaruddin, pelajar tahun enam dari Maahad Tahfiz Tun Abdul Rahman Yakub (Emas Tahap 4).

Seorang lagi Najmi Asyraf Abdul Halim, pelajar tahun empat dari Sekolah Kebangsaan Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hasan (Emas Tahap 2). Kedua-duanya adalah antara 25 pelajar dari Kuching dipilih mewakili Malaysia menyertai pertandingan berasaskan kaedah matematik Sakamoto Jepun. Beberapa lagi pelajar kita turut menang pingat perak dan gangsa.

 Kejayaan mereka memberi mesej jelas buat kita semua. Siapa kata pelajar bumiputera termasuk sekolah agama dan tahfiz  tidak boleh cemerlang dalam matematik.


BAHASA DAN SANTAI
 
Pelakon dan pengacara Neelofa Mohd. Noor telah menjawab teguran Awang minggu lalu tentang kecenderungannya menggunakan istilah bahasa pasar seperti "korang" dalam satu program lawak mingguan.

Neelofa yang menjadi juri program itu mempertahankan tindakannya dengan alasan mahu lebih santai sewaktu membuat ulasan. 

Awang hanya senyum. Santai sesuatu program bukan ditentukan oleh bahasa pasar. Selebriti Indonesia. Luna Maya,( seorang lagi juri) tetap kelihatan santai malah elegan meskipun menggunakan bahasa baku, lebih kemas dan enak didengar. Dalam hal ini, penggunaan istilah anda atau anda semua adalah lebih sesuai serta manis berbanding "korang." Bahasa mencerminkan jiwa dan jati diri bangsa. Jika selebriti kita tidak menjaga Bahasa Kebangsaan, takkan mahu mengharapkan artis Hollywood atau Bollywood. 

Apa pun Awang sedikit lega apabila Neelofa berjanji untuk mengambil serius kritikan terhadapnya. Dalam final program itu kelmarin. beliau mula menampakkan perubahan positif - tiada istilah "korang". Itulah sewajarnya.
 

DIYAT DI PAHANG?

Awang teruja dengan cadangan pelaksanaan kaedah pengampunan daripada keluarga mangsa sebagai alternatif terhadap hukuman mati ke atas banduan dalam kes bunuh.

Perkara itu dititahkan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah baru-baru ini. Ini berikutan cadangan Jemaah Pengampunan Pahang menggunakan kaedah pengampunan keluarga mangsa atau diyat. 

Menerusi diyat, ia dapat memberi peluang kepada banduan supaya tidak dikenakan hukuman mati dan digantikan hukuman lain yang bersesuaian mengikut pendapat keluarga mangsa. Diyat juga sesuai untuk dipraktikkan kepada penganut agama lain ( tidak tertakluk kepada orang Islam semata-mata) bagi menunjukkan ketinggian dan kebaikan agama Islam.

Jika ia menjadi kenyataan, Pahang akan menjadi negeri pertama di Malaysia mempunyai undang-undang seumpama itu yang menepati syariah Islam. Apa yang menarik adalah keyakinan Tengku Abdullah untuk membawa pembaharuan itu di Pahang. Awang lihat ia satu lagi petanda positif terhadap masa depan undang-undang Islam di negara ini. Syukur.
 

WAJARKAH?

Adalah tidak pasti langkah Kementerian Kesihatan mengharamkan serta-merta rawatan terapi ozon sebagai keputusan terbaik. 

Awang menerima maklum balas daripada ramai yang pernah menjalani terapi ozon bahawa pengharaman rawatan itu dilihat tidak wajar dan dibuat tanpa asas yang kuat. Selama ini ribuan rakyat telah mendapat manfaat daripada kaedah rawatan alternatif itu, yang turut diperakukan di banyak negara maju. 

Mereka mempersoalkan dapatan kajian Kementerian Kesihatan yang dikatakan tidak kukuh dan boleh dicabar. Ketika pusat-pusat rawatan ozon di negara ini mendapat tarikan ramai pelanggan dari Indonesia, Brunei Darussalam, Korea Selatan dan China seolah-olah menjadi hub bidang itu, kementerian mengambil langkah sebaliknya. 

Potensi besar Malaysia dalam sektor pelancongan kesihatan berkaitan terapi ozon kini sudah terbantut dan bakal terkubur.