Sebelum pun keputusan mengenai Perdana Menteri Pakatan Harapan ( jika menang PRU-14) dimuktamadkan, Dr. Mahathir Mohamad telah memainkan peranan sebagai pemimpin utama sejak pertengahan tahun lalu.

Walaupun beliau baru menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang kini masih berkecamuk dan parti itu mempunyai kerusi paling sedikit, Dr. Mahathir mahu lebih menonjol seolah-olah beliau menjadi peneraju baharu Pakatan Harapan. Awang boleh faham mengapa DAP dan PAN menyokong Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri kerana beliau lebih agresif dalam menyerang Perdana Menteri, Najib Tun Razak, kerajaan, UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Sejak beliau memainkan peranan itu, pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng cukup lega kerana beban tugas menggugat dan melemahkan politik Melayu dan Islam kini di tangan Dr. Mahathir. Dengan kata lain, DAP yang paling berkuasa dalam Pakatan kerana memiliki paling banyak kerusi dan mempunyai ayam tambatan lebih ganas berbanding Anwar Ibrahim dan Mat Sabu.

Seperti kata aktivis DAP Superman Hew Kuan Yaw, DAP perlu bijak dalam strategi iaitu menggunakan pemimpin Melayu untuk mudaratkan Melayu. Inilah antara kejayaan terbesar DAP kerana dapat memperalatkan seorang negarawan dan bekas Perdana Menteri yang sebelum ini musuh utama DAP, untuk menjayakan misi agung parti itu. Lebih-lebih lagi beliau pernah mengisytiharkan DAP sebagai musuh yang bahaya kepada Islam dan Melayu. Tahniah Kit Siang kerana akhirnya dapat menjinakkan Dr. Mahathir.

 

Memperkatakan tentang Dr. Mahathir sekarang bukan sahaja soal pengkhianatan dalam sejarah moden, ia lebih daripada itu. Beliau menggunakan pendekatan politik yang ekstrem termasuk mengkafirkan Pas dan pemimpinnya. Seperti kata bekas Mufti Johor, Noh Gadut, umat Islam jangan mengambil urusan Allah SWT dalam soal kafir mengkafir, yang ditujukan kepada Dr. Mahathir.

Awang masih ingat bagaimana Dr. Mahathir menentang keras perbuatan mengkafirkan sesama orang Islam ketika menjadi Perdana Menteri tetapi kini beliau yang melakukannya.

Bukan Melayu yang mudah lupa sebaliknya beliau makin kerap lupa. Sungguh menyedihkan bagaimana seorang negarawan mencabul prinsipnya berulang kali hanya kerana dendam dan politik jelek. Presiden Pas, Hadi Awang dalam reaksinya memaafkan Dr. Mahathir walaupun perbuatan itu keterlaluan dan berharap beliau akan bertaubat.

Antara komen yang tajam buat pemimpin PPBM itu adalah daripada Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad yang menasihatkan Dr. Mahathir agar lebih mengingati kematian. Awang melihat makin banyak tindak-tanduk beliau yang bukan sahaja menghina dirinya malah menjejaskan lagi gerakan pembangkang di negara ini.

Sekali lagi Dr. Mahathir melepaskan kesempatan terbaik untuk tampil rasional bagi memenangi hati majoriti umat Islam. Jenama Pakatan makin rosak teruk dengan penyertaannya yang banyak liabiliti lampau. Beliau juga telah hilang elegan sebagai pemimpin apatah lagi untuk menjadi Perdana Menteri kitar semula tertua dalam sejarah dunia.

Tidak takutkah nanti beliau dicengkam penyesalan yang dahsyat di hujung usianya? Ingatlah sehebat mana sekalipun manusia merancang ia tidak akan mengatasi ketentuan-Nya.

Awang teruja dengan reaksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan menyiasat bukti baharu dalam dakwaan rasuah projek kontroversi Terowong Bawah Laut Pulau Pinang bernilai kira-kira RM15 bilion.

Ini ekoran aduan rasmi yang dibuat oleh Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Huan Cheng Guan kepada SPRM, kelmarin. Cheng Guan mendakwa projek tersebut mempunyai unsur rasuah dan penyelewengan. Awang tidak terkejut kerana kosnya tidak masuk akal.

Memandangkan ia adalah isu berkepentingan awam maka lagi cepat kes itu disiasat lagi baik.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang me­ng­hubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu telah mencetuskan pelbagai kontroversi.

Selain itu, projek tersebut yang telah didedahkan sejak tiga tahun lalu mendapat bantahan penduduk Pulau Pinang yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Rakyat negeri itu sudah tidak larat geleng kepala dengan pelbagai kepincangan. Awang percaya hasil siasatan itu akan memberi kejutan lebih besar berbanding siasatan kes rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Satu lagi misteri bakal terbongkar, tunggulah nanti.

 

Trump dan mental

Siapa sangka negara paling berkuasa di dunia kini diterajui oleh seorang presiden yang dipercayai menghadapi masalah kesihatan mental.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berdepan dengan isu tersebut yang kebelakangan ini makin panas diperkatakan.

Awang mengikuti perkembangan daripada pendedahan pakar psikiatri Universiti Yale, Profesor Dr. Bandy Lee; kenyataan Parti Demokrat dan penerbitan buku Fire and Fury: Inside the Trump White House. Kesemuanya melahirkan kebimbangan terhadap tahap kesihatan mental Trump yang boleh membawa bahaya kepada AS.

Awang tidak mahu campur tangan, biarlah rakyat dan pihak di AS sendiri tangani hal presiden mereka. Cuma nasihat Awang kepada Trump pergilah jalani rawatan jika benar kesihatan mentalnya tidak stabil. Jangan malu. Jika sebelum ini Presiden Korea Utara, Kim Jong-un selalu dilabel sebagai pemimpin yang kurang siuman termasuk oleh pemimpin AS, kini Trump pula jadi perhatian. Dunia oh dunia.

 

MACRON BERTINDAK

Langkah Presiden Perancis, mahu memperkenalkan satu undang-undang bagi mengharamkan berita-berita palsu di Internet ketika kempen pilihan raya negara tersebut, menarik perhatian Awang. Beliau mahukan undang-undang baharu untuk berita-berita yang disiarkan menggunakan platform media sosial ketika tempoh pilihan raya bagi melindungi demokrasi.

“Jika kita mahu melindungi kebebasan demokrasi, kita mestilah mempunyai keupayaan bertindak dan mempunyai peraturan yang jelas.” katanya.

Di Malaysia, berita-berita palsu melalui media sosial dan portal berleluasa terutama sejak kempen Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013. Paling menjadi perhatian adalah dakwaan kononnya terdapat 40,000 rakyat Bangladesh diterbangkan khas untuk menjadi pengundi hantu angkara tentera siber parti pembangkang. Bukan itu sahaja terdapat portal-portal berita propembangkang yang masih bebas menyajikan berita palsu sehingga hari ini seolah-olah mereka kebal. Pada Awang, kita tidak cukup mengambil iktibar dengan apa yang terjadi dan sewajarnya mencontohi keyakinan kerajaan Perancis.

Salah satu penekanan Macron adalah untuk menangani isu media tempatan tertentu di negaranya yang dipengaruhi pihak asing terutama Rusia.

Di Malaysia, isu itu juga membelenggu dengan portal berita tertentu membawa agenda pihak asing bagi menjatuhkan kerajaan selain menerima dana untuk operasi mereka. Walaupun banyak kali telah dibangkitkan namun pihak berkuasa acuh tidak acuh.

Sebab itu Awang setuju dengan langkah Macron sambil percaya kemahuan politik yang tinggi mampu membawa perubahan besar meskipun mungkin tidak popular pada awalnya. Demokrasi bukan untuk dimanipulasi dan dicabuli, yang Macron sudah nampak ancamannya kepada Perancis. Harap-harap kita buka mata.

 

China ke hadapan

Suatu ketika dahulu, dasar dan langkah ketat China dalam mengawal selia Internet dipersoal malah diperlekehkan oleh banyak negara. Kini model China mula menjadi perhatian sebagai pilihan dalam menangani ancaman siber terutama berkaitan ancaman keselamatan, kandungan ganas dan pornografi.

Awang boleh rumuskan bahawa Kerajaan China jauh lebih ke hadapan dalam mengawal penyalahgunaan Internet. Sebanyak 13,000 laman sesawang telah ditutup sejak awal tahun 2015 kerana melanggar undang-undang negara atau peraturan lain.

Majoriti rakyat menyokong usaha pemerintah ‘membersihkan’ alam siber. Selain itu, lebih 10 juta akaun media sosial ditutup. Keselamatan Internet mencetuskan kebimbangan jangka panjang, yang China sudah menjangkakannya lebih awal.

 

IKLAN IJN

Awang tertarik dengan papan iklan Institut Jantung Negara ( IJN ) di beberapa lokasi di ibu negara yang tertera ungkapan "Saya Yakin IJN" sempena meraikan 25 tahun perkhidmatannya.

Tidak pasti mengapa slogan itu digunakan oleh IJN. Sebenarnya tidak timbul soal keyakinan masyarakat kepada institut tersebut. Rekod pencapaian dan prestasi IJN adalah terpuji dan menjadi kebanggaan negara serta rakyat. Sepatutnya slogan yang digunakan seharusnya bersifat lebih ke hadapan supaya benar-benar mencerminkan kecemerlangan IJN selama ini.

Walaupun ia mungkin dilihat sebagai hal kecil tetapi pada Awang, ia sebaliknya. IJN tidak boleh sedikit pun kelihatan memberi mesej yang pasif di sebalik jenamanya yang cukup hebat.