Kesediaan Ahmad Zahid Hamidi menawar diri untuk disiasat SPRM berhubung dakwaan Dr. Mahathir Mohamad kononnya beliau mempunyai RM230 juta dalam akaun banknya pada 1996, menarik perhatian ramai.

Timbalan Perdana Menteri membuat kenyataan itu di khalayak umum semalam, menjadikan pertembungan beliau dan Dr. Mahathir makin panas. Malah beliau sampai ke tahap sedia bersumpah laknat di masjid.

Awang melihat tindakan Zahid itu sebagai langkah berani yang memperlihatkan keyakinan beliau untuk mencari kebenaran. Pada masa yang sama Zahid meminta aset Dr. Mahathir dan keluarga turut disiasat oleh SPRM. Apakah Dr. Mahathir sedia menyahut dan juga bersumpah laknat?

Nampaknya tuduhan Dr. Mahathir ke atas Zahid telah mengheret pemimpin pembangkang itu kepada situasi yang sukar, umpama masuk perangkap sendiri. 

Awang tidak fikir Dr. Mahathir mahu mendedahkan kekayaan keluarganya yang hangat diperkatakan di laman sosial sekarang, untuk disiasat SPRM. Apa yang akan berlaku selepas ini, kita nantikan kesudahannya.


IMPAK DZULKIFLI
Belum pernah dalam sejarah negara ini, agensi yang dipertanggungjawabkan memerangi rasuah, begitu agresif sebagaimana sekarang.

Sepanjang tempoh hampir 50 tahun usia penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan selepas dinaik taraf kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tahun inilah -2017 - rakyat memperakukan impaknya.

Era baharu ternyata bermula sejak SPRM diterajui oleh Ketua Pesuruhjayanya, Dzulkifli Ahmad pada 1 Ogos 2016. Seperti yang dijanjikan pada awal pelantikan, beliau telah membuktikan SPRM mampu menjadi organisasi yang lebih berkesan dan digeruni perasuah.

Awang tabik kepada Dzulkifli kerana telah berjaya melakukan transformasi SPRM dan melonjakkan kembali imej suruhanjaya itu yang kini dipandang tinggi oleh masyarakat.

Dalam tempoh yang singkat, sudah puluhan kes berprofil tinggi dan sekian banyak kes lain dibongkar, cerminan kerja keras SPRM.


Janji Dzulkifli bahawa akan ada penahanan dan pendakwaan setiap minggu yang diisytiharnya pada 4 Januari lalu, tetap dikotakan sehingga hari ini.

Minggu ini menjadi minggu yang sibuk bagi SPRM dengan banyak pembongkaran dan penahanan. Paling menjadi tumpuan ialah siri penahanan beberapa individu berhubung siasatan rasuah kes pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC). Ini diikuti penahanan sembilan kakitangan Pejabat Tanah dan Galian ( PTG) Pahang kerana didakwa terlibat sindiket perlombongan bauksit. 

Buat pertama kalinya juga SPRM mengeluarkan kenyataan memburu 12 individu yang memiliki berpuluh-puluh premis judi dan rumah urut kerana merasuah anggota penguat kuasa. 

Sudah tentu ramai yang panas dengan tindakan SPRM yang komited mahu melumpuhkan kegiatan judi haram. Ini ekoran kegagalan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis di sebalik banyak serbuan tetapi premis judi haram masih bersepah-sepah.

Apabila Dzulkifli menyatakan bahawa Ogos dan September ini akan menyaksikan lebih ramai ditahan dan didakwa atas gejala rasuah, ramai yang tidak keruan. Awang tertanya-tanya apakah ada jerung termasuk seorang dua bergelar Tan Sri akan didakwa dan apa lagi kejutan yang bakal berlaku, kita tunggu. 

Dalam pada itu, amaran Dzulkifi agar parti-parti politik hanya memilih calon yang bebas rasuah pada PRU-14 atau berdepan tindakan SPRM kemudian hari, perlu dipandang serius. 

Seingat Awang tiada peringatan seumpama itu daripada kepimpinan SPRM sebelum ini. Ia boleh dilihat satu lagi keberanian Dzulkifli yang mahu membina budaya integriti di semua peringkat.

Meskipun berdepan kritikan sesetengah pihak termasuk ada yang melabelkannya macam orang politik kerana banyak bercakap dan beri amaran, beliau tidak goyah. Kini Dzulkifli disifatkan oleh banyak pihak sebagai orang paling digeruni di Malaysia dan pada masa yang sama membina harapan baharu kepada masyarakat dalam memerangi rasuah. 

Tahniah. Teruskan, kerana perjuangan masih panjang dan jalannya cukup berliku.


IBR DAN GUAN ENG
Awang sekadar senyum apabila akhirnya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menandatangani Ikrar Bebas Integriti (IBR) sebagai tanda komitmen kerajaan memerangi rasuah dan salah guna kuasa. 

Walaupun kerajaan negeri menetapkan 10 perkara tambahan sebagai syarat, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad tetap menyahutnya. 

Maka tiada lagi alasan bagi Guan Eng untuk tidak mengadakan IBR ketika kebanyakan negeri lain sudah lebih ke hadapan berbuat demikian. 

Sepatutnya dengan melaungkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), Kerajaan DAP Pulau Pinang lebih awal lagi memeterai IBR. Walaupun kononnya mengamalkan CAT, kerajaan negeri dilanda pelbagai

kepincangan dan masalah integriti terutama berkaitan projek-projek mega. Guan Eng sendiri enggan bercuti atau meletakkan jawatan selepas didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah. Inikah prinsip CAT? 

Dalam kaitan ini, apa maknanya beliau mengetuai bacaan ikrar dan menandatangani IBR sedangkan masih terpalit kes rasuah di mahkamah?

Harap-harap IBR kerajaan DAP Pulau Pinang bukan untuk mengelabui mata umum. Pada Awang, ia isyarat moral yang salah, bercelaru dan memalukan.


MALINDO AIR
Kegagalan Malindo Air membayar cukai lapangan terbang sebanyak RM70 juta makin menjadi perhatian dan membuka kepada pelbagai persoalan lain.

Ia bukan sahaja soal melanggar tadbir urus yang baik bahkan ia dilihat perbuatan pecah amanah kerana melibatkan hasil kerajaan dan awam, sebagaimana komen aktivis Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Awang juga melihatnya sebagai isu yang serius dan musykil bagaimana boleh berlaku. Apabila ia terdedah, ada isu lain pula timbul iatu bagaimana Malindo Air boleh berpindah dari KLIA2 ke KLIA sebelum ini.

Sedangkan Malindo adalah syarikat penerbangan bajet milik asing dengan 95 peratus ekuiti dipegang oleh pengasas Lion Group, Rusdi Kirana.

Perpindahan operasi itu turut menyumbang kepada kesesakan di KLIA pada waktu puncak dan siapakah yang membuat keputusan itu? Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai atau Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Badlisham Ghazali?

Maka tidak hairan jika banyak pihak termasuk Ahli Majlis Tetinggi UMNO, Puad Zarkashi mempersoalkan mengapa Malindo Air mendapat layanan istimewa. Malah beliau mengkritik Tiong Lai kerana dilihat mempertahan Malindo Air termasuk dalam isu tunggakan cukai lapangan terbang. 

Dengan tercetusnya isu tersebut, Awang setuju dengan gesaan Menteri Kewangan II, Johari Abdul Ghani agar MAHB memindahkan semula operasi Malindo Air ke KLIA2 yang dikhususkan untuk syarikat penerbangan bajet. 

Itulah juga penegasan Naib Ketua Pemuda, Senator Khairul Azwan Harun supaya langkah pembetulan diambil segera agar Malindo Air dihadkan di KLIA2 kerana ia bukan syarikat penerbangan nasional. 

Lebih-lebih lagi adanya kebimbangan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mirza Mohammad Taiyab terhadap kesan jangka panjang kepada pelancongan negara jika masalah kesesakan di KLIA tidak diatasi segera. Yang turut menjadi tanda tanya ialah status Rusdi Kirana yang bakal dilantik sebagai Duta Indonesia ke Malaysia. 

Pelbagai pihak termasuk Presiden Institut Tadbir Urus Korporat, Megat Najmuddin Megat Khas mempertikaikan pelantikan beliau kerana mempunyai kepentingan besar dalam Malindo Air.

Awang percaya Rusdi tidak akan dapat memainkan peranan diplomatik dengan berkesan jika begitulah senarionya. Rusdi tentu tidak mahu masalah dan isu membabitkan beliau menjejaskan hubungan akrab Malaysia-Indonesia. 

Penyelesaian terbaik adalah menarik diri daripada jawatan itu sementara watikah belum dikeluarkan bagi memberi laluan kepada ramai calon diplomat Indonesia yang lain. Apa pun, episod kekusutan isu Malindo Air ini perlu berakhir segera dan semoga semua pihak mendapat mesej yang jelas iaitu kepentingan negara mengatasi segala-galanya.


LAHIR DIMANA?
Pada satu sidang akhbar di lobi Parlimen baru-baru ini, Penasihat DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang diasak dengan soalan para wartawan tentang tempat kelahirannya.

Soalan itu amat mudah dijawab tetapi Kit Siang memilih untuk bergelut mempersoalkan soalan tersebut. 

Selasa lalu, Presiden Persatuan Minda Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao menghantar memorandum meminta pengesahan asal usul Kit Siang ekoran latar belakang pemimpin pembangkang itu dalam laman web Wikipedia telah diubah suai.

 Siapakah yang bertanggungjawab melakukannya dan apakah benar dakwaan Ramesh? Isu itu kemudian tular dan setakat ini tiada jawapan diperoleh daripada Kit Siang.

Pada Awang, tidak kisahlah di mana kita dilahirkan tetapi jika keengganan untuk memberitahu fakta asas itu, ia mengundang tanda tanya besar.

Nasihat Awang kepada Kit Siang, jawab sahajalah dan untuk apa ragu-ragu, melainkan memang ada yang tidak kena.