Perubahan ini ketara sejak Mohamad Fuzi Harun dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada September lepas. Awal-awal lagi beliau memberi amaran akan memecat mana-mana pegawai termasuk Ketua Polis Negeri yang rasuah dan salahguna kuasa terutama yang bersubahat dengan sindiket judi.

 Paling Awang teruja apabila Fuzi menegaskan bahawa beliau tahu siapa dalam kalangan pegawai kanannya yang bersandiwara.  Sudah tentu kesungguhan beliau memerangi gejala judi haram, menyebabkan taikun-taikun dan sindiket judi kepanasan. 

Fuzi bukan sekadar memberi amaran. Baru-baru ini lima dalang judi di Selangor telah diberkas sementara 15 lagi diburu sebagaimana diumumkan Timbalan Ketua Polis Negara, Noor Rashid Ibrahim. Tahniah, Awang tidak sabar untuk melihat wajah  mereka dihadapkan ke mahkamah. 

Syabas juga kepada Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim yang mengarahkan ketua-ketua polis daerah memastikan ibu negara bebas daripada gejala judi haram dalam tempoh sebulan. Walaupun usaha tersebut akan berdepan pelbagai cabaran dan kompleksiti, setidak-tidaknya Mazlan mempunyai keyakinan untuk mencapai objektif murni itu, yang Awang tabik. 

Kontinjen polis negeri lain juga sewajarnya mengambil langkah yang sama bagi memberi impak. Belajarlah dari negara jiran Indonesia, yang tiada masalah judi haram kerana dasar yang jelas dan penguatkuasaan yang hebat. 

Memandangkan gejala judi haram ini sudah lama berlarutan dan makin serius di negara ini, PDRM perlu bertindak lebih drastik dan efisien sebagaimana kejayaan mengekang ancaman Daesh. 

Kegagalan berbuat demikian ke atas ancaman judi haram umpama mencurah air di daun keladi. Maka terbuktilah sindiket-sindiket judi jauh lebih berkuasa daripada PDRM. Ia bermakna era sandiwara masih belum berakhir dengan mesej yang salah kepada rakyat betapa  kuasa wang boleh menundukkan kuasa moral dan undang-undang. Semboyan (bagi membetulkan keadaan)  telah berbunyi, inilah masanya. Buktikanlah....


Dr. M dan maaf

SULTAN SHARAFUDDIN
SULTAN SHARAFUDDIN

Kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap kenyataan Dr. Mahathir Mohamad yang menghina etnik Bugis, satu tamparan besar buat bekas Perdana Menteri itu. Titah baginda itu dikeluarkan ketika pelbagai kalangan keturunan Bugis terus membantah termasuk membuat aduan polis terhadap Dr. Mahathir. 

Baginda menegaskan kenyataan menyifatkan Bugis sebagai lanun adalah keterlaluan, secara tidak langsung menghina salasilah dan keturunan Kesultanan Selangor serta boleh mencetuskan prasangka buruk masyarakat. Awang berharap Dr. Mahathir dapat meredakan keadaan dengan berjiwa besar memohon maaf kepada seluruh etnik Bugis. 

Walaupun beliau telah menjelaskan sebelum ini bahawa kenyataannya itu ditujukan kepada Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak, ia ternyata mengheret  penghinaan kepada keturunan Bugis yang tidak boleh diterima. Inilah akibat jika dendam emosi menguasai diri. Akhirnya keceluparan negarawan itu makan tuan dan menghina diri sendiri. Ambillah iktibar.


Ambiga panas...

AMBIGA
AMBIGA

Bekas Pengerusi Bersih, S. Ambiga kini  kepanasan apabila namanya  disebut sebagai pemberi maklumat kepada laporan memfitnah Presiden Pas, Hadi Awang. 

Manakan tidak, dakwaan pengasas dan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown bahawa Hadi menerima wang daripada Perdana  Menteri, Najib Tun Razak berkaitan isu 1MDB, adalah amat serius. Jika benar atau setidak-tidaknya mempunyai asas, Hadi boleh menyaman Ambiga di dalam negara demi kebenaran dan maruah diri serta parti. 

Walaupun Ambiga berdolak-dalik untuk memberi reaksi kerana menyatakan prosiding kes itu di London masih belum selesai, rakyat Malaysia tetap mahu jawapan segera memandangkan ia kes berkepentingan awam. 

Setakat ini Ambiga tidak menafikan dakwaan Brown walaupun beliau sebenarnya boleh berbuat demikian jika benar-benar mahu. Apakah Pengerusi Bersih ini dapat membersihkan dirinya yang makin kelihatan tidak bersih, kita tunggu...

Tertib berhujah 
Bicara Bajet 2018 yang disiarkan secara langsung oleh RTM baru-baru ini seharusnya membuka mata semua pihak. Pemimpin muda BN, Razali Ibrahim yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Rafizi Ramli mewakili Pakatan Harapan menjadi ahli panel bicara tersebut.

Ia dilihat perkembangan yang positif dalam dunia penyiaran tanah air  oleh ramai pemerhati. Tidak kurang yang mengucapkan tahniah kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Said Keruak dan stesen televisyen nasional itu. Pada Awang, ia bukan semata-mata soal keterbukaan dan perspektif yang seimbang agar penonton dapat membuat  penilaian terbaik. 

Ia juga  soal ketertiban, kematangan dan adab dalam berhujah supaya tidak terlalu dikuasai sentimen politik liar. 

Pada program bicara itu, Razali dan Rafizi telah menunjukkan contoh yang baik betapa pemimpin politik boleh mengawal diri, bertolak ansur dan menghasilkan perbincangan yang sihat serta membina. Rafizi nampaknya sedar beliau bukan berceramah di pentas politik untuk berapi-api membakar sentimen seperti biasa. 

Sudah tentu selepas ini, ramai mengharapkan ada lagi program siaran langsung sebegitu yang turut membabitkan wakil pembangkang? Persoalannya, apakah rekod ketertiban dan kematangan Razali dan Rafizi itu boleh dipertahankan oleh panelis (berlawanan parti politik) yang lain selepas ini? 


Iktibar Datuk Seri!

SOON HEE
SOON HEE

Insiden seorang ahli  perniagaan Liow Soon Hee 29, yang bergelar  Datuk Seri menyerang dan mencederakan tiga anggota Rela di Ampang dekat ibu negara baru-baru ini, wajar dijadikan iktibar. 

Ia bukan sahaja soal orang kenamaan  mempunyai darjah kebesaran melakukan jenayah ke atas penjawat awam yang menjalankan tugas. Lebih daripada itu bagaimana seorang yang  begitu muda dianugerahkan status yang tinggi iaitu Datuk Seri. Apakah merit dan sumbangan dia kepada masyarakat serta negara? 

Inilah yang menjadi bahan bualan ramai tentang darjah kebesaran yang mudah diperoleh tanpa saringan ketat. Awang dapat tahu bukan Soon Hee sahaja  yang memperoleh gelaran Datuk Seri dan Datuk pada usia begitu muda, ada lagi yang jumlahnya sangat mengganggu fikiran. 

Malah terdedah menerusi media sosial mengenai terdapat ketua kongsi gelap turut diberikan gelaran Datuk dengan gambarnya yang bertatu dan bersubang. Awang bimbang jika gejala ini tidak dibendung dan ditangani dengan berkesan, ia akan menghakis imej institusi raja dan pembesar negeri, yang sepatutnya sentiasa dipandang mulia dan tinggi. 

Dalam kes Soon Hee, dia juga didapati positif dadah, menyebabkan ditahan semula selepas dibenarkan ikat jamin. Lagilah Awang geleng kepala dengan gelarannya itu. Soon Hee telah didakwa di Mahkamah Majistret atas empat pertuduhan di bawah Sekyen 325, 353 dan 323 Kanun Keseksaan. Ketiga-tiga anggota Rela yang diserang itu adalah Lee Weng Poh, Melvin Cheong  Mun Khai dan Leong Jun Jie. 

Kepada ketiga-tiga anggota Rela itu, Awang ucapkan syabas kerana tidak menarik balik aduan polis walaupun cuba disogok berbuat demikian. Anda kebanggaan Rela dan masyarakat walaupun tanpa status gelaran. 


Paku dulang...

AZMIN ALI
AZMIN ALI

Menepuk air di dulang terpercik muka sendiri. Itulah yang boleh dirumuskan terhadap pembentangan Bajet Selangor 2018 oleh Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, kelmarin. 

Azmin sebelum ini paling ghairah mentohmah kononnya Bajet 2018 oleh kerajaan Persekutuan adalah bajet pilihan raya. Bagaimanapun Bajet Selangor 2018 menyerlahkan hakikat tohmahan Azmin akhirnya terpercik di muka sendiri. 

Ramai pemerhati menyifatkan Bajet Selangor 2018 sebagai gula-gula politik PRU-14 selain mengulangi dasar lama dan sebahagiannya  meniru formula kerajaan pusat. Awang tersentak dengan defisit berjumlah RM820 juta iaitu 26 peratus daripada keseluruhan bajet negeri serta 38 peratus tambahan daripada jumlah anggaran hasil. 

Peratusan defisit itu jauh lebih tinggi berbanding  hanya 14 peratus daripada keseluruhan peruntukan Bajet 2018 Kerajaan Persekutuan. Paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.