Siapa Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menguasai PRU 14, terus menjadi persoalan dan juga bahan sendaan ramai.
Kesediaan Dr. Mahathir Mohamad menimbang untuk menyandang jawatan itu, menambah kusut masai dalam Pakatan Harapan.
Sebelum ini, Anwar Ibrahim (PKR), Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) serta Mohamad Sabu ( PAN), telah dicalonkan ke jawatan itu.
Awang sekadar senyum dengan perkembangan terbaharu ini. Belum lagi memerintah, sudah terlalu banyak petunjuk kegagalan pada Pakatan Harapan. Baru-baru ini, Dr. Mahathir diperangkap dan dimalukan dalam Konvensyen PKR apabila semua pemimpin Pakatan Harapan yang hadir diharapkan untuk mengangkat plakad menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-7.
Bagaimanapun Penasihat Parti Pribumi itu enggan berbuat demikian yang dilihat tamparan besar kepada PKR. Pada Dr. Mahathir, Anwar tetap tidak layak sebagai Perdana Menteri kerana isu moral dan akhlak seperti yang pernah ditegaskannya berulang kali. Kini, tidak lama selepas insiden mengangkat plakad Anwar, beliau seperti memulakan tindak balas.
Apa pun, percaturan antara Dr. Mahathir dan Anwar, kuasa menentukan siapa Perdana Menteri adalah pada Penasihat DAP, Lim Kit Siang. DAP adalah parti paling berkuasa kerana mempunyai majoriti kerusi Parlimen dalam Pakatan Harapan yang dijangka sama keadaannya pada PRU 14. Kit Siang boleh memilih siapa sahaja sebagai Perdana Menteri termasuk Mat Sabu, yang paling dipercayainya. Gelarannya nanti YAB Mat Sabu, apa macam?

MANA KAEDAHNYA...
Nahas van merempuh sebuah rumah di Kuala Krai, Kelantan kelmarin yang mengorbankan tujuh pelajar maahad tahfiz dan tujuh cedera parah, menggemparkan negara.
Awang sedih dengan tragedi itu yang berlaku pada 7 Ramadan ketika mereka menyertai rombongan untuk ke majlis tafsir al-Quran. Takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Semoga dugaan kehilangan insan tersayang ini dihadapi dengan tabah dan reda.
Dalam Awang menerima tragedi itu sebagai ketentuan takdir, nahas itu harus disiasat untuk memastikan punca sebenar. Awang sudah tidak larat geleng kepala dengan nahas kenderaan yang sudah menjadi masalah utama di negara ini. Hampir 7,000 orang terkorban setiap tahun akibat nahas jalan raya termasuk di jalan dalam kawasan perumahan. Sudah sampai masanya pendekatan menangani masalah ini dilihat semula secara komprehensif. Jika tidak, kita seperti kelihatan menyerah begitu sahaja.

 

BEBAS DERA
Kejadian seorang pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zularnain, 21, mati didera, amat merentap perasaan Awang.
Berita itu mengejutkan rakyat Malaysia. Gejala dera yang kerap berlaku di negara ini, yang dianggap 'penyakit serius', mengorbankan satu lagi nyawa.
Kali ini di universiti pertahanan yang unggul- tamparan besar buat UPNM. Mangsa melecur teruk dicederakan dengan sterika wap. Kejam dan tidak berperikemanusiaan. Apa sudah jadi dengan sistem pengawasan di UPNM sehingga terjadinya insiden luar biasa itu?
Awang mahu percaya ia kes terpencil dan sangat berharap ia tidak akan berulang lagi sementara UPNM perlu melakukan rombakan.
Setakat ini, 36 individu telah ditahan reman dengan masyarakat mahu melihat sesiapa yang bertanggungjawab segera dihadapkan ke mahkamah.
Jenayah keji itu sesungguhnya tidak boleh dikompromi sama sekali. Ia bukan sahaja tragedi buat Zulfarhan malah tragedi kepada rakyat Malaysia. Kes dera terbaru ini menuntut pengajaran besar dan sangat bernilai.
Jadikan ia jump start dalam membuka kesedaran demi menjamin persekitaran tanpa atau bebas dera. Doa dan harapan Awang biarlah itu kejadian dera yang terakhir, moga tiada lagi insan yang menghadapi nasib seperti Zulfarhan. Al-fatihah.

 

TIDAK SERIK-SERIK
Tahniah kepada Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan beberapa agensi atas kejayaan melumpuhkan skim piramid Mface Club, baru-baru ini.
Sebanyak 91 akaun bank bernilai RM177 juta telah dibekukan selain merampas jongkong emas dan pelbagai barangan sebagai bahan bukti.
Komen pertama Awang selepas ia terbongkar – penganjur skim seumpama itu terus mencabar pihak berkuasa manakala rakyat Malaysia pula tidak serik-serik.
Walaupun sudah begitu banyak penipuan oleh ratusan skim piramid dan skim cepat kaya, akan ada sahaja skim baharu muncul yang dapat menarik ramai pelabur.
Padahal ratusan ribu rakyat telah menjadi mangsa dengan kerugian berbilion ringgit sejak tiga dekad lalu. Malangnya masih ramai tidak mahu ambil iktibar kerana dikuasai nafsu tamak. Awang difahamkan banyak lagi skim piramid sedang beroperasi secara gelap di negara ini dan entah berapa ramai lagi yang bakal menjadi mangsa. Jika pihak berkuasa gagal mengambil langkah drastik menanganinya, ia akan memberi isyarat yang salah kepada semua.
Dalam kes Mface Club, difahamkan penganjur termasuk seorang selebriti sedang dalam siasatan. Tiada sesiapa harus terkecuali daripada tindakan undang-undang. Siapakah selebriti itu?

 

JENAMA RAFIZI
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang juga Ahli Parlimen Pandan sekali lagi minta maaf atas keceluparannya. Kali ini beliau silap dalam menamakan seorang wanita sebagai pengantara kononnya dalam usaha melobi Presiden Amerika Syarikat ( AS), Donald Trump.
Ini bukan kali pertama Rafizi melakukan kesalahan dan memohon maaf. Banyak lagi dakwaan beliau akhirnya didapati fitnah, palsu dan tidak benar. Belum pernah dalam sejarah negara, ada pemimpin politik sebegini, yang hanya memburukkan lagi imej gerakan pembangkang.
Pada Awang, Rafizi sudah hilang wibawa dan makin dilihat sebagai liabiliti kepada PKR mahupun Pakatan Harapan. Jenama beliau adalah pemimpin yang sudah tidak boleh dipercayai. Nilai pemimpin politik adalah pada kata-kata yang benar dan bukan penipuan, tohmahan, fitnah serta putar belit yang berulang kali. Jika di negara lain, pemimpin apatah lagi Ahli Parlimen yang selalu berbohong dan silap, akan ditolak dan tercela dengan sendirinya.

 

ISLAM-KRISTIAN
Kisah seorang petugas beragama Islam menyelamatkan sekurang-kurangnya 39 penduduk Kristian yang terkepung ketika pertempuran tentera dan militan Maute (rangkaian Daesh) di Marawi, Filipina, menarik perhatian agensi berita antarabangsa.
Salma Jayne Tamano telah membawa mereka yang kelaparan sejak beberapa hari, keluar daripada kawasan konflik. Selain itu penduduk bandar yang majoritinya Islam juga telah membantu memindahkan lebih 100 penduduk minoriti Kristian ke lokasi yang selamat.
Hal ini disahkan oleh Naib Gabenor wilayah Lanao del Sur, Mamintal Adiong Jr. dan jurucakap Pasukan Bertindak dan Bantuan Kecemasan Kemanusiaan (HEART), Myrna Jocelyn Henry, yang kedua-duanya menzahirkan penghargaan kepada umat Islam.
"Ini kisah tentang perpaduan Islam dan Kristian yang sepatutnya dikongsi oleh masyarakat dunia," demikian antara komen Adiong.
Ternyata umat Islam Marawi bukan sahaja menolak Daesh malah teguh mempertahankan kemanusiaan tanpa mengira agama.
Awang turut tersentuh dan sengaja paparkan kisah tersebut pada ruangan ini untuk renungan kita bersama. Itulah nilai Islam yang sebenar.

 

AMBIL IKTIBAR

Kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa seharusnya membuka mata semua pihak.
Dalam tempoh empat hari, dua kali baginda bertitah yang mesejnya begitu keras kepada Sivarasa, yang berucap di ruang solat Masjid An Nur, Subang.
Awang menjunjung kasih ke atas ketegasan baginda dalam menjaga kesucian Islam dan mengelak masjid daripada dijadikan pentas politik.
Sebenarnya sudah acap kali Sultan Selangor memberi peringatan tidak membenarkan ahli politik berceramah atau berucap di dalam masjid.
Sepatutnya Sivarasa faham, akur dan menjaga sensitiviti agama, bukan sebaliknya. Ini kerana ia boleh dilihat sebagai tindakan provokasi ke atas Islam selain mencabar titah baginda.
"Namun teguran beta nampaknya tidak diendahkan dan beta ingin menegaskan - Ahli Parlimen Subang Sivarasa, You have cross the line! ( Anda telah melampaui batas)" titah baginda, kelmarin.
Awang percaya teguran keras itu berikutan Sivarasa masih berdolak-dalih dan memberi pelbagai alasan sedangkan bukti begitu jelas beliau berucap di ruang solat masjid.
Ia hanya memperlihatkan kebiadapan apatah lagi Sivarasa gagal memohon maaf kepada Sultan Selangor seawal teguran pertama pada Selasa lalu. Maka wajar bagi Jabatan Agama Islam Selangor menjalankan siasatan supaya menjadi pengajaran buat semua. Awang berharap Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali akan bertindak ke atas Sivarasa dan bukan membelanya.
Kegagalan berbuat demikian boleh ditafsir bahawa negeri pimpinan PKR yang dikuasai DAP hanya meremehkan kemurkaan Sultan dan bersubahat menyokong tindakan Sivarasa. Lagipun ini bukan insiden pertama pemimpin PKR dan DAP masuk di dalam masjid. Pencerobohan ini berterusan, yang pemimpin utama kedua-dua parti itu perlu mengambil tanggungjawab.
Seandainya PKR dan DAP komited untuk tidak mencemari kesucian masjid bagi tujuan politik, tidak akan timbul masalah. Kepada Sivarasa, janganlah jadi kaduk naik junjung. Ingatlah di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Kesabaran umat Islam ada hadnya, jangan mengundang padah.