Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir semalam sarat dengan mesej dan petunjuk. Paling ketara kesannya, Presiden UMNO, Mohd. Najib Tun Razak makin kuat di sebalik banyak dugaan yang dihadapinya terutama serangan pembangkang dan bekas pemimpin UMNO. Kedudukan parti pula terus kukuh meskipun tanpa beberapa pemimpin yang berpaling tadah.
Gandingan Najib bersama Naib Presiden, Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, begitu serasi. Sejarah menjadi saksi bagaimana faktor kepimpinan Najib mempengaruhi ketahanan UMNO mengatasi pelbagai liku dan cabaran sejak 2008. Hari ini, walau apa pun tafsirannya, UMNO digeruni lawan dan dicemburui kawan. Para perwakilan  pulang dengan membawa keyakinan baharu sebagai  bekalan awal menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang dijangka tahun depan.  
Itulah antara rumusan perhimpunan kali ini, yang tentunya meresahkan Pakatan Harapan  diketuai oleh DAP . Tekad para pemimpin UMNO dan perwakilan mahu terus menjuarai hati rakyat, memperhebatkan agenda Melayu dan bumiputera, memperjuangkan kepentingan Islam dan lebih agresif melawan serangan pembangkang - begitu kuat gemanya. Sama juga dalam menolak campur tangan asing, yang pemimpin pembangkang tertentu menjadi agen pengkhianatan.
Awang amati, lagi kuat UMNO ditekan, dihina dan diserang, lagi bangkit parti itu. Biarpun atas kertas UMNO memiliki kelebihan, Awang berharap parti itu tidak selesa, sebaliknya lebih mengasak pembaharuan, memperhebatkan proses peremajaan dan tanpa apologetik terus membela umat Islam.
 Realitinya, masih banyak cabaran menanti UMNO. Ingatlah ujian sebenar adalah di peti undi, bukan di Dewan Merdeka.  Maka angkatlah mandat dan kepercayaan umat Islam, Melayu dan bumiputera ke tahap tertinggi kerana itu jugalah survival UMNO. Awang yakin, jika itu asas percaturan PRU-14 nanti, ia tidak akan silap. Lagipun tanpa sokongan mereka, siapalah UMNO!


DEMI ROHINGYA

Di sebalik bantahan dunia terhadap kekejaman dan penghapusan etnik ke atas orang Islam Rohingya di Myanmar, kerajaan negara itu bukan sahaja tidak mengendahkannya malah bersikap angkuh dengan memberi kata dua termasuk kepada Malaysia. Sehingga ruangan ini ditulis malam tadi - rogol, bunuh, dera, dibakar dan diusir - dilaporkan terus berlaku tanpa usaha kerajaan Myanmar untuk membendungnya. Inilah jenayah kemanusiaan paling dahsyat pada dekad ini, yang tidak boleh lagi dibiarkan.
Awang bersyukur dan tersentuh dengan penegasan Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak semalam yang tidak gentar dengan sebarang kata dua kerajaan Myanmar berhubung bantahan Malaysia termasuk melalui Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya, yang dijadualkan hari ini.
Najib selaku Presiden UMNO dan Presiden Pas, Hadi Awang mewakili dua parti terbesar umat Islam di negara ini akan bersama-sama dalam himpunan tersebut yang turut disertai oleh pelbagai badan bukan kerajaan (NGO).              
Tekad Najib untuk tetap hadir walaupun mendapat tekanan  Myanmar adalah mesej yang sangat jelas bahawa ini masa untuk bertindak dan bukan lagi retorik. Polisi campur tangan dalam negara ASEAN ada batasnya. Kekejaman selama bertahun-tahun oleh tentera dan pelampau agama ke atas etnik Rohingya amat tidak berperikemanusiaan dan mengundang kebanjiran pelarian di negara serantau sebagaimana yang pernah berlaku.
Pada Awang, Najib telah membuktikan keberanian beliau demi kemanusiaan dan menyelamatkan orang Islam Rohingya.  Jika sekalipun terpaksa memutuskan hubungan diplomatik, umat Islam akan bersama beliau.
 Kepada Najib, tahniah. Ia ucapan paling tegasnya dalam soal diplomatik, menjadikan beliau pemimpin negara Islam yang ke hadapan mahu menghentikan pengapusan etnik. Membara semangat mengikuti ucapan beliau semalam. Sekali lagi terbukti, Najib tidak boleh diambil mudah.

MESEJ APANDI

Awang lega dengan keputusan Jabatan Peguam Negara memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret menjatuhi hukuman denda RM3,000 dan penjara 14 hari ke atas suami isteri, Lor Ka Hoo dan Tan Sit Fun yang menghalang tugas penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), baru-baru ini.
Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali dalam kenyataannya pada 27 November menegaskan langkah itu diambil kerana hukuman itu terlampau ringan berbanding kesalahan jenayah yang dilakukan.
Secara kebetulan pada hari yang sama  Ahad lepas, Awang membangkitkan isu tersebut dengan mengharapkan hukuman keras dikenakan supaya menjadi pengajaran bernilai kepada semua.
Kegagalan bertindak tegas dan tiadanya elemen gerun dalam hukuman akan memberi isyarat yang salah dan mengelirukan masyarakat.
Perbuatan Ka Hoo dan Sit Fun menghalang serta mengkasari seorang petugas wanita MBSA, Nurul Ain Isa, 23, menggemparkan masyarakat yang rata-ratanya marah. Maka Awang sokong suara ketegasan Mohamed Apandi. Tiada kompromi.         
Iktibar Ahok

Lebih 200,000 orang Islam mengadakan demonstrasi di Jakarta kelmarin sebagai tanda protes terhadap Gabenornya, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok. Para aktivis Islam melaporkan jumlah peserta jauh lebih besar berbanding laporan media.
Awang menonton rakaman video secara langsung bagaimana ratusan ribu memakai pakaian berwarna putih membanjiri jalan utama di Jakarta, yang seakan-akan pemandangan mengerjakan umrah di Mekah.
Inilah siri bantahan besar-besaran kedua, selepas 4 November lalu, yang mencetuskan keganasan dan kekecohan. Ternyata kemarahan umat Islam di Indonesia terhadap Ahok kerana menghina Islam dan al-Quran tidak reda malah makin membimbangkan.
Awang tertanya-tanya mampukah Ahok bertahan sebagai Gabenor Jakarta di sebalik gelombang tekanan tersebut. Lebih penting adalah sejauh mana kita di Malaysia mengambil pengajaran daripada perkembangan isu Ahok. Dalam kes Ahok, kesilapan besar beliau adalah mencampuri hal ehwal Islam dan melanggar sensitiviti agama. Renungkanlah.
         
ISRAEL, PALESTIN

Dalam apa yang disifatkan sebagai kejutan besar, Israel pertama kali ditimpa bencana kebakaran terburuk, yang menjejaskan negara itu. Lebih 850 hektar kawasan hutan musnah selain ribuan penduduk terutama di bandar Haifa dan Halamish terpaksa berpindah.
Bencana itu tidak kurang menimbulkan pelbagai tafsiran tetapi ada perihal lebih menarik perhatian. Kebakaran sejak 22 November memperlihatkan solidariti masyarakat antarabangsa membantu Israel memadam kebakaran. Sebanyak 24 negara termasuk beberapa negara Islam, antaranya Palestin yang serba daif,  turut menyertai operasi berkenaan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan penghargaan kepada Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mahmoud Abbas atas bantuan tersebut. Awang teruja. Sifat kemanusiaan dan komitmen membantu meringankan penderitaan negara yang ditimpa bencana mengatasi perseteruan.
 Sengketa, air mata, darah dan peluru - dilupakan seketika. Akhirnya kebaikan adalah kemenangan sebenar dan abadi.

GST MESIR

Mesir adalah antara negara terbaharu yang akan melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) iaitu pada kadar 14 peratus bermula tahun depan. Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kewangannya, Emr El Garhy awal minggu ini dalam usaha membangunkan semula ekonomi Mesir.
Antara negara yang sebelum ini mengumumkan akan melaksanakan GST adalah India pada kadar 17 hingga 18 peratus, bermula April tahun depan. Kadar GST yang diperkenalkan oleh Mesir dan India lebih tinggi daripada kadar enam peratus yang digunakan oleh Malaysia. Bahkan kerajaan Malaysia lebih ke hadapan dengan memberikan pengecualian bagi banyak barangan dan perkhidmatan untuk kepentingan golongan berpendapatan rendah.
Awang lihat langkah melaksanakan sistem percukaian yang lebih efisien untuk ekonomi negara itu menuntut keberanian politik. Tidak popular pada awalnya tetapi ternyata menjadi penyelamat kepada ekonomi rakyat dan negara. Ia umpama ubat pahit yang mujarab kemudiannya.                   

FAIZ DAN PUSKAS
Awang ingin menyertai rakyat Malaysia mengucapkan tahniah kepada pemain bola sepak, Mohd. Faiz Subri yang tersenarai dalam tiga calon terakhir merebut Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2016. Ini ekoran jaringan unik dan cantik Faiz ketika beraksi membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 pada  Liga Super pada 16 Februari lalu.
Setakat malam semalam, rakaman video jaringan Faiz telah ditonton lebih 1.3 juta orang. Berita kejayaan itu menceriakan kita semua apatah lagi Faiz mencatatkan sejarah mengetepikan dua bintang dunia iaitu Lionel Messi dan Neymar.
Tuah jaringan itu telah mengangkat nama Faiz dan Malaysia. Penentuan pemenang dijadualkan pada 9 Januari depan di Switzerland. Awang percaya rakyat Malaysia akan terus mengundi Faiz di http://www.fifa.com/the-best-fifa-football-awards/puskas-award/index.html   
Disebabkan ini atas nama negara, undian kita begitu besar nilainya mengatasi kehebatan undian bagi program realiti televisyen. Percayalah peluang Faiz untuk ke kemuncak Anugerah PUSKAS cukup cerah.
Namun sama ada menang atau kalah, dia tetap kebanggaan kita. Ketika prestasi pasukan kebangsaan terus hambar dan mengecewakan, Faiz mengharumkan nama Malaysia di persada bola sepak dunia. Terima kasih.