Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

ANALISIS MINGGUAN - 3 SEPTEMBER 2017

MALAYSIA kini perlu fokus menjadi negara sukan berprestasi tinggi dengan memenangi emas di Sukan Oli
MALAYSIA kini perlu fokus menjadi negara sukan berprestasi tinggi dengan memenangi emas di Sukan Olimpik dan kejohanan dunia.

Tabik Malaysia

Syabas, terbaik, unggul dan gemilang. Itulah yang Awang rumuskan terhadap pencapaian kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA Ke-29 atau dikenali Sukan SEA KL 2017.
Kejayaan muncul juara keseluruhan dengan memungut 145 pingat emas iaitu melepasi sasaran 111 emas, mencatat sejarah pencapaian menakjubkan. Upacara gilang-gemilang bertaraf dunia pada  pembukaan dan penutup,  menjadikan seluruh edisi Sukan SEA KL 2017 terbaik dan terhebat.
Awang melihat pencapaian itu telah memecahkan batas psikologi bahawa Malaysia mampu melonjak lebih cemerlang dalam semua bidang, lebih-lebih lagi sukan. Jarak perbezaan pingat emas antara Malaysia dan negara yang menduduki tempat kedua iaitu Thailand (72 emas) begitu jauh iaitu sekali ganda.Meskipun tuan rumah selalu dilihat mempunyai kelebihan, pencapaian Malaysia hasil persiapan yang lebih rapi, telah memberi impak sehingga dicemburui negara lain.
Tahniah kepada kontinjen negara terutama para atlet yang memperoleh pingat  atas pencapaian terbaik itu. Begitu juga kepada semua pihak daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, para pegawainya, Majlis Olimpik Malaysia (OCM), persatuan-persatuan sukan dan sukarelawan. Ucapan tahniah yang istimewa tentunya juga kepada rakyat Malaysia yang bersatu memberikan sokongan padu.
 Pengisytiharan cuti umum esok oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak adalah tanda penghargaan istimewa,yang menceriakan rakyat. Berhubung dakwaan kelemahan dan kekurangan sepanjang temasya itu sama ada yang berasas mahupun tidak, Awang percaya sebagai tuan rumah, post mortem akan dilakukan bagi penambahbaikan masa depan.
Persoalan lebih besar adalah apa selepas ini? Pencapaian tersebut bukan sahaja untuk dibanggakan. Juga bukan sekadar untuk kita menjadi kuasa sukan Asia Tenggara.
Yang lebih penting adalah untuk membudayakan Malaysia sebagai negara sukan berprestasi tinggi sebagaimana Australia. Sasaran selepas ini seharusnya lebih banyak emas di Sukan Olimpik, Sukan Asia dan kejohanan dunia bagi pelbagai acara sukan.
Negara perlu melahirkan ramai bintang bertaraf dunia seperti Azizul Hasni Awang, Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong. Awang yakin ia boleh dicapai melalui perancangan teliti. Lonjakan mendadak prestasi pasukan ragbi dan bola jaring membuktikan kita ada formula untuk bangkit.
 Dalam pada itu, episod keunggulan Malaysia dalam Sukan SEA Ke 29 memberi isyarat jelas kepada semua bahawa Malaysia bukan negara gagal. Sebaliknya ia satu lagi petunjuk positif  kepada kecemerlangan negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak. Gelombang sukses dan  aura positif menjadikan sambutan Hari Kebangsaan 2017 begitu menyerlah patriotismenya.
 Terima kasih kepada kontinjen Malaysia kerana menghadiahkan kejuaraan Sukan SEA KL 2017 kepada rakyat dan negara. Ia membawa kegembiraan dan kebanggaan berganda, yang sangat bermakna. Ternyata semangat Bangkit Bersama menjadi resipi keunggulan kita, yang Awang tabik, Negaraku Malaysia.

 

Rohingya: Dunia tidur...
Ketika umat Islam di Malaysia dan banyak negara lagi menikmati kehidupan yang aman dan harmoni, tragedi kemanusiaan terus menimpa etnik Rohingya.
Harapan dunia untuk melihat kezaliman ke atas etnik tersebut berakhir selepas  ia reda seketika, tidak kesampaian. Sejak dua bulan lalu, ketegangan tercetus dengan ramai penduduk Rohingya menjadi mangsa keganasan tentera dan puak ekstremis Buddha. Lebih mengejutkan sebanyak 400 pejuang Rohingya terbunuh di barat laut Myanmar untuk tempoh seminggu lalu, yang disifatkan insiden terburuk.
Awang sedih melihat gambar berpuluh-puluh mayat mangsa terapung di pinggir sungai. Pada masa yang sama, lebih 38,000 etnik Rohingya melarikan diri ke sempadan Bangladesh sejak minggu lalu.
Tragedi menjelang umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha itu adalah tamparan kepada masyarakat antarabangsa betapa penghapusan etnik di Myanmar semakin menjadi-jadi.
Ini bukan lagi soal penderitaan umat Islam, lebih daripada itu ia adalah jenayah kemanusiaan terkutuk yang semua agama termasuk Buddha dan tamadun menolaknya.
Di sebalik teguran berulang kali Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan bantahan umat Islam termasuk di Malaysia, kerajaan Myanmar gagal menghentikannya.
Pelbagai alasan terus  diberi dalam mewajarkan kezaliman antaranya dakwaan kononnya memerangi keganasan etnik minoriti itu, sedangkan hakikat sebaliknya.
Awang berharap masyarakat dunia bangkit bersama untuk memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar, yang perlu bertanggungjawab sepenuhnya. Myanmar tidak boleh lagi dibiarkan baling batu sembunyi tangan atau bersandiwara. Sudah sampai masanya langkah yang drastik perlu diambil antaranya menghantar pasukan pengaman antarabangsa di wilayah penduduk Rohingya.
Kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi yang pernah menerima Hadiah Nobel Keamanan, juga perlu diheret ke PBB kerana  dilihat seakan-akan bersubahat. Hadiah Nobel itu sewajarnya ditarik balik atau dicampak di longkang yang hanyir dan busuk.
Awang sangat berharap PBB, ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perhebatkan tekanan. Dunia tidak boleh gagal kali ini walau apa pun kompleksitinya. Jika itu berlaku bermakna  dunia masih terus  tidur,  selain lebih banyak bercakap daripada bertindak.

 

Jenayah di balai
Kejadian seorang anggota polis, Lans Koperal Velentino Mesa, 29,  mati ditembak di dalam Balai Polis Pinggiran USJ, Subang, Khamis lepas mengejutkan orang ramai. Awang simpati dan ucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Seorang suspek  dipercayai kenalan mangsa telah ditahan polis kelmarin. Tidak sabar rasanya untuk menanti detik orang yang bertanggungjawab,  dihadapkan  ke mahkamah. Membunuh anggota polis di balai polis adalah jenayah yang amat serius.
Kebelakangan ini pula sudah ada beberapa kejadian penjenayah berani mencabar polis dengan tindakan mengugut, cuba menyerang balai polis dan terbaharu membunuh polis di dalam balai.
Awang tertanya-tanya apa sudah jadi dengan sistem keselamatan di balai-balai polis terutama balai kecil yang beroperasi di rumah-rumah kedai? Kalau di balai polis sendiri, sudah tidak selamat bagaimana pula tempat lain?
Harap-harap biarlah ia kes terpencil. Namun apa yang berlaku itu menuntut pemikiran semula terhadap prosedur pengawasan di balai-balai polis supaya lebih efisien.
 

Gergasi mana?
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di bawah teraju Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sabin Samitah telah membuka mata banyak pihak dengan pendedahan demi pendedahan.  Terbaharu, LHDN mengenalpasti 15 daripada 70 syarikat gergasi diaudit tipu cukai melibatkan anggaran cukai dan penalti RM1.06 bilion. Wow, banyaknya macam tidak percaya tetapi itu realitinya. Awang cuba bayangkan berapa banyak  wang yang selama ini dilarikan daripada cukai, iaitu dengan menyalahgunakan peruntukan Akta Cukai Perniagaan Labuan 1990 (LBATA)?
Tahniah kepada Sabin dan LHDN kerana lebih efisien dalam menangani gejala penipuan cukai atau mengelak cukai secara agresif. Aktiviti ekonomi gelap ini perlu dibanteras sebelum ia membawa mudarat  lebih besar kepada ekonomi negara. Awang percaya, itu belum menyentuh aktiviti membawa keluar keuntungan termasuk  daripada projek dan kontrak kerajaan ke luar negara yang juga dianggarkan berbilion ringgit.
Cuma Awang teruja ingin tahu syarikat-syarikat gergasi mana yang melakukan penipuan cukai itu?  Elok didedah nama syarikat-syarikat berkenaan sebagai mesej jelas dan tegas kepada semua.Sepandai- pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua.

 

HAJI SAMURI DAN SATE
Samuri Juraimi, 73, yang kembali ke Rahmatullah semalam akan dikenang sebagai usahawan sejati yang meninggalkan impak besar kepada perniagaan sate dan populariti Kajang.Daripada menjual sate kecil-kecilan pada 1992, kini perniagaan Sate Haji Samuri mempunyai  20 cawangan dan dikenali sehingga ke luar negara.
Jenamanya begitu kuat. Ingat sate, ingat sate Haji Samuri. Pelancaran perkhidmatan MRT Sg. Buloh-Kajang menjadikan sate jenama itu begitu signifikan. Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak turut menyebut nama Haji Samuri sementara hadirin dijamu sate tersebut. Awang kagum. Jasa Allahyarham kepada bidang keusahawanan sate dan pembangunan sosio ekonomi Kajang sejak tiga dekad lalu, begitu besar.  
Awang turut bersedih sambil mengucapkan takziah yang mendalam kepada keluarga Allahyarham.
Semoga perniagaan Sate Haji Samuri  yang akan diwarisi anak-anaknya, mampu berjalan dengan baik. Ketiadaan pengasas sesuatu perniagaan itu bukan halangan untuk terus maju jaya.
Lihatlah kini bagaimana kejayaan lebih besar dicapai oleh Jakel, yang anak-anak menjadikan pengasas iaitu arwah bapa mereka sebagai obor inspirasi. Semoga jenama Sate Haji Samuri terus menjadi kebanggaan kita. - Al-fatihah.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain