Pendedahan bekas Penolong Gabenor Bank Negara,  Abdul Murad Khalid baru-baru ini bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) telah kerugian AS$10 bilion dalam skandal spekulasi mata wang asing sepanjang 1991- 1993, iaitu terbesar dalam sejarah dunia, adalah mengejutkan.

Meskipun isu tersebut pernah dilaporkan menerusi media sosial dan dibincangkan dalam satu forum khas sebelum ini, namun ia tidak diambil perhatian besar oleh rakyat negara ini.

Sehinggalah apabila Abdul Murad tampil membangkitkannya Khamis lepas, penerimaan berbeza kerana ia merupakan pembongkaran secara terbuka yang pertama dibuat. Antara intipati pendedahan itu  kerugian sebenar adalah AS$10 bilion, bukan AS$ 9 bilion seperti dilaporkan oleh BNM; tiada penjelasan dan siasatan dilakukan walaupun pernah dipersoalkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Negara; dan menggesa dibuka semula siasatan.

Awang macam tidak percaya kerugian sebanyak itu didiamkan begitu sahaja tanpa sebarang siasatan selama ini.   Jika ditukar  kepada nilai Ringgit sekarang, jumlahnya RM44.27 bilion. Malah bekas Timbalan Gabenor BNM, Dr. Rosli Yaakob pernah dilaporkan mendakwa kerugian skandal tersebut mencecah RM30 bilion pada waktu itu. Tulisan beliau bertajuk Skandal Wang Asing BNM 1992-93: Ziarah Semula, disiarkan dalam Malaysia Chronicle pada Jun 2012 dan dipetik beberapa portal berita. Ketika tempoh kerugian itu, Dr. Mahathir Mohamad adalah Perdana Menteri dan beberapa tokoh yang menyandang jawatan tertentu waktu itu, kini masih hidup.

Mereka sepatutnya tampil memberikan penjelasan dan tidak perlu bersembunyi lagi.  Perdana Menteri, Najib Tun Razak dalam reaksinya menyatakan kerajaan memandang serius pendedahan tersebut.  Dalam pada itu, pelbagai pihak termasuk pakar ekonomi terus menggesa supaya siasatan skandal itu dibuka biarpun telah berlalu lebih 25 tahun, selain menuntut penjelasan Mahathir.

Awang masih ingat beberapa tahun lalu pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang pernah mendesak agar siasatan dijalankan terhadap skandal kerugian RM100 bilion yang ditanggung negara sepanjang 22 tahun era pemerintahan Mahathir termasuk kes BNM. Apakah Kit Siang mahu melakukan Pusingan U setelah berbaik-baik dan menjalin pakatan bersama Mahathir sekarang?  

Apa pun, Awang percaya skandal perdagangan mata wang BNM dengan kerugian luar biasa memerlukan siasatan meliputi aspek kecuaian,  pemalsuan, perakaunan kreatif, memberi maklumat salah malah ke tahap salah guna kuasa dan  pecah amanah. Lagipun kegiatan spekulasi dalam pasaran mata wang adalah bercanggah dengan prinsip Bank Pusat.

Rakyat tidak lagi mahu mendengar penjelasan yang selalu disogokkan  iaitu sekadar paper loss dan persoalannya, siapa yang harus bertanggungjawab? Ini soal integriti dan akauntabiliti. Awang tidak terkejut jika siasatan itu nanti akan membongkar misteri lebih besar.

 

RUKUN NEGARA
Wajarkah Rukun Negara dijadikan sebagai mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan?

Satu kumpulan diketuai Dr. Chandra Muzaffar melancarkan inisiatif tersebut baru-baru ini bagi mengatasi apa yang dianggap sebagai masalah Rukun Negara dipinggirkan dan diketepikan.

Awang berpendapat ia tidak wajar dan tiada keperluan. Tentu ada formula lain bagi memberi nafas baharu dan membudayakan Rukun Negara, bukannya menjadikan ia sebagai mukadimah kepada dokumen tunjang negara.

Menyatukan Rukun Negara dalam Perlembagaan Persekutuan meskipun sebagai mukadimah, boleh membawa implikasi besar kepada soal tafsiran, yang tidak boleh diambil risiko. Ia akan mencacatkan semangat dan kandungan perlembagaan yang sudah pun cukup lengkap dan padu. Untuk apa perlembagaan diikat dengan Rukun Negara.

Biarlah masing-masing berdiri sendiri. Ini bukan seperti bank yang boleh digabungkan begitu sahaja. Ketika Perlembagaan Persekutuan selalu dicabar termasuk cubaan demi cubaan untuk menulisnya semula maka menambah Rukun Negara sebagai mukadimah bukan jalan keluar. Berhati-hatilah.
 

TETAP KIT SIANG
Reaksi terbaharu Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa apa salahnya seseorang bercita- cita menjadi Perdana Menteri mahupun Timbalan Perdana Menteri, menarik perhatian besar. Selepas pengesahan oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Dr. Mahathir Mohamad bahawa DAP mahukan jawatan itu maka benarlah ada perancangan sulit seperti yang didedahkan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Aziz Tunku Ibrahim. Kit Siang bakal dilantik Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan jika Pakatan Harapan menang Pilihanraya Umum Ke-14. Kini tidak sukar membuat rumusan bahawa beliau mengimpikan jawatan itu dengan bantuan Mahathir.

Adalah diharapkan Kit Siang tidak lagi berdolak-dalih dan menyalahkan pula pihak lain termasuk media. Sebaliknya beliau wajar memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan media kerana menafikannya sebelum ini selain mengancam menyaman media.

Tidak hairanlah mengapa sekarang beliau bersungguh-sungguh mahu meyakinkan orang Melayu agar menyokongnya. Sehinggakan secara agresif melaung-laungkan yang beliau bukan anti-Islam dan anti-Melayu. Namun majoriti Melayu cukup faham siapa beliau dan pasti berwaspada muslihatnya. Kit Siang tetap Kit Siang.
 

GONG XI FA CAI
Tidak lengkap ruangan ini sekiranya Awang tidak mengucapkan Gong Xi Fa Cai atau Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tionghua di negara ini.

Syukur, seperti perayaan kaum dan agama yang lain, Tahun Baharu Cina kali ini disambut meriah dan penuh keharmonian. Konsep berkongsi perayaan dalam kalangan penganut agama masing-masing, makin sebati. Inilah kekuatan tradisi di Malaysia di sebalik kompleksiti dan cabaran kepelbagaian kaum.

Malah perayaan kaum minoriti diangkat ke tahap sambutan nasional. Berbeza keadaannya di banyak negara termasuk Myanmar. Kerap berlaku majlis keagamaan orang Islam di negara itu dihalang serta diancam oleh puak ekstrem Buddha. Apatah lagi dengan gerakan penghapusan etnik. Semoga apa yang telah terbina di Malaysia tidak diambil mudah, sebaliknya lebih dihargai dan dipertahankan bersama. Gong Xi Fa Cai.


MESEJ BUAT SAMSENG
Akhirnya apa yang dinantikan rakyat Malaysia - tindakan tegas bagi membela insan lemah - menjadi kenyataan. Empat lelaki yang membelasah seorang pemandu lori di Bukit Antarabangsa, dekat Kuala Lumpur didakwa di mahkamah, kelmarin.

Awang lega kerana polis tidak berkompromi terhadap insiden itu yang membangkitkan kemarahan orang ramai selepas rakaman videonya tular di laman sosial. Keganasan diperlihat mereka tidak boleh dimaafkan begitu sahaja kerana ia pasti menyemarakkan budaya samseng di negara ini.

Semoga pendakwaan ke atas kumpulan lelaki berkenaan memberi pengajaran yang bernilai kepada mereka dan membuka mata semua pihak. Sehebat mana sekalipun pengaruh dan kekuatan rangkaian samseng, ia tidak dapat mengatasi undang-undang dan suara kesatuan rakyat menolak jenayah yang jijik. Mesejnya cukup jelas - ini bukan negara mafia.


KETEGASAN HADI
Awang tabik Presiden Pas, Hadi Awang yang bertegas tidak akan berbaik dengan DAP walaupun dipelawa oleh Lim Kit Siang. Bukan itu sahaja, Hadi secara terbuka menyifatkan Kit Siang anti-Islam, satu lagi tamparan buat pemimpin DAP itu.

Sebelum ini DAP menghina Pas secara keterlaluan. Kini mahu buat pusingan U pula kerana sedar DAP akan gagal pada PRU-14 tanpa bantuan Pas.

Walaupun Kit Siang bertindak balas dengan mahu menyaman Hadi, Awang percaya Hadi tidak gentar. Berani kerana benar.


MAN U, LIVERPOOL
Awang tersenyum apabila menerima kad undangan perkahwinan berkonsepkan tiket perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Lebih menarik ialah 'perlawanan' itu antara kelab ternama Manchester United (Man U) dan Liverpool - yang selalu dilihat sebagai musuh tradisi dalam persaingan EPL sejak dulu lagi.

Rupa-rupanya pengantin perempuan adalah penyokong Man U dan lelaki, penyokong Liverpool. Mereka pegawai awam di Putrajaya. Awang tumpang gembira kerana perkahwinan itu bukan sahaja menyatukan pasangan yang saling bercinta, juga dua pengikut tegar kelab-kelab berkenaan.

Usik-mengusik dan adakalanya tegang mengkritik apalagi ketika perlawanan adalah lumrah. Maka perkahwinan itu dilihat manis daripada kalangan rakan peminat Man U dan Liverpool. Selamat pengantin baharu dan tahniah.