SEBAGAI rakyat Malaysia dan pengamal media, Awang bersyukur kerana perjalanan hari penamaan calon lancar dan aman di seluruh negara, semalam. 

Tahniah kepada parti-parti politik dan penyokong masing-masing yang memperlihatkan kematangan. Seperti komen banyak pihak, situasi penamaan calon pada PRU-14 jauh lebih baik berbanding PRU-13.

Tiada kekecohan walaupun ketika suhu politik tinggi dengan semua parti dan calon bebas memburu 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (tidak termasuk Sarawak yang mengadakan Pilihan Raya Negeri pada 2017).

Awang berharap agar semua pihak dapat menjaga ketenteraman dan keharmonian sepanjang tempoh ‘perang’ kempen yang bermula hari ini. Ia akan menjadi antara faktor yang boleh menarik lebih ramai keluar mengundi pada 9 Mei nanti, dengan sasaran 85 peratus. Maka buktikan PRU-14 adalah pentas kesederhanaan, bukannya ekstremisme.


BEBERAPA kejutan pada penamaan calon termasuk insiden calon dibatalkan dari segi teknikal, membuat Awang terganggu.

Sepatutnya semua perkara itu tidak berlaku jika calon membuat persiapan terbaik daripada memastikan membawa pas akreditasi calon sehinggalah membersihkan diri daripada kes muflis terlebih dahulu.

Maka jangan salahkan pihak lain termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melainkan diri sendiri, yang perlu dijadikan iktibar.

Dalam pada itu, Awang ucapkan tahniah kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan yang menang tanpa bertanding di DUN Rantau. Rezekinya ternyata lebih murah semalam walaupun jika bertanding sekalipun diramal menang mudah atas popularitinya. Tuah badan.


DENGAN selesainya proses penamaan calon, sudah muktamad gabungan parti pembangkang iaitu DAP, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan bertanding atas lambang PKR. Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail telah menandatangani watikah kesemua calon termasuk pemimpin de facto DAP, Lim Kit Siang dan Dr. Mahathir Mohamad. Atas kertas Wan Azizah 
dilihat mengetuai gabungan tersebut namun realitinya Kit Siang adalah paling berkuasa.

Wan Azizah sekadar boneka manakala Mahathir menjadi alat untuk memecahkan Melayu melalui peti undi. Kedudukan DAP memiliki 36 kerusi Parlimen dan 95 kerusi DUN iaitu terbesar dalam kalangan gabungan tersebut sebelum ini menyerlahkan hakikat itu.

Kali ini DAP makin terdesak untuk mencetuskan tsunami Melayu yang parti itu gagal lakukan sejak tiga PRU lepas. Sebab itu DAP sanggup mengorbankan logo roket dan berkongsi logo PKR sebagai strategi menarik sokongan pengundi Melayu dan bumiputera. Jerat demi jerat terus dipasang DAP untuk memerangkap pengundi Melayu.

Anehnya, walaupun para pemimpin DAP kerap menghina Islam dan Melayu tetapi ghairah pula mengemis undi demi kuasa. Namun Awang percaya tahap kesedaran majoriti Melayu yang masih melihat DAP parti paling rasis dan berbahaya, tetap tinggi pada PRU-14. Orang Melayu menginsafi hakikat bahawa undi PKR bermakna undi DAP.

Waspadalah, semboyan sudah berbunyi.


BERDASARKAN pengamatan dan maklum balas pelbagai pihak serta masyarakat akar umbi, Awang setuju dengan Perdana Menteri, Najib Tun Razak bahawa tidak akan berlaku tsunami Melayu. Sebaliknya apa yang berlaku adalah gejala tsunami fitnah yang digerakkan oleh gabungan pembangkang.

Ini semua muslihat dan pendekatan preemtif gabungan itu yang diketuai DAP untuk mengelirukan para pengundi semua kaum bahawa BN akan hilang kuasa.

Awang percaya bukan sahaja tsunami Melayu tidak menjadi kenyataan, malah tsunami fitnah dan kebencian juga akhirnya akan kecundang. Rakyat Malaysia berulang kali dalam pilihan raya telah membuktikan kemampuan memilih dengan bijak.

Tunggulah, masa akan menentukan.

Apa lagi Dr. M?

SEPERTI yang dijangka, Dr. Mahathir Mohamad sanggup melakukan apa sahaja bagi menarik simpati rakyat menjelang PRU-14. Baru-baru ini beliau membuat dakwaan nyawanya terancam kerana ada komplot  membunuhnya. Kelmarin pula, beliau mendakwa pesawat yang bakal dinaikinya untuk ke Langkawi telah disabotaj sehingga tidak boleh terbang. 

Anehnya, walaupun dakwaan itu serius Mahathir enggan membuat aduan kepada pihak berkuasa seperti ada yang tidak kena.  Siasatan awal Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi kenyataan semalam, mendapati tiada sebarang petunjuk kepada perbuatan khianat. 

Awang tertanya-tanya apa sudah jadi dengan negarawan berusia 93 tahun yang tabiatnya makin menghina diri sendiri.  Kerana terdesak untuk menang bertanding di kerusi Parlimen Langkawi, beliau sanggup berbohong bagi menjayakan muslihat politik. Awang melihat ini bukan sekadar drama putar alam tetapi berkaitan dakwaan jenayah yang tidak boleh dibiarkan. Mahathir harus bertanggungjawab dengan dakwaannya supaya berita palsu yang beliau cipta itu tidak memudaratkan. 

Pada Awang, persoalannya apa lagi pembohongan malah perbuatan lebih ekstrem yang akan dilakukan oleh Mahathir selepas ini.   Bersedialah hadapi sebarang kemungkinan dan kejutan.  Apatah lagi beliau takut untuk menerima hakikat akan kegagalan gerakan politiknya untuk menjatuhkan kerajaan BN menerusi penentuan peti undi. 

Satu lagi elemen pembohongan yang ketara adalah gaya hidup mewahnya sekeluarga termasuk amalan  penggunaan pesawat eksekutif.  Maka keghairahannya merayu sumbangan orang ramai bagi dana politik PRU-14 dan menggambarkan dirinya orang biasa dan bukan kaya, adalah perbuatan membodohkan rakyat. 

Walaupun sebelum ini ramai meliputi mufti dan ulama menasihatkan Mahathir bertaubat nampaknya tidak dihiraukan sebaliknya terus hanyut. Inikah sandaran masa depan negara?

Misi Cheng guan

KETUA Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mencatatkan sejarah sebagai calon PRU-14 yang sedang menghadapi kes rasuah di mahkamah. 

Keengganan beliau untuk bercuti apatah lagi meletakkan jawatan atas akauntabiliti, memburukkan imej DAP. Parti itu melangkah ke PRU-14 dengan suara sinikal dan kritikan dalam kalangan pemimpin DAP yang mahukan beliau berundur. Itu belum menyentuh kerajaan DAP pimpinan Guan Eng yang disifatkan gagal kerana pelbagai kepincangan. 

Antaranya projek mega yang terpalit rasuah dan mendapat bantahan ramai, banjir besar dan isu perumahan rakyat. 

Sebab itu Awang teruja apabila Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Huan Cheng Guan akan mencabar Guan Eng di kerusi Parlimen Bagan. Ia bukan soal menang atau kalah pada PRU-14 tetapi soal melawan pemimpin yang didakwa korup, gagal dan angkuh. Keberanian dan keyakinan beliau untuk menyelamatkan Pulau Pinang daripada Guan Eng walaupun berdepan pelbagai rintangan, adalah terpuji. Dari segi moral, sebelum penentuan hari mengundi  9 Mei, Cheng Guan sudah pun menang. Awang tabik. 

Impak Arul

KETUA Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Arul Kanda Kandasamy bukan calon PRU-14 tetapi beliau semakin popular dan berpengaruh. 

Kemampuan Arul memberikan perspektif terbaik berkaitan isu 1MDB termasuk menjawab segala persoalan ketika sesi penerangan di seluruh negara, mendapat pujian ramai. 

Yang gelap menjadi terang dan yang kabur semakin  jelas. Hadirin puas hati dengan penjelasan beliau dan tanyalah apa sahaja soalan, beliau pasti menjawab dengan lancar. 

Paling Awang tertarik apabila Arul membidas para pemimpin pembangkang yang gagal hadir sesi penerangan beliau walaupun dianjurkan di kubu mereka. Nampaknya pemimpin pembangkang termasuk Hannah Yeoh yang banyak mengkritik dan mentohmah 1MDB,  tidak berani berdepan dengan beliau untuk mencari kebenaran. Itulah impak Arul. 

Era Norza

AWANG ucapkan tahniah kepada Mohamad Norza Zakaria yang menang tanpa bertanding sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal 2018-2021, Selasa lalu. 

Kejayaan Norza sudah dijangka memandangkan beliau dilihat calon yang  kredibel oleh persatuan- persatuan sukan di negara ini. 

Beliau menggantikan Tunku Imran Tuanku Ja’afar yang memilih untuk berundur selepas dua dekad menerajui MOM. 

Jawatan Presiden MOM sebelum ini pernah disandang oleh  Mc Donald (1953-1957), Tun HS Lee (1957-1959), Tun Abdul Razak Hussein (1959-1976), Tan Sri Hamzah Abu Samah (1976-1998) dan Tunku Imran Tuanku Ja’afar (1998-2018). Dengan peralihan teraju itu, Awang berharap Norza akan menyuntik pembaharuan dan kejayaan lebih besar buat MOM serta pencapaian sukan negara. 

Ini meliputi hasrat menjadikan Malaysia tuan rumah Sukan Komanwel 2026. Kepada Tunku Imran, terima kasih atas segala komitmen, kerja keras dan jasa beliau selama ini. Kini era Norza pula - memikul cabaran dan membuktikan kemampuan.