Apabila Perdana Menteri, Najib Tun Razak menzahirkan perasaannya mengagumi bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi kerana prinsip kesetiaan dan perjuangan, ia memang tidak dapat disangkal. Awang setuju 100 peratus. Abdullah atau mesra dengan panggilan Pak Lah, seorang pemimpin yang berhemah dan tidak mudah tenggelam dalam emosi.

Seperti juga pemimpin politik lain, beliau tentu ada rasa tidak puas hati dan kekecewaan peribadi. Lebih-lebih lagi pernah ditohmah hebat ketika menyandang jawatan Perdana Menteri.

Namun itu semua diketepikannya kerana mahu melihat ke hadapan biar perit sekalipun hatinya dilukai percaturan politik. Beliau sanggup menyerahkan tampuk kepimpinan UMNO dan kerajaan kepada Najib dengan begitu budiman dan tertib - tiada ego dan kepentingan diri. Kesabaran dan kematangan adalah jenama kuat Pak Lah yang membentuk jati dirinya.

Selepas tiada jawatan beliau tidak menyerang balas Dr. Mahathir Mohamad yang paling lantang dan kuat berusaha menjatuhkannya. Menjaga aib orang lain sentiasa menjadi pegangannya. Pak Lah juga mengelak untuk mengulas dan mengkritik kepimpinan Najib kerana merasakan beliau tidak sewajarnya kelihatan campur tangan.

Awang masih ingat kata-katanya bahawa era kepimpinan beliau sudah berlalu, Najib wajar diberi peluang mentadbir dengan gaya dan acuannya sendiri. Itulah kebijaksanaan dan kekuatan Pak Lah. Beliau memahami hakikat dan tidak mahu dijerat nafsu kuasa politik selepas bersara dan pada sisa usia yang lanjut.

Awang percaya setiap pemimpin bukan sahaja dinilai dengan apa yang dimulakan tetapi juga bagaimana pengakhirannya. Pendirian Pak Lah untuk tidak membawa mudarat kepada parti, kerajaan dan negara adalah cerminan seorang negarawan. Pak Lah memilih untuk berdiam dan hanya sesekali bersuara, itu pun dengan nada yang konstruktif bagaikan seorang bapa dengan penuh kasih sayang.

Pendekatan yang elegan, harmonis dan cukup beradab membuatkan Pak Lah terus mendapat penghormatan daripada rakyat. Awang tabik.

 

PRESIDEN MELAYU KE-2?

Presiden Singapura yang pertama adalah Yusof Ishak yang menyandang jawatan itu dari 1965 hingga 1970. Bagaimanapun selepas lima penggal dan hampir 50 tahun, tiada pemimpin Melayu dipilih menjadi ketua negara itu. Awal tahun ini, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong mula mengambil langkah membuka laluan kepada pemimpin Melayu bagi jawatan itu untuk penggal baharu bermula September ini.

Ia mendapat respons positif daripada majoriti rakyat republik itu terutama orang Melayu. Awang lihat komitmen Hsien Loong itu bagi membuktikan bahawa Singapura benar-benar negara yang mendokong masyarakat majmuk.

Antara nama yang disebut-sebut bakal menjadi Presiden Singapura yang baharu (menggantikan Tony Tan Keng Yam yang tamat tempoh 31 Ogos) adalah Speaker Parlimen, Halimah Yaacob. Jika menjadi kenyataan beliau akan mencatat sejarah Presiden wanita pertama Singapura. Namun ia bukan mudah kerana sudah ada pihak membantah sehingga mempertikaikannya di mahkamah.

Antaranya bekas calon Presiden penggal lepas, Tan Cheng Bock dan terbaru, seorang aktivis M. Ravi dengan alasan pemilihan Presiden harus berasaskan kepada merit. Awang hanya senyum kerana meritokrasi sentiasa dijadikan helah mendiskriminasi Melayu di republik itu.

Semua orang tahu meritokrasi juga terdedah kepada manipulasi. Ramai masih ingat bagaimana parti pemerintah, People's Action Party (PAP) sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan sokongan masyarakat Melayu pada awal pembentukan negara itu. Selain jawatan Presiden, jumlah anggota Kabinet juga signifikan dan banyak elemen lain yang meyakinkan.

Namun apabila masa berlalu Melayu kian lemah dan tersisih daripada koridor kuasa. Maka inilah yang Hsien Loong mahu sedikit sebanyak perbetulkan, yang Awang hargai. Walaupun jawatan Presiden (bukan Perdana Menteri) tidak akan banyak mengubah kedudukan orang Melayu, ia akan memberi isyarat jelas. Betapa masih ada persekitaran yang adil buat orang Melayu sebagaimana suatu ketika dahulu.

 

WASAPADA KEJUTAN

Awang amat bersimpati terhadap mangsa-mangsa serangan Daesh di Manchester, Jakarta dan selatan Filipina. Seperti yang dijangka, perbuatan keji itu nampaknya tidak berhenti malah terus menghantui masyarakat dunia. Yang sangat mengganggu fikiran adalah pembabitan lima militan Malaysia dalam serangan di Filipina. Sebelum ini. puluhan rakyat Malaysia dikesan menyertai Daesh 'berjuang' di Syria dan ada yang menjadi pengebom berani mati.

Di Malaysia, sudah ratusan ditahan dan sebahagian didakwa sama ada terlibat dalam gerakan Daesh mahupun menyokongnya. Syukur kerana pihak berkuasa kita telah dapat menangani ancaman Daesh di tanah air ini dengan baik dan berkesan setakat ini.

Tetapi cabarannya apa lagi yang kita semua tidak tahu dan apa lagi bakal menyusul kerana ancaman Daesh adalah umpama musuh halimunan. Apatah lagi kerap dilaporkan Daesh menunggu masa untuk menjadikan negara ini sebagai sasaran.

Sekali lagi, cabarannya kita tidak tahu bila dan di mana? Maka berwaspadalah dalam erti kata sebenar dengan terus mengambil pendekatan pre-emtif supaya jangan sampai kita pula menerima kejutan besar.

 

TERUSKAN SPRM

Belum pernah dalam sejarah, usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa di negara ini mencapai impak sebagaimana kebelakangan ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah teraju Ketua Pesuruhjaya, Dzulkifli Ahmad telah membuktikan tiada apa yang mustahil.

Kejayaan demi kejayaan SPRM membongkar gejala rasuah termasuk kes-kes berprofail tinggi seperti Jabatan Air Negeri Sabah, membuka mata semua pihak. Pembongkaran rasuah membabitkan agensi-agensi penguat kuasa tidak kurang menggemparkan masyarakat. Antaranya siri penahanan pegawai dan anggota polis di Melaka yang terlibat rasuah kerana melindungi aktiviti judi haram dan pusat urut.

Awang angkat topi kepada Dzulkifli yang tidak gentar meneruskan misi SPRM walaupun makin banyak pihak tidak senang dan merasa panas. Beliau telah memecahkan batas psikologi kononnya penyakit rasuah penguat kuasa sudah tiada harapan untuk diperbetulkan dan di atasi.

Semoga beliau dan SPRM terus diberi kekuatan dan keyakinan di sebalik apa sahaja cabaran serta tekanan yang dihadapi. Inilah masanya rakyat perlu bersatu teguh menyokong SPRM dalam memerangi gejala rasuah yang kian kompleks dan serius.

Janganlah pihak seperti SPRM yang mahu membersihkan gejala rasuah menjadi sasaran, sementara pelaku rasuah dan kartel mahu dilindungi. Dzulkifli dan SPRM telah melonjakkan keyakinan dan harapan rakyat maka usah hentikan momentum itu di tengah jalan.

 

NEGERI GAGAL

Apa yang selalu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng gembar-gemburkan tidak sama dengan realiti. Satu demi satu petunjuk memperlihatkan pentadbiran beliau terus gagal. Dari kekalutan projek mega, masalah banjir, kurangnya perumahan rakyat, KDNK antara terendah dan pelbagai lagi – Pulau Pinang menjadi cerita duka.

Terbaru, tindakan Guan Eng membentangkan rang undang-undang bagi membenarkan pinjaman dari China Exim Bank dipertikaikan okeh beberapa wakil rakyat DAP dan PKR. Rang undang- undang itu kemudian diluluskan. Namun ia jelas memperlihatkan kebimbangan mereka kerana Guan Eng mendedahkan negeri itu kepada hutang lebih besar.

Nampaknya Guan Eng tidak mengambil pengajaran daripada Greece, Filipina dan Indonesia yang menderita disebabkan bebanan hutang luar yang dibuat kerajaan mereka. Itu belum menyentuh isu integriti yang makin serius termasuk pendakwaan kes rasuah ke atas Guan Eng di mahkamah (tetapi enggan bercuti atau meletakkan jawatan.)

Ternyata imej pentadbiran DAP yang gagal itu makin tebal dan inikah yang mahu dibanggakan Guan Eng?

 

NASIB PPBM

Tindakan lebih 1,000 ahli termasuk 50 pemimpin keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Perak, merupakan tamparan besar kepada parti itu. Aliran keluar parti sama ada di Perak, Negeri Sembilan dan Kedah serta banyak daerah lain menjadi-jadi bagaikan gelombang.

Ketika kepimpinan Parti Pribumi termasuk Dr. Mahathir Mohamad bercakap berdegar-degar dalam pelbagai isu, ahli-ahlinya sendiri hilang keyakinan kepada parti. Parti-parti sekutu dalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP hanya melihat Parti Pribumi parti picisan yang amat rendah nilai.

Program-program Parti Pribumi juga gagal mendapat sambutan orang ramai termasuk di padang Kelab Sultan Sulaiman baru-baru ini, yang dilihat memalukan.

Jika beginilah keadaannya tiada siapa daripada Parti Pribumi berpeluang jadi Perdana Menteri. Dengan lebih ramai dijangka keluar parti dan penolakan rakyat terhadap program Parti Pribumi, tidak sukar meramalkan nasib parti itu - berkubur lebih awal sebelum waktunya.

 

#JANGANLEBIHLEBIH

Awang tidak mahu melepaskan kesempatan mengucapkan Selamat menyambut Ramadan kepada seluruh umat Islam. Insya-Allah, sebagaimana saban tahun, umat Islam Malaysia menjalani ibadah puasa dalam suasana kemakmuran dan kestabilan. Awang berharap Ramadan disambut dengan sederhana terutama persiapan berbuka puasa dan sahur agar tidak membazir.

Kempen #janganlebihlebih oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan tepat pada masanya. Awang masih ingat dapatan kajian iaitu sebanyak 270,000 tan makanan terbuang pada Ramadan tahun lalu.

Sepatutnya umat Islam lebih berjimat dan tidak membazir pada bulan yang mulia ini. Ramadan bukan pesta makanan dan juadah. Juga bukan sekadar kosmetik, sebaliknya pengisian. Harapan lebih besar Awang adalah untuk melihat para pemimpin Islam negara ini bersatu atau setidak-tidaknya mengurangkan persengketaan demi perpaduan ummah.

Walaupun apa pun cabaran dan kompleksiti, komitmen ke arah perpaduan itu harus kental. Ketika kaum lain makin bersatu, umat Islam di negara ini terus terpecah oleh politik yang keterlaluan - menyedihkan. Semoga Ramadan kali ini lebih bermakna.