Kenyataan Timbalan Presiden Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) Mukhriz  Mahathir bahawa  beliau berasa malu kononnya dengan imej buruk Malaysia sehingga terpaksa mengaku rakyat Brunei menarik perhatian.
Sebagai pemimpin beliau seharusnya mempunyai jati diri yang tinggi dan matang. Walau apa pun tafsiran ke atas negara kita oleh sebahagian rakyat asing (akibat gerakan sabotaj pembangkang) kita seharusnya berbangga menjadi rakyat Malaysia.
Awang masih ingat sewaktu krisis antara bapanya, Dr. Mahathir Mohamad (ketika menjadi Perdana Menteri) dan Anwar Ibrahim, banyak pihak di luar melihat Malaysia negara yang diterajui diktator dan kejam. Bahkan kalau ke Indonesia, Singapura dan Filipina, kerajaan Malaysia menjadi bahan persenda, apatah lagi media dan diplomat Barat terutama Amerika Syarikat (AS).
Namun rakyat Malaysia tidak melompat atau malu sehingga perlu mengaku sebagai warganegara lain.Di AS sendiri, Donald Trump asyik diperlekehkan dan disifatkan presiden paling teruk dalam sejarah AS namun pemimpin termasuk parti pesaing di negara itu tidak pula menyatakan berasa malu menjadi rakyat AS.
 Nasihat Awang kepada Mukhriz, janganlah disebabkan politik keterlaluan beliau memalukan diri dan partinya sendiri. Hakikatnya sikap beliau itulah memalukan rakyat Malaysia yang mendokong patriotisme. Sekali lagi Awang mahu tanya mana jati diri anda sebagai rakyat Malaysia?

 

Kenapa cemas
Sekali lagi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melenting pada sidang akhbar kerana marah dengan pelbagai pendedahan mengenai projek terowong dasar laut.
Awang sekadar senyum. Nampaknya beliau makin panas dengan perkembangan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Penahanan melibatkan dua Datuk dan seorang Datuk Seri telah dibuat dan puluhan individu telah dipanggil memberi keterangan.
Difahamkan terdapat bukti-bukti baharu tentang berlakunya rasuah dan penyelewengan. Ini termasuk beberapa tokoh yang telah menerima wang yang keseluruhannya berjumlah jutaan ringgit.
Projek tersebut yang bernilai RM6 bilion mencetuskan pelbagai kontroversi terutama kos yang keterlaluan dan tidak masuk akal. Sebab itu Awang tidak hairan mengapa Guan Eng tidak keruan dan asyik mencari salah pihak lain termasuk media kerana beliau mahu menutup banyak kepincangan.  
Lihatlah bahasa badan beliau yang boleh dibaca memberikan isyarat bercelaru dan tertekan. Untuk apa cemas dan melenting kalau tidak melakukan apa-apa salah laku? Maka apabila beliau berulang kali memperlekehkan media yang didakwa tidak tahu malu kerana dikatakan tidak beretika dan tiada nilai moral, ungkapan itu sebenarnya memperlihatkan dirinya sendiri.
Beliaulah pusat kepada permasalahan, kemelut dan kontroversi. Integritinya juga telah rosak teruk selepas didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah sebelum ini dan sekarang berdepan dengan risiko tembelang lain pecah melalui pembongkaran  SPRM. Bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru.

 

Lawatan luar negara dan skandal?
Negeri Selangor paling banyak memerlukan perhatian pemimpin kerajaan negeri memandangkan terlalu banyak masalah rakyat.
Aduan dan isu rakyat bertimbun-timbun berdasarkan apa yang diluahkan para penduduk termasuk menerusi laman sosial. Rata-rata rakyat Selangor mengharapkan perhatian dan tindakan Menteri Besar, Mohamad Azmin Ali.
Beliau sepatutnya lebih banyak turun padang apatah lagi pada awal tahun dan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang semakin hampir. Anehnya Azmin lebih memilih untuk mengadakan lawatan ke luar negara  berbanding  memberi tumpuan kepada urusan dalam negeri dan menyelesaikan segera masalah rakyat.
Awang terganggu apabila mendapat tahu beliau menyertai lawatan misi pelancongan ke Madrid, Sepanyol dari 13 Januari hingga 22 Januari. Ini diikuti lawatan misi pelaburan ke Jepun dari 24 hingga 27 Januari.
Apakah lawatannya walaupun atas nama misi pelancongan dan pelaburan begitu penting yang mesti dilakukan sekarang sedangkan rakyat seharusnya lebih diutamakan. Azmin boleh mewakilkan kepada exco kanan  untuk kedua-dua lawatan itu jika beliau mahu. Prioriti perlu betul.                       
Awang tertanya-tanya apakah ia ada kaitan dengan isu-isu peribadi  Azmin sehingga beliau memilih untuk berada di luar negara.
Isu dakwaan skandal beliau bersama beberapa wanita sebagaimana terdedah melalui laman sosial sememangnya kini panas. Adiknya sendiri iaitu  Azwan Ali membuat laporan polis mahu hal itu disiasat. Pada Awang, Azmin  berhak tampil mempertahankan diri bagi membersihkan namanya demi menjaga imej kerajaan negeri PKR tetapi beliau memilih untuk berdiam.
Jika isu-isu peribadi ini membelenggu Azmin sehingga mahu mencari kewajaran menyertai lawatan ke luar negara yang tiada signifikan besar, ia sesuatu menyedihkan.
Nampaknya rakyat menjadi korban pengurusan yang bercelaru hasil daripada percaturan Langkah Kajang yang mempermainkan demokrasi membolehkan Azmin menjadi Menteri Besar.
Apa makna slogan peduli rakyat yang beliau jaja menerusi papan-papan iklan di seluruh Selangor tetapi hakikatnya tidak prihatin dan tidak  mendahulukan rakyat. Dengan kata lain, pemimpin  tidak seharusnya kelihatan lari daripada masalah sebaliknya berani berdepan dengan apa jua situasi walaupun rumit.
Memandangkan Azmin ghairah untuk mengadakan lawatan ke luar negara, Awang harap beliau bukan sahaja dapat melonjakkan pelaburan yang luar biasa bahkan dapat memberi ketenteraman jiwa kepadanya, jika itu yang dicari.
 

Kastam dan misteri
Kejadian empat buah kereta milik keluarga seorang pegawai Kastam Bahagian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) Jabatan Kastam Diraja (KDM) dibakar di Putrajaya, baru-baru ini perlukan perhatian luar biasa. Siasatan awal polis tidak menolak ia berpunca daripada perbuatan khianat.
Pegawai tersebut, Nor Azman Jini sebelum itu pernah diugut. Perbuatan mengugut pegawai Kastam bukan baharu yang  Awang percaya sudah ramai mengalaminya. Malah ada yang maut dirempuh tonto sebagaimana menimpa pegawainya Anisah Ali di Kelantan tahun lalu.
Secara purata sebanyak 100 ugutan diterima oleh pegawai Kastam di seluruh negara. Awang berharap langkah drastik dapat diambil bagi menangani isu ancaman termasuk oleh kartel  yang dihadapi petugas Kastam supaya jenayah ke atas mereka tidak berulang dan menjadi gejala tidak terkawal.  
Dalam pada  itu, Awang tertanya-tanya status siasatan ke atas Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Allahyarham Shaharuddin Ibrahim yang ditembak mati oleh dua lelaki bermotosikal ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya pada 26 April 2013. Kejadian menggemparkan itu dipercayai ada kaitan dengan jenayah kartel yang cuba melindungi kepentingan perniagaan gelap mereka melalui gejala rasuah.
Sehingga hari ini kes tersebut belum dapat diselesaikan dan pembunuh Shaharuddin masih bebas. Awang ingin tahu apakah fail siasatan kes berkenaan telah ditutup kerana pihak polis  tidak lagi memaklumkan perkembangan siasatan.
Semoga misteri pembunuhan Shaharuddin akhirnya terungkai agar dapat memberi mesej jelas kepada semua. Kuasa bukan di tangan penjenayah kartel.

 

Status CEC DAP?
Selepas pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 12 November lepas, beberapa pihak mendakwa ia tidak sah kerana gagal  mematuhi peraturan Pendaftar Pertubuhan. Ini meliputi aduan daripada 16 perwakilan dan ahli DAP yang mahukan pemilihan semula diadakan.
Bermakna, ia berkemungkinan mengulangi apa yang berlaku pada dua CEC iaitu pada 15 Disember 2012 dan 29 September 2013 yang didapati tidak sah dan terbatal oleh ROS. Kali ini antara bantahan kertas undi yang tidak diletakkan nombor siri dan nama calon;  tidak mempamerkan  senarai nama calon di media; dan proses pengiraan undi yang dibuat secara tertutup tanpa sebarang pemerhati dan wakil.
Memandangkan isu tersebut menyentuh soal peraturan yang tertakluk di bawah ROS maka Awang ingin tahu apa status CEC. ROS perlu tampil membuat ketentuan dalam hal ini. Jika hitam, hitamlah dan jika putih, putihlah.
Yang penting adalah keputusan tentang status CEC tersebut. Lebih-lebih lagi ia akan menentukan sama ada Setiausaha Agung DAP boleh menandatangani watikah calon yang bertanding pada PRU-14 untuk diperakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Demi keadilan semua pihak, Awang harap ROS tidak ambil masa yang lama.

 

Iktibar dan waspada

Sejarah berulang lagi cuma kali ini wataknya berbeza. Suatu ketika dahulu, Dr. Mahathir Mohamad mengutuk sekeras-kerasnya Anwar Ibrahim kerana mengundang campur tangan asing.
Kini Dr. Mahathir pula mencabuli prinsip, mengikut jejak Anwar. (Sama keadannya apabila bersekongkol dengan DAP setelah berpuluh tahun disifatkan musuh Islam dan Melayu). Beliau mengetuai pemimpin Pakatan Harapan menemui 16 duta negara Kesatuan Eropah. Ia antara lain mahu meyakinkan bahawa Pakatan Harapan bukan 'Pakatan Wayang' sedangkan itulah realitinya.
Selepas Dr. Mahathir dicalonkan sebagai Perdana Menteri (jika Pakatan Harapan menang PRU-14), beliau menerima tamparan hebat dengan reaksi negatif majoriti rakyat Malaysia. Beliau disifatkan Perdana Menteri kitar semula paling tua di dunia yang mempunyai rekod kediktatoran. Awang lihat jenama Pakatan Harapan makin terjejas teruk selepas diketuai Dr. Mahathir, yang antara punca utama wujudnya kempen #undirosak oleh orang muda menjelang PRU-14. Persoalannya mengapa Dr. Mahathir tidak meletakkan keyakinan penuh kepada rakyat Malaysia untuk membuat perhitungan pada PRU-14 nanti dan mengapa mahu bersandar kepada kuasa asing?
Di negara-negara lain, gerakan  politik yang mengheret campur tangan asing  dilihat ancaman kepada kedaulatan negara dan ditolak oleh rakyat. Ia bermakna membuka pintu kepada menjayakan agenda asing yang bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal.
Apakah kita mahu membenarkannya dalam budaya politik khianat yang memudaratkan negara? Banyak tamadun runtuh angkara pengkhianatan termasuk yang menimpa Bani Abbasiyah, juga kejatuhan Melaka angkara si kitul. Sudah cukup iktibar buat kita semua, jadi waspadalah dengan percaturan mana-mana si kitul moden.