Memandangkan Sukan SEA 2017 bakal menutup tirai Rabu ini, Awang ingin mengucapkan tahniah kepada para atlet Malaysia yang memenangi pingat terutamanya emas.
Setakat malam ini, kontinjen negara memperoleh 83 emas dan 188 pingat keseluruhannya. Ucapan sembah tahniah yang istimewa juga kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan pasukannya atas kejayaan merangkul dua pingat emas dan satu perak dalam acara kuda lasak (endurance).
Baginda telah mencatat sejarah tersendiri dan buat negara yang menjadi kebanggaan kita semua. Turut menggembirakan rakyat Malaysia adalah kejayaan Khairul Hafiz Jantan, 19, menang pingat emas acara 100 meter lelaki.
Acara tumpuan itu telah menobatkan Khairul Hafiz sebagai manusia terpantas di Asia Tenggara. Lonjakan prestasi beberapa pasukan seperti ragbi dan bola jaring yang selama ini lemah sehingga memperoleh pingat emas, benar-benar menepati slogan Bangkit Bersama. Yang tidak juga bangkit-bangkit adalah pasukan sepak takraw, yang pengurusannya perlu dirombak habis-habisan selain perlunya campur tangan kerajaan.
Dengan tinggal empat hari lagi bermula hari ini, semoga kontinjen Malaysia muncul juara serta dapat mencapai sasaran 111 emas, yang pada Awang boleh dicapai. Sekali lagi bangkitlah bersama untuk mencapai impian itu agar menjadi hadiah istimewa buat sambutan Hari Kebangsaan 2017 pada 31 Ogos ini. Ayuh Malaysia ...

 

Bendera dan iktibar
Kedudukan bendera Indonesia terbalik dalam buku cenderamata Sukan SEA 2017 seharusnya menjadi iktibar yang sangat bernilai buat kita semua. Kesilapan itu tidak sepatutnya berlaku kerana menyentuh sensitiviti dan maruah negara lain.
Kerajaan Malaysia terpaksa memohon maaf secara rasmi dan isu itu kemudian ditangani dengan baik oleh kedua-dua kerajaan. Namun kesilapan tersebut telah mencetuskan ketegangan sehingga beberapa siri demonstrasi beraku di pekarangan Kedutaan Malaysia di Jakarta.
Awang tidak terkejut dengan reaksi keterlaluan kumpulan demonstrasi itu kerana ia perkara biasa di Jakarta. Apatah lagi jika melibatkan isu dengan Malaysia, ia mudah panas walaupun hal yang kecil. Sepatutnya isu itu tidak di perbesarkan-besarkan selepas Malaysia meminta maaf sebagaimana nasihat Presiden Indonesia, Jokowi.
Awang sangat terganggu apabila bendera Malaysia dibakar dan dihina pada demonstrasi itu (seperti selalunya). Di sebalik itu, rakyat Malaysia tetap bertenang dan tidak terikut-ikut sentimen liar. Lagipun perbuatan kelompok peserta demonstrasi tidak mencerminkan sikap majoriti rakyat Indonesia yang rasional. Sebenarnya kesilapan bendera pernah berlaku pada temasya Sukan SEA 2011 di Palembang sebagaimana dilaporkan sendiri oleh media Indonesia.
Kesilapan melibatkan bendera lima negara termasuk Malaysia dikibarkan terbalik tetapi isu itu tidak di perbesar-besarkan atas semangat ASEAN dan sukan.Kesilapan tanpa disengajakan boleh berlaku kepada sesiapa maka sentiasa bersikap positif dan budiman dalam menyelesaikan masalah. Akhirnya nanti yang penting adalah semangat kesukanan, persahabatan dan kematangan. Itulah kemenangan sejati.

 

RCI lepas PRU-14?
Bekas Timbalan Perdana Menteri dalam reaksinya tidak membantah cadangan pelbagai pihak agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tragedi Memali.
Bagaimanapun Musa yang juga Menteri Dalam Negeri ketika tragedi itu berlaku pada 1985 menyarankan adalah lebih wajar sekiranya prosiding RCI itu diadakan selepas PRU-14. Antara lain hujah Musa adalah bagi mengelakkan peristiwa itu disalahgunakan untuk kepentingan politik dan memancing undi, juga tanpa prejudis dan pilih kasih.
Isunya pada Musa adalah kesesuaian masa, yang Awang berbeza pandangan dengan beliau. Pertama, premisnya mana-mana pihak tidak perlu ada pemikiran bahawa RCI itu dikaitkan dengan PRU-14. Kedua, desakan pelbagai pihak terutamanya waris keluarga dan Pas agar ia ditubuhkan segera bagi menuntut keadilan.
Beberapa tokoh dan individu yang dikaitkan dengan tragedi tersebut masih hidup untuk disoal dan didengar penjelasan lengkap mereka, jadi untuk apa ditunggu lagi. Menangguh-nangguhkan RCI di sebalik tuntutan mahu ia disegerakan, akan dilihat menafikan keadilan itu sendiri. Apatah lagi ia mempunyai nilai kepentingan awam yang tinggi.
Ketiga, rakyat tahu menilai pada situasi mana sekalipun RCI itu diadakan. Sama juga keadaannya dengan RCI urusniaga mata wang asing Bank Negara Malaysia pada awal 1990-an, yang telah memulakan prosiding awal minggu ini. Pada Awang, jika RCI itu yang panas diperkatakan kerana melibatkan kerugian luar biasa, mahu menunggu selepas PRU-14, ia boleh ditafsirkan isu itu kurang penting dan tidak mendesak.
Awang percaya semua pihak cukup keyakinan untuk mencari kebenaran tanpa perlu menangguh-nangguhkannya. Sebanyak 14 orang maut dan ramai lagi cedera dalam tragedi Memali, bukan hal kecil. Lebih cepat misterinya dirungkai, itulah yang terbaik.

 

SELAMAT BERSARA
Seperti yang Awang tulis dalam ruangan ini dua bulan lalu tentang Ketua Polis Negara (KPN), Khalid Abu Bakar akan bersara, kini sah khidmat beliau akan berakhir 5 September ini. Maka segala spekulasi termasuk kemungkinan khidmat beliau akan dilanjutkan setidak-tidaknya setahun lagi, sudah terjawab. Jawatan KPN akan dipangku oleh timbalannya, Noor Rashid Ibrahim sementara menanti rombakan yang bakal diumumkan.
Awang mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa Khalid sepanjang 40 tahun perkhidmatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM). Sudah tentu jawatan KPN yang disandang pada Mei 2013 adalah paling mencabar dalam karier kepolisannya.
Kepemimpinan beliau dalam menangani pelbagai ancaman antaranya Daesh, siri-siri perhimpunan haram termasuk Bersih, pergolakan politik sehingga begitu banyak laporan polis dibuat, ancaman siber dan kejayaan menyelesaikan banyak kes jenayah berat, adalah terpuji. Kes siasatan pesawat MH17 jatuh ditembak misil dan kehilangan misteri MH370 serta pembunuhan adik pemimpin Korea Utara, yang kesemuanya menggemparkan, adalah antara cabaran beliau sebagai KPN.
Khalid juga akan dikenang sebagai penjawat awam yang setia dan tidak mengkhianati ketuanya, yang turut menyumbang kepada gagalnya konspirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri di luar proses demokrasi pada 2015.
Namun seperti juga peneraju organisasi lain, Khalid juga terdedah kepada kontroversi dan tanggapan negatif tertentu, yang beliau pastinya sedari. Kini persoalan siapakah yang akan menggantikan beliau, sama ada Noor Rashid atau pegawai kanan lain, yang dua nama disebut-sebut.
Sekiranya Noor Rashid menjadi pilihan, ia juga bukan masalah kerana imej integritinya yang dipandang tinggi. Menjadi harapan banyak pihak agar rombakan pengurusan tertinggi PDRM ini akan memberi kesempatan terbaik bagi memulihkan integriti PDRM ekoran beberapa pendedahan sebelum ini. Kepada Khalid, selamat bersara. Jasamu pastinya dikenang.

 

INILAH MASANYA
Kejayaan skuad bola sepak negara menewaskan Indonesia 1-0 dalam perlawanan semi final acara bola sepak lelaki Sukan SEA 2017 adalah begitu manis buat rakyat Malaysia.
Syabas kepada barisan pemain dan jurulatih kita kerana layak melangkah ke final menentang Thailand bagi penentuan pingat emas. Dalam mana-mana temasya seperti Sukan SEA 2017, menjuarai acara bola sepak adalah idaman setiap negara, lebih-lebih lagi tuan rumah. Ia ibarat ibu kepada segala pingat emas.
Maka menjadi harapan besar selepas ini Malaysia menutup tirai temasya sukan itu bukan sahaja sebagai juara keseluruhan malah merangkul pingat emas bola sepak. Lebih daripada itu, Sukan SEA 2017 adalah satu lagi medan menguji kemampuan Malaysia memulakan kebangkitan dalam arena bola sepak antarabangsa. Inilah masanya.

 

Malaysiakini kebal?
Di sebalik banyak bantahan dan amaran demi amaran oleh pihak berkuasa, portal berita pro DAP, Malaysiakini terus memainkan sentimen berbahaya. Portal itu secara selektif menyiarkan banyak komentar pembaca yang liar termasuk mencabar keputusan mahkamah.
Taktik Malaysiakini menggunakan notis bahawa portal itu tidak bertanggungjawab atas sebarang komen jelek pembacanya, mesti dihentikan. Itu hanyalah alasan lapuk untuk lepas tangan daripada memikul tanggungjawab penuh. Awang percaya jika saluran online Utusan dan akhbar arus perdana lain membiarkan banyak komen pembaca yang liar dan bersifat tohmahan, tentu DAP antara yang meroyan membuat bantahan dengan melemparkan pelbagai tuduhan.
Adalah jelas Malaysiakini menikmati kelebihan malah ramai yang melihat portal itu kebal kerana masih tidak diambil tindakan. Awang tidak mahu komen lanjut, cukup sekadar ucapkan tahniah kerana Malaysiakini boleh menjinakkan pihak berkuasa kita.

 

Sultan, KJ dan polo

Awang lega apabila Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail di Johor Bahru, kelmarin.
Khairy mengambil langkah yang tepat. Kesibukan temasya sukan itu tidak menghalang Khairy untuk serius mencari penyelesaian segera. Ini ekoran komen Sultan Johor berhubung pasukan polo Malaysia di Sukan SEA 2017 dalam laman sosial, sehari sebelum itu.
Baginda telah memberikan kenyataan keras terhadap kelayakan pasukan polo itu yang turut dianggotai oleh Khairy. Kenyataan yang hampir sama nadanya pernah disuarakan oleh TMJ sebelum itu.
Walaupun teguran Sultan Johor banyak mengundang komen dan pelbagai tafsiran, Khairy hanya berdiam dan ramai yang bersimpati. Ternyata beliau terpaksa menangani episod yang mengujinya - bukan sahaja dalam penganjuran Sukan SEA KL 2017; aksi di padang polo; kontroversi kesilapan bendera Indonesia pada buku cenderamata malah kritikan secara terbuka dari Istana Johor.
Awang percaya baginda telah dapat menyampaikan secara bersemuka pandangan terhadap skuad polo negara, yang Khairy pasti mengambilkira. Semoga pertemuan itu membuka lembaran baharu yang positif sambil menutup episod lepas, yang kita semua sangat tidak selesa.
Awang berharap keadaan akan lebih baik demi kepentingan sukan negara. Kemelut berpanjangan akan mendedahkan raja kepada kritikan dan perdebatan tidak sihat yang memudaratkan institusi raja itu sendiri. Tiada siapa yang untung kecuali pihak yang mahu menangguk di air keruh.