Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad telah mengangkat sumpah dan memulakan tugas baru-baru ini.
Sebagai rakyat Malaysia dan pengamal media, Awang berpendapat berilah peluang kepada Kabinet baharu ini melaksanakan tanggungjawab mereka.
Biarlah rakyat menilai terutama prestasi dalam tempoh 100 hari dan mampukah kerajaan Pakatan Harapan menunaikan segala janji dalam erti kata sebenar.
Menjadi  kerajaaan terutama pada era ledakan teknologi maklumat termasuk  media sosial, bukanlah semudah menjadi pembangkang yang bermodalkan sentimen.
Cabaran besar Kabinet Dr. Mahathir adalah mengurus persepsi dan menangani sentimen anti- kerajaan di merata pelosok dunia.
Dua minggu kebelakangan ini pun menyaksikan begitu banyak komen negatif rakyat menerusi media sosial terhadap kerajaan. Sepatutnya atas kertas kerajaan yang baru menang PRU-14  akan lebih popular di media sosial tetapi tidak begitu keadaannya. Banyak isu yang berlegar antaranya pelanggaran kedaulatan undang-undang (rule of law), tindakan-tindakan yang dilihat lebih didorong  dendam, mempolitikkan siasatan ke atas bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak dan fakta-fakta mengelirukan rakyat. Apa yang dijanjikan dan hujah yang digunakn sebelum ini sudah bertukar nada seperti isu Proton, harga minyak, GST, tol dan PTPTN.
Inilah yang disifatkan ramai sebagai kecelaruan yang diharap tidak membawa banyak kerosakan. Itu belum menyentuh tindakan memberhentikan ribuan pekerja serta-merta yang mengundang kemarahan ramai.
Dalam kes siasatan ke atas Najib, semua pihak harus membiarkan proses siasatan berjalan tanpa tindak-tanduk yang menimbulkan prejudis terhadap siasatan. Itulah juga nasihat Pengerusi Jawatankuasa Siasatan 1MDB, Abu Talib Othman dan Dr. Tan Seng Giaw.
Awang percaya itulah yang terbaik supaya rakyat tidak melihat ada pihak yang menjadi mangsa buli kerajaan dan pihak berkuasa sedangkan Pakatan Harapan menjanjikan keadilan. Inilah masanya untuk memenangi hati rakyat dan bukan sebaliknya.
Antara langkah awal Dr. Mahathir yang disambut positif adalah gaji menteri  Kabinet  dikurangkan 10 peratus, kaji semula elaun tinggi melampau pegawai tinggi awam dan lantikan politik dalam syarikat milik kerajaan.
Kini tugas Dr. Mahathir berat dan berharap kerajaan pimpinannya dapat menangani semua isu serta cabaran. Tempoh bulan madu tidak lama (untuk melihat prestasi dan melaksanakan segala janji), rakyat menghitung hari menanti janji.

 

Bertautlah
Bilakah gelora politik Barisan Nasional (BN) di Perlis akan berakhir dan apakah kesudahannya nanti?
Memandangkan kemelutnya telah berlarutan selama dua minggu dan digemparkan dengan insiden memboikot pelantikan Menteri Besar, Azlan Man, sewajarnya ia berakhir segera.
Awang berharap semua pihak khususnya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Shahidan Kassim  dan mereka yang memboikot, dapat mengambil langkah memulihkan keadaan. Walau apa pun tafsiran dan kompleksiti isu tersebut, Shahidan dan kumpulannya harus  menghormati Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin. Secara peribadi Awang berpendapat adalah tidak wajar memboikot upacara angkat sumpah yang mengundang kemurkaan Raja Perlis.
Hentikanlah drama politik dan inilah masa untuk berkhidmat kepada rakyat atas mandat yang diberikan. Shahidan harus berjiwa besar termasuk menerima hakikat calonnya yang juga adik beliau, Ismail Kassim tidak diperkenankan oleh Tuanku Syed Sirajuddin. Jangan sampai kejayaan BN di Perlis pada ketika kalah di pusat dan banyak negeri, mengundang rasa meluat rakyat. Kemenangan yang sedikit bukan untuk berpecah dan sepatutnya lebih teguh solidariti.
Akurlah keputusan yang telah dibuat oleh Raja   Perlis dan pelantikan ADUN Bintong, Azlan adalah sah dari segi perundangan. Sempena Ramadan ini, bertautlah dan lihat ke hadapan, buang yang keruh ambil yang jernih.

Bertindaklah
ProvOkasi dan penghinaan ke atas Yang di-Pertuan Agong serta  Raja-Raja Melayu melalui media sosial makin menjadi-jadi dalam pasca PRU-14.
Awang tertanya-tanya apakah gejala ini akan berterusan dan bertambah buruk selepas ini?
Adalah menghairankan terdapat netizen yang sewenang-wenang memaki hamun Raja-Raja Melayu tetapi tindakan kelihatan  lambat diambil. Kegagalan untuk bertindak segera akan memberi isyarat yang salah kepada rakyat Malaysia. Kebimbangan Awang apakah ini semua akan membawa petanda buruk kepada terhakisnya institusi Raja-Raja Melayu. Menjadi harapan agar kerajaan baharu dapat membuktikan komitmen tinggi bagi mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu.Pencerobohan besar bermula dengan pencerobohan kecil, yang ancaman itu sudah nyata.
 

Dua penggal
Pengumuman Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mahu kerajaan negeri itu mengehadkan jawatan Ketua Menteri  kepada dua penggal, adalah langkah yang wajar.
Ekoran itu, kerajaan negeri Melaka turut bersedia mengambil langkah yang sama seperti dinyatakan Ketua Menteri, Adly Zahari.
Awang berharap kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang lain akan mengikut jejak tersebut bagi menyuntik pembaharuan. Dua penggal atau 10 tahun adalah tempoh memadai bagi Ketua Menteri, Menteri Besar mahupun Perdana Menteri. Inilah antara yang diharapkan oleh rakyat, yang sebenarnya bukan sukar untuk dilaksanakan.

 

BR1M baharu
Awang lega kerajaan akan tetap meneruskan program Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) walaupun ia akan dinamakan semula sebagaimana diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Para penerima BR1M akan menerima bantuan itu seperti yang dijadualkan sebelum ini iaitu menjelang Hari Raya Aidilfitri. Langkah tersebut memperlihatkan BR1M adalah program bantuan yang terus kepada golongan sasaran selain menjadi pemangkin ekonomi domestik. Dengan kata lain ia bukanlah dedak seperti yang dilaung-laungkan pemimpin Pakatan Harapan sebelum ini. Juga bukanlah sesuatu yang tidak bermaruah kepada rakyat. Yang baik tetap baik.

 

Bola dan Ramadan
Bekas pemain kebangsaan, Mohamad Radhi Mohd. Din menyarankan agar Liga Bolasepak Malaysia (MFL) merehatkan aktiviti perlawanannya pada bulan Ramadan.
Hujah beliau, ia bagi menjaga sensitiviti sempena Ramadan selain bagi membolehkan umat Islam menumpukan perhatian kepada ibadah.
Awang setuju dengan Radhi dan percaya tiada masalah bagi MFL untuk mengkaji semula jadual perlawanan tahunan. Sepatutnya umat  Islam berada di masjid atau rumah untuk urusan ibadah seperti solat tarawih, bukannya beraksi atau bersorak di stadium.
Hakikatnya rata-rata penonton adalah beragama Islam, begitu juga kebanyakan pemain. Walaupun tentunya MFL tidak sempat untuk membuat perubahan sekarang tetapi peluang terbentang luas untuk menjadikannya kenyataan pada musim depan.

Mesej Frederic
Duta Perancic Frederic Laplanche mengucapkan tahniah kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan dan Anwar Ibrahim yang dibebaskan daripada penjara, baru-baru ini.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia kerana PRU-14 yang berjalan lancar dan harmoni.
Yang lebih menarik perhatian Awang adalah ucapan Frederic menerusi rakaman video yang disampaikan dalam bahasa Malaysia. Ketika pelbagai pihak tidak lagi mendaulatkan Bahasa Kebangsaan yang kini seakan-akan menjadi bahasa kedua di negara ini, beliau menunjukkan rasa hormat kepada bahasa kita yang tinggi nilainya. Awang tabik.

Terima kasih
Laporan terkini firma pengauditan antarabangsa, Audit Bureau of Circulations (ABC) menyaksikan akhbar terbitan Kumpulan Utusan terus unggul dalam segmen Bahasa Malaysia. (Rujuk berita muka surat 5)
Walaupun akhbar seluruh negara mengalami kemerosotan jualan, ia tidak menghalang Mingguan Malaysia mendahului pasaran dan mencatatkan jualan tertinggi. Utusan Malaysia pula kekal mengatasi pesaingnya sepanjang tahun lalu, e-paper Utusan Malaysia  mencatatkan pencapaian akhbar digital paling popular sementara Kosmo muncul akhbar bahasa Malaysia nombor satu paling laris.
Awang bersyukur. Di sebalik banyak dugaan dan kekangan termasuk langkah kawalan kos dan promosi yang terhad, ia tidak menghalang produk Kumpulan Utusan untuk memperlihatkan meritnya.
Ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para pembaca serta para penyokong produk Kumpulan Utusan, yang peranan mereka besar maknanya kepada kami.
Meskipun berdepan dengan landskap politik baharu dengan cabaran lebih besar, Kumpulan Utusan akan terus melangkah ke hadapan. Prinsip Awang mudah, hadapi semua itu dengan senyuman dan keyakinan. Biarpun dihina, disabotaj, disalah ertikan dan dijadikan  sasaran oleh sesiapa dan pihak mana sekalipun, Utusan tidak akan rebah. Insya-Allah.