KHAIRY JAMALUDDIN
KHAIRY JAMALUDDIN

Selama ini beliau dilihat pemimpin Singapura yang berhati-hati dan tidak gemar mengeluarkan kenyataan provokatif sebagaimana mendiang bapanya, Lee Kuan Yew. 

Pendekatannya itu menjadikan hubungan Malaysia - Singapura jauh lebih baik berbanding dua Perdana Menteri terdahulu republik itu.

Namun tuduhan Hsien Loong kononnya niat sebenar tuntutan Malaysia adalah kerana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak lama lagi, bagai mengocak air yang tenang. 

Harap-harap komen Hsien Loong itu yang dilihat memperlekehkan Malaysia dan tidak bertanggungjawab, sebagai kes terpencil serta tidak berulang lagi masa depan.

Awang percaya beliau dan kerajaan Singapura mendapat mesej yang jelas daripada reaksi Ketua Pergerakan Pemuda, Khairy Jamaluddin. 

Khairy dalam nada keras dan dengan hujah kuat menyanggah Hsien Loong antaranya permohonan semakan semula Malaysia dibuat pada 2 Februari 2017 selepas menemui fakta baharu dengan asas kukuh.
 
Awang tidak fikir ada mana-mana negara di dunia yang mahu meremehkan dan melewat-lewatkan soal kedaulatan.

Maka tiada kaitan sama sekali permohonan semakan itu dengan PRU-14. Sebaliknya kenyataan Hsien Loong yang dibuat semasa Konvensyen Parti PAP, adalah lebih jelas bermotif politik untuk meraih sokongan, dengan menjadikan Malaysia sasarannya. Sudah terang lagi bersuluh. 

Semoga Hsien Loong mengambil usaha untuk memperbaiki keadaan agar hubungan diplomatik kedua-dua negara tidak terjejas. Bukankah cara yang terpuji adalah dengan tidak suka mengambil  kesempatan kepada jiran yang baik?


Siapa patut undur?

TUNKU ISMAIL
TUNKU ISMAIL

PenegasaN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang tidak akan tunduk dengan desakan supaya berundur, menarik perhatian ramai. Sebaliknya, Tunku Ismail meminta semua pihak memberikannya masa tiga tahun lagi dan jika tiada perubahan, baginda sedia meninggalkan jawatan peneraju FAM.

Sentimen mahu Tunku Ismail berundur semakin kuat kedengaran ekoran ranking pasukan bola sepak negara, Harimau Malaya terus menjunam ke tangga ke-174 – terburuk dalam sejarah. 

Namun Awang berpendapat permintaan Tunku Ismail ada asasnya. Memandangkan baginda masih baharu menyandang jawatan Presiden FAM, adalah wajar diberi peluang untuk tempoh tiga tahun lagi sebagai penentuan sebenar. Sememangnya jiwa rakyat Malaysia terutama peminat bola sepak terus dirobek-robek dengan kegagalan berpanjangan yang memalukan. Namun kita harus realistik.

Meletakkan beban kesalahan kepada Tunku Ismail semata-mata adalah tidak adil apatah lagi dalam tempoh yang masih pendek sebagai Presiden FAM iaitu dipilih Mac 2017. Kes baginda sudah tentu tidak sama dengan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Ahmad Ismail yang telah menyandang jawatan itu sejak 2002.

Prestasi pasukan sepak takraw Malaysia di arena antarabangsa bukan sahaja merudum malah nazak dengan pelbagai masalah dan kelemahan. Tempoh 15 tahun yang gelap itu sudah terlalu lama buat Ahmad untuk membunuh harapan dan masa depan sepak takraw negara. Jadi Ahmad yang patut berundur, untuk apa ditunggu lagi? 


Puncak bertindak
Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Menteri Besar, Azmin Ali menerima tamparan besar apabila disaman oleh Puncak Niaga Holdings Berhad sebanyak RM14 bilion, baru-baru ini. 

Puncak Niaga mengemukakan tuntutan saman tertinggi dalam sejarah itu berhubung pengambilalihan industri air negeri itu, yang melibatkan kepentingan 11 juta pengguna. Turut disaman bekas Menteri Besar, Khalid Ibrahim. Awang sekadar senyum kambing. Inilah akibat jika kerajaan negeri PKR mengambil mudah soal pengurusan air sehingga kemelut berlarutan dan kemuncaknya ke mahkamah. 

Puncak Niaga mendakwa Azmin dan Khalid telah menyalahgunakan kuasa dalam isu penstrukturan semula air di negeri itu. Awang angkat topi kepada pengasas dan Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga, Rozali Ismail. Beliau bukan sahaja berani bangkit bagi membetulkan kepincangan kerajaan negeri malah melawan keangkuhan Azmin. 


PPBM berserabut
Apalah nak jadi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Bukan sahaja makin ramai ahlinya meninggalkan parti dan beberapa bahagian dibubar, ia juga tidak ditadbir dengan baik. 

Macam-macam hal melanda parti itu. Antaranya gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan, isu status sayap pemudanya, Armada yang melanggar perlembagaan, perpecahan dalaman yang serius dan pengurusan kewangan parti tidak telus seperti pendedahan terbaru. 

Yang Awang tidak faham, PPBM ditunjangi bekas Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang begitu berpengalaman namun parti itu berserabut.

Kalau gagal mengurus perkara asas, bagaimana PPBM mahu dijadikan parti pilihan. Awang lihat ia satu lagi petanda buruk buat masa depan parti itu. Ia ibarat kapal yang bakal tenggelam di pelabuhan, sebelum pun berlayar menempuh gelora lautan.


Bahasa Parlimen
Awang tertanya-tanya mengapa sebahagian Ahli Parlimen kita masih gagal menggunakan Bahasa Kebangsaan dengan kemas ketika berbahas di Dewan Rakyat. Sepatutnya Dewan Rakyat menjadi forum penting bagi  semua Ahli Parlimen bertutur dalam Bahasa Kebangsaan gred tinggi. 

Dengan kata lain, penyampaiannya harus menggunakan bahasa yang kemas, lancar dan sebutan yang tepat. 

Itulah seharusnya menjadi tanda aras, yang rakyat Malaysia terutama orang muda boleh jadikan contoh. Untuk apa  menjadi Ahli Parlimen Malaysia jika tidak bersungguh- sungguh mahu mendaulatkan bahasa perantaraan utama negara? 

Ada yang seperti tidak mahu belajar meningkatkan penguasaan bahasa walaupun telah bertahun- tahun menjadi Ahli Parlimen. Jika dibuat perbandingan, rasanya  ramai buruh asing dari Bangladesh dan Nepal lebih fasih. Tidak malukah?


Iktibar Mesir
Selepas Presiden Mesir, Hosni Mubarak digulingkan pada 2011 melalui gerakan Arab Spring, situasi negara itu tidak pernah bertambah baik sebaliknya makin buruk. 

Awang sedih kerana saban hari bumi Mesir  menyaksikan begitu banyak pertumpahan darah,  bagaikan berundur ke zaman silam. Terbaru, lebih 300 orang  terkorban dalam serangan ke atas sebuah masjid di Sinai, Mesir, kelmarin. 

Semua ini tidak berlaku ketika rejim pemerintahan Hosni bahkan negara itu stabil dan aman.  Namun percaturan kuasa besar membawa tercetusnya Arab Spring iaitu rakyat dihasut bangkit di jalanan bagi menggulingkan kerajaan di luar proses demokrasi. 

Mesejnya,  menggulingkan kerajaan bukan penyelesaian terbaik sebaliknya boleh membawa musibah besar kepada sesebuah negara. Lihatlah bagaimana Iraq terus sengsara hingga hari ini. Awang berharap ia menjadi iktibar yang sangat bernilai buat kita di Malaysia. 

Syukur, tanah air ini terus aman dan harmoni tetapi usah diambil mudah. Sebenarnya Malaysia juga rapuh yang antaranya boleh dilihat dengan bibit-bibit perpecahan sesama umat Islam, peranan pemimpin si kitul moden dan hasutan puak kaduk naik junjung. Waspadalah.


Penyakit kita?
Ada beberapa hal di Malaysia kebelakangan ini yang sangat mengganggu fikiran Awang. Antaranya gejala pemandu kenderaan terutama penunggang motosikal yang suka melanggar lampu isyarat merah. Sedekad yang lalu, penunggang motosikal kita rata-rata dipuji kerana berdisiplin tetapi kini rekod itu sudah merudum.

Berdasarkan maklum balas ramai ekspatriat dan pelancong, masyarakat penunggang motosikal di Indonesia sudah memintas Malaysia. Untuk bandingkan dengan Singapura, lagilah kita jauh ketinggalan. 

Isunya adalah penguatkuasaan yang lemah.Pendedahan Utusan Malaysia sejak dua bulan lepas mengenai gejala melanggar lampu isyarat merah, membuktikan betapa ia menjadi penyakit yang serius. 

Awang sedih kerana adab di jalan raya sudah luntur dalam kalangan kita. Mahu menjadi negara maju tetapi nilai berundur ke belakang.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------- 

Sudah menjadi perbualan rakyat Malaysia, apabila berlaku nahas jalan raya, sama ada kecil atau besar, yang akan sampai terlebih awal adalah penarik kereta atau ejen bengkel. 

Biasanya mereka akan tiba dahulu berbanding polis trafik. Disebabkan ia sudah menjadi pemandangan biasa, peranan penarik kereta ini untuk dibawa ke bengkel, seakan-akan ada 'autoriti' ketika nahas. 

Awang seperti juga kebanyakan pengguna jalan raya rimas dengan kehadiran mereka, yang sebahagiannya suka memberi tekanan. Sudahlah terbabit nahas, masalah gangguan penarik kereta dan ejen bengkel ini lebih menyakitkan. Sampai bila begini?
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------             

Satu lagi penyakit di negara ini adalah kualiti penyelenggaraan jalan raya yang merosot terutama di Lembah Klang. Awang hairan. Apa sudah jadi dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) sehingga banyak permukaan jalan tidak rata, berlubang dan compang-camping yang lebih sesuai digunakan oleh kenderaan pacuan empat roda. 

Walaupun rakyat Malaysia sudah lama berteriak terhadap masalah kualiti jalan raya yang di bawah selian PBT, ia seperti mencurah air di daun keladi. Kerja-kerja mengorek dan menurap semula oleh syarikat utiliti yang sambil lewa dan tidak dipantau PBT, menjadi antara punca. 

Sampaikan ada pihak yang mengaitkannya dengan gejala rasuah dan salah guna kuasa sebagai faktor masalah itu tidak dapat diatasi. Awang tidak pasti sejauh mana kebenarannya tetapi tidak mengejutkan jika ia terbongkar.