Syukur. Ketegasan pihak berkuasa telah menggagalkan penganjuran pesta arak  (Better Feel Festival 2017)  di Shah Alam dan pesta gay  (White Party BKK Warm Up) di Kuala Lumpur.
Tahniah kepada semua pihak khususnya Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM),  Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas larangan tersebut.
Biarpun menerima tekanan daripada kedua-dua penganjur pesta tersebut dengan campur tangan parti politik seperti DAP, pihak berkuasa tidak berganjak. Penghargaan juga buat semua yang bersatu menentang kedua-dua pesta itu daripada rakyat hinggalah badan-badan bukan kerajaan, mufti dan pemimpin.
Ia adalah satu lagi mesej jelas buat semua pihak agar lebih menjaga sensitiviti agama dan nilai-nilai murni di negara ini.
Sebelum ini Awang pernah menulis betapa provokasi seumpama itu adalah cubaan untuk menguji sejuh mana reaksi pihak berkuasa dan masyarakat.
 Jika didiamkan begitu sahaja, ia akan memberi isyarat bahawa pesta arak dan pesta gay bukan sahaja boleh diterima malah boleh diraikan secara besar-besaran di negara  ini yang majoritinya penduduk Islam. Inilah apa yang dikatakan pencerobohan besar bermula dengan pencerobohan kecil. Sebenarnya kita hanya boleh lega buat seketika kerana cabarannya, apa lagi selepas ini.
  Awang percaya di sebalik kegagalan kedua-dua pesta berkenaan, akan ada banyak lagi cubaan dengan magnitud lebih besar dan agresif untuk mengangkat budaya meminum arak dan budaya gay. Obor agenda golongan itu tidak akan malap apatah lagi padam. Berwaspadalah.

 

MANA AGENDA NASIONAL?
Ketika ramai orang muda mengeluh sukar  mencari pekerjaan, masih ramai majikan mengutamakan pekerja asing. Walaupun ada pihak yang cuba menafikannya, itulah realiti. Ada sahaja alasan untuk mewajarkan pengambilan pekerja asing walaupun bukan kategori 3D (kotor, sukar dan berbahaya).
Tinjaulah sendiri di gedung-gedung membeli belah dan pelbagai jenis restoran. Untuk jawatan juruwang pasar raya misalnya, semakin ramai warga asing yang mengisinya. Begitu juga jawatan pelayan restoran dan kafe eksklusif. Apakah orang muda tempatan tidak boleh melakukan kerja-kerja seperti itu? Awang percaya peluang untuk mereka terbatas angkara manipulasi majikan yang mahu margin keuntungan lebih besar.
Malah bagi jawatan pengawal keselamatan di kondominium dan kawasan perumahan berkawal, rakyat kita boleh melakukannya. Jika diberi latihan yang cukup, motivasi dan imbuhan yang berpatutan, orang tempatan boleh menjadi sumber tenaga kerja yang kompeten. Persoalannya cukupkah  ikhtiar, iltizam dan keberkesanan kita untuk benar-benar mendahulukan rakyat tempatan?
Jawapannya, pada Awang, tidak. Kementerian Sumber Manusia seperti tenggelam punca. Negara pula terus mengimport ramai pekerja kurang mahir dengan aliran wang keluar berbilion ringgit -  melonjak peningkatannya.
Apa yang perlu adalah campur tangan kerajaan untuk melihat semua ini daripada aspek lebihan pengambilan pekerja asing hinggalah kepada manipulasi majikan. Minta maaf cakap, ramai majikan tidak punya agenda nasional, yang langkah pembetulan drastik perlu dilakukan segera. Demi rakyat dan negara.                        

 

'PENYAKIT' DI MALAYSIA
Saban hari sejak bertahun-tahun yang lalu, wanita ini (dalam gambar)  berlegar-legar di sekitar  Cheras terutama Bandar Permaisuri, Kuala Lumpur menjalankan aktiviti meminta sedekah.
Berbekalkan bungkusan kecil tisu, dia akan menghampiri para pelanggan restoran-restoran pada pagi, petang dan malam.
Awang hairan mengapa pihak berkuasa seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak mengambil tindakan jika benar wanita ini merempat hingga mengemis.
Sebenarnya gejala meminta sedekah semakin berleluasa di seluruh negara disebabkan kelemahan penguatkuasaan. Paling ketara warga cacat penglihatan diiringi orang celik, yang sudah menjadi pemandangan biasa.
Itu belum menyentuh aktiviti mengemis warga asing yang menjadi satu lagi 'penyakit' di Malaysia.
Ia sedikit sebanyak memberi kesan negatif kepada imej negara pada kaca mata masyarakat, ekspatriat mahupun pelancong asing. Awang sudah tidak larat geleng kepala sambil tertanya-tanya apa sudah jadi dengan penguatkuasaan kita dan sampai bila begini keadaannya?

 

BIBI DAN KAFA
Pemilihan ahli perniagaan wanita, Bibi Ramjani Illias Khan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan ( KAFA)  menarik perhatian ramai.
Kejayaannya menyandang jawatan itu selepas menewaskan calon lelaki pada kongres KAFA Ke-61 menceriakan dunia pengurusan bola sepak tanah air yang dikuasai kaum Adam.
Awang ucapkan tahniah kepada Bibi kerana mencatatkan sejarah menjadi wanita pertama menerajui persatuan bola sepak negeri di negara ini.
Beliau menggalas cabaran besar untuk mengeluarkan KAFA daripada kemelut terutama beban hutang dan mengembalikan kecemerlangan bola sepak Kelantan.
Awang tertarik dengan kesanggupan Bibi  menceburi bidang tersebut dan mengharungi cabaran serta kompleksiti dunia bola sepak.
Selamat maju jaya.

 

BANJIR P. PINANG?
Isu banjir buruk yang melanda Pulau Pinang terus mencetuskan persoalan besar terhadap kerajaan DAP Pulau Pinang pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Terlalu banyak komen mengkritik dan membidas dalam laman sosial, yang Awang cuma mahu berkongsi satu sahaja untuk renungan bersama.
Mana wang berpuluh-puluh bilion jual aset negeri? Hanya guna RM11 juta setiap tahun untuk usaha mencegah banjir tapi bayar beratus-ratus juta bikin laporan?
Buat projek2 mega RM6 bilion bikin terowong yang kini tak berhasil dan RM46 bilion untuk Penang Transport Masterplan?
Mana pergi wang berpuluh-puluh bilion jual asset negeri?

 

SIAPA YANG HAIWAN?

Selepas Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak membangkitkan isu kekejaman  ke atas etnik Rohingya kepada Presiden Amerika Syarikat  (AS) Donald Trump, Malaysia terus bersuara lantang di arena antarabangsa.
Khamis lalu, Timbalan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi kenyataan keras pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan  di Manila bahawa Rohingya bukan haiwan.
Pada mesyuarat tersebut Malaysia mengecam pendirian Myanmar mempertahankan tindakan ketenteraan terhadap umat Islam Rohingya selain menghalang bantuan antarabangsa.
Semalam di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Menteri Luar, Anifah Aman mendesak masyarakat dunia menangani isu tersebut dengan lebih berkesan dan adil bagi mengelakkan lahirnya lebih ramai ekstremis dan militan. Dengan kata lain, Malaysia menggunakan semua saluran diplomatik yang ada bagi menghentikan penghapusan etnik Rohingya yang dilakukan oleh tentera dan puak ektremis Buddha di Myanmar.
Awang tabik  para pemimpin negara kita kerana komited dan tidak putus asa mahu mencari penyelesaian isu tersebut atas nama kemanusiaan. Walaupun sebagai negara kecil, peranan Malaysia begitu besar dan sangat signifikan kepada keamanan serantau dan global.
 Kelmarin Tribunal Antarabangsa Mengenai Rohingya memutuskan Myanmar didapati bersalah melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Kachin, Rohingya serta masyarakat Islam negara itu.
Ia membuktikan lagi betapa Malaysia berada di landasan betul dalam memperjuangkan isu tersebut sejak akhir tahun lalu lagi. Meskipun setakat ini, tiada perubahan sikap kerajaan Myanmar yang terus bersandiwara, Awang percaya lambat laun akan ada sinarnya.
Memandangkan perhatian yang lebih besar daripada masyarakat dunia serta tekanan  dijangka semakin tinggi, kerajaan Myanmar akhirnya akan mengalah. Keyakinan adalah senjata utama dalam perjuangan diplomatik sebagaimana terkuburnya dasar Aparteid oleh rejim kulit putih Afrika Selatan.
Dalam isu Rohingya, pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, pemerintah tentera dan sesiapa terbabit melakukan genosid perlu diheret ke muka pengadilan antarabangsa dan mesti dihukum. Mereka tidak boleh lepas tangan atas kekejaman yang dasyat. Sebenarnya bukan Rohingya yang haiwan tetapi merekalah yang lebih haiwan daripada haiwan.