Sebagai rakyat Malaysia, Awang ikuti penuh minat perkembangan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat skandal kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) dalam aktiviti spekulasi mata wang pada awal 1990-an.

Khamis lepas, pasukan itu yang dipengerusikan Mohd. Sidek Hassan telah memanggil bekas Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim bagi memberikan keterangan membantu siasatan.

Pada 15 Februari lalu, Kabinet bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas ekoran desakan banyak pihak bagi menyiasat kerugian perdagangan mata wang yang dianggap terbesar dalam sejarah dunia tetapi ditutup begitu sahaja. Hasil siasatannya nanti akan menentukan sama ada perlu diwujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Pada 26 Januari lalu, bekas Penolong Gabenor BNM, Abdul Murad Khalid mendakwa kerugian sebenar adalah sebanyak AS$10 bilion (RM44 bilion) iaitu dari tahun 1991 hingga 1993, jauh lebih besar daripada laporan BNM.

Ketika itu, Dr. Mahathir Mohamad adalah Perdana Menteri, dan beliau dijangka dipanggil oleh pasukan tersebut. Paling Awang nantikan ialah penampilan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang pernah membawa usul di Dewan Rakyat pada 1993 dan 1994 agar siasatan dijalankan selain menerbitkan buku khas mengenai skandal BNM itu.

Kalau sebelum ini beliau berdegar-degar bercakap isu itu tetapi kini seperti menikus. Semuanya berubah selepas DAP menjalin hubungan politik dengan Dr. Mahathir, yang selama ini dimusuhinya. Namun Kit Siang akan menjadi 'saksi' penting siasatan itu.

Beliau tidak boleh lari walaupun prinsipnya mencari kebenaran bertukar songsang dan tercela.

Latif dan LGE

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (Exco), Abd. Latif Bandi meletakkan jawatan sehari selepas didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah membabitkan penyelewengan hartanah berjumlah RM30.3 juta.

Tindakan Latif berundur amat wajar kerana itulah yang sepatutnya dilakukan atas nama akauntabiliti dan integriti. Kini Awang menunggu bila pula Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (LGE ) yang turut didakwa di mahkamah atas kes rasuah pada 30 Jun 2016 mahu mengikut jejak Latif.

Sehingga hari ini, Guan Eng tetap enggan berundur walaupun mendapat desakan pelbagai pihak termasuk pemimpin tertentu DAP.

Guan Eng bernasib baik kerana bapanya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang (yang juga pemimpin de facto DAP dan dilihat diktator berkuasa selama 51 tahun) melindungi kedudukannya.

Awang hanya senyum kerana Dinasti Lim lebih didahulukan daripada kepentingan parti.

Norza-Al Amin

Kemelut pemilihan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akhirnya selesai dengan permuafakatan antara kedua-dua calonnya.

Pemangku Presiden BAM, Mohamed Al Amin dan Timbalan Presiden, Norza Zakaria kini tidak perlu bertanding. Norza diberi laluan oleh Al Amin untuk menjadi Presiden BAM yang baharu.

Awang ucapkan tahniah kepada Norza yang kini menerajui BAM, menepati gentlemen's agreement melibatkan pengurusan tertinggi sebelum ini.

Juga kepada Al Amin atas permuafakatan. Ia membuktikan bahawa tiada kemelut yang tidak boleh diselesaikan jika ada kemahuan tinggi.

 Inilah yang patut dicontohi oleh persatuan sukan lain agar tidak membuang masa kepada kontroversi, percakaran dan politik sukan secara keterlaluan.

Kepada Norza, beban dan anggungjawab sebagai Presiden BAM sudah tergalas di bahunya. Misi terdekat beliau dan pengurusan BAM nanti adalah menang sebanyak mungkin pingat emas acara badminton pada Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini. Awang yakin Norza mampu memberi impak. Selamat maju jaya.

Misteri Adam

Awang macam tidak percaya dengan pelbagai helah Ketua Angkatan Muda PKR Ampang, Adam Rosly ketika disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kekayaan luar biasa.

Pinjam wang ah long, pinjam ibu mentua dan pinjam wang nenek ratusan ribu ringgit antara alasan meragukan terhadap sumber kekayaannya. Mengapa harus berbohong?

Dikatakan dari kehidupan di setinggan, Adam bertukar hartawan apabila menjadi pembantu kanan kepada pemimpin PKR Selangor. Kini rumah banglonya disita oleh SPRM.

Maka apabila dia didakwa di mahkamah kelmarin, Awang teruja mahu mengetahui apa kesudahannya. Lebih menjadi persoalan, siapa di belakang Adam dan apakah wang itu daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa. Semoga misteri terbongkar.

Dasar ketat

Langkah Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani perintah eksekutif terbaharu mengetatkan dasar pengambilan pekerja berkemahiran tinggi, menarik perhatian.

Ternyata beliau serius dalam melaksanakan janjinya untuk mengutamakan rakyat AS sambil membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Pada minggu ini juga di Australia, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Malcolm Turnbull melaksanakan pembaharuan dalam dasar migrasi, yang dilihat lebih menyukarkan rakyat asing bekerja di negara itu.

Antara syarat baharu yang diperkenalkan pemohon perlu melepasi ujian kemahiran bahasa Inggeris peringkat tinggi selain menonjolkan jati diri sebagai warga Australia. Begitu juga perubahan banyak negara lain termasuk Singapura sejak beberapa tahun lalu.

Awang berpendapat, memandangkan lambakan pekerja asing di Malaysia dan permohonan yang melonjak untuk menjadi warga negara, kerajaan wajar melaksanakan dasar lebih ketat.

Sama ada di AS, Australia mahupun Malaysia, sentimen dan tuntutan tetap sama - utamakan rakyat tempatan. Juga pupuk jati diri.

Intimnya Zairil-Sofea

Foto intim yang didakwa pemimpin Melayu DAP, Zairil Khir (suami orang) bersama aktivis parti itu, Dyana Sofea kini tular di laman sosial.

Reaksi kedua-duanya berbeza. Zairil nafikan bahawa lelaki dalam gambar itu adalah beliau tetapi ramai tidak yakin dengan penafian itu. Dyana pula tidak menafikannya. Seperti taktik biasa, mereka menyalahkan UMNO. Awang sudah bosan dengar alasan karut itu.

Tidak guna berdolak dalih kerana rakyat tahu menilai. Janganlah berselindung atas hujah ia hak privasi mereka, ini juga soal akhlak dan akauntabiliti pemimpin. Di Barat sekalipun, pemimpin yang berbuat seperti itu akan dicela umum.

Memandangkan bukti foto itu begitu kuat dan perlakuan sumbang di khalayak awam adalah amat serius, Zairil dan Dyana wajar tampil pada sidang akhbar menjawab semua soalan wartawan. Jika Zairil dan Dyana berbohong, mereka perlu memohon maaf kepada semua.

Malah bagi membersihkan nama mereka, lebih elok bersumpah al-Quran di masjid. Berani kerana benar...sanggupkah mereka?

Siapa lagi keluar?

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terus menerima tamparan hebat dengan seorang lagi pemimpinnya mengumumkan keluar parti. Kali ini melibatkan salah seorang pengasas Parti Pribumi, Kamarulazman Habibur Rahman.

Selepas ini siapa pula keluar? Lama kelamaan hanya beberapa kerat pemimpin sahaja yang tinggal. Awang tertarik apabila Kamarulazman menyatakan antara sebab beliau keluar parti kerana tidak mahu terbabit mensabotaj negara dan memfitnah kerajaan.

 Kebelakangan ini, pemimpin Pakatan Harapan mengundang campurtangan asing, memfitnah dan memburuk-burukkan negara termasuk bagi menyekat kemasukan pelaburan besar.

Langkah Kamarulazman itu adalah bijak dan matang dengan tidak membenarkan matlamat menghalalkan cara. Patriotisme mengatasi politik hodoh. Beliau ada prinsip yang tidak mahu memudaratkan negara dan rakyat. Awang tabik.