DZULKIFLI AHMAD
DZULKIFLI AHMAD

Rakyat telah memberikan respons yang sangat positif kepada langkah agresif beliau dan SPRM. Ia dilihat memberi harapan baharu dalam memerangi gejala rasuah, yang secara tidak langsung melonjakkan  imej negara dan kerajaan. Disebabkan pendekatan yang agresif, Dzulkifli berdepan tindak balas yang luar biasa terutama oleh sindiket-sindiket judi kaya-raya dan berpengaruh yang mempunyai cengkaman ke atas tokoh-tokoh penjawat awam, pegawai kanan penguat kuasa malah pemimpin politik. 

Rahsia rasuah ramai tokoh di tangan beliau. Gejala bisnes gelap seperti judi,  pusat hiburan dan maksiat melibatkan pulangan puluhan bilion ringgit setahun. Itulah kuasa dan kekuatan. Sebahagian kekayaan itu disalurkan untuk dana politik parti tertentu, yang digunakan untuk menjatuhkan kerajaan. 

Sejarah di banyak negara menyaksikan pertarungan melawan rasuah  begitu kompleks dan amat rumit. Malah kerap terjadi kartel dan sindiket penjenayah termasuk judi, menang ke atas agensi integriti seperti SPRM. 

Akhirnya pihak yang membongkar rasuah menjadi mangsa dalam percaturan dan konspirasi yang begitu licik. Jika situasi itu berlaku dalam isu Dzulkifli, ia akan memberi isyarat yang salah kepada seluruh rakyat Malaysia.

Memandangkan SPRM di bawah era Dzulkifli dilihat menjadi ancaman besar kepada semua pihak yang terlibat dengan industri  gelap ini, seperti dijangka dari awal, beliau menjadi sasaran utama.

Kini Dzulkifli menghadapi serangan peribadi, yang Awang harap tidak menggugat momentum kejayaan SPRM. Jika tidak, perasuah dan penjenayah akan bersorak keriangan sementara ia menjadi tragedi buat rakyat dan negara.

Dr. M, bugis, Iktibar

MAHATHIR MOHAMAD
MAHATHIR MOHAMAD

Penghinaan Dr. Mahathir Mohamad terhadap keturunan Bugis sebagai lanun mencetuskan gelombang bantahan di Malaysia malah di Indonesia. Naib Presiden Indonesia,  Jusuf Kalla turut melahirkan rasa tersinggung ketika memberikan reaksi dalam mempertahankan maruah keturunan Bugis. 

Disebabkan sentiasa ghairah menyerang Perdana Menteri, Najib Tun Razak, pasti ada tindak-tanduk Dr. Mahathir yang makan diri. Dalam ucapannya baru-baru ini, beliau mendakwa Najib mungkin berasal dari lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke Bugis. Kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar. 

Awang tidak pasti sejauh mana Dr. Mahathir akan menjadikan isu tersebut sebagai iktibar yang sangat bernilai. Inilah akibat jika dendam menguasai diri. Nampaknya bekas Perdana Menteri itu menjadi liabiliti kepada partinya PBPM dan Pakatan Harapan.

Lagi banyak beliau bersuara lagi banyak mudarat yang menimpa Pakatan Harapan, selain menghina dirinya sendiri pada usia yang sudah lanjut.

Begitu juga dengan komen Dr. Mahathir yang mempersoalkan insentif kerajaan kepada rakyat seperti pemberian BR1M, elaun sara hidup kepada nelayan, elaun bulanan JKKK, bantuan jemaah haji dan pelaksanaan gaji minimum. 

Pendirian Dr. Mahathir itu menerima kritikan ramai demi membela kebajikan rakyat. Tidak sampai seminggu Dr. Mahathir melakukan dua kesilapan besar,  yang menjejaskan imej Pakatan Harapan. Banyak lagi keceluparan  termasuk orang berbadan gemuk juga dihina tetapi undi mereka ditagih. Awang hairan bagaimana seorang negarawan boleh rakus mencabuli prinsip (termasuk rela diperalatkan parti rasis DAP) dan mengambil pendekatan ekstrem.   

Pada Awang, musuh sebenar Dr. Mahathir adalah dirinya sendiri. Kegagalan mengawal nafsu amarah, tidak sabar dan hilang elegan menjadi penyakit utamanya kini. Pemimpin bukan sahaja dinilai dengan apa yang dimulakan tetapi juga bagaimana pengakhirannya. Menyedihkan. 


Era  Kapten  Izham

IZHAM ISMAIL (kiri) yang pernah memecahkan rekod penerbangan dunia dengan menerbangkan pesawat Boein
IZHAM ISMAIL (kiri) yang pernah memecahkan rekod penerbangan dunia dengan menerbangkan pesawat Boein

Setelah diterajui dua warga asing iaitu Christopher Mueller dan Peter Bellew, akhirnya anak tempatan, Kapten Izham Ismail, 56, dilantik sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAB) atau MAS. Awang teruja dengan pelantikan tersebut yang akan berkuat kuasa 1 Disember. Lebih-lebih lagi Izham yang merupakan Ketua Pegawai Operasi MAB, mempunyai pengalaman selama 38 tahun sebagai juruterbang. Antara pesawat yang pernah dikendalikannya Boeing 747, Boeing 777-200 dan Airbus 330.

Beliau memecahkan rekod penerbangan dunia apabila menerbangkan pesawat Boeing 777-200 pertama MAS  pergi balik dari Seattle, Amerika Syarikat - Kuala Lumpur. Tahniah kepada beliau atas pelantikan tersebut, yang disifatkan pemilihan tepat dan mendapat maklum balas positif semua pihak. 

Awang yakin dengan rekod kecemerlangan Izham dan jiwa MASnya akan dapat menjalankan tugas dengan baik terutama memastikan pelan pemulihan syarikat penerbangan nasional itu yang digerakkan oleh Khazanah Holdings berjaya sepenuhnya. MAS sebelum itu terjejas teruk ekoran dua nahas iaitu kehilangan misteri  MH370 dan peristiwa MH17 ditembak jatuh pada 2014, yang menggempar dunia.

 Menjadi harapan peralihan teraju ini akan memulihkan juga pembinaan kepakaran tempatan sebagaimana yang menjadi kekuatan ketika era kecemerlangan MAS. Selamat maju jaya Kapten Izham. 


Kes Guan Eng

LIM GUAN ENG
LIM GUAN ENG

Agak musykil mengapa kes pendakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng  di mahkamah pada 30 Jun 2016, begitu perlahan prosesnya. Walaupun sudah melebihi setahun, perbicaraan masih belum bermula. 

Memandangkan kes itu melibatkan kepentingan awam yang tinggi maka ia menjadi persoalan ramai. Awang berpegang kepada prinsip  keadilan yang dilewat-lewatkan adalah penafian kepada keadilan itu sendiri.

Walaupun ada pertikaian tertentu dalam proses mahkamah berkaitannya, tidak bermakna perjalanan kes itu tidak boleh disegerakan asalkan mempunyai kemahuan tinggi. 

Awang bimbang lagi lama ia mengambil masa, lagi banyak ruang pihak tertentu memanipulasi kes tersebut. Ini termasuklah kecenderungan Guan Eng menggunakan pentas ceramah politik dan sidang media sebagai 'mahkamah' mempertahankan diri. 

Inikah nilai keadilan yang kita mahukan di negara ini?


Tanam wang ....

Macam-macam cara digunakan bagi menyembunyikan wang hasil rasuah dan salah guna kuasa. 

Awang geleng kepala apabila mendapat tahu pegawai kanan kepada seorang menteri  menyorokkan wang tunai ratusan ribu ringgit dengan cara menanamnya di dalam tanah belakang rumah. 

Taktik pegawai berkenaan dapat dibongkar oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM)  yang merampas wang tersebut, baru-baru ini. 

Apabila perkara itu diberitahu oleh sumber SPRM kepada Awang maka tertanya-tanya  mengapa suspek itu sampai berfikir ke tahap menanam wang. Apakah kaedah itu pengaruh daripada filem atau novel jenayah...

Entahlah. Apa pun sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. 


Negara dan negeri

Antara perkara yang mengganggu fikiran Awang kebelakangan ini adalah terdapatnya  sentimen kenegerian yang menebal dan keterlaluan seolah-olah mendorong pemikiran kepada disintegrasi. Ia sesuatu yang tidak sihat dan berbahaya, yang boleh membuka ruang kepada mana-mana pihak menangguk di air keruh. Sekiranya tidak dibendung, ia dikhuatiri boleh memercikkan ancaman baharu kepada perpaduan dan integrasi nasional.

Pada masa ini pun ramai yang tidak selesa dengan sentimen tersebut termasuk rakyat di negeri tertentu yang bibit-bibit itu dimainkan. Hakikatnya, kedaulatan negara adalah tonggak berbanding kedaulatan negeri. Itulah yang harus menjadi pegangan tidak kira pembesar, pemimpin dan rakyat. 


Ranking bola kita

Awang tidak terkejut terhadap kejatuhan ranking bola sepak Malaysia di arena antarabangsa. Daripada tangga 166 terus merosot  pada kedudukan 170. Sebenarnya, ia boleh dijangka kerana tiada peningkatan memberangsangkan pada prestasi skuad negara  biarpun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah beralih teraju dan jurulatih telah berganti.  

Yang pasti kejatuhan ranking itu sekali lagi menjadi berita duka buat para peminat dengan bayangan suram terhadap nasib lebih buruk bola sepak kita. Awang tidak akan terkejut jika ranking jatuh lagi ke 180 tahun depan. Soalnya apa lagi alasan, siapa mahu bertanggungjawab dan apa lagi yang tidak kena? Apakah kita lebih banyak bercakap daripada bertindak dengan betul?