Lima mangsa culik di selatan Filipina dan sembilan lagi rakyat Malaysia di Korea Utara akhirnya dapat kembali ke tanah air. Terima kasih kepada semua pihak yang berperanan membawa kesudahan gembira, iaitu hadiah buat negara.

Awang tersentuh melihat mangsa culik bersatu dengan keluarga ketika diraikan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak di kediamannya baru-baru ini. 

Air mata kesyukuran mereka bersama keluarga begitu besar maknanya. Begitu juga keceriaan sembilan rakyat Malaysia yang pulang dari Korea Utara. 

Perasaan Awang berbaur  – syukur, gembira dan bangga atas kemampuan Malaysia sekali lagi dapat menangani krisis dengan baik. Menerusi rundingan kedua-dua negara, rakyat Korea Utara di Malaysia dan mayat Kim Jong-Nam telah dibenarkan pulang. Kini episod getir dan mencabar ekoran kes pembunuhan, Jong-Nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara, boleh dianggap sudah berakhir. Semua itu diselesaikan tanpa Malaysia sedikit pun berganjak dalam mempertahankan kedaulatan dan maruah negara. 

Ketegasan kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Najib membuktikan Malaysia tidak akan tunduk biarpun ditekan dan diugut. Di sebalik komited kepada perundingan dan perdamaian, siasatan terhadap kes tersebut diteruskan. Dalam hal ini, pengumuman Najib yang menyatakan Malaysia tidak akan memutuskan hubungan diplomatik, mencerminkan dasar luar yang realistik dan sikap matang.

Apa pun, Najib dan pentadbirannya telah membuktikan sekali lagi bahawa Malaysia adalah negara yang mempunyai ketahanan dan mampu atasi apa sahaja krisis serta rintangan. 

Krisis diplomatik melibatkan negara kuasa nuklear itu juga memperlihatkan betapa rakyat Malaysia terus bersatu di belakang kepimpinan negara dalam menghadapi dugaan. Itulah juga senarionya dalam dua tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MH) selain krisis ekonomi, ancaman pengganas asing seperti pencerobohan Lahad Datu dan ancaman Daesh. 

Patriotisme menyerlah, yang Awang dapat rasakan kesannya. Terima kasih Malaysia.

 

JADILAH ANAK JANTAN 
Awang setuju 100 peratus dengan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Keruak kelmarin bahawa Penasihat DAP, Lim Kit Siang perlu menyandang jawatan Pengerusi Pakatan Harapan. 

Ini memandangkan DAP mempunyai jumlah kerusi terbanyak dalam Pakatan Harapan sama ada di Parlimen iaitu 37 kerusi mahupun di Dewan Undangan Negeri (DUN) sebanyak 96 kerusi. 

Saiz itu jauh lebih besar berbanding PKR (28 kerusi Parlimen dan 51 kerusi DUN); PAN ( 6 Parlimen dan 7 kerusi DUN) dan Parti Pribumi (1 Parlimen dan 2 kerusi DUN). Jika diibaratkan dalam perkongsian perniagaan, DAP mempunyai saham terbesar yang boleh membuat penentuan.

Benar kata Salleh selepas Pas meninggalkan Pakatan Harapan maka pakatan itu didominasi penuh oleh kerusi milik kaum Cina. 

Maka dengan hakikat DAP parti terkuat dalam Pakatan Harapan, amat wajar bagi Kit Siang menjadi nakhodanya, bukannya pemimpin PKR, PAN mahupun Pribumi. Lebih daripada itu, pada Awang, Kit Siang paling layak kerana beliau paling lama berkuasa iaitu 51 tahun - dipercayai memecah rekod dunia - yang dilihat sebagai simbol kediktatoran. 

Tiada pemimpin dalam Pakatan Harapan termasuk Dr. Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim yang dapat mengatasi rekodnya. Jadi sudah sampai masanya Kit Siang berhenti menggunakan pemimpin Melayu sebagai boneka untuk menerajui Pakatan Harapan sedangkan hakikatnya beliau paling berkuasa dan berpengaruh. 

Muslihat beliau untuk terus memperdaya orang Melayu tidak selamanya akan berkesan. Lagipun untuk apa takut mengambil beban tanggungjawab sebagai Pengerusi atau ketua sebenar pakatan dalam menghadapi penentuan rakyat pada pilihan raya umum. Panglima perang yang hebat tidak menyorok dan sampai bila hanya mahu duduk belakang dengan mencaturkan strategi sumbang? Selama lima dekad di bawah Kit Siang, DAP gagal menumbangkan Barisan Nasional (BN). Selain itu, DAP gagal menjadi pembangkang yang konstruktif, tebal imej anti-Islam, anti-Melayu dan mensabotaj negara serta ekonomi.

Jika Kit Siang mahu terus kekal berkuasa dan menjadi diktator, biarlah kalau itu sudah penyakit beliau untuk ditanggung malu ahli-ahli DAP. Itulah indahnya demokrasi acuan Kit Siang, diri sendiri dan keluarga didahulukan. 

Tapi untuk kali ini, ke hadapanlah menerajui Pakatan Harapan secara rasmi. Jadilah anak jantan wahai Kit Siang. 


RASUAH, HUKUMAN

Teguran bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Mohd. Noor Abdullah bahawa terdapat kecenderungan generasi hakim sekarang tidak menjatuhkan hukuman berat terhadap pesalah rasuah dan salah guna kuasa, menuntut perhatian besar.

Pada Awang, apa yang disuarakan oleh Mohd. Noor amat berasas. Itu juga tanggapan ramai yang melihat hukuman ke atas pesalah rasuah di negara ini, tidak menggerunkan. Seperti dinyatakan Mohd. Noor, dalam kes melibatkan rasuah jutaan ringgit contohnya, hukuman denda hanya sekitar RM5,000. Ternyata amat tidak setimpal.  Sepatutnya pesalah sebegitu dikenakan hukuman penjara. Jika kecenderungan ini berterusan, masyarakat akan menerima mesej yang salah dan bercelaru. Sedangkan rasuah adalah ancaman nombor satu yang boleh meruntuhkan negara dan tamadun. 

Lalu apa sahaja langkah berani dan menyeluruh yang diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan berkesan. Kekangan besar itu dikhuatiri boleh membentuk pusingan ganas berleluasanya gejala rasuah.

Harapan Awang jika pun mahkamah di negara ini tidak mungkin mencontohi hukuman berat di China seperti hukuman mati ke atas pesalah rasuah, setidak-tidaknya hukuman setimpal mesti dikenakan. Apatah lagi mahkamah harus mencerminkan realiti ancaman rasuah, kepentingan awam dan aspirasi masyarakat. Itulah hakikatnya. 
 

CABARAN SUBRO

Pelantikan T. Subromaniam, 58, sebagai Ketua Pengarah Kastam sebagaimana diumumkan baru-baru ini menarik perhatian. Beliau yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pengarah Kastam menggantikan Khazali Ahmad yang bersara minggu lalu.

Khazali dan Subromaniam adalah antara instrumen penting dalam pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) termasuk ketika perancangan dan kempen penerangan di seluruh negara. Ternyata kini GST menjadi penyelamat kepada ekonomi Malaysia. 

Awang mengucapkan tahniah kepada Subromaniam dan setinggi penghargaan serta terima kasih kepada Khazali atas sumbangan besarnya selama ini. 

Kini beban terpikul di bahu Subromaniam. Dalam reaksi awal, beliau berjanji untuk meningkatkan pungutan hasil negara dan mengurangkan ketirisan kepada kerajaan. 

Awang percaya banyak ruang bagi beliau untuk memberi impak dalam menangani ketirisan. Sudah menjadi rahsia terbuka bahawa jumlah ketirisan adalah jauh lebih besar daripada apa yang dilaporkan. Rasuah dan salah guna kuasa antara faktor kepada ketirisan selain sistem yang boleh dipertingkatkan keberkesanannya. 

Lebih-lebih lagi dengan adanya pengaruh dan ancaman kartel di luar mengakibatkan adakalanya pegawai kastam dijadikan sasaran hingga maut. 

Cabarannya, apa lagi yang kita tidak tahu tentang dunia kartel itu dan berapa banyak hasil negara melalui cukai dilencongkan?


DOA KOMERSIAL

Awang pernah membantah khidmat Valet Doa yang menawarkan pakej bayaran tertentu bagi sesiapa yang mahu mengirimkan doa di tanah suci Mekah dan Madinah. Amalan kiriman doa yang selama ini terpelihara nilai kekudusan, tidak seharusnya mempunyai unsur komersial. Akibatnya ia boleh mengundang salah faham, membawa fitnah dan mencemarkan kesucian Islam. 

Perkhidmatan itu muncul selepas seorang individu membuat promosi pakej antara RM250 dan RM5,000. Biarpun menerima bantahan banyak pihak, dia dilaporkan tetap mahu meneruskannya. Rabu lalu di Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom memberi amaran bahawa tindakan tegas boleh diambil jika individu berkenaan terus berdegil meneruskan khidmat itu. 

Awang lega, Jamil telah memberi mesej yang jelas kepada umat Islam mengenai hal itu. Zaman moden ini macam-macam cara orang mahu kaya termasuk mewajarkan agama untuk diniagakan. Maka hindarilah diri daripada perkhidmatan seumpama itu. Kepada pihak berkuasa agama pula, ini masa untuk bertindak, apa tunggu lagi.