Bantahan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Mohamed Nazri Aziz terhadap larangan wanita bertudung bekerja di barisan hadapan dalam sektor perhotelan, telah membuka mata semua.
Awang bukan setakat sokong malah tabik Nazri. Pendirian tegas beliau yang menyifatkan larangan itu sebagai kurang ajar, adalah juga cerminan kemarahan umat Islam dalam menolak diskriminasi itu.
Yang pasti larangan itu yang berpandukan kepada prosedur operasi standard ( SOP) oleh persatuan perhotelan antarabangsa, melanggar Perlembagaan negara, Akta Pekerjaan malah hak asasi manusia.
Sebenarnya tanpa disedari ramai, larangan itu telah dikuatkuasakan beberapa tahun sebelum ini secara senyap oleh pengurusan banyak hotel. Apa sudah jadi, ia berlaku di negara ini yang majoriti penduduknya beragama Islam. Pada Awang ini suatu penghinaan kepada Islam dan penjajahan baharu yang merobek asas  kenegaraan dan nilai kita.
Sepatutnya hotel-hotel walau bertaraf 10 bintang sekalipun perlu menjaga sensitiviti dan memahami realiti sesebuah negara. Malaysia  mempunyai acuan sendiri yang perlu dihormati oleh mana-mana rangkaian perhotelan antarabangsa yang beroperasi di negara ini. Awang seperti tidak percaya pemikiran persatuan perhotelan  yang mundur ke belakang tanpa mengiktiraf kepelbagaian dan keunikan. Apakah menjual arak di hotel lebih mulia daripada petugas wanita Muslim berhijab tertib dan sopan menjalankan tugas di kaunter?
Ketika hotel ghairah mahu mendapatkan pelanggan beragama Islam termasuk pelancong Timur Tengah, majlis tempahan kerajaan, bufet buka puasa yang begitu laris walaupun mahal, seminar berkaitan Islam dan majlis perkahwinan -  hak menjaga aurat wanita Islam dinafikan.
                

Maka bertitik tolak daripada ketegasan Nazri, inilah kesempatan terbaik untuk membetulkan keadaan dan memastikan diskriminasi itu tidak dibudayakan di negara ini. Jika larangan itu dibiarkan ia akan membawa implikasi besar dan meluas. Pencerobohan besar bermula dengan pencerobohan kecil.
Selepas ini boleh dijangka petugas di restoran hotel juga dilarang bertudung. Malah Awang boleh menjangka  sektor lain mengambil langkah yang sama seperti penerbangan, hospital swasta, universiti swasta dan pelbagai lagi.
Dalam mengambil semangat Nazri dan pelbagai pihak termasuk Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), marilah bersatu melawan diskriminasi ini. Sebagaimana kejayaan Nelson Mandela dan penduduk majoriti kulit hitam menghapuskan dasar Aparteid walaupun pada awalnya sangat mencabar.
Apa sahaja langkah yang terbaik, laksanakanlah biarpun terpaksa memboikot dan menarik balik lesen seperti peringatan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Noh Omar.
Dalam pada itu, saranan agar pihak berkuasa, UNI-MLC dan badan-badan bukan kerajaan memantau hotel-hotel bagi mengelakkan diskriminasi seumpama itu, memang perlu dijalankan.
Sudah sampai masanya negara melaksanakan undang-undang antidiskriminasi. Awang sangat berharap larangan terhadap wanita berhijab di barisan hadapan itu bukan sahaja ditarik balik malah pihak-pihak berkenaan perlu memohon maaf.
Kegagalan pihak berkuasa untuk bertindak tegas akan memberi isyarat yang salah kepada semua. Sebagai langkah pertama, dedahkan sahaja nama hotel yang melakukan diskriminasi.  Inilah masa untuk bertindak.

 

Selangorkini
Menteri Besar, Selangor, Mohamed Azmin Ali begitu ghairah mentohmah akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian sebagai tiada nilai dan mempolitikkan kemerosotan edarannya.
Awang sekadar senyum. Itu memang strategi Azmin bagi mewajarkan keputusan kerajaan negeri Selangor pimpinannya menghentikan langganan kedua-dua akhbar tersebut di jabatan, agensi dan anak-anak syarikatnya.
Rakaman ucapan Azmin di Dewan Undangan Negeri yang menyerang Utusan Malaysia dan Berita Harian diviralkan oleh tentera siber beliau dengan menggunakan bahasa kesat seperti melabelkan akhbar sebagai sampah.
Azmin terdesak berbuat  demikian kerana beliau sedar pengharaman yang dibuatnya dibantah dalam diam oleh ramai penjawat awam di Selangor dan dilihat tindakan jelek. Hakikatnya Azmin kurang cerdik dan tidak yakin dalam mengurus keterbukaan selain makin tertekan menjelang PRU-14.
Beliau buta kepada realiti industri media cetak di seluruh dunia mengalami kemerosotan edaran disebabkan asakan digital maka ia bukan soal Utusan Malaysia dan Berita Harian semata-mata. (Semua akhbar termasuklah akhbar yang Pakatan Harapan suka turut alami kejatuhan).  
Namun jangan lupa versi online Utusan Malaysia dan Berita Harian melonjak menyaksikan jumlah pembaca yang jauh lebih besar daripada saiz pembaca sebelum ini. Kandungan versi akhbar itu sendiri ada dalam versi digital. Dalam hubungan ini, Awang suka menarik perhatian kepada akhbar kerajaan negeri iaitu Selangorkini, yang melambak gambar Azmin dan sarat dengan sentimen liar.
Walaupun diedarkan percuma, ia kurang laku.  Ramai yang tidak usik akhbar itu menjadikan ia suatu pembaziran wang rakyat Selangor. Jika dicetak dan diedarkan sejuta naskhah sekalipun, ia tiada nilai. Itu baru sampah.

 

Sembang besar
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng asyik mengeluarkan pelbagai kenyataan yang Awang lihat cuba mengalih perhatian daripada  isu pokok dan perlu ditangani segera selepas banjir besar melanda negeri itu.
Mengapa tidak menyahut segala seruan rakyat, badan-badan bukan kerajaan dan pencinta alam agar dihentikan serta-merta projek di lereng bukit dan tidak memberikan kelulusan baharu? Di sebalik segala desakan agar kerajaan DAP tidak melakukan jenayah alam sekitar menerusi pembangunan rakus sehingga turut menjadi punca banjir dan tanah runtuh, Guan Eng tidak hiraukan.
Sejak Pulau Pinang ditadbir kerajaan DAP, negeri itu menghadapi masalah kekerapan banjir mengatasi negeri lain. Sebanyak 119 banjir dalam tempoh empat  tahun bermula 2013 dan Oktober tahun ini, itu pun tidak termasuk banjir terbaru iaitu terburuk di negeri tersebut. Selain itu, sebanyak 131 kejadian cerun runtuh  dari 15 September hingga 4 November, baru-baru ini – mencatatkan rekod kebangsaan yang 'dijuarai' kepimpinan Guan Eng.
Sekali lagi ia jelas mencerminkan pentadbiran yang gagal. Inilah yang disifatkan Guan Eng mempunyai tabiat sembang besar sebagaimana kenyataan exco Pas, Dr.  Azman Ibrahim. Sembang besar itu boleh membawa maksud seseorang yang bersikap angkuh dan meninggi diri tetapi hakikatnya berprestasi rendah umpama tin kosong.  
Sehingga semalam, apa yang boleh dirumuskan rekod Guan Eng dalam pengurusan alam sekitar dan pencegahan bencana banjir, amat memalukan. Awang sangkakan beliau telah menerima pengajaran bernilai akibat banjir besar yang melanda Pulau Pinang, rupa-rupanya tidak. Malah Azman membayangkan Guan Eng tidak insaf. "Simpati kita kepada rakyat kebanyakan yang basah terkena tempias air liur yang tersembur dari mulut orang yang suka sembang besar bernama LGE! (Lim Guan Eng)." Tepat dan tajam.

 

Syukur dan tahniah
Awang bersyukur kerana tiada sebarang insiden buruk berlaku ekoran masalah landing gear yang dihadapi sebuah pesawat angkut  C130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Labuan, semalam. Pesawat tersebut terpaksa berlegar-legar di udara selama enam jam sebelum melakukan pendaratan cemas. Juruterbang dan anak kapal tidak mengalami kecederaan.
 Awang mahu merekodkan ucapan tahniah kepada mereka atas kecekapan menangani situasi cemas itu. Adakalanya kita mengambil mudah keadaan sehingga terlupa untuk menyatakan penghargaan. Apabila tragedi besar menimpa, barulah kita mahu menzahirkan perasaan.

 

Politik matang

Langkah Perdana Menteri, Najib Tun Razak kelmarin melawat Anwar Ibrahim yang kini menjalani rawatan selepas pembedahan bahu di Hospital Kuala Lumpur, mengundang pelbagai tafsiran.
Ia disusuli sehari kemudian dengan  lawatan Timbalan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Suasana ceria mewarnai kedua-dua lawatan itu. Ketika ramai memberikan reaksi positif, tidak kurang yang sinikal malah ada yang mencemuh atas hujah masing-masing.
Awang sendiri tidak mahu teruja apa lagi mahu membuat andaian berkaitan politik semasa dan masa depan. Namun setidak-tidaknya lawatan tersebut adalah sesuatu yang baik dan ramai menyifatkan Najib berjiwa besar.
Dalam ajaran Islam menziarahi orang yang sakit adalah sesuatu yang dituntut walaupun ke atas seteru. Awang mengharapkan politik matang dan terbuka, sebagaimana terzahir menerusi lawatan Najib dan Zahid ke atas Anwar, sebagai petunjuk penting.
Utusan Malaysia baru-baru ini menyiarkan foto Najib dan isteri, Rosmah Mansor bersama Presiden PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika melawat mangsa banjir, pada ruang utama di muka surat depan.
Semoga jiwa penyatuan ini terus subur selepas bencana banjir. Awang melihat negara sudah lama kerugian besar akibat politiking yang keterlaluan dan ekstrem.
Terlalu banyak energi negatif menguasai menyebabkan pembaziran kepada energi positif yang diperlukan rakyat.
Walaupun Awang tidak mahu terlalu berharap, semoga  perkembangan positif ini mencetuskan dimensi baharu politik negara.