SILAP LANGKAH ... Ekspresi Dr. Mahathir ketika menghadiri mesyuarat bersama ketua-ketua pakatan hara
SILAP LANGKAH ... Ekspresi Dr. Mahathir ketika menghadiri mesyuarat bersama ketua-ketua pakatan hara

AWANG pernah ucap tahniah kepada pemimpin DAP, Lim Kit Siang menerusi ruangan ini tahun lepas kerana dapat menjinakkan musuh utamanya, Dr. Mahathir Mohamad. 

Kali ini Awang ulangi lagi ucapan tahniah itu kerana Kit Siang konsisten dalam perjuangan DAP sementara Dr. Mahathir kian hanyut daripada prinsipnya pada hujung usia.

Strategi DAP untuk mempergunakan pemimpin Melayu bagi membawa mudarat kepada politik Melayu berhasil. Ia adalah kejayaan terbesar Kit Siang menundukkan negarawan itu yang berdekad-dekad lamanya menjijikkan DAP, yang dilabel musuh Islam dan Melayu.

Ketika Dr. Mahathir berubah watak menjadi si Kitul moden, baru-baru ini Kit Siang melaungkan semula konsep Malaysian Malaysia yang menuntut hak kesamarataan.

Malaysian Malaysia yang diperjuangkan lebih 50 tahun adalah antara agenda agung DAP yang selama ini ditentang oleh Dr. Mahathir (kerana tidak mengambil kira sejarah dan realiti negara). Namun kini Dr. Mahathir membisu sejak bersekongkol dengan DAP dan dijadikan alat.

Sebagaimana DAP menentang pelbagai hal menyentuh kepentingan Islam termasuk pembentangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah, Dr. Mahathir tidak lagi berani bersuara, bagai harimau tanpa taring.

Awang boleh menjangkakan Perlembagaan dan sejarah akan ditulis semula suatu hari nanti kerana sudah banyak petunjuk ke arah itu. Ia hanya memerlukan landasan baharu iaitu apabila Pakatan Harapan memerintah.

Jika diumpamakan permainan catur, Kit Siang sudah menumpaskan Dr. Mahathir yang kini menghina dirinya sendiri. Mengapa jadi begitu, jawapannya Mahathir itu sendiri orang yang mudah lupa.

 

SIAPA MENCABUL?
APABILA Dr. Mahathir Mohamad menyatakan bahawa polis mendorong beliau memecat bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 1998, ia hanya mengundang sinikal pelbagai pihak. Awang yakin rakyat Malaysia tidak akan percaya dengan satu lagi pencabulan prinsip oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu yang semakin terdesak. 

Tindakannya menyalahkan polis adalah tidak bertanggungjawab. Inikah sikap seorang negarawan mahu lepas tangan atas perbuatan silamnya? Sebab itu Awang sokong ketegasan  bekas  Ketua Polis Negara, Rahim  Noor dalam reaksinya yang mempersoalkan motif Dr. Mahathir. 

Benar kata Rahim, pelantikan dan pemecatan seorang Timbalan Perdana Menteri bukan seperti memetik buah kelapa. Ia ditentukan oleh Perdana Menteri ketika itu dan polis tiada kuasa mengenainya. 
Rahim dan seluruh  pasukan polis berhak mempertahankan diri daripada ditohmah Dr. Mahathir. Angkara pemimpin politik, golongan profesional seperti polis pula yang menjadi mangsa. Dalam pada itu, beliau menyatakan pemecatan Anwar adalah satu kesilapan.

Begitu juga penahanan para pemimpin DAP di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Awang sekadar senyum sambil geleng kepala – apakah ini satu lagi kesilapan besar beliau atau wayang politik untuk meraih sokongan DAP dan PKR. Lebih musykil apabila Dr. Mahathir memohon maaf kepada Anwar atas pendakwaan di mahkamah dan dipenjarakan.

Apakah itu bermakna Anwar tidak meliwat atau Dr. Mahathir yang memfitnah serta berbohong? Tidakkah itu bermakna beliau telah menyalahgunakan kuasa, mempersendakan mahkamah dan mencabuli demokrasi. 
Persoalan lain, kepada berapa ramai lagi yang beliau sepatutnya memohon maaf atas gaya pemerintahannya – matlamat menghalalkan cara?

MENANTI DIBUBAR...
PENGAKUAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Muhyiddin Yassin bahawa partinya tidak mampu untuk memberi minit mesyuarat cawangan dan bahagian  kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam tempoh 30 hari, adalah petanda jelas PPBM akan dibubarkan. 

Alasan Muhyiddin bahawa kegagalan itu kerana PPBM masih baharu sama sekali tidak meyakinkan. Malah banyak pihak termasuk  bekas pemimpin akar umbi PPBM yang disingkir menyifat jawapan beliau sebagai pembohongan.

 Hakikatnya PPBM tidak mengadakan mesyuarat agung di cawangan dan bahagian sedangkan itu yang disyaratkan dalam perlembagaan parti. 

Awang percaya ROS tidak punya pilihan melainkan membubarkan PPBM. Dengan perkembangan terbaharu ini, hampir pasti calon-calon PPBM pada PRU-14 nanti tidak boleh bertanding menggunakan logo sendiri sebaliknya atas tiket DAP, PKR dan PAN selain sebagai calon bebas. 

Para pemimpin PPBM tentu boleh menjangka hal ini kerana ia berpunca kelemahan pimpinannya dalam mengurus soal paling asas penubuhan parti. Sendiri punya hal, sendiri tanggung. 

AMBIL IKTIBAR

AWANG bersimpati kepada para pesakit yang terpaksa dibawa keluar dalam situasi cemas ekoran kebakaran melibatkan stor simpanan barang di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam. 

Syukur, tiada sesuatu yang lebih buruk terjadi. Kesemua pesakit dan petugas serta orang ramai terselamat dengan tindakan pantas bomba dan penyelamat. Meskipun kebakaran itu disifatkan kecil tetapi risikonya besar. 

Sekali lagi Awang terganggu apabila punca kejadian itu dikaitkan dengan litar pintas sebagaimana laporan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat. Pada 25 Oktober 2016, berlaku kebakaran di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru, yang menggemparkan negara. Puncanya juga sama iaitu litar pintas. 

Awang tertanya-tanya apakah Kementerian Kesihatan dan hospital awam  mengambil iktibar daripada kebakaran di Johor Bahru sebelum ini? 

Apakah semua aspek risiko terutama berkaitan sistem elektrik dan pendawaiannya telah dilakukan forensik dan dipastikan selamat? Awang berharap agar kebakaran di HKL semalam  biarlah yang terakhir melibatkan hospital. Tragedi bukan sekadar untuk dikenang. 

BERAKHIRNYA KARTEL?

TAJUDDIN RAHMAN
TAJUDDIN RAHMAN

ISU monopoli import daging kerbau dari India (atau dikenali Indian Beef ) lebih dua dekad yang dikaitkan dengan permainan kartel, akhirnya menemui sinar baharu.

Apabila Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tajuddin Abdul Rahman mengumumkan baru-baru ini bahawa isu tersebut hampir 99 peratus selesai, Awang lega. Sesiapa sahaja boleh mendapatkan bekalan import daging kerbau melalui empat syarikat dan tidak lagi dimonopoli oleh pihak tertentu. 

Dengan adanya persaingan terbuka harga daging berkenaan dijangka lebih berpatutan. Awang ucapkan tahniah kepada Tajuddin  yang memperlihatkan komitmen tinggi sejak tahun lalu untuk menyelesaikan isu itu sebagai respons kepada keluhan ramai pengguna dan usahawan tempatan. 

Beliau telah memecahkan batas psikologi kononnya masalah tersebut tidak mungkin dapat di atasi disebabkan pengaruh kartel dengan bantuan Napoleon Kecil di jabatan tertentu. Ternyata kemahuan politik yang tinggi mampu membawa perubahan dan memberi impak. Awang harap ia dapat dijadikan iktibar bahawa kuasa di tangan pemimpin, bukannya kartel atau Napoleon Kecil.

TERUSKAN FAM

TUNKU ISMAIL
TUNKU ISMAIL

APA sekalipun reaksi, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah pun mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). 

Ranking bola sepak skuad utama Harimau Malaya dalam Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa yang terus jatuh iaitu di tangga ke-178 membuatkan Tunku Ismail mengambil langkah tersebut. Awang lihat perkembangan terbaru ini sebagai suatu kehilangan kepada  FAM dan sukan bola sepak negara.

Walaupun baru hampir setahun menyandang jawatan Presiden FAM, TMJ  telah menyuntik banyak pembaharuan termasuk mengatasi masalah kewangan dan peningkatan prestasi pasukan-pasukan muda negara. Atas kertas, potensi Tunku Ismail untuk melonjakkan kejayaan kepada FAM dan negara masih terbentang luas tetapi perlu diberikan lebih masa. 

Namun keputusan untuk berundur  lebih awal, telah diambil. Ia adalah soal prinsip TMJ dan bukan soal kegagalan. Awang berharap semua pihak menghormati keputusan tersebut, yang tentu ada hikmah. Realitinya bukan mudah bagi sesiapa untuk menerajui FAM.

Ia kerusi panas dengan pengharapan yang terlalu tinggi ketika era bola sepak negara telah merudum lebih tiga dekad lamanya. Bercakap, mengkritik dan membidas dari luar mudah tetapi pasti tidak sama jika menguruskannya dari dalam organisasi seperti FAM dengan segala kompleksiti dan kekangan. Meskipun akan tercatat sejarah TMJ sebagai Presiden FAM paling singkat, jasa dan sumbangannya begitu signifikan dan telah meletakkan tanda aras baharu. 

Kepada barisan FAM, teruskanlah misi membawa kebangkitan semula bola sepak negara walau apa jua cabarannya. Buktikan tanpa TMJ, anda semua  berjiwa besar dan lebih yakin untuk melangkah ke hadapan. Yang pergi, pasti berganti.