Kekalahan pasukan bola sepak Malaysia 1-2 kepada Lebanon baru- baru ini mengundang kritikan ramai peminat sukan. 

Harapan untuk melihat kemenangan pertama di bawah jurulatih baharu dari luar negara, Nelo Vingada tidak kesampaian. Lebih- lebih lagi pasukan Harimau Malaya tewas selepas dibolosi gol di saat-saat akhir meskipun telah mendahului di awal perlawanan.

Rumusan ramai selepas itu, pasukan negara tidak berubah, masih gagal dan terus dibelenggu penyakit lama.

Namun Awang berpendapat adalah tidak adil untuk menilai Harimau Malaya di bawah bimbingan Vingada dan di era Presiden

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan hanya satu atau dua perlawanan. Meskipun harapan rakyat Malaysia begitu tinggi mahu melihat hasil yang cepat ekoran perubahan kepimpinan FAM, kita harus realistik. TMJ mahupun Vingada perlu diberi masa untuk membuktikan kemampuan FAM melonjakkan prestasi Harimau Malaya di arena antarabangsa.

Berhubung komen laman facebook rasmi JDT iaitu Johor Southern Tiger, yang turut mengungkit hal lama dan mentohmah media, Awang sekadar senyum. 

Usahlah gundah dan terlebih sensitif terhadap kritikan sama ada dari para peminat mahupun media. Itu sudah lumrah dunia bola sepak, yang selama ini lebih teruk dihadapi oleh pengurusan lama FAM. Media juga hebat membidas FAM di bawah Presiden terdahulu tetapi tiada pula pihak menuduh media disogok dan sebagainya.

Sebenarnya ada iktibar yang wajar diambil. Menerajui badan seperti FAM yang menjadi perhatian rakyat, tidak semudah mengkritik dari luar. Awang percaya TMJ yang mempunyai iltizam dan keyakinan tinggi untuk membawa impak, tidak akan goyah. Inilah masa untuk rakyat Malaysia teguh menyokong Tunku Ismail bagi mencari formula kebangkitan bola sepak Malaysia. Petanda awal sudah ada, TMJ telah menyuntik pembaharuan dari segi administratif dan pengurusan kewangan, yang sepatutnya dihargai. Ini baru fasa permulaan. Sekali lagi berilah masa dan Awang yakin FAM akan menyinar. Cuma bersabarlah...

DOJ dan iktibar

Sekali lagi Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan saman sivil berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Tindakan undang-undang kedua diambil selepas setahun, yang Awang lihat sebagai kitar semula. 

Jika dirumuskan, banyak keraguan terhadap saman sivil terbaharu, sama seperti sebelum ini. DoJ bertindak hanya berdasarkan aduan sebelah pihak, bermotif konspirasi politik, tiada lampiran bukti, maklumat yang dimanipulasi dan tidak menghubungi pihak perundangan Malaysia. Sebenarnya episod kemelut 1MDB telah selesai selepas pelbagai langkah diambil termasuk menerusi pelan rasionalisasi. Persoalan pokok juga sudah terjawab dalam siasatan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang bahawa tiada bukti penyalahgunaan wang 1MDB.

Awang percaya saman sivil kedua ini yang sekali lagi akan gagal tetapi sudah cukup memberi tekanan kepada Malaysia. Semua ini mempunyai agenda besar untuk mengundang campur tangan asing dalam hal ehwal politik dan domestik Malaysia. Maka sekali lagi timbul desakan agar pemimpin Pakatan Harapan dan individu tertentu seperti Pengasas Sarawak Report, Clare R. Brown; peguam Matthias Chang; Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa dan aktivis Suaram, Cynthia Gabriel disiasat. 

Sepatutnya mereka sudah lama diambil tindakan selepas serangan pertama pada Julai tahun lalu untuk menggulingkan kerajaan menggunakan kuasa asing. Kalau di negara lain, komplot menjatuhkan kerajaan di luar proses demokrasi, pasti menerima padahnya. Berbeza di Malaysia, pengkhianat boleh mengulangi pengkhianatan dengan bebas dan mudah. Awang berharap kali ini kerajaan mengambil pengajaran dan lebih ke hadapan bagi menghindari mudarat besar menimpa negara. Sebagai contoh, isu siasatan ke atas Suaram menerima dana asing dan agenda serongnya telah bertahun-tahun dibangkit tetapi tiada tindakan konkrit. Jangan sudah terhantuk baru tengadah.

Awang yakin walau apa pun cabarannya, rakyat akan bersatu untuk menghadapi sekali lagi ancaman asing ini bersama tali barutnya. Ini bukan sekadar soal 1MDB dan DoJ tetapi soal kedaulatan negara. 

Tiada kompromi. 

FGV selesai?

Khabarnya sudah ada formula bagi menyelesaikan kemelut pengurusan tertinggi Felda yang menggemparkan negara, baru-baru ini.

Idris Jala yang dilantik oleh Kabinet sebagai orang tengah telah hampir menamatkan misi beliau. Hasilnya pasti dinanti-nantikan oleh semua, selain siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang rancak dijalankan. 

Awang berharap semua pihak termasuk Pengerusi FGV, Mohd Isa Abdul Samad dan Zakaria Arshad akan akur apa sahaja penyelesaian yang dimuktamadkan. 

Akhirnya nanti kepentingan FGV, masyarakat peneroka Felda dan negara mengatasi segala-galanya.

Zulfarhan, NHAVeen

Belum pun reda kes pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) , Zulfarhan Osman Zulkarnain yang menjadi korban perbuatan dera pada 22 Mei lalu, seorang lagi menjadi mangsa. 

Satu lagi kejadian dera menggemparkan berlaku kali ini di Pulau Pinang yang kesudahannya menyayat hati. 

Seorang remaja, T. Nhaveen, 18, meninggal dunia kelmarin selepas hampir seminggu tidak sedarkan diri akibat dipukul dan diliwat oleh sekumpulan remaja. Lebih 1,000 orang menghadiri upacara pengebumiannya - dengan mesej menolak keras gejala buli dan dera. 

Dalam ruangan sebelum ini, apabila mengulas kes dera melibatkan Zulfarhan, Awang berharap agar nasib yang menimpa pegawai kadet UPNM itu tidak berulang dan menimpa insan lain. Biarlah ia yang terakhir. Malangnya tidak sampai sebulan, satu lagi kejadian dera meragut nyawa. 

Sebagaimana pendakwaan di mahkamah yang telah diambil ke atas 19 individu atas tuduhan membunuh dan mencederakan Zulfarhan, kumpulan pembuli Nhaveen juga perlu didakwa segera. Dua kejadian buli maut ini seharusnya menjadi iktibar yang sangat bernilai kepada semua pihak untuk menangani gejala tersebut dengan lebih serius dan berkesan. Awang percaya kempen sahaja tidak memadai untuk mewujudkan masyarakat bebas buli, ia menuntut lebih daripada itu. 

Ramai tersentuh dengan ratapan D. Shanti, ibu kepada Nhaveen yang juga berharap biarlah anaknya menjadi mangsa terakhir buli yang dahsyat itu supaya tidak menimpa orang lain. Namun Awang bimbang sambil tertanya-tanya siapa pula korban selepas ini?

Kuota bumiputera

Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) menahan seorang pemaju hartanah di Pulau Pinang kerana menyeleweng kuota perumahan bumiputera, mengundang perhatian besar. 

Penyelewengan itu membabitkan pemalsuan dokumen jual beli kononnya untuk bumiputera tetapi hakikatnya kepada bukan bumiputera. Awang ucap tahniah kepada SPRM dan dijangka lebih ramai bakal ditahan berhubung kes tersebut.

Apa yang terbongkar ini amat serius dan sewajarnya menyedarkan semua pihak. Maka cakap-cakap bahawa terdapat gejala pemaju menyeleweng kuota bumiputera di negeri pemerintahan DAP itu, adalah benar walaupun cuba dinafikan sebelum ini. Kegagalan kerajaan negeri memantau para pemaju juga dipercayai menyumbang kepada masalah tersebut.

Sudahlah dari semasa ke semasa ada usaha untuk memansuhkan kuota bumiputera dan kini diburukkan oleh manipulasi pemaju. Ia memberi implikasi besar kepada kedudukan orang Melayu di Pulau Pinang, yang makin terhimpit dan terpinggir.

Renungkanlah. 

Takziah 

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah yang terpaksa dilalui oleh keluarga waris dua juruterbang pesawat Hawk 108 TUDM yang terkorban dalam nahas udara di Kemaman, Khamis lepas. 

Awang turut bersedih atas tragedi yang meragut nyawa Allahyarham Mejar Mohd. Hasri Zahari, 31, dan Mejar Mohd. Yazmi Mohamed Yusof, 39. 

Takziah yang mendalam kepada keluarga kedua-dua juruterbang itu. Suasana pilu dan penghormatan mengiringi pengebumian kedua-duanya kelmarin yang mendapat liputan meluas media.

Awang doakan semoga isteri dan anak-anak Allahyarham Mejar Mohd. Hasri, dan Mejar Mohd. Yazmi, diberi ketabahan menghadapi dugaan kehilangan orang tersayang dan tempat mereka bergantung. Lebih- lebih lagi menjelang umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. 

Allahyarham Mohd. Hasri mempunyai seorang anak manakala Allahyarham Mohd. Yazmi mempunyai enam anak. Pemergian mereka berdua ketika bertugas bukan sahaja kehilangan kepada keluarga malah kepada TUDM dan negara. Al-fatihah. 

Cermin gelap

Entah kenapa makin banyak kenderaan menggunakan cermin gelap yang melebihi had  dibenarkan oleh pihak berkuasa.

Paling ketara kelompok pemilik kereta dipercayai ahli-ahli kongsi gelap dan mereka yang selalu berlumba di jalan raya. 

Awang tidak pasti apakah mereka mendapat surat kelulusan dan jika ada, apakah kriteria kepada kelulusan itu? Penggunaan cermin gelap yang keterlaluan itu boleh disalah guna untuk tujuan jenayah. 

Ia menyukarkan polis dan pengawal di kawasan perumahan serta gagal dirakam oleh kamera litar tertutup. Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk membina persekitaran yang lebih meyakinkan demi keselamatan, bukan sebaliknya. 

Awang berharap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dapat memberi perhatian serius dan melihat semula polisi yang ada jika kurang kemas. Ini termasuk menangani isu penguatkuasaan yang dilihat bermusim dan tidak digeruni. Persoalannya sampai bila harus begitu?