JIKA diumpamakan peperiksaan, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Najib Tun Razak telah lulus cemerlang dalam prestasi ekonomi 2017. Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 5.9 peratus bagi tahun lalu seperti diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini. 

Ia melepasi unjuran kebanyakan penganalisis termasuk Bank Dunia. Sebagai rakyat Malaysia dan pengamal media, Awang bersyukur pencapaian di luar jangka ketika ekonomi dunia berkembang perlahan. Pertumbuhan itu lebih tinggi berbanding 4.2 peratus dan lima peratus dicatat pada 2016 dan 2015.

Prestasi ringgit mengukuh 10.4 peratus sepanjang 2017, penggunaan swasta berkembang tujuh peratus dan prestasi eksport mencatat pertumbuhan 12.4 peratus.

Banyak lagi petunjuk positif yang semua itu bukan datang bergolek tetapi hasil perancangan dan kerja keras pasukan pentadbiran Perdana Menteri, BNM, pelbagai pihak dengan dokongan rakyat Malaysia.

Namun ia menjadi petanda buruk Pakatan Harapan. Pada Awang, prestasi ekonomi negara 2017 adalah terbaik jika mengambil kira gerakan terancang para pemimpin Pakatan mensabotaj ekonomi negara.

Segala gembar-gembur sejak tiga tahun lalu konon negara akan muflis, ternyata pembohongan. Ia sama dengan gejala berita palsu yang memburukkan imej media sosial dan tidak boleh dipercayai, begitu juga kemusnahan jenama Pakatan. Bayangkan tanpa segala usaha sabotaj, ekonomi Malaysia pasti lebih hebat.

KEBENARAN ZAKIR

KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi membatalkan saman pemula Hindu Rights Action Force (Hindraf) ke atas Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dan empat yang lain berhubung isu pendakwah antarabangsa Zakir Naik, adalah satu lagi mesej jelas buat semua.  Satu demi satu perkembangan membuktikan hakikat sebenar bahawa Zakir bukan musuh, penghasut apatah lagi pengganas sebagaimana ditohmah oleh Hindraf. 

Melalui saman pemula itu, Pengerusi Hindraf, P. Waytha Moorthy menuntut perisytiharan mahkamah bahawa Zakir Naik mengancam keselamatan negara dan dilarang memasuki Malaysia.

Akhir tahun lalu, Polis Antarabangsa (Interpol)  membatalkan arahan mahu menangkap Zakir kerana ketiadaan bukti kukuh daripada pihak berkuasa India. Ini diikuti bulan lalu, Ketua Hakim Tribunal Rayuan untuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (PMLA) India, Hakim Manmohan Singh memutuskan bahawa tiada apa-apa kesalahan dalam ceramah-ceramah beliau. 

Tamparan besar buat musuh Zakir Naik. 

Semua perkembangan itu selari dengan pendirian Malaysia  mempertahankan Zakir Naik selama ini berdasarkan pemantauan dan kajian yang dibuat. Ternyata beliau menjadi mangsa Islamofobia. Awang melihat akhirnya yang menang adalah kebenaran.

Apa yang dilalui oleh Zakir Naik mempunyai hikmah. Antaranya pelbagai pihak bersatu terutama badan bukan kerajaan seperti Perkasa mempertahankan kepentingan Islam. 

Hikmah lebih besar adalah ekstremisme yang dibawa oleh Hindraf tewas kepada kesederhanaan. 

Zakir Naik yang pakar dalam perbandingan agama perlu dihadapi dengan keyakinan oleh sesiapa pun melalui pendekatan ilmiah seperti dialog, dan bukannya secara permusuhan. 

Dengan apa yang telah dialami beliau, Awang berharap pihak-pihak berkenaan sekiranya enggan memohon maaf atau menarik balik tuduhan liar, tolonglah bersikap rasional. Kepada Zahid tahniah kerana ketegasan beliau sejak dari awal isu itu dengan tidak tunduk kepada tekanan Hindraf dan pihak tertentu, membuahkan hasil. Awang tabik. 

ATASI SESAK

AWANG teruja dengan cadangan untuk mewujudkan Pusat Kawalan Trafik Kebangsaan bagi memastikan sistem aliran trafik lebuh raya di seluruh negara diuruskan dengan lebih cekap.

Ia langkah wajar  yang sepatutnya telah dilaksanakan lebih awal lagi, namun ia belum terlewat. Cuma Awang berharap dapat diwujudkan Pusat Kawalan Trafik Lembah Klang bagi mengurus aliran lalu lintas secara lebih sistematik dan terbaik. 

Keperluan untuk pusat seumpama itu adalah mendesak memandangkan pertambahan kenderaan yang melonjak terutama di Kuala Lumpur dan sekitarnya, mengakibatkan kesesakan meruncing.

Kemudahan sistem pengangkutan awam seperti LRT, MRT, komuter dan bas, memang  membantu namun realitinya terlalu banyak kenderaan di jalan raya, memerlukan lebih banyak insiatif dan langkah drastik. Awang percaya dengan adanya pendekatan integrasi dalam mengurus aliran trafik melibatkan semua pihak meliputi kerajaan pusat, negeri, pihak berkuasa tempatan dan polis trafik, isu kesesakan dapat ditangani dengan lebih berkesan.  

Secara tidak langsung ia boleh mengurangkan tekanan warga kota, meningkatkan lagi imej Lembah Klang di kaca mata pelabur, pelancong dan ekspatriat serta melonjakkan produktiviti untuk kepentingan ekonomi negara. Sebenarnya ini juga sebahagian daripada senarai  feel good, yang diharapkan rakyat. 

ANALISIS BERUBAH

DALAM tempoh tidak sampai tiga tahun setengah bergelar Menteri  Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali sudah terpalit dengan begitu banyak kontroversi, skandal dan kemelut. Inilah akibat jika menjadi Menteri Besar melalui jalan belakang iaitu konspirasi Langkah Kajang yang mempermainkan demokrasi. Terbaru, Azmin panas lagi dengan isu urusan jual beli tanah RM1.8 bilion di Ijok yang mencetuskan kemarahan rakyat. 

Ia terus mendedahkan beliau kepada isu integriti yang serius termasuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pada Awang, ia bagai bom jangka menanti ledakan. 

Dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan di Selangor, beliau semakin tidak disenangi oleh DAP, PAN dan Pribumi yang mahu menyingkirkannya.

Kini spekulasi bertiup kencang, Azmin bakal diganti calon lain sebagai Menteri Besar jika Pakatan masih berkuasa di Selangor selepas PRU-14. Pentadbiran beliau yang sebelum ini dilihat agak teguh kini mulai rapuh. Senario dan analisis telah berubah dengan banyak perkembangan tidak memihak kepada Azmin, yang risikonya besar kepada Pakatan. Apa nasib Azmin, bertahankah  atau tersungkur bersama PKR  - entahlah. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. 

STATUS PPBM

Dengan sejumlah 400 petisyen aduan dalam kalangan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terhadap kepimpinannya  atas dakwaan melanggar perlembagaan parti, kini pertanyaan ramai – apa status PPBM?

Tumpuan kini kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang kini menjalankan siasatan terhadap kesemua aduan terutama berkaitan Mesyuarat Agung PPBM yang didakwa tidak sah kerana gagal mematuhi peraturan. Antaranya tiada pendaftaran, tiada penyata kewangan dan tiada mesyuarat agung di cawangan dan bahagian.

Baru-baru ini ROS mengumumkan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP didapati sah, bagaimana pula PPBM.  Apakah hasil siasatan ROS nanti sama ada ia sah atau perlu mengadakan semula mesyuarat agungnya? Awang tidak berminat untuk meramal, sekadar mahu tahu apa keputusannya sahaja. 

NAMAWEE PENGGANAS?

SEKALI lagi penyanyi dan pengarah, Wee Meng Chee atau Namawee mencetuskan provokasi yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum menerusi klip video yang biadab. 

Awang melihat ia sebagai karya sampah yang mencerminkan orang yang celaru jiwa dan minda ekstrem. Kalau dipertontonkan di zoo sekalipun, haiwan meluat menyaksikannya. 

Tarian lucah sekumpulan lelaki memakai sarung kepala anjing menerusi klip video itu yang dibuat berhampiran Masjid Putrajaya hanya menjatuhkan lagi reputasinya yang sudah pun tercalar buruk. Memandangkan klip video itu membawa mudarat, Awang berharap pihak berkuasa tidak mengambil masa lama untuk bertindak. Contohi Singapura yang proaktif menangani provokasi seumpama itu. 

Kegagalan untuk bertindak tegas akan memberi mesej yang salah kepada umum seolah-olah Namawee bebas melakukan apa sahaja. Sedangkan perbuatannya yang bersifat keganasan persepsi adalah lebih bahaya daripada perlakuan pengganas.  

TANGANI LEMAS

AWANG turut bersedih dengan tiga tragedi lemas kelmarin yang meragut nyawa sembilan nyawa. 

Lima sekeluarga maut di Pantai Tok Bali, Kelantan; tiga sekawan di Air Terjun Sungai Sendat, Hulu Yam, Selangor dan seorang remaja di Pantai Penunjuk, Kijal, Terengganu. 

Kegembiraan bercuti bersama keluarga dan rakan sempena cuti Tahun Baharu Cina berakhir dengan tragedi. Takziah kepada semua keluarga mangsa. Memandangkan makin banyak kes lemas, Awang mencadangkan pihak berkuasa mengambil langkah keselamatan tambahan di kawasan tumpuan orang ramai. 

Jika perlu wartakan sebagai lokasi berisiko, wartakanlah bagi mengelakkan lebih ramai menjadi korban. Sebanyak 700 insiden mati lemas setiap tahun, yang jumlah itu meningkat. Sebagai negara maritim yang di kelilingi laut dan banyak aliran sungai, sudah tiba masa bagi rakyat Malaysia terutama generasi  baharu mempunyai kemahiran berenang termasuk di laut. 

Jika ikutkan Awang, wajibkan sahaja setiap pelajar sama ada di sekolah mahupun universiti menjalani latihan berenang. Badan lebih sihat, cergas dan berkemahiran menguasai air. Tiada siapa yang rugi. 

TAHUN BAHARU CINA

BELUM terlewat rasanya untuk Awang ucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tionghua di negara ini. Untuk kesekian kalinya, perayaan kaum dan agama, dapat disambut meriah dalam suasana harmoni masyarakat majmuk.

Kemeriahan itu terserlah melalui acara rumah terbuka, hiasan hebat di pusat membeli-belah dan  hotel-hotel serta dentuman mercun dan bunga api – mencerminkan ia perayaan istimewa di negara ini. Bahkan kemakmuran dan keamanan negara menjadikan Tahun Baharu Cina, sentiasa begitu bermakna.

Terima kasih kepada pasukan keselamatan yang bekerja keras dalam memastikan keselamatan rakyat terpelihara terutama pada musim perayaan. Lebih-lebih lagi dalam menghadapi ancaman keganasan di seluruh dunia yang menghantui kita. Gong Xi Fa Cai.