Pertandingan jawatan Presiden UMNO sudah tentunya menjadi perhatian ramai dengan pengumuman Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah semalam.
Beliau akan menyertai Naib Presiden, Dr. Ahmad Zahid Hamidi (menjalankan tugas presiden) bagi persaingan jawatan itu.
Perkembangan terbaru ini pastinya meningkatkan lagi suhu kempen pemilihan yang akan berlangsung pada 30 Jun. Gelombang suara mahukan semua jawatan dalam parti dipertandingkan supaya UMNO lebih demokratik - yang kemudian dipersetujui mesyuarat Majlis Tertinggi dipengerusikan Zahid - akhirnya kesampaian.
Zahid dalam reaksinya bersikap terbuka dengan keputusan Tengku Razaleigh itu sambil berharap UMNO dapat menjaga jemaah dan mengelak parti terpecah dua.
Sememangnya itulah juga harapan ahli-ahli UMNO yang mahu pemilihan berjalan dengan sihat,  matang dan harmoni. Dalam situasi BN sudah hilang kuasa, Awang percaya semua pihak dalam UMNO  menerima hakikat bahawa pemilihan kali ini menuntut solidariti yang tinggi berikutan perubahan landskap politik negara.
Bagi Zahid inilah kali pertama beliau bertanding jawatan presiden. Tengku Razaleigh pula kali kedua selepas tewas  tipis kepada Dr. Mahathir Mohamad pada pemilihan UMNO pada 1987.
 Keputusan beliau untuk bertanding tidak mengejutkan kerana desas-desus mengenainya sudah kuat kedengaran dua minggu lalu. Kerana masih terlalu baru, Awang tidak berhajat pada peringkat ini mahu meramalkan soal peluang  masing-masing.  Begitu juga dengan pelbagai teori yang berlegar berkaitan pemilihan tersebut.
Rasanya tentu ada lagi perkembangan menarik selepas ini, kita tunggu ...

 

Realiti dan harapan
Langkah empat parti di Sarawak meninggalkan Barisan Nasional (BN) dan membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah dijangka.
Perubahan landskap politik ekoran kekalahan teruk BN pada  PRU-14 membawa kepada keputusan tersebut - menamatkan era  BN di Sarawak yang diasaskan pada 1963.
Walaupun ia dilihat tamparan besar kepada BN, itulah realiti yang harus diterima. Kini tiada lagi nama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) dalam senarai BN.
Dengan 19 kerusi Parlimen hilang (daripada keempat-empat parti komponen yang keluar), BN kini memiliki 57 kerusi Parlimen (54 UMNO, 2 MIC dan 1 MCA).  Tiga lagi parti iaitu PBRS, UPKO dan PBS di Sabah telah bertindak keluar BN sebelum ini. Sebagai parti terbesar dalam BN, UMNO telah memperlihatkan sikap terbuka dengan menghormati keputusan tersebut.
Langkah itu sememangnya harus difahami atas pertimbangan dan kepentingan politik lokal. Reaksi para pemimpin BN berhubung perkembangan tersebut nampak tenang dan tidak melihat yang keruh. BN sebaliknya menghargai segala sumbangan parti-parti komponen itu selama  ini sebagaimana kenyataan rasmi Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Tengku Mansor.
Meskipun dengan status itu dan tanpa ikatan, BN dan GPS masih boleh terus menjalin hubungan baik. Awang percaya  BN akan melalui episod ini dengan tabah sambil berusaha bangkit pada PRU-15. Walaupun BN berdepan dengan misi getir namun dalam politik segala-galanya berkemungkinan. Krisis jika diurus dengan bijak boleh mengundang peluang.
Dengan terbubarnya BN Sarawak, BN boleh lebih fokus di Semenanjung kerana itulah cabaran terbesar yang perlu ditangani pada tahap ini.  Juga isu-isu menghimpit orang Islam dan Melayu, yang memerlukan pembelaan sebenar UMNO selepas ini sebagaimana kejayaan DAP menaungi  kaum Cina.
Seandainya suatu hari nanti BN yang diterajui UMNO berjaya bangkit seperti dibuktikan parti LDP di Jepun (kembali memerintah pada 2012 selepas hilang kuasa pada 2009), senario mungkin boleh berubah.
Mana tahu apa yang terputus dapat disambung semula atas tuntutan - satu lagi putaran politik. Sebagaimana juga bekas Perdana Menteri berusia 93 tahun boleh menyandang jawatan itu bagi kali kedua. Tiada yang mustahil.

 

Mesej Agong
Apabila Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Muhammad V mengambil langkah mengurangkan 10 peratus gaji dan emolumen serta tidak mengadakan rumah terbuka, ia mesej yang jelas buat semua.
Awang menjunjung kasih atas keprihatinan Tuanku terhadap tahap hutang dan ekonomi negara yang digambarkan buruk oleh kerajaan sehingga rakyat diminta menderma kepada Tabung Harapan.
Dengan tiadanya majlis rumah terbuka di Istana Negara yang menjadi tradisi bagi Seri Paduka meraikan rakyat, ia tentu suatu kejanggalan. Namun keputusan itu menerima reaksi positif daripada pelbagai pihak. Awang hargai pendirian Sultan Muhammad V yang mahu bersama-sama rakyat dalam usaha penjimatan.
Ia bersifat langkah ke hadapan iaitu bukan  setakat mengurangkan gaji malah tiada lagi majlis rumah terbuka. Dalam hubungan ini, majlis rumah terbuka bukanlah keperluan utama dan mendesak apatah lagi sekiranya benar keadaan ekonomi tidak mengizinkan.
Awang yakin rakyat boleh faham langkah tersebut  yang bertujuan mewujudkan persekitaran terbaik dan sebenar ke arah perbelanjaan berhemah. Apa pun Seri Paduka mempunyai pendekatannya sendiri menangani cabaran sekarang. Sesiapa pun boleh menilai dan mentafsir termasuk apa yang tersurat dan tersirat.

 

Kisah Kamal Hisham
Hari Raya Aidilfitri ini pastinya sambutan yang lebih bermakna dan istimewa bagi peguam Kamal Hisham Ja’afar yang mendapat pengampunan tanpa syarat daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Baginda telah menerima permohonan maaf Kamal Hisham, 47, yang menghadapi 17 pertuduhan melibatkan pecah amanah, aktiviti pengubahan wang haram dan Akta Syarikat 1965.
     Awang turut bersyukur kerana akhirnya kes mahkamah itu yang bermula sejak Januari tahun lalu, berakhir dengan sempurna atas ihsan baginda yang mengambil keberkatan bulan Ramadan. Ia boleh disifatkan hadiah Syawal buat Kamal Hisham sekeluarga.
Bukan setakat pengampunan, malah Sultan Ibrahim menerusi kenyataan berharap Kamal Hisham dapat meneruskan kehidupannya dengan sejahtera dan damai. Awang percaya peguam tersebut akan memanfaatkan dengan sebaik-baiknya pengampunan itu sambil mengambil iktibar.
Menjunjung kasih Tuanku.
PM lebih lama ...
Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad tentu mempunyai alasan yang kukuh apabila menyatakan beliau bersedia berkhidmat lebih lama daripada tempoh dua tahun. Walaupun tidak menghuraikannya, adalah boleh difahami apa yang dimaksudkan beliau dalam konteks pentadbiran negara.
Awang berpendapat adalah tidak wajar had tempoh diberikan kepada Dr. Mahathir kerana ia akan mewujudkan elemen ketidaktentuan terutama dari segi dasar-dasar dan perancangan yang ada.  Sudah menjadi kebiasaan apabila Perdana Menteri berubah, sedikit sebanyak dasar dan pendekatan juga akan berubah.
Para pelabur asing dan pelabur dalam negara  tentu tidak suka dengan elemen ketidaktentuan, begitu juga dalam soal hubungan diplomatik. Awang bersikap terbuka dan menerima baik jika rakyat apabila masa berlalu, masih mahu Dr. Mahathir meneruskan perkhidmatan - asalkan beliau masih berkeupayaan dan sihat. Cuma cabarannya kini Dr. Mahathir perlu memenangi hati dan menyatukan rakyat.
Jika berdasarkan maklum balas ramai terhadap pelbagai isu sejak Pakatan Harapan memerintah lebih sebulan, ia bukanlah mudah.

 

Amat salah
Satu demi satu isu mencetuskan kontroversi  malah reaksi negatif ramai termasuk yang terbaru peletakan jawatan Ketua Hakim Negara, Raus Shariff dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin.
Tindakan tersebut diambil selepas mereka dikenakan tekanan dan didesak melepaskan jawatan oleh Majlis Penasihat Kerajaan (CEP).
Kemuncaknya adalah pengumuman Raus dan Zulkefli yang akhirnya berundur, menyertai ramai lagi tokoh dalam perkhidmatan awam dan syarikat milik kerajaan (GLC) yang berbuat demikian. Dalam isu Raus dan Zulkefli,  menjadi persoalan utama adalah campur tangan kerajaan dalam institusi kehakiman negara.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor ( DAP ) Ramkarpal Singh turut mengkritik secara terbuka campur tangan itu yang bercanggah dengan prinsip pengasingan kuasa di negara ini.  
"Tidak salah mengkritik mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan. Bagaimanapun, itu menjadi satu masalah apabila menuntut mereka meletak jawatan. Itu amat salah,” tegas beliau.
Awang hargai Ramkarpal kerana berani bersuara menegur yang salah walaupun melibatkan pentadbiran Pakatan Harapan. Apa pun, situasi seperti ini mencatatkan sejarah hitam kepada institusi kehakiman dan demokrasi di Malaysia.
Adalah menyedihkan kerana sebelum ini Pakatan Harapan menjanjikan prinsip rule of law tetapi awal-awal mentadbir sudah berundur ke belakang. Awang lihat ia pencabulan besar kepada institusi kehakiman negara yang suatu hari nanti akan mendapat pembelaannya.

 

Akta Hasutan 1948
Gesaan pelbagai pihak agar kerajaan Pakatan Harapan mengekalkan Akta Hasutan 1948, bagi memelihara keharmonian negara, wajar diambil serius. Sebelum ini Pakatan Harapan mahu memansuhkan akta tersebut atas nama kebebasan bersuara.
Antara tokoh yang mahu Akta Hasutan dipertahankan adalah bekas Ketua Hakim Negara, Zaki Tun Azmi, dua bekas Ketua Polis Negara, Haniff Omar dan Musa Hassan serta Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM). Menurut mereka,  akta tersebut masih relevan demi kestabilan negara, selain menyifatkan kebebasan bersuara tidak boleh bersifat mutlak.
Memandangkan semakin banyak kenyataan dan komen liar, penghinaan serta hasutan terhadap institusi Raja, agama dan kaum maka Awang sangat setuju ia dikekalkan. Mesejnya Akta Hasutan 1948 masih relevan malah dapat membantu kerajaan meningkatkan kuasa cegah dan mengekang ekstremisme.
Ini termasuklah apa yang disifatkan sebagai pengganas persepsi yang sebenarnya lebih berbahaya daripada pengganas bersenjata.

 

Renungkan
Awang tertarik dengan tulisan Thirunavukkarasu Karasu dalam facebook yang membidas sikap pihak-pihak tertentu yang mahu menangguk di air keruh di sebalik peralihan kerajaan.
Antara lain Karasu menolak gesaan agar rakyat tidak lagi perlu bertutur dan  belajar Bahasa Melayu. Beliau bukan sahaja mempertahankan kepentingan Bahasa Kebangsaan malah kontrak sosial yang menurutnya, harus dilihat dalam perspektif keharmonian kaum.
Karasu juga menyifatkan sentimen kebencian dan rasis yang dimainkan kononnya atas nama ‘ubah’  terutama menerusi media sosial, sebagai kurang ajar dan kebodohan.
Beliau telah memberi pandangan yang tepat berani dan tajam maka tidak perlu Awang ulas lagi. Renungkan sahaja.