Awang menyertai umat Islam negara ini lega dengan langkah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan membatalkan Sistem Pemantauan Pengendalian Pakej Umrah Malaysia (Imams). Keputusan itu diambil ekoran bantahan dan rasa tidak puas hati pelbagai pihak dalam kalangan umat Islam. Isu tersebut paling panas diperkatakan menerusi media sosial dalam tempoh 47 jam ini, yang mendedahkan kerajaan kepada kritikan ramai.
Antara yang dipersoalkan adalah aspek pembabitan sebuah syarikat, status pemilik syarikat iaitu bukan Islam, caj RM90 dan cukai barangan dan perkhidmatan kepada urusan ibadah umrah.
Walaupun tujuan utama Imams bagi mengatasi masalah penipuan pakej umrah dan haji, tentu ada ruang untuk memikirkan formula yang lebih baik sambil menjaga sensitiviti umat Islam.
Masalahnya penjelasan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan termasuk oleh Timbalan Menteri,  Mas Ermieyati Samsudin sebelum ini tidak cukup menyakinkan malah mengundang keresahan. Sejak ia diumumkan, Awang melihat tiada keperluan untuk Imams dilaksanakan apatah lagi dikuatkuasakan seawal Januari ini.
Pembatalan Imams adalah langkah terbaik bagi meredakan gelombang bantahan dan kemarahan umat Islam. Terima kasih kerana bertindak segera  sebelum isu itu berlarutan dan menjejaskan rakyat mahupun kerajaan. Pada Awang, walau apa pun kritikan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan membuktikan bahawa ia responsif kepada reaksi dan suara rakyat.  
Sebelum ini kementerian berkenaan turut membatalkan pelaksanaan cukai pelancongan kepada rakyat tempatan (hanya melibatkan pelancong asing) berikutan maklum balas rakyat dan pelbagai pihak.
Awang percaya isu Imams boleh dijadikan iktibar yang sangat bernilai. Berhati-hatilah untuk mengambil keputusan yang besar implikasinya. Juga, agar lebih menjaga sensitiviti umat Islam. Lihatlah bagaimana umat Islam bersatu menolak sistem itu.

Siakap senohong...
Seorang lagi yang selalu menjatuhkan reputasi PKR dan Pakatan Harapan adalah
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli. Memikirkan hal Rafizi sahaja sudah cukup untuk merumuskan Pakatan Harapan khususnya PKR bukan parti alternatif terbaik kepada Barisan Nasional (BN). Sudah banyak kali beliau dibuktikan memfitnah oleh mahkamah.
Itupun tidak serik-serik dengan terus berbohong kepada rakyat menerusi pelbagai kenyataan liar. Terbaru, Rafizi memfitnah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan kononnya abang  beliau dilantik sebagai kontraktor pelaksana Expo Malaysia. Ternyata dakwaan itu palsu  dan Rafizi mengakui ia tidak benar tetapi enggan memohon maaf kepada Rahman.
Awang lihat tindak-tanduk Rafizi mencela dirinya sendiri.  Banyak pendedahannya didapati dusta. Inikah nilai seorang Ahli Parlimen yang sepatutnya menjaga integriti, bukannya memudaratkan masyarakat. Jenama Rafizi sudah busuk, yang tempoh lima tahun belum tentu boleh pulih.
Kecenderungan ahli politik untuk berbohong boleh menjadikannya pemimpin yang suka menyalah gunakan kuasa dan rasuah jika berkuasa. Bak kata pepatah siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri.

Mata wang kita
Awang ingin mengucapkan tahniah kepada tiga negara serantau iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand atas pelancaran rangka kerja penyelesaian mata wang tempatan. Ia melibatkan kerjasama  Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Indonesia (BI) dan Bank of Thailand (BOT) seperti yang diumumkan baru-baru ini dan berkuatkuasa 2 Januari 2018. Ia merupakan pencapaian besar kepada usaha menggalakkan penggunaan mata wang tempatan secara lebih meluas bagi perdagangan dan pelaburan di ketiga-tiga negara.
Sepatutnya langkah tersebut sudah lama diambil bagi mengelakkan pergantungan kepada mata wang asing terutama Dolar AS sedangkan mata wang tempatan berpotensi berkembang di rantaunya sendiri. Namun belum terlewat untuk mengorak langkah yang Awang percaya akan memberi impak. Negara kita, rantau kita, mata wang kita.

Uniknya Malaysia
Persiapan hotel-hotel dan pusat membeli-belah utama bagi sambutan perayaan Krismas tidak lama lagi, begitu hebat.
Ini meliputi hiasan, saiz rekaan malah bajet lebih besar berbanding perayaan lain seperti  Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru China dan Deepavali. Awang amati perayaan Krismas mendapat perhatian utama  dan diletakkan nilai yang lebih tinggi oleh sektor berkenaan.
Itulah realiti  meskipun penganut yang menyambut perayaan itu tidak seramai umat Islam yang meraikan Aidilfitri misalnya. Pengiktirafan hotel dan pusat membeli-belah terhadap perayaan minoriti itu, begitu dominan. Walau apa pun tafsiran (sama ada selesa atau tidak disebabkan double standard premis berkenaan), ia adalah cerminan keunikan di Malaysia terutama toleransinya.

Ayam MCDonald's
Kegemaran rakyat Malaysia makan ayam terutama di restoran makanan segera makin terserlah dengan sambutan hebat terhadap  ayam goreng McDonald's (McD).
Sejak menu baharu ayam goreng McD diperkenalkan baru-baru ini, restoran itu menjadi tumpuan ramai terutama golongan muda.
Ayamnya lebih rangup, segar dan sedap. Saiz ayam juga lebih besar pada harga lebih murah. Ramai yang beri reviu positif.
Siapa sangka McD yang asalnya terkenal dengan burger dan kentang goreng juga mampu menjadikan menu ayam sebagai tarikan utama di negara ini.
Strategi, kualiti dan inovasi McD sentiasa berhasil, yang Awang ucapkan tahniah.

 

Pencabulan prinsip

Sekali lagi bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad melepaskan kesempatan terbaik untuk tampil rasional pada sisa usia lanjutnya.
Gesaan beliau mahu Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara kerana mendakwa pemimpin PKR itu menjadi mangsa tahanan politik, membuatkan Awang geleng kepala. Apa pun kita perkatakan tentang perubahan luar biasa dan ekstrem negarawan itu, beliau seperti telah hanyut. Dr. Mahathir bukan setakat melakukan pusingan U berulang kali dalam pendirian politik malah istilah yang paling tepat adalah asyik mencabul prinsip. Setahu Awang, tiada bekas ketua kerajaan dalam dunia era moden yang berperilaku begitu.
Manusia apatah lagi pemimpin dihormati kerana prinsip yang dipegang. Prinsip tidak boleh bertukar-tukar semudah mengganti sapu tangan atau seluar dalam. Lebih-lebih lagi dalam soal kritikal melibatkan jenayah, maruah, hak dan kesannya kepada negara serta masyarakat.
Dalam isu Anwar, pemimpin PKR itu dipenjarakan atas kesalahan meliwat ekoran aduan mangsanya, Saiful Bukhari  Azlan. Bukan rahsia lagi bahawa Dr. Mahathir adalah tokoh yang mengheret Anwar ke penjara terlebih dahulu atas akhlak yang buruk dan jenayah seksual. Itulah asas perjuangannya dalam menentang Anwar selama lebih dua dekad.
Campur tangan kuasa luar untuk membebaskan Anwar sebelum ini juga beliau tentang habis-habisan. Maka apabila beliau bersubahat dengan peguam asing, Kimberly Motley mahukan Anwar dibebaskan baru-baru ini, ia hanya menjadi bahan senda selain menjatuhkan lagi imej Pakatan Harapan terutama PPBM yang beliau pimpin. Makin banyak beliau buka mulut, makin banyak masalah menimpa Pakatan.
Masalah besar dengan Dr. Mahathir adalah beliau dipandu dengan emosi liar dan kemarahan menyebabkannya hilang sama sekali elegan seorang pemimpin.
                       

Awang bersimpati dengan nasib menimpa Saiful yang menjadi mangsa kerakusan dua pemimpin, satu kerana nafsu dan satu lagi, budaya politik jelek. Suatu ketika Dr. Mahathir meyakinkan dunia beliau mahu membantu Saiful yang dianiaya Anwar.
Kini Dr. Mahathir pula yang mengkhianati Saiful semata-mata mahu meraih sokongan politik daripada PKR pimpinan Anwar.  Dunia seperti berundur ke belakang - keadilan hanya buat pemimpin hipokrit  bukannya rakyat kerdil. Anehnya Saiful terpaksa menasihatkan bekas Perdana Menteri itu agar menghormati keputusan mahkamah, yang nasihat sama dilaungkan oleh Dr. Mahathir kepada  Anwar dan semua pihak sebelum ini.
Ketika dunia hari ini makin cenderung  membela individu yang menjadi mangsa salah laku dan gangguan seksual, Dr. Mahathir membunuh prinsipnya - tiada belas ihsan. Muka depan Majalah Time bertajuk Person Of The Year terbitan 18 Disember 2017 mengangkat 61 individu yang tampil mendedahkan salah laku dan gangguan seksual sebagai wira dan wirawati majalah itu.
 Situasi Saiful sangat berbeza,  keberaniannya mendedahkan kemungkaran besar dan mahu mendapatkan keadilan serta memperjuangkan kebenaran, berdepan dugaan besar. Namun Awang tetap kagum dengan ketabahan Saiful yang menempuh pelbagai liku termasuk dicemuh sejak menjadi mangsa Anwar pada Jun 2008.
Semoga Allah SWT terus memberikan kekuatan kepada beliau sebagaimana yang selalu diluahkan - yang hak pasti berdiri, yang batil pasti jatuh.
            

Kepada Dr. Mahathir, banyak persoalan berlegar dengan perkembangan terbaru ini. Jika Anwar menjadi tahanan politik seperti didakwa, apakah beliau mahu memohon maaf kepada semua? Apa pun, moga kecelaruan yang dihadapi oleh Dr. Mahathir sekarang di atasi segera sebelum segala-galanya terlewat.
Jangan sampai dipukul penyesalan yang dahsyat kemudian hari.  Renungkan sejenak. Pemimpin  bukan dinilai dengan apa yang dmulakan tetapi apa pengakhirannya.