Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

ANALISIS MINGGUAN - 16 APRIL 2017

POLITIK MATANG
Gambar kemesraan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan, Hishammuddin Tun Hussein pada majlis pancaran jentera Jalinan Rakyat Plus anjuran Wanita UMNO kelmarin, sudah boleh bercerita.

Ia memberi isyarat yang kuat bahawa pelantikan Hishamuddin sebagai Menteri Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri iaitu satu lagi portfolio Kabinet, tidak menimbulkan masalah kepada hubungan akrab mereka berdua. Maka usaha para pemimpin Pakatan Harapan mahu mempolitikkan pelantikan itu bagi kepentingan mereka, hanya sia-sia dan tidak akan berhasil. 

Apa pun analisis dan tafsiran serong, hakikatnya UMNO teguh dan saf parti itu makin rapat. Peringatan Perdana
Menteri, Najib Tun Razak agar tiada siapa cuba melaga-lagakan Zahid dan Hishammuddin adalah mesej jelas. Awang melihat pelantikan Hishammuddin sebagai langkah strategik mengukuhkan lagi Kabinet, yang Najib ada alasan terbaik.

Lagipun adalah prerogatif Perdana Menteri membuat pelantikan, yang dalam hal ini telah berbincang dan mendapat sokongan Zahid (yang kedudukannya tetap status quo dan tidak terjejas.) Pelantikan itu menjelaskan
hierarki dalam parti iaitu bagi kedudukan nombor satu, dua dan tiga. Ia lebih tersusun dan jelas berbanding Pakatan Harapan yang kabur dan saling mencurigai serta berselindung atas nama jawatan penasihat.

Kepada Hishamuddin, tahniah dan ia membuktikan sumbangan belakang tabir beliau dalam beberapa misi diiktiraf. Yang lebih penting, pentadbiran Najib yang dibantu Zahid, menyerlahkan muafakat, solidariti dan kematangan UMNO serta Barisan Nasional. Syukur.

MESEJ PAS

Awang ucapkan tahniah kepada Presiden Pas, Hadi Awang dan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man kerana menang tanpa bertanding bagi kedua-dua jawatan tertinggi parti itu.

Kejayaan tersebut adalah mesej jelas sokongan kuat akar umbi kepada kepimpinan Hadi bagi hadapi PRU-14 dan perjuangkan RUU 355.

Lebih menarik solidariti Pas kali ini lebih kukuh biarpun diasak oleh DAP, PAN, PKR dan Parti Pribumi. Dengan kata lain, usaha mereka untuk melihat Pas lemah dan goyah tidak kesampaian.

Pada Awang perkembangan baharu dalam Pas ini menjadi petanda buruk buat DAP dan sekutunya pada PRU-14 nanti. Bersedialah !

GUAN ENG UNDUR?

Usul bagi menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meletak jawatan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Mei ini dijangka panas.

UMNO yang akan membawa usul itu turut mendapat sokongan ADUN DAP Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu.

Dari awal lagi, pendirian Yee Cheu konsisten bahawa Guan Eng perlu berundur berikutan dakwaan rasuah terhadapnya di mahkamah.

Awang angkat topi kepada Yee Cheu yang bertegas atas nama integriti dan maruah parti. Kewibawaan kerajaan negeri tercemar teruk dan keyakinan terhadap Guan Eng makin hilang, yang menuntut akauntabiliti.

Sebenarnya pandangan Yee Cheu dikongsi ramai ahli dan penyokong akar umbi secara senyap. Dalam hal ini, Awang hairan kenapa Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang juga pemimpin de facto parti itu enggan meminta anaknya bercuti atau digantung jawatan.

Inilah satu lagi cerminan kediktatoran Kit Siang (51 tahun berkuasa), menggunakan kuasa dan pengaruh bagi selamatkan keluarga.

Sama juga dalam peranan menaikkan anaknya menjadi Setiausaha Agung dan Ketua Menteri. Demi Dinasti Lim.

RAJA KEIRIN

Selepas meraih pingat gangsa pada Olimpik Rio, jaguh basikal negara, Azizulhasni Awang membuktikan sekali lagi bahawa beliau adalah kebanggaan negara.

Kali ini lebih hebat, manis dan cukup bersejarah. Azizul, 29, muncul pelumba pertama Malaysia menjuarai acara keirin dalam Kejohanan Trek Dunia di Hong Kong, Khamis lepas. Berita itu menceriakan rakyat Malaysia dan menarik perhatian peminat sukan basikal antarabangsa.

Awang ucapkan tahniah atas kejayaannya yang disifatkan hadiah buat negara. Azizul membuktikan bahawa impian boleh dicapai jika berusaha gigih, berdisiplin tinggi dan tidak mengenal putus asa.

Beliau telah memecahkan batas psikologi bahawa saiz badan yang kecil bukan halangan untuk bersaing dengan atlet bersaiz besar dari Barat. Betapa orang makan nasi lemak dan nasi dagang juga boleh muncul Raja Keirin Dunia dan sukan lain.

Harapan Awang agar lebih ramai Azizul muncul dalam kalangan generasi baharu rakyat Malaysia. Hebat dan terbilang.

DAP DAN ASING

Dakwaan Presiden Pas, Hadi Awang bahawa DAP mengundang campur tangan asing bagi merubah politik negara, menarik perhatian. Awang tidak terkejut kerana hal itu sudah lama menjadi bahan bualan malah bagi sesetengah pihak ia adalah rahsia terbuka.

Sabotaj ke atas negara sendiri terutama ekonomi oleh pemimpin Pakatan Harapan termasuk DAP sudah pun terdedah menerusi media dan laman sosial. Itu yang kita tahu, mungkin banyak lagi yang kita tidak tahu.

Awang percaya jika siasatan menyeluruh dijalankan, banyak lagi misteri akan terbongkar. Bangkai gajah masakan boleh ditutup dengan nyiru.

NILAI RAFIZI

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sudah banyak kali dibuktikan memfitnah oleh mahkamah, dan reputasi buruknya sudah menjadi liabiliti kepada PKR serta Pakatan Harapan.

Gaya politik Rafizi membuat fitnah dan tohmahan sama sekali tidak membantu.

Beliau menambah buruk imej Pakatan Harapan sebagai pembangkang yang gagal dan tidak bertanggungjawab. Lalu bagaimana mahu menjadi alternatif terbaik kepada Barisan Nasional (BN).

Sebab itu dakwaan demi dakwaan beliau termasuk yang terbaru menuduh Presiden Pas Hadi Awang, dan Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa menerima wang daripada dana 1MDB, disifatkan badut politik. Sebenarnya hampir semua pendedahan beliau didapati tidak benar.

Kalau di banyak negara terutama Barat, Ahli Parlimen pembangkang seperti ini dengan mudah ditolak dan dicela oleh masyarakat. Tiada nilai.

KISAH ADAM PKR

Akhirnya Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Adam Rosly, 28, ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan berhubung penggubahan wang haram. Adam yang menjadi perhatian ramai kerana memiliki kekayaan luar biasa, juga sudah bergelar Datuk pada usia begitu muda.

Awang juga tertanya-tanya bagaimana Adam begitu cepat menjadi kaya raya sehingga mempunyai banglo RM4 juta dan beberapa lagi rumah dan kereta, sedangkan sebelum itu dia penghuni setinggan.

Menarik untuk diketahui nanti apakah kekayaan itu ada kaitan dengan gejala rasuah dan salah guna kuasa? Juga apakah melibatkan pemimpin PKR Selangor dan Ampang seperti yang diperkatakan ramai? Kita tunggu kesudahannya nanti.

IKTIBAR NANYANG

Penyiaran kartun oleh akhbar Nanyang Siang Pau yang menghina secara keterlaluan Presiden Pas, Hadi Awang dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia berhubung isu RUU 355, telah mencetuskan kemarahan ramai. Puluhan aduan polis telah dibuat dan bantahan berleluasa sementara Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyiasat mengenainya.

Nanyang telah memohon maaf. Harapan Awang agar penghinaan seperti itu tidak berulang dan dilakukan oleh mana-mana pihak kerana ia boleh mencetuskan ketegangan agama dan kaum. 
Ambillah iktibar.

PARKIR, JALAN LUBANG

Kebanyakan pihak berkuasa tempatan (PBT) makin agresif dalam menguat kuasa peraturan parkir. Unit-unit ronda parkir turut ditubuhkan termasuk oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mudah sahaja untuk kenderaan ditunda dan dikenakan saman. Dalam Awang menyokong ketegasan PBT berhubung soal parkir, menjadi harapan agar pendekatan agresif diambil ke atas isu jalan rosak, berlubang dan tidak diturap kemas.

Sudahlah situasi itu berleluasa, masa diambil untuk respons kepada aduan dan membaikinya, begitu lama. Kenapa tidak wujudkan unit ronda jalan berlubang jika masalah itu sangat serius?

Kini kualiti jalan raya di Lembah Klang makin merosot dan jadi bahan persenda warga kota mahupun diplomat, ekspatriat dan pelancong. Sampai bila keadaan ini berlarutan, entahlah. Awang cuma tertanya-tanya bagaimana mahu menjadi kota metropolitan bertaraf dunia jika hal jalan berlubang pun tidak mampu ditangani.

Malulah PBT kita.

Video Pilihan
Artikel Lain