Ketentuan Allah SWT mengatasi segala-galanya.

Adenan pergi ketika di puncak populariti dan keyakinan rakyat negeri itu. Kewibawaaan, integriti dan gaya kepimpinannya yang tersendiri telah memberi impak.

Walaupun cuma lebih dua tahun menerajui Sarawak, Adenan telah dapat keluar daripada bayang-bayang legasi bekas Ketua Menteri, Taib  Mahmud.

Daripada tokoh yang tidak banyak diberikan harapan, menjelma menjadi permata kepada rakyat. Politik Sarawak yang kompleks menuntut kepimpinan yang kuat seperti era Taib dan Adenan tidak menghampakan.
Maka pemergian beliau  adalah kehilangan besar kepada negara khususnya rakyat Sarawak. Karakter dan kualiti seperti itu sukar dicari ganti.

Awang ucapkan takziah yang mendalam kepada keluarga Allahyarham. Segala jasa, kecemerlangan mahupun auranya akan terakam kemas dalam lipatan sejarah. Al-fatihah.


ERA ABANG JO
Namanya selalu disebut-sebut setiap kali bercakap tentang peralihan kepimpinan masa depan di Sarawak sejak lebih sedekad.

Maka pelantikan  Timbalan Ketua Menteri 11, Abang Johari Abang Openg sebagai Ketua Menteri Sarawak adalah pilihan natural yang diterima rakyat negeri itu.

Awang ucapkan tahniah kepada Abang Johari. Kini segala harapan tersandar kepada beliau untuk meneruskan kecemerlangan Adenan Satem, yang meninggal dunia.

Antara cabaran utama Abang Johari adalah memastikan BN terus teguh dan mencapai prestasi terbaik pada Pilihan Raya Umum ke -14 nanti  yang di Sarawak melibatkan kawasan Parlimen.

Apatah lagi kekuatan BN Sarawak  yang kerap disifatkan sebagai deposit tetap BN  sentiasa dicemburui dan dijadikan sasaran pembangkang.

Namun Awang yakin Abang Johari atas pengalaman, kesabaran dan imejnya yang baik mampu meneruskan kecemerlangan pentadbiran Adenan.  Di mana ada cabaran, di situ ada peluang untuk menyinar. Ini era Abang Jo.
 

CUKUP, CUKUPLAH...
Selasa lepas, pengasas Islamic Hotel, Sheikh Saidey Sheikh Abdul Hamid dan isteri Sofia Affendi, 42, didakwa di mahkamah atas penipuan skim pelaburan tersebut. Akhirnya terheret juga dia ke mahkamah selepas penipuan skim  terbongkar ekoran aduan polis oleh 150 ahli pelaburan. Difahamkan terdapat 150,000 individu menyertai skim itu yang kononnya melibatkan pelaburan pajakan bilik-bilik hotel di tanah suci Mekah.

Awang berharap kes Islamic Hotel menjadi iktibar buat semua agar tidak lagi melabur dalam skim cepat kaya biar atas nama apa pun.

Di sebalik penipuan demi penipuan skim seumpama itu, rakyat Malaysia masih tidak serik- serik. Saban masa ada sahaja skim  baharu dan ramai terus terpedaya kerana naluri mahu cepat kaya dan tamak. Jutaan orang telah menjadi mangsa sejak dekad 80-an lagi melalui skim seperti Pak Man Tello dan pelbagai lagi. Cukup, cukuplah, jangan menghina dan memudaratkan diri sendiri dan keluarga.

Dalam kes skim Islamic Hotel, Awang tertanya- tanya, pasangan itu sahajakah yang didakwa dan bagaimana dengan ramai lagi ejen yang mengutip deposit secara haram terutama yang melarikan wang jutaan ringgit.

Juga, ke manakah kesemua wang keuntungan yang dikatakan mencecah berbilion ringgit.  Sebenarnya banyak persoalan yang belum terjawab.
 

REALITI, HALIMUNAN?
Awang menerima banyak maklum balas positif terhadap tindakan penahanan dan pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas pegawai atasan perkhidmatan awam dan agensi berkaitan kerajaan (GLC) beberapa bulan kebelakangan ini.

Orang ramai malah majoriti penjawat awam yang menolak rasuah dan salah guna kuasa menyambut baik dengan mesej mahu SPRM teruskan pembersihan.

Kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Nila itu pula makin banyak meresap dalam perkhidmatan awam. Integriti bukan untuk dikompromi dan bukan sekadar retorik. Dalam hal ini adalah tidak benar dakwaan pihak tertentu kononnya penjawat awam jadi sasaran SPRM. Realitinya isu rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan sebahagian pegawai atasan adalah amat serius.

 Apakah SPRM sekadar mahu berdiam? Penahanan seorang Ketua Setiausaha, ramai lagi pegawai kanan awam termasuk rasuah luar biasa yang menggemparkan di Jabatan Air Sabah, telah membuka mata masyarakat. Selalu digambarkan bahawa gejala rasuah lebih melibatkan pemimpin politik sedangkan hakikatnya penjawat awam juga ramai yang terpalit.

Maka Awang tidak hairan disebabkan rasuah, ketua agensi, jabatan dan pegawai kanan di kementerian tertentu menjadi Napoleon Kecil yang berkuasa dengan bantuan kartel di luar. Kepada SPRM, tahniah dan usah gentar untuk memberikan impak dalam memerangi rasuah. Cabarannya apa lagi yang kita tidak tahu, dan mengurus persepsi tentang pemberi rasuah asyik terlepas.

Seperti peribahasa "tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi" atau kata ungkapan Inggeris bermaksud perlu dua orang untuk menari tango. Sudah beberapa jerung penerima rasuah terjerat tetapi bagaimana pula jerung-jerung pemberi, halimunankah mereka?
 

FAIZ DAN BOLA
Dengan satu jaringan yang dianggap luar biasa, pemain bola sepak Pulau Pinang, Faiz Subri akhirnya dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016. Kejayaan Faiz membanggakan rakyat Malaysia dan menceriakan rakyat negara ini yang sudah lama dahagakan pencapaian bertaraf antarabangsa.

Lebih manis beliau menewaskan calon lain termasuk bintang-bintang dunia seperti Lionel Messi. Siapa sangka pemain tempatan mampu terjulang dalam persada penghormatan bola sepak antarabangsa. Maka Awang bukan sahaja mahu mengucapkan tahniah malah berterima kasih kepada beliau kerana pencapaian peribadinya itu mengharumkan nama Malaysia yang akan tercatat dalam sejarah sukan tersebut.

Kejayaan Faiz menarik perhatian ramai peminat sukan dunia termasuk negara-negara jiran yang turut berkongsi kebanggaan kerana melihatnya sebagai wakil Asia. Rakyat Malaysia dan peminat sukan dunia tahu menilai. Meskipun ia pencapaian peribadi yang tidak mencerminkan prestasi pasukan negara, ia tetap signifikan kepada Malaysia.

Jika kemenangan itu diperoleh pemain di negara lain yang rating prestasi bola sepak antarabangsa juga rendah, ia pasti diraikan sebagai hero negaranya. Meskipun terdapat pihak yang memberikan komen dengan nada sinis, Awang percaya, ia tidak memberi kesan kepada nilai kejayaan Faiz buat Malaysia. Kejayaan tetap kejayaan.
 

PERANG MULUT...
Di Malaysia, kontroversi bola sepak lebih hebat daripada prestasi dan itulah yang terus mewarnai senario sukan negara. Minggu ini panas dengan isu pertikaman lidah antara pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Annuar Musa. Tuduh menuduh dan saling sinikal dalam reaksi masing-masing. Hal berkaitan penajaan antara yang menjadi isu. Awang melihat jika keadaan seperti ini berlarutan, ia sangat tidak sihat.

Semoga perang mulut antara TMJ dan Annuar dapat dihentikan. Tentu ada jalan penyelesaian yang boleh dirintis demi kepentingan bola sepak negara. Begitu juga dalam soal pemilihan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), yang bahang  perebutan dan percaturan sudah bermula. Semalam Annuar menyatakan sokongan kepada TMJ sebagai Presiden FAM melainkan jika TMJ menolak, beliau bersedia menerajui FAM.

Awang melihat seorang lagi calon kredibel ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin itu sendiri. Menteri Kabinet malah Perdana Menteri (Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Abdul Razak) pernah menjadi Presiden FAM suatu ketika dahulu. Kedudukan Khairy akan banyak membantu selain keprihatinannya kepada isu bola sepak sebelum menjadi menteri lagi dan pernah menjadi Naib Presiden FAM. Lagipun lebih banyak pilihan lebih baik.


BERSARANYA OBAMA
Ucapan terakhir Barrack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat  (AS) pada Rabu lepas menarik perhatian Awang. Menerusi siaran langsung CNN jelas tergambar bahawa beliau adalah pemimpin class act, berkarisma tinggi dan berjiwa besar.

Obama  sedikit pun tidak menyentuh apatah lagi mengkritik Donald Trump iaitu Presiden baharu AS meskipun beliau kerap menjadi sasaran kritikan hartawan tersebut. Obama menutup ruang apabila para penyokongnya melaungkan 'boo' kepada Trump sambil menyatakan "tidak''. Obama mahu kelebihan negara itu dalam peralihan kuasa yang lancar dan tertib dipertahankan.

Beliau turut memberitahu tidak akan terlalu menonjolkan diri bagi memberi ruang kepada penggantinya, Trump sebagaimana Presiden George W. Bush memberi ruang kepadanya selepas meninggalkan White House.

Ucapan tersebut juga menyaksikan Obama benar-benar berorientasikan rakyat.  Antara ungkapannya, beliau belajar setiap hari daripada rakyat  untuk menjadi presiden dan manusia yang lebih baik. Paling Awang teruja apabila Obama secara terbuka menolak diskriminasi terhadap masyarakat Islam di AS,  berbeza dengan  langkah Trump mahu mengharamkan orang Islam memasuki negara itu.

Jati dirinya dalam mempertahankan nilai-nilai AS begitu tinggi. "Musuh kita seperti Rusia dan China tidak boleh mengatasi pengaruh AS di seluruh dunia kecuali jika kita mengalah terhadap apa yang kita pertahankan,'' tegasnya.

Ketika rating Obama naik di hari-hari terakhirnya Trump pula terus bergelut dengan kontroversi dan isu persepsi yang serius termasuk sidang akhbar pertama yang dilihat gagal memikat rakyat AS.

 Sebenarnya banyak yang perlu direnungkan daripada ucapan Obama. Apa pun beliau mencatatkan sejarah bukan sahaja sebagai presiden kulit hitam pertama AS bahkan antara presiden terbaik negara itu pada era dunia yang sangat mencabar ini.
Selamat bersara.