Memandangkan BN parti memerintah dan parti paling besar maka cabarannya juga lebih getir.

Pengerusi BN, Najib Tun Razak dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi serta dibantu pemimpin kanan lain kini dalam proses terakhir memuktamadkan senarai 
calon.

Sebagaimana menjelang PRU-13 pada 2013, senarionya juga sama. Pemimpin-pemimpin bahagian yang namanya digugurkan dan yang tidak dipilih, tidak boleh menerima hakikat. Masalah dengan kebanyakan orang politik, mereka merasakan diri sebagai calon terbaik dan paling layak.

Lalu berulanglah drama untuk membawa rombongan menemui Najib, ugutan untuk menutup bilik gerakan malah mahu memboikot calon serta tidak keluar mengundi. Awang simpati kepada Najib yang juga Presiden UMNO kerana terpaksa menempuh kerenah sebegini di sebalik pelbagai langkah yang telah diambil oleh BN khususnya UMNO untuk meneguhkan jati diri dan solidariti.

Seluruh perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini telah berikrar dan mengaminkan doa yang dipimpin Najib untuk mengutamakan kepentingan parti demi mencapai kejayaan pada PRU-14 yang disifatkan paling mencabar. Dewan Merdeka bergema dengan sorakan padu dan semangat para perwakilan begitu melonjak tinggi.

Namun realiti di Dewan Merdeka tidak sama apabila berada di kawasan masing-masing, lebih-lebih menjelang hari penentuan. Kepada sebahagian ketua bahagian yang mahu mencetuskan masalah, Awang ingin bertanya mana ikrar, sumpah dan aku janji untuk patuh kepada kepimpinan parti dalam soal pemilihan calon. Berilah peluang kepada muka-muka baharu pula bagi meremajakan parti.

Bayangkan kerajaan diterajui Najib telah melancarkan TN50 untuk generasi masa depan tetapi senarai calon nanti tidak ramai orang muda. Ia bermakna tidak selari dan reflektif kepada gagasan TN50 yang mendapat sambutan orang muda.

Begitu juga dalam soal pengagihan kerusi antara komponen BN, biarlah Najib dan Zahid membuat keputusan tanpa ditekan apatah lagi diugut. Tentu semua itu berdasarkan segala pertimbangan dan mengambil kira gambaran besar untuk menjayakan percaturan BN secara keseluruhan.

Dalam hubungan ini Awang tabik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Zainal Abidin Osman yang mengumumkan untuk tidak bertanding pada PRU-14. Beliau mahu memberi laluan kepada calon muka baharu sambil berazam untuk bekerja keras memastikan kemenangan BN di Parlimen Nibong Tebal. Alangkah baiknya jika ramai pemimpin parti mencontohi pendekatan Zainal. Nafsu politik bukan segala-galanya dalam hidup.

CAMPUR TANGAN ASING

PENGAKUAN Dr. Mahathir Mohamad bahawa beliau sememangnya memerlukan bantuan pihak asing dalam gerakan politiknya bagi memenangi PRU-14, tidak mengejutkan.

Sebenarnya beliau telah pun melakukannya secara agresif dengan menemui diplomat, media dan pertubuhan asing.

Awang percaya Mahathir tidak lupa bagaimana beliau melabelkan Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat sebelum ini kerana ghairah mendapatkan campur tangan asing untuk menjatuhkan kerajaan. Kini sejarah berulang dan kali ini Mahathir pula yang mengemis bantuan luar tanpa rasa bersalah.

Persoalannya mengapa beliau tidak yakin sepenuhnya kepada rakyat Malaysia untuk membuat penentuan PRU-14? Ketika negara-negara lain menutup pintu kepada agenda asing termasuk ketika pilihan raya, Mahathir pula mahu menjadi si kitul moden. Dunia oh dunia.

HINA DIPERALAT

SEMALAM, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tentu berbangga apabila mengakui parti itu memang mempergunakan Dr. Mahathir Mohamad bagi menjatuhkan BN pada PRU-14. Awang sedikit pun tidak hairan kerana pernah mengucapkan tahniah kepada bapanya, Lim Kit Siang dalam ruangan ini atas kejayaan menjinakkan Mahathir.

Sebelum ini Mahathir diketahui sebagai musuh utama DAP. Pengakuan Guan Eng menyerlahkan lagi agenda DAP mempergunakan Melayu untuk menjatuhkan kuasa politik Islam dan Melayu. Inilah yang dilaung-laungkan oleh aktivis DAP, Superman Hew Kuan Yaw sebagai strategi parti itu. Kejayaan memperkudakan negarawan seperti Mahathir adalah antara pencapaian terbesar DAP.

Awang simpati dengan beliau kerana memilih jalan yang menghina perjuangannya selama ini pada penghujung usia. Manusia bukan dinilai apa yang dimulakan tetapi apa yang diakhirinya.

ANCAMAN FACEBOOK

AWANG tertarik dengan permohonan maaf Ketua Pegawai Eksekutif Facebook Inc., Mark Zuckerberg terhadap segala kelemahan dan kepincangan rangkaian media sosial itu. Ini meliputi isu salah guna dan manipulasi data, kebanjiran berita palsu, campur tangan asing pada pilihan raya dan sentimen kebencian termasuk melibatkan agama. Pengakuan tersebut disampaikan kepada senator-senator Amerika Syarikat (AS) yang menyoal beliau, yang boleh diikuti siarannya di seluruh dunia. Zuckerberg turut mengakui Facebook tidak bertindak mencukupi menangani ancaman dan permasalahan tersebut. Facebook berdepan dengan tekanan dunia ekoran isu kebocoran maklumat peribadi 87 juta pengguna termasuk yang dikongsi secara tidak wajar dengan firma perunding politik, Cambridge Analytica.

Awang berharap kita semua dapat mengambil iktibar daripada pelbagai kelemahan Facebook (yang turut menyelia aplikasi WhatsApp) yang mampu membawa mudarat kepada privasi pengguna, keselamatan dan keharmonian masyarakat serta negara. Dengan kekayaan melimpah Zuckerberg dan Facebook, permohonan maaf sahaja tidak memadai. Lagipun beliau sudah kerap memohon maaf atas banyak kecacatan Facebook dalam tempoh 14 tahun. Seperti kata-kata sinikal Senator John Thune, kali ini apa bezanya? Pada Awang, cabarannya apa lagi yang kita tidak tahu. Maka apa yang lebih diperlukan adalah kawal selia oleh setiap negara mengikut kesesuaian seperti undang-undang anti berita tidak benar. Lebih daripada itu, Facebook, Instagram dan Twitter tidak boleh lagi dibiar lepas tangan. Sebelum nasi menjadi bubur, bertindaklah.

AGENDA PAUL

SERUAN Biskop Melaka dan Johor, Paderi Bernard Paul agar penganut agama itu mengubah kerajaan pada PRU-14 mencetuskan banyak bantahan. Beliau antara lain menyifatkan ia sebagai gerakan menuntut kemerdekaan yang kedua dalam sejarah negara. Menggambarkan rakyat ditindas oleh kerajaan adalah sentimen berbahaya yang besar implikasinya. Awang berharap umat Islam bertenang.

Usahlah melihat ini sebagai isu agama tetapi lebih kepada keghairahan individu yang kebetulan mempunyai kedudukan, mahu menjayakan agenda serongnya. Inilah yang dikatakan kaduk naik junjung. Paul yang dilaporkan sebagai penyokong penganjur perhimpunan Bersih tajaan pembangkang, tidak seharusnya mengheret agama kepada kancah yang tidak sewajarnya.

Kenyataan beliau kini tular di laman sosial menyebabkan sudah ada yang membuat laporan polis ke atasnya. Maka dengan itu Awang berharap agar pihak berkuasa menjalankan siasatan kerana terdapat unsur hasutan yang boleh mencetuskan ketegangan agama jika tidak ditangani dengan tegas dan cepat. Lebih dikhuatiri akan ada pihak menangguk di air keruh menggugat keharmonian masyarakat majmuk.

Kegagalan untuk bertindak akan memberi mesej yang salah dan bercelaru seolah-olah Paul di pihak yang benar. Bertindaklah.

TETAP HEBAT

WALAUPUN legenda skuasy, Nicol David gagal meraih emas dan jaguh badminton, Lee Chong Wei tidak kesampaian sumbang pingat emas acara berpasukan untuk negara, Awang tidak mahu berasa kecewa. Kedua-duanya sudah lama mengharumkan nama Malaysia dengan pencapaian cemerlang di arena antarabangsa.

Terimalah hakikat faktor usia tidak memihak kepada Nicol, 35, dan Chong Wei, 36, meskipun telah berusaha keras mengekalkan prestasi. Walaupun kedua-dua gagal menyinar pada Sukan Komanwel kali ini dan dilihat isyarat awal persaraan, Awang tetap berbangga dengan mereka. Nicol sememangnya legenda yang pastinya sukar dicari ganti.

Beliau muncul pemain skuasy wanita paling banyak memenangi kejuaraan dunia iaitu sebanyak lapan kali. Nicol dinobatkan pemain terbaik dunia sebanyak lima kali, memenangi dua pingat emas Sukan Komanwel dan lima pingat emas Sukan Asia. Chong Wei juga tidak kurang hebat.

Lima kali dipilih sebagai pemain terbaik dunia; tiga pingat perak Sukan Olimpik; tiga kali naib juara dunia; dua kali juara Asia, 12 gelaran Siri Super Premier Dunia dan 30 gelaran Siri Super Dunia. Awang paparkan sepintas lalu rekod Nicol dan Chong Wei untuk memperlihatkan mereka telah banyak menelurkan pingat termasuk emas dan memerahkan 'susu kejayaan' buat negara.

Maka berlakulah adil dalam menilai pencapaian mereka kebelakangan ini. Janganlah ketika menang dijulang, apabila kalah pula dicebik malah dicela. Cabaran besar buat Malaysia selepas ini, mampukah kita melahirkan bintang sehebat Nicol dan Chong Wei yang dicemburui dunia? Atau ia hanya akan tinggal sejarah untuk sekadar dikenang?