Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

ANALISIS MINGGUAN - 14 MEI 2017

SEMBOYAN UMNO
Sambutan ulang tahun UMNO ke-71 pada 11 Mei lalu yang dihadiri lebih 150,000 orang memperlihatkan parti itu berada pada tahap solidariti terbaik. 

Suka atau tidak untuk diakui, kepimpinan Presiden UMNO, Mohd. Najib Tun Razak adalah antara faktor UMNO berada pada kedudukan teguh hari ini. Biarpun berdepan gelombang asakan pembangkang sejak beberapa tahun lalu, UMNO tidak goyah malah masih menjadi parti terkuat dalam Barisan Nasional (BN). 

Kepimpinan Najib telah teruji dan ketahanan UMNO sekali lagi terbukti. Syukur UMNO masih jadi pilihan utama orang Melayu. Tahniah juga kepada ahli-ahlinya yang memilih kesetiaan dan muafakat sebagai teras bagi memastikan UMNO menjadi wadah strategik demi agama, bangsa dan negara. 

Awang lihat sambutan ulang tahun kali ini adalah semboyan perang UMNO selaku peneraju BN bagi menghadapi PRU-14.

Ketika Pakatan Harapan bergelut dengan pelbagai isu, masalah dalaman dan perhimpunan-perhimpunannya yang hambar serta kurang mendapat sokongan ahli, ternyata UMNO lebih ke hadapan.

 Perkembangan ini adalah petanda buruk buat Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP. Lebih-lebih lagi selepas Pas meninggalkan pakatan tersebut dan terbaharu, memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR. 

Namun Awang berharap UMNO dan para pemimpinnya tidak berasa selesa dan mengambil mudah. 

Cabaran lebih besar nanti ialah memenangi hati rakyat pada PRU-14 dengan segala macam kompleksiti yang melingkari. Realiti di Stadium Bukit Jalil tentu tidak sama pada hari pengundian. Perjalanan masih berliku, selamat berjuang.

 

DILEMA FAM

Kebimbangan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor (TMJ) , Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap situasi di Korea Utara ada asasnya. 

Walaupun ada jaminan daripada pihak berkuasa sukan di negara itu, Awang setuju, ia tidak cukup menyakinkan bagi menjamin keselamatan rakyat Malaysia.

FAM kini dilanda dilema berikutan keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia ( AFC) bahawa aksi kelayakan Piala Asia 2019 bagi Kumpulan B antara Malaysia dan Korea Utara di Pyongyang pada 8 Jun depan. 

Sekiranya Malaysia enggan beraksi di sana, Korea Utara akan diberikan kemenangan percuma 3-0 dan Malaysia akan didenda sehingga AS$50,000 ( RM218,000).

Hubungan diplomatik Malaysia dan Korea Utara tegang selepas pembunuhan Kim Jong Nam di KLIA 2 pada 13 Disember lalu, yang menggemparkan dunia. 

Awang berharap akan ada penyelesaian terbaik (jika rayuan untuk bermain di gelanggang neutral gagal) kepada dilema ini dengan mengambil kira risiko keselamatan. Jauh di sudut hati, alangkah baik jika skuad Harimau Malaya dapat bermain di Pyongyang. Di sebalik cabaran diplomatik, sukan boleh meredakan bahkan dapat menyatukan negara yang berbalah. 

Jika dalam filem, ia akan menjadi babak kemuncak. Namun realiti dalam berdepan situasi keselamatan, adalah berbeza. Awang percaya sekiranya Malaysia menarik diri daripada beraksi di sana, ia juga bukan masalah besar. Sekalipun diisytihar tewas dan didenda, akurlah sahaja. Kesannya pula kepada diplomatik?

Biarlah proses pemulihan hubungan kedua-dua negara mengambil masa kerana luka masih basah. Keselamatan skuad bolasepak Malaysia juga adalah kedaulatan dan lebih utama. Tiada kompromi. 



BUANG YANG KERUH

Insiden pemandu kereta yang membunyikan hon sewaktu solat Jumaat di Surau Austin Perdana, Johor Bahru sehingga mencetuskan kekecohan telah berakhir dengan damai. 

Pemandu kereta itu, Toh Chai Eun, 28, telah memohon maaf dalam pertemuan melibatkan beberapa pihak termasuk jawatankuasa surau. Tindakan Chai Eun itu disambut dengan positif. Buang yang keruh ambil yang jernih. 

Awang bersyukur kerana insiden itu dapat diselesaikan dengan baik dan kesungguhan yang diperlihatkan oleh semua pihak. Ia telah memecahkan batas psikologi betapa insiden yang mudah memercikkan ketegangan kaum, boleh ditangani asalkan semua pihak bertenang, rasional dan matang. 

Semoga insiden itu meninggalkan iktibar buat kita semua supaya lebih menjaga sensitiviti kaum dan agama. Berhati-hatilah.


DI MANA BUMU DIPIJAK...

Sukar untuk percaya bagaimana DAP boleh membenarkan wakil rakyatnya, ADUN Pujut Dr. Ting Tiong Choon mempunyai dua kewarganegaraan. Selain warganegara Malaysia, rupa-rupanya dia juga warganegara Australia dan turut mendaftar sebagai pengundi di negara itu. Awang geleng kepala. 

Itulah yang berlaku sehingga akhirnya memaksa Dewan Undangan Negeri Sarawak melucutkan keanggotaannya mengikut Perkara 17 (1) ( g) Perlembagaan Negeri. Para pemimpin DAP galak memainkan tohmahan termasuk kononnya terdapat 40,000 pendatang asing sebagai pengundi hantu pada PRU 13.

 Juga banyak cubaan menggagalkan pelaburan besar dari luar sedangkan ADUN sendiri memegang dua kerakyatan. Pada Awang, tidak seharusnya ada cacat cela dalam soal jati diri dan kenegaraan apatah lagi pada peringkat pemimpin dan wakil rakyat. 

Dalam hal ini, Dr. Tiong Choon dan DAP harus bertanggungjawab dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia khususnya pengundi di Punjut. 

DAP sendiri wajar memecat atau setidak-tidaknya menggantung Dr. Tiong Choon bagi memberi mesej jelas kepada semua bahawa parti itu tidak berkompromi dalam soal paling asas. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.


HANNAH DAN DAP

Pengakuan pemimpin DAP Selangor, Hannah Yeoh bahawa beliau dibantu oleh gerakan Kristian dari segi dana mahupun kempen, menjadi bahan bualan di laman media sosial. 

Hannah (Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor dan ADUN Subang ) dalam buku yang baru dilancarkan, juga mengaku bagaimana beliau menggunakan kedudukan politik untuk berdakwah bagi Kristian.

Seruannya kepada ahli-ahli Felo Kristian Seberang Laut khususnya dan penganut agama Kristian umumnya juga begitu jelas. Hannah mengajak mereka mengikut jejak langkah beliau menceburkan diri dalam bidang politik bagi membina semula Malaysia mengikut acuan agama Kristian. 

Awang harap ia tiada kaitan dengan pendedahan menggemparkan tentang majlis anjuran pemimpin DAP pada 2013 yang menyaksikan perisytiharan mahu menjadikan Pulau Pinang dan Malaysia negara Kristian. 

Dalam isu pengakuan Hannah, Awang mahu merumuskan bahawa banyak komen di laman sosial mempersoalkan DAP yang selama ini melaungkan prinsip sekularisme dalam perjuangan politik parti itu. Kononnya bagi DAP, Malaysia adalah negara sekular maka urusan politik perlu dipisahkan daripada urusan agama. Kononnya lagi, pihak yang mahu mencampurkan urusan agama dan politik seperti UMNO dan Pas perlu ditentang habis-habisan. 

Tetapi kini terbukti pemimpin DAP mencampurkan urusan politik dan agama. Selain itu, Awang berpendapat, pengakuan Hannah itu sesuatu yang serius dan menyentuh soal sensitiviti agama kerana Islam adalah agama rasmi Persekutuan. (Pun begitu, agama lain berkembang pesat di negara ini malah rumah ibadat begitu banyak mengatasi masjid dan surau di banyak kawasan). 

Ketika masyarakat pelbagai agama hidup harmoni, para pemimpin politik perlu berhati-hati agar tiada sebarang unsur provokasi yang memudaratkan.

 Hakikatnya, Hannah makin membuka mata kita tentang DAP. Renungkanlah. 


AHOK, MALAYSIA

Setelah tewas dalam Pilihan Raya Gabenor baru- baru ini, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok menerima satu lagi tamparan besar apabila dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan menghina al-Quran. 

Siapa sangka begitulah nasib seorang pemimpin yang sebelum ini diangkat dan diberi peluang oleh penduduk Jakarta yang majoriti Islam.

Kesilapan terbesar Ahok adalah mencampuri urusan agama Islam malah menghina al-Quran hanya kerana kepentingan politik dan dirinya. Bukan Islam yang memanipulasi Islam dan tidak menjaga sensitiviti agama pasti mengundang padah. 

Itulah pengajaran paling bernilai bukan sahaja kepada Ahok, masyarakat Indonesia bahkan kepada kita semua termasuk di Malaysia. Umat Islam yang terkenal dengan toleransi kepada etnik lain sebagaimana juga negara jiran itu, akhirnya bangkit dan bersatu menolak Ahok. 

Tindakan tegas pihak berkuasa Indonesia mendakwa Ahok (yang kemudian dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh mahkamah), membuka mata banyak pihak. 

Awang berharap pihak berkuasa Malaysia mencontohi ketegasan seperti itu demi menjaga keharmonian dan kestabilan masyarakat majmuk. Cukuplah satu kes Ahok, jangan sampai gelombangnya merebak di Malaysia. 


PERAGUT...

Insiden seorang pelancong wanita dari China yang sedang berswafoto di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur diragut seorang penunggang motosikal, menarik perhatian Awang.

Video kejadian itu bukan sahaja tular di Malaysia malah di luar negara khususnya China. Memori indah yang mahu dirakamkan di Dataran Merdeka bertukar trauma. Seperti biasa, akan ada pihak menangguk di air keruh menggambarkan seolah-olah Malaysia tidak selamat untuk pelancong asing.

Apa pun, Awang berharap kita mengambil iktibar daripada kes ragut seumpama itu. Jika tidak dibendung ia boleh menjejaskan usaha kerajaan menarik ramai pelancong termasuk melalui promosi yang menelan kos besar. 

Antara langkah yang wajar diambil ialah meningkatkan pengawasan polis di lokasi-lokasi tumpuan pelancong asing. Ini masa untuk lebih agresif menangani gejala ragut. 
Bertindaklah sebelum golongan penjenayah itu, mensabotaj pula industri pelancongan kita.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain