Lebih banyak reaksi negatif daripada rakyat berbanding positif. Bahkan sebahagian pemimpin Pakatan, ramai ahli dan penyokongnya  menolak Dr. Mahathir. 

Awang percaya para pemimpin utama Pakatan telah tersilap percaturan dan perlu membaiki keadaan bagi mengelak padah lebih besar. 

Senario ini jauh bezanya berbanding tempoh menjelang PRU-13 pada 2013 iaitu tiada isu besar seperti Dr. Mahathir dan solidariti pembangkang agak baik sewaktu itu. 

Kini segala liabiliti Dr. Mahathir sepanjang 22 tahun berkuasa antaranya pelbagai skandal, kepincangan dan pendekatan kediktatoran atau Mahathirisme, telah beralih dan kini dipikul oleh Pakatan. 

Banyak media asing dalam laporannya sinis dan mempersoalkan langkah tersebut sambil meramalkan peluang Pakatan untuk menawan Putrajaya adalah tipis. Awang melihat pemilihan Dr. Mahathir sebagai calon

Perdana Menteri kitar semula pada usia 92 tahun sebagai petanda buruk buat negara dan memberikan mesej yang salah kepada rakyat.  Ia memperlihatkan Pakatan terdesak, ketandusan pemimpin dan langkah berundur ke belakang – memburukkan jenama Pakatan. 

Itu belum menyentuh soal pembahagian kerusi  yang mencetuskan perbalahan baharu selain menyaksikan DAP untung besar. Ternyata Dr. Mahathir dipergunakan bagi terus memecah-belahkan Melayu demi mencapai agenda agung DAP. 

Inilah kisah si kitul moden, yang majoriti Melayu dan bumiputera tidak akan relakan ia berlaku pada PRU-14. Maka Dr. Mahathir juga perlu bersedia jika Pakatan kecundang, yang kebarangkaliannya besar. Apakah beliau akan menerima sekiranya ditawarkan sebagai Ketua Pembangkang atau menolaknya? Ketika Pakatan terus dalam kekalutan, Perdana Menteri Najib Tun Razak menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah. Sudah tentu
antara doanya agar Barisan Nasional (BN) yang dipimpin beliau menang PRU-14 walau apa pun dugaannya. Semoga dimakbulkan.


Musuh Guan Eng...
Projek terowong dasar laut di Pulau Pinang, yang mencetuskan bantahan pelbagai pihak dan rakyat negeri itu antaranya kerana kos yang tidak masuk akal, akhirnya disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Banyak perkara tidak kena dan mencurigakan yang menjadi bualan rakyat kini mula terbongkar dengan penahanan reman dua individu bergelar Datuk. Seramai 12 individu telah memberikan keterangan dan dijangka lebih ramai akan ditahan berhubung projek bernilai RM6.3 bilion itu. 

Awang ucapkan tahniah kepada SPRM atas tindakan pantas selepas dua  aduan  dibuat baru-baru ini.  Ia satu lagi tamparan kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng selepas beliau sendiri dihadapkan di mahkamah atas dakwaan rasuah. Panas, panas, panas...Inilah akibat jika tidak mendengar suara rakyat. Musuh utama Guan Eng bukan pihak lain tetapi keangkuhannya sendiri. 


MH370: Mustahilkah
Pelantikan syarikat  penerokaan dasar laut yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Ocean Infinity Limited bagi meneruskan misi mencari pesawat MH370 di Lautan Hindi, membuka harapan baharu. Dengan kepakaran dan teknologi termoden dimiliki Ocean Infinity, peluang menemui pesawat itu kembali terbuka selepas lama buntu dan kelam. 

Awang teruja kerana Malaysia belum berputus asa untuk memecahkan misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370  pada 8 Mac 2014,  yang menggemparkan dunia. 

Ia bukan semata-mata soal memenuhi harapan keluarga mangsa, ia juga soal mencari jawapan apa sebenarnya yang berlaku dan soal maruah Malaysia sebagai negara berdaulat. Walau apa pun rintangan, teruskan berikhtiar dan berdoa. Awang yakin hasilnya akan positif dan tiada yang mustahil. 

Sayap DAP?
Teguran tokoh peguam, Jahaberdeen Mohamed Yunoos terhadap Majlis Peguam yang dilihat lebih terarah menyokong pembangkang dalam tindak-tanduknya, menarik perhatian. 

Awang bersetuju 100 peratus dengan segala hujah Jaharbadeen ketika menjadi ahli panel sesi bertajuk Majlis Peguam: Campur Tangan Dalam Demokrasi baru-baru ini. 

Rakyat boleh menilai bagaimana Majlis Peguam kerap kali menyalahgunakan demokrasi untuk agenda politiknya. 

Malah Awang lihat Majlis Peguam tidak ubah seperti sayap politik kepada pembangkang terutama DAP. Hairan bagaimana badan guaman itu boleh menyokong perhimpunan haram Bersih, mempertahankan Ketua

Menteri Lim Guan Eng tidak bercuti atau berundur selepas didakwa di mahkamah dan pelbagai kenyataan menyokong pembangkang. 

Berbeza di negara-negara lain, Majlis Peguam mereka lebih profesional, tidak memihak dan adil. Anehnya di Malaysia, Majlis Peguam kita asyik bertindak mencemari  badan guaman itu sehingga tidak lagi dipandang tinggi dan dipercayai  oleh rakyat. Memalukan.  

Iktibar Farid
Insiden seorang pelakon, Farid Kamil yang menampar anggota polis, memukul orang awam dan didapati positif dadah pada Khamis lalu mengejutkan ramai. Ia bukan lakonan di set penggambaran tetapi kisah nyata yang memalukan. 

Tidak silap Awang, pertama kali terjadi seorang selebriti mengkasari polis di negara ini dan ia perbuatan yang sangat serius. 

Sebagai selebriti, Farid sepatutnya menjadi teladan yang baik kepada masyarakat terutama golongan muda, bukan sebaliknya. Apatah lagi beliau baru sahaja dianugerahkan gelaran Dato pada 16 Disember. 

Kini Farid yang direman kelmarin, telah menerima padahnya. Semoga ini menjadi iktibar buat semua. Segala bakat dan kejayaan sebagai pelakon dan pengarah filem yang dibinanya pada usia muda, dimusnahkannya sendiri. Nampaknya seorang lagi artis tanah air hanyut kerana pengaruh dadah. Siapa pula selepas ini?

Ahmad dan komplot?
Rakyat Malaysia terutama peminat sukan sepak takraw telah bosan dengan pelbagai isu dan kerenah kepimpinan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM). 

Maka apabila Presidennya, Ahmad Ismail mendakwa terdapat komplot mahu menjatuhkan beliau ekoran pengguguran sepak takraw sebagai sukan teras oleh Majlis Sukan Negara (MSN) selain tidak dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak, ramai yang mencebik bibir. 

Isu pokok yang sebenar adalah prestasi buruk PSM di bawah teraju beliau selama 15 tahun, yang sepatutnya beliau mengambil tanggungjawab penuh dengan berundur.

Nasihat Awang kepada Ahmad janganlah terus dibelenggu sindrom penafian dan asyik mahu mengalih isu sebenar. Awang tabik Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kerana ada keberanian untuk membetulkan
keadaan yang menteri-menteri sebelum ini tidak lakukan ke atas PSM. Penawarnya memang perlukan langkah yang drastik seperti diambil oleh MSN. Harap-harap Khairy tegas dan tidak tunduk kepada apa sahaja tekanan Ahmad. 

Bukan silap
Satu laporan dalam Utusan Online mengenai kenyataan Naib Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting mengundang kekeliruan sebahagian pembaca. Ada yang menghubungi Awang menyatakan terdapat kesilapan gambar seorang  wanita disiarkan sebagai Naib Ketua Pemuda. 

Sebenarnya tidak berlaku kesilapan pada gambar mahupun laporan. Sememangnya Naib Ketua Pemuda MCA itu adalah seorang wanita - sesuatu  yang janggal  tetapi itulah yang berlaku sejak 2013. Ramai terlepas perhatian ketika perubahan tersebut dibuat. Ia antara lain bagi menggalakkan wanita muda dan gadis menyertai pergerakan pemuda memandangkan parti itu tidak mempunyai sayap seperti Puteri UMNO. 

Mungkin penggunaan nama Orang Muda lebih sesuai dan tepat berbanding Pemuda bagi mengelakkan kekeliruan. Namun pada Awang mengekalkan status yang ada ini pun bukan masalah besar.
Yang penting Siaw Ting membuktikan beliau mahu berbakti dalam politik walaupun dikuasai lelaki.