Beliau mencatatkan sejarah menyandang jawatan itu buat kali kedua iaitu selepas 15 tahun. Dr. Mahathir juga memecahkan rekod  menjadi Perdana Menteri tertua di dunia pada usia 92 tahun. Apa yang sebelum ini diramalkan sukar berlaku telah menjadi kenyataan. Malah keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) menyaksikan kejutan besar dengan kejayaan Pakatan Harapan yang menggunakan logo PKR menawan Kerajaan Pusat. 

Penguasaan BN yang diketuai UMNO selama enam dekad akhirnya lebur. Pakatan Harapan memperoleh 113 daripada 222 kerusi Parlimen termasuk di Langkawi yang dimenangi Dr. Mahathir.  Rakyat telah pun membuat penentuan yang kita semua harus hormati atas nama demokrasi. Berilah peluang kepada Dr. Mahathir dan kerajaan baharu membuktikan kemampuan pada era mencabar ini.

HarapaN rakyat kepada kerajaan pimpinan Dr. Mahathir adalah terlalu tinggi, lebih-lebih lagi banyak janji yang ditawarkan. Rakyat menghitung hari untuk menikmati pemansuhan GST, tol, PTPTN, pemberian biasiswa, menstabil harga  minyak di bawah paras RM1.50 dan banyak lagi janji. Ini berbeza ketika beliau mula-mula menjadi Perdana Menteri pada 1981 yang tidak diwarnai dengan pelbagai janji. Satu lagi cabaran Dr. Mahathir ialah beliau kini mentadbir kerajaan di dalam era media sosial berbanding ketika kali pertama menjadi Perdana Menteri. Walaupun berpengalaman luas selama 22 tahun, situasi jauh berlainan dengan rakyat semakin kritis, berani dan bertindak sebagai wartawan di media sosial atau citizen journalism. 

Apatah lagi di seluruh dunia gerakan pembangkang adalah satu trend dan mempunyai kelebihan untuk membentuk persepsi rakyat sementara sebagai kerajaan banyak  kekangannya. 

Dengan perkataan lain,  lebih mudah, seksi dan macho menjadi pembangkang berbanding kerajaan. Realitinya Pakatan Harapan bukan lagi pembangkang termasuk di Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah selain
Wilayah Persekutuan. Tanggungjawab, amanah dan akauntabiliti terpikul sepenuhnya di bahu Perdana Menteri dan kerajaan. Atas faktor itu Awang menasihatkan pihak yang menang jangan terlalu gembira sementara yang kalah usah berduka.

Hidup ini termasuk keputusan PRU-14 umpama roda, adakalanya  di bawah dan adakalanya di atas. Dengan kata lain kerajaan Pakatan Harapan tidak boleh melakukan banyak kesilapan.

Gagal melaksanakan janji akan membawa padah. Juga terbukti rakyat tidak akan terikat kepada rasa terhutang budi. Ambillah iktibar bagaimana rakyat boleh menjatuhkan hukuman, yang selepas ini giliran siapa pula? 

Pada Awang, strategi terbaik adalah melaksanakan  pendekatan yang benar-benar memenangi hati rakyat dan bukannya lebih menonjolkan sisi untuk melepaskan dendam serta  geram kepada musuh politik. Inilah masa untuk menyatukan semula rakyat dan janganlah ulangi sejarah keangkuhan sesiapa pun. 

Bukan semua orang mendapat peluang seperti Dr. Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri buat kali kedua bagi menebus segala kesilapan dan mendapat penghormatan pada usia yang sangat lanjut. Walaupun menang besar gabungan Pakatan Harapan belum teruji sebagai kerajaan dan mudah rapuh untuk dilanda konflik. 

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang Dr. Mahathir ketuai hanya parti yang rendah kerusi Parlimen berbanding PKR dan DAP. Tidak sama senarionya ketika beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dengan UMNO yang dipimpinnya ketika itu sepanjang masa mempunyai jumlah kerusi terbesar sebagai sandaran. 

Sukar untuk meramal apa yang akan berlaku selepas ini - mempunyai tiga pemimpin yang pernah saling bermusuhan iaitu Dr. Mahathir, Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim (yang akan bebas daripada penjara selepas mendapat pengampunan) dalam satu gelanggang - tidak akan menjadikan sesiapa selesa. Apa pun marilah kita melihat ke hadapan dengan harapan kerajaan baharu ini benar-benar jauh lebih baik daripada kerajaan BN dan bukan sebaliknya.


Kabinet Dr. M
Tidak lengkap juga sekiranya Awang tidak mengucapkan tahniah kepada Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan. 

Beliau turut mencipta sejarah menjadi wanita pertama yang menyandang jawatan tersebut. 

Sekalung tahniah kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang dilantik sebagai Menteri Kewangan, Presiden PPBM Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri dan Presiden Parti Amanah, Mohamad atau Mat Sabu sebagai Menteri Pertahanan. 

Ini kali kedua tokoh bukan Melayu menyandang jawatan Menteri Kewangan selepas Tan Siew Sin. Hal ini percaturan dan prestasi terbaik DAP. (DAP mendapat sokongan besar kaum Cina. Kaum lain berpolitik menguntungkan kaum dan agama mereka, Melayu pula berpolitik merugikan kaum sendiri.) Cuma Guan Eng dilantik ketika beliau masih dalam pendakwaan di mahkamah atas tuduhan rasuah. Pemilihan Muhyiddin pula memang tepat dengan pengalaman luasnya dalam Kabinet termasuk sebagai Timbalan Perdana Menteri. 

Paling menarik perhatian pelantikan Mat Sabu sebagai Menteri Pertahanan yang mengundang banyak reaksi negatif orang ramai. Selepas ini jeneral dan para pegawai kanan tentera akan tabik kepada beliau yang diwarnai beberapa kontroversi. Ini termasuk mengangkat pejuang komunis sebagai wira yang menghiris hati anggota pasukan keselamatan.  

Pada peringkat ini, Awang tidak mahu ulas panjang termasuk soal ketokohan dan kesesuaian untuk jawatan itu. Berilah peluang kepada Mat Sabu dan kita nilailah kemudian. Manalah tahu beliau boleh menjadi Menteri Pertahanan yang hebat!


UMNO bangkit?
Kelmarin, UMNO menyambut hari ulang tahun ke-72 iaitu dua hari selepas kerajaan BN diketuai UMNO ditumbangkan dalam PRU-14. Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, sambutan kali ini paling hambar akibat terpukul kejutan besar. 

Tentu UMNO merasa perit dan sakit selepas hilang kuasa Kerajaan Pusat dan tewas di beberapa negeri termasuk Johor, negeri kelahiran UMNO. Dalam hayatnya, inilah dugaan terbesar UMNO,  yang mencetuskan persoalan tentang masa depan parti itu. 

Ketika ramai meramalkan parti itu akan berkubur selepas ini dengan pelbagai hujah, Awang yakin UMNO akan bangkit semula kerana penolakan terhadap parti itu bersifat sementara. UMNO sebenarnya terperangkap dengan banyak isu terutama integriti pemimpin, serangan persepsi dan kebencian keterlaluan serta gejala cah keting dalam parti. Maka parti itu perlu melakukan muhasabah dan pembetulan demi memulihkan kekuatan dan pengaruhnya. 

Semakin banyak suara kedengaran mahukan peralihan kepimpinan dalam parti dilakukan segera bagi menjenamakan semula UMNO, yang Awang fikir itulah yang sewajarnya. 

Presiden UMNO, Najib Tun Razak sedar hakikat itu dan telah mengumumkan peletakan jawatannya  semalam. 

Ini menepati reaksi pertamanya selepas keputusan PRU-14 yang mengambil tanggungjawab penuh. Awang yakin Timbalan Presiden, Ahmad Zahid Hamidi yang akan menjalankan tugas sebagai presiden akan melakukan apa sahaja langkah bagi memulihkan UMNO. 

Beliau akan dibantu oleh Hishammuddin Tun Hussien yang diberi kepercayaan menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden. Cabaran yang menanti Zahid dan Hishammuddin selain pemimpin muda seperti Khairy
Jamaluddin tentunya besar dan kompleks namun sinarnya tetap ada. Inilah masa untuk UMNO kembali merapatkan saf dan melakukan pembaharuan dengan memberi laluan kepada pelapis di semua peringkat. 

Pada firasat Awang, orang Melayu akan sekali lagi menjadikan UMNO sandaran masa depan sekiranya melihat kesungguhan parti itu untuk berubah. UMNO belum kalah semua apatah lagi rangkaian akar umbinya masih kukuh. 

Maka lakukan apa sahaja yang terbaik bagi menawan semula  hati rakyat terutama orang Melayu pada PRU-15. Tempoh lima tahun tidak lama. 


Provokasi
Awang sangat terganggu dengan banyak reaksi  penyokong Pakatan Harapan terutama bukan Islam yang melakukan provokasi ke atas Raja-Raja Melayu. 

Komen-komen liar dan maki hamun termasuk ke atas Yang di-Pertuan Agong menjadi-jadi dalam media sosial. Apakah ini yang dimahukan daripada kejayaan Pakatan Harapan? Awang berharap pihak berkuasa bertindak segera bagi membendung sentimen itu jangan sampai membawa mudarat. 

Pada masa yang sama para pemimpin Pakatan Harapan termasuk DAP sewajarnya membuktikan komitmen untuk menjunjung institusi Raja Melayu dan Perlembagaaan Persekutuan. Demi negara. 


Rasuahkah?
Tindakan lima  calon UMNO yang menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) meliputi Johor dan Perak selain dua di Sabah melompat parti, agak mengejutkan. 

Kesemua terlibat memberikan pelbagai alasan bagi mewajarkan tindakan mereka yang bercanggah dengan penentuan dan pengundi masing-masing. Tetapi inilah realiti politik, pengkhianatan menjadi mainan untuk kepentingan peribadi.

Awang sekadar senyum. Jika calon Pakatan yang menang melompat menyertai BN, pastilah gegak gempita dituduh rasuah dan salah guna kuasa. Sekarang persoalannya siapa yang rasuah?