Rakyat Malaysia dikejutkan minggu ini dengan kemelut pengurusan Felda Global Venture (FGV) yang membawa kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Persoalan utama apakah kesudahannya selepas ini? Awang tertanya-tanya apakah pengurusan tertinggi FGV akhirnya akan diheret ke muka pengadilan?

Jika berdasarkan siasatan awal SPRM, terdapat beberapa bukti berlaku kepincangan dan salah guna kuasa yang serius. 

Siapa sangka krisis yang bermula dengan pertembungan antara Pengerusi FGV, Isa Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif, Zakaria Arshad membawa kepada pembongkaran salah laku dalam FGV terutama urus niaga tertentu.

Tindak balas Zakaria yang mendakwa teraniaya selepas diminta oleh Isa agar meletakkan jawatan, lalu menggesa SPRM menyiasat FGV, menggemparkan ramai. Empat pengurusan kanan termasuk Zakaria kemudian diarah bercuti bagi membolehkan siasatan dalaman. Dalam pada itu, langkah Kabinet melantik Idris Jala sebagai orang tengah bagi menyelesaikan krisis tersebut, memberi isyarat kuat kepada pengurusan FGV. Sudah tentunya tumpuan lebih besar kepada siasatan SPRM.

Selepas Zakaria dipanggil membantu siasatan pada Khamis lepas, Isa pula akan dipanggil sebagai saksi utama oleh SPRM. Atas kertas dan berdasarkan perkembangan siasatan, Isa akan menghadapi cabaran besar - mampukah beliau bertahan atau sebaliknya. Sudah ada pihak menggesa Isa meletakkan jawatan atau bercuti tetapi disanggah oleh Pengerusi FGV itu kerana menurutnya tiada keperluan berbuat demikian. 

Nasib Zakaria pula bagaimana, tersungkurkah atau terselamat. Kisah FGV ini menuntut renungan tentang isu integriti, perang dunia korporat, isu campur tangan berlebihan pengerusi dalam operasi dan risiko ke atas badan bukan kerajaan (GLC) seperti FGV iaitu operator perladangan terbesar di dunia. Apa pun, semua pihak perlu bertenang dan biarlah hasil siasatan SPRM dan Idris Jala menentukan penyelesaiannya. 

Selepas ini, biarlah hanya ada satu nakhoda dalam kumpulan besar Felda iaitu Pengerusinya, Shahrir Samad supaya jelas hala tuju dan lancar perjalanan pengurusan. Shahrir turut bersuara, jangan ada sindrom penafian dalam FGV terhadap masalah yang dihadapinya.

Awang sangat berharap episod hitam FGV ini dapat ditutup segera bagi memulakan fasa baharu ke arah FGV yang lebih berwibawa dan meyakinkan. Bagi mengelakkan mudarat lebih besar, penyelesaiannya bukan lagi untuk menjaga hati sesiapa.


QATAR, IKTIBAR

Tindakan Arab Saudi, Bahrain, Emeriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Yaman memutuskan hubungan dengan Qatar mencetuskan krisis diplomatik yang besar implikasinya. 

Libya dan Maldives turut mengambil langkah sama. Kesemua negara itu mendakwa Qatar menyokong pengganas dan pelampau termasuk kaitan dengan Kumpulan Ikhwanul Muslimin serta al-Qaeda. Walaupun Qatar menafikannya, negara itu terus berdepan tekanan. Terbaharu, Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir mengeluarkan senarai 59 orang pengganas yang dilindungi Qatar termasuk pemimpin Ikhwanul Muslimin, Yusof al-Qaradawi.

Awang terganggu dengan perkembangan tersebut ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut bulan suci Ramadan. 

Sepatutnya Ramadan mengeratkan lagi hubungan persaudaraan dan ikatan ummah termasuk negara-negara Islam, bukan sebaliknya. 

Apa yang tercetus membawa umat Islam di ambang perpecahan lebih meluas. Awang berharap negara-negara berkenaan yang terlibat dengan konflik itu mencari jalan penyelesaian terbaik biar apa pun kompleksiti dan cabarannya. 

Jika ia tidak ditangani dengan bijaksana, Awang pasti ada pihak akan menangguk di air keruh dan mendapat keuntungan daripada percaturan untuk melihat negara-negara Islam terus lemah. Kemusnahan yang melanda Iraq, Mesir, Libya dan Syria yang sehingga kini terus sengsara, sepatutnya menjadi pengajaran yang sangat bernilai. 

Kegagalan untuk belajar daripada sejarah menjadikan umat dan negara Islam lebih rapuh kepada kejatuhan. Berwaspadalah. Jangan membuka satu lagi pintu kepada kemusnahan, yang pasti dahsyat padahnya. Siapa yang akan puas tersenyum melihat perpecahan dan kemusnahan itu nanti?
 

TERIMA KASIH

Ancaman pengganas terutama Daesh menyebabkan banyak negara termasuk Malaysia memperhebatkan pengawasan keselamatan. 

Awang bersyukur kerana pihak berkuasa kita telah menangani dengan baik ancaman tersebut dengan pendekatan pre emtif. Setakat ini, individu meliputi ahli dan penyokong Daesh telah ditahan, yang jumlah itu membimbangkan. 

Memandangkan trend serangan pengganas seperti di London, Jakarta, Bangkok dan ekoran konflik di Marawi, selatan Filipina, kesiapsiagaan dilipatgandakan terutama pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Lebih 40,000 pegawai dan anggota polis serta ribuan lagi anggota tentera akan bertugas pada musim perayaan tersebut.

Tumpuan pengawasan tentera adalah di wilayah bersempadan dengan selatan Filipina dan Thailand. Kali ini, lebih banyak langkah tambahan diambil bagi menjamin keselamatan dan menghadapi sebarang kemungkinan. 

Tidak perlu menunggu pada Hari Raya Aidilfitri, Awang ingin terlebih dahulu menzahirkan setinggi penghargaan kepada pasukan keselamatan.

Pengorbanan mereka amat besar maknanya kepada keamanan tanah air.
Lebih-lebih lagi dalam berdepan ancaman Daesh yang tidak ubah musuh halimunan yang sangat berbahaya. Cabarannya apa lagi yang kita semua tidak tahu dan risiko kejutan yang menanti. Maka berwaspada, bersatu dan teruslah berdoa demi tanah air tercinta ini.
 

ANWAR DAN REALITI

Di sebalik kerahan ibu pejabat PKR menghimpunkan seramai mungkin ahli-ahli dan penyokong parti itu menyertai demonstrasi kempen bebas Anwar di Mahkamah Kuala Lumpur kelmarin, sambutannya begitu hambar. 

Jumlah yang hadir hanya kira-kira 50 orang meskipun sasaran ditetapkan ribuan orang terutama daripada cabang PKR dari Lembah Klang. 

Pada Awang, ia mesej jelas buat semua betapa kempen bebaskan Anwar bukan sahaja ditolak oleh rakyat malah tidak lagi diterajui oleh ahi-ahli PKR. 

Ternyata jenama Anwar sebagai pemimpin politik yang telah terjejas teruk antara lain kerana isu akhlak dan percaturan politik sumbang bersama DAP, sukar untuk dipulihkan. Era beliau sudah berlalu. 

Lebih-lebih lagi dengan tiadanya sokongan Pas yang telah keluar daripada Pakatan Harapan. Semua orang tahu, para pengikut Pas selama ini memenuhi demonstrasi dan perhimpunan menyokong Anwar tetapi kini tidak lagi. Dengan perkembangan terbaru ini Awang lihat ia satu lagi petanda buruk buat Anwar dan juga PKR. Realiti sudah berubah.


MENTERI MAT SABU

Belum pun selesai kecelaruan isu siapa bakal Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang PRU-14 kini timbul Kabinet separuh bayangan.

Awang hanya senyum apabila Presiden PAN, Mohamad atau Mat Sabu dicalonkan sebagai Menteri Pendidikan dan Presiden PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Kewangan.

Hal itu didedahkan oleh pemimpin muda PKR, Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard, baru-baru ini. 

Setakat ini, tiada sebarang penafian daripada Pakatan Harapan mahupun kedua-dua pemimpin berkenaan. 

Jika Wan Azizah dan Mat Sabu khususnya, dijadikan sandaran Pakatan Harapan bagi dua jawatan penting kabinet itu, apa hendak dikatakan lagi. Wan Azizah dikenali pemimpin kaku dan mengikut telunjuk. Mat Sabu pula 'hebat' dengan banyak kontroversi. Berharap sahajalah agar Wan Azizah boleh menyinar sebagai Menteri Kewangan dan Mat Sabu menjadi Menteri Pendidikan yang terbaik.


EMOSI FARIZAL

Penggantungan 12 bulan perlawanan ke atas penjaga gol JDT, Farizal Marlias oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kelmarin, wajar diambil iktibar oleh semua pemain bola sepak.

Farizal, 30, turut didenda AS$40,000 (RM170, 626) selepas didapati bersalah mengasari pengadil perlawanan ketika perlawanan JDT-Ceres Negros FC ( Filipina) pada siri AFC Cup 31 Mei lalu.

Perlawanan itu menyaksikan JDT tewas 1-2. Bukan sahaja digantung perlawanan, Farizal perlu melunaskan denda yang besar nilainya. Hanya seminit dua mengikut amarah, padah dan harga yang terpaksa ditanggung cukup menyakitkan. Mengkasari pengadil adalah kesalahan besar dalam peraturan perlawanan bola sepak, yang semua pemain patut sedar.

Apa pun nasi sudah jadi bubur. Awang bersimpati sambil menasihatkan kepada para pemain bola sepak seperti Farizal, belajarlah mengawal emosi walau sehebat mana sekalipun pemain itu. Bukankah musuh utama adalah diri kita sendiri...
 

BERSYUKURLAH

Sekeping gambar sudah cukup menceritakan segala-galanya. Awang tersentuh dengan menatap gambar ini. Kanak-kanak berebut-rebut mendapatkan bantuan makanan untuk berbuka puasa yang disumbangkan oleh sebuah badan amal di Jalalabad, Afghanistan, Khamis, lepas. 

Di Malaysia, syukur, umat Islam begitu makmur termasuk pada Ramadan. Tahun lalu, sebanyak 270,000 tan makanan yang tidak diusik dan boleh dimakan semula, terbuang begitu sahaja pada bulan puasa. Banyak majlis berbuka puasa yang Awang hadiri atas undangan - itulah juga keadaannya - juadah berlebihan sehingga ada yang melimpah.

Ramadan sebenarnya menuntut umat Islam bersederhana dan bukannya medan atau pesta pembaziran. Kedaifan yang mencengkam umat Islam di banyak pelosok dunia terutama di kawasan konflik, sepatutnya membuat kita lebih insaf.