LANGKAH kerajaan melancarkan Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) 2.0 baru-baru ini seperti yang dijanjikan, adalah satu lagi khabar  gembira buat rakyat Malaysia pada tahun 2018. 
Ia  adalah lanjutan kepada KR1M dengan pelbagai langkah penambahbaikan antaranya  harga yang lebih murah daripada pasaran. 
Menerusi KR1M2, tiada lagi kedai khusus sebaliknya berkonsepkan rakan kongsi kepada pasar raya. Sebelum ini, harga barangan di KRIM yang dikendalikan oleh Mydin  didapati lebih mahal daripada pasaran termasuk di premis pasar raya tersebut. Ini berdasarkan kajian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri  dan Kepenggunaan (KPDNKK) selain maklum balas pelbagai pihak dan orang ramai. Pada Awang, KR1M adalah inisiatif yang baik namun pelaksanaannya mencetuskan isu menyebabkan kontrak Mydin akhirnya ditamatkan. 
Walaupun Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin memberikan alasan tertentu namun realitinya pengguna tahu menilai. Perdagangan runcit di negara ini berkembang pesat iaitu hampir 12 peratus pada 2017 (RM410.5 bilion) berbanding 2016  (RM367.7 bilion). Jual beli melalui online melonjak mencerminkan kemampuan membeli rakyat Malaysia yang lebih baik. Kini fasa KR1M kendalian Mydin telah berlalu yang Awang berharap kita semua ambil iktibar. Biarpun Ameer dan Mydin setakat ini tidak mengambil tanggungjawab atas kelemahan tertentu pelaksanaan KR1M, marilah kita melihat ke hadapan. Yang pasti KR1M 2.0 memperlihatkan komitmen  tinggi kerajaan pimpinan demi rakyat dan pengguna. Semoga KR1M 2.0 memberi lebih impak. 

SANDIWARA JALEK
AWANG tidak pasti sama ada Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Rafizi Ramli benar-benar mengambil pengajaran daripada keputusan Mahkamah Sesyen baru-baru ini. 
Rafizi dijatuhi hukuman penjara 30 bulan  (menunggu rayuan ) selepas didapati bersalah mendedahkan maklumat perbankan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA), enam tahun lepas. Ia satu lagi tamparan besar buat Ahli Parlimen Pandan itu, PKR dan Pakatan Harapan. 
Inilah akibat jika pemimpin terlalu ghairah membuat dakwaan tanpa berpegang kepada rasa tanggungjawab. Sekiranya maklumat perbankan tidak lagi dijamin kerahsiaan, ia  akan mengakibatkan sistem perbankan di negara ini tidak selamat dan tidak boleh dipercayai. Implikasinya besar. Inikah nilai seorang pemimpin politik yang sepatutnya menjaga integriti dan bukannya memudaratkan sistem perbankan dan ekonomi.  
Rafizi tidak boleh berselindung dengan alasan kononnya untuk menjaga kepentingan awam bagi mewajarkan perbuatannya melanggar undang-undang. Turut didapati bersalah kerana bersubahat dengan Rafizi adalah bekas kerani Public bank, Johari Mohamad dalam isu kontroversi National Feedlot Corporation (NFC). Beberapa keputusan mahkamah dan isu sebelum ini berakhir, juga dengan tidak memihak kepada Rafizi termasuk terpaksa memohon maaf atas pembohongan. 
Maka berhentilah meroyan menyalahkan pihak lain atas hukuman penjara yang dikenakan. Cermin diri dan hormati mahkamah serta hak perundangan orang lain. Sudah banyak kali beliau dibuktikan memfitnah, putar belit  dan mentohmah sehingga jenama Rafizi dan partinya , rosak teruk. Pemimpin  dinilai dengan kata-kata yang benar dan bukan sebaliknya. Pengakuannya sebelum ini bahawa kerja beliau memang menghasut rakyat bagi menjatuhkan kerajaan, menyerlahkan siapa sebenarnya Rafizi. 
Sudah terang  lagi bersuluh. Rafizi sendiri tidak telus dalam mengendalikan Invoke yang kutipan wang awam dilakukan secara tidak telus dan dipersoalkan banyak pihak. Nasihat Awang kepada Rafizi, hentikan sandiwara jelek menagih simpati, yang rakyat sudah meluat.  Sudah-sudahlah...

SENJATA DAP?
SEORANG lagi yang hebat bersandiwara adalah Penasihat DAP, Lim Kit Siang. Terbaru beliau menyatakan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dijangka paling kotor dalam sejarah pilihan raya di negara ini. 
Awang sudah tidak larat geleng kepala. Itulah modal lapok yang beliau kitar semula setiap kali menjelang pilihan raya umum. Hakikatnya  DAP dan parti sekutunya dalam pembangkang yang mengamalkan taktik paling kotor. Ini meliputi sabotaj ekonomi, menghasut, pelbagai tohmahan dan fitnah. 
Masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia bagaimana Red Bean Army dipercayai tentera  siber DAP melambakkan berita palsu, rasis selain sentimen kebencian melampau terhadap kerajaan pimpinan orang Islam. Antaranya fitnah terdapatnya 40,000 pengundi hantu diterbangkan khas dari Bangladesh dan penipuan pengiraan undi kononnya ketika bekalan elektrik sengaja diputuskan. 
Awal tahun lalu, terdapat lagi tuduhan pemimpin Pakatan Harapan kononnya 700,000 pengundi hantu dari China akan dibawa masuk ke Johor semasa PRU-14. Begitu juga gambar jari-jari palsu dari China ditular bagi tujuan penipuan ketika hari mengundi dikesan, yang sebenarnya pembohongan besar. Demokrasi ada hadnya. 
Apa yang Awang boleh rumuskan Pakatan Harapan yang diketuai DAP makin terdesak menjelang PRU-14 kerana sedar realiti kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus diberi mandat dan kuasa oleh rakyat. Lebih-lebih lagi undang-undang baharu bagi mengekang berita palsu dari perspektif ancaman keselamatan kepada negara, akan dibentangkan di Parlimen untuk dikuatkuasakan tidak lama lagi. 
Kini arus kuat menyaksikan rakyat bersatu untuk menolak gejala berita palsu terutama berkaitan politik yang makin keterlaluan dan menjijikkan. Di Malaysia, parti pembangkang tertentu disifatkan sebagai kilang berita palsu.  
Maka tidak hairan Kit Siang kepanasan kerana beliau tahu nasib yang bakal menanti keluarganya - Dinasti Lim jika gelombang berita palsu tidak lagi mampu menjadi senjata. 

GANTUNG SAJAKAH?
APA yang  menjadi cakap-cakap sebelum ini bahawa terdapat syarikat ejen yang berurusan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terlibat seludup barangan dan palsukan dokumen, akhirnya terbongkar. 
Sebanyak 31 syarikat ejen telah digantung lesen oleh JKDM kerana didapati seludup barangan berduti tinggi seperti rokok, minuman keras, kenderaan selain dadah. 
Inilah yang dikatakan harapkan pegar, pegar makan padi. Tahniah kepada Ketua Pengarah Kastam, T. Subromaniam atas tindakan tersebut, yang sepatutnya telah lama diambil oleh JKDM. Pada Awang, perbuatan 31 syarikat ejen itu bukan sahaja jenayah komersial malah sabotaj kepada ekonomi negara. 
Di sebahagian negara seperti di China, gejala sedemikian dikenakan hukuman paling tegas. Tiada kompromi sama sekali. Sebab itu Awang berharap JKDM bukan sahaja menggantung malah mendakwa syarikat-syarikat ejen berkenaan untuk memberi mesej kepada semua. Termasuk orang dalam yang bersubahat memanipulasi apa sahaja kelemahan dan kelompongan dalam sistem JKDM. Bersihkan habis-habisan. 

LELAKI OH LELAKI
PENGERUSI Permodalan Nasional Berhad (PNB), Abdul Wahid Omar membangkitkan isu pencapaian lelaki yang kurang cemerlang bermula di sekolah hinggalah universiti, baru-baru ini. 
Awang sebenarnya sudah lama berkongsi kebimbangan dengan beliau tentang isu tersebut yang makin dilihat kritikal. Realitinya, pencapaian akademik pelajar perempuan jauh lebih baik dan menguasai dua pertiga jumlah pelajar di universiti. Persoalannya, bagaimana masa depan belia lelaki dan implikasinya kepada negara kerana gagal memanfaatkan segala sumber potensi, bakat terbaik dan produktiviti. 
Dalam melangkah untuk menjadi negara maju, Malaysia perlu mempunyai keseimbangan dalam pencapaian semua golongan dan gender supaya tiada yang ketinggalan. Itu belum menyentuh gejala ramai lelaki yang terbabit dengan najis dadah, jenayah, kongsi gelap dan meringkuk di penjara. Selalu juga didengar nada sinikal wanita tentang sukarnya mencari pasangan lelaki berkualiti di negara ini. Lelaki oh lelaki. Maka Awang setuju dengan Wahid, sesuatu perlu dilakukan sebelum ia menjadi lebih parah. 

AZMIN DAN AIR
PAPAN iklan di atas menarik perhatian Awang. Dalam keghairahan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali mempromosi dirinya melalui iklan (walaupun disifatkan kurang turun padang oleh rakyat negeri itu), ia mengundang tanda tanya. 
Iklan mengenai  sumbangan 20 meter padu air percuma turut memaparkan gambar beliau dan tiga wanita muda. Awang hairan mengapa hanya wanita muda  yang diberi perhatian sedangkan air adalah keperluan semua golongan. Sepatutnya paparkan sama wajah keluarga, wanita lanjut usia dan kanak-kanak. Apakah Azmin lebih berminat kepada wanita muda berhubung inisiatif tersebut?
Kandungan papan iklan seperti itu hanya membuka kepada tafsiran serong. Apatah lagi Azmin sedang terpalit dakwaan skandal  tertentu, yang tidak perlu Awang huraikan. Cukup sekadar senyum. 
              

Bekalan 20 meter padu air percuma bernilai sekitar RM10 sebulan bagi setiap akaun atau rumah. 
Ia masih gagal menyaingi sumbangan BR1M sebanyak RM1,200 bagi individu,  yang bermakna pecahannya RM100 sebulan. 
BR1M adalah subsidi bagi golongan sasaran sementara air percuma tidak tersasar malah boleh mendorong pembaziran terhadap air. (Isu air yang utama adalah Selangor kerap menghadapi masalah bekalan air terpotong dan tidak cukup sehingga menjadi rungutan utama rakyat. Itu belum menyentuh senarai panjang isu lain termasuk membatalkan enam projek rumah rakyat seperti yang dijanjikan.) Mesej yang Awang mahu sampaikan janganlah sekadar mahu membantu rakyat bagai lepas batuk di tangga dan bermusim sifatnya. 
Nampaknya iklan lebih gah daripada realiti. 
         

TARIK BALIK GELARAN ...

LANGKAH Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V  menarik balik Darjah Kerabat (D.K) Yang Amat Di-Hormati (Al-Yunusi) yang dianugerahkan kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)  Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini, tidaklah mengejutkan. 
Walaupun tiada sebarang penjelasan mengenai sebab ia ditarik balik, Awang percaya sudah tentu ia ada kaitan dengan sesuatu yang serius dan boleh mengundang kemurkaan. 
Sehari sebelum itu dua pemimpin PAN, Husam Musa dan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah hilang gelaran Datuk selepas Sultan Muhammad V mengambil tindakan yang sama. Jika tidak silap, Dr. Mahathir merupakan bekas Perdana Menteri yang pertama ditarik gelaran daripada Raja dan Sultan. Sebelum ini beliau memulangkan darjah kebesaran daripada Sultan Selangor selepas ditegur dengan keras oleh baginda berhubung isu menghina etnik Bugis. 
Perkembangan terbaru ini memperlihatkan beberapa pemimpin utama Pakatan Harapan yang diketuai DAP gagal membina hubungan baik dengan istana. Walau apapun tafsiran, Yang di-Pertuan Agong telah memberi mesej yang tegas dan jelas buat semua. Renungkanlah.