Langkah Naib Presiden UMNO, Hishammuddin Tun Hussein yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden untuk tidak bertanding jawatan pusat pada pemilihan parti 30 Jun ini agak mengejutkan ramai.
Rata-rata reaksi dalam kalangan ahli UMNO menyifatkannya  suatu kehilangan.  Apatah lagi ketika parti itu perlukan seluruh kudrat kepimpinan bagi melakukan kebangkitan selepas kecundang PRU-14.
Keputusan tersebut diumumkan beberapa hari selepas bekas Menteri Pertahanan itu kembali daripada menunaikan umrah.
Awang percaya apa pun tafsiran, Hishammuddin pasti  mempunyai alasan yang kukuh. Ini termasuk bagi memberi ruang kepada pemimpin lain bagi sesi pemilihan 2018-2021.
Beliau telah memberikan mesej yang jelas iaitu UMNO memerlukan pembaharuan sebagai mengambil iktibar daripada keputusan PRU-14.
Walaupun tidak bertanding jawatan di pusat, Hishammuddin berikrar akan bekerja lebih keras dan fokus membantu pemulihan UMNO, yang pasti melegakan ramai.
Pada Awang, keputusan Hishammuddin itu harus dihormati malah beberapa penganalisis termasuk Dr. Azmi Hassan menyifatkannya  sebagai wajar diteladani.
Perkembangan tersebut menamatkan spekulasi yang Hishammuddin akan bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Ini bermakna setakat ini Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Hasan menawarkan diri untuk jawatan itu.  Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa juga mahu bertanding jawatan itu. Masing-masing mempunyai pengaruh tersendiri. Khabarnya ada lagi yang berminat, kita tunggu?

 

UMNO bangkit?
Musim Hari Raya Aidilfitri ini adalah tempoh yang sibuk bagi UMNO yang akan mengadakan pemilihan pada akhir Jun ini.
Memandangkan semua jawatan dipertandingkan, lebih ramai calon telah menawarkan diri bagi semua jawatan.
Demam pemilihan yang melanda parti itu dengan sendirinya mula dilihat sebagai permulaan untuk mencari hala tuju selepas UMNO hilang kuasa pada PRU-14.
Awang ingin memetik tulisan Pengarang Berita The Malaysian Insight, Noor Azam Shairi baru-baru ini. “ Pakatan Harapan sekarang ini masih lagi boleh berbulan madu. UMNO belum betul-betul jadi pembangkang. Tetapi sebulan dari sekarang apabila UMNO sudah selesai memilih ketua baharu, sudah mula ternampak hala tuju, bersiap-siaplah. Ketika itu nanti Pakatan Harapan tidak boleh lagi terus terbelit dalam masalahnya sendiri - namakanlah ia apa sahaja, baik politik tunjuk kuasa atau politik rebut kuasa.”
Awang setuju. UMNO hanya kalah PRU-14 tetapi belum hilang segala-galanya. BN diterajui UMNO masih mempunyai 79 kerusi Parlimen. UMNO sendiri memiliki 54 kerusi , tertinggi berbanding parti-parti lain termasuk PKR, DAP dan PPBM. Dalam PRU-14, majoriti orang Melayu menyokong BN dan UMNO iaitu 46.29 peratus berbanding Pakatan Harapan (25.47 peratus) dan Pas (28.14 peratus). Dengan banyak isu yang kebelakangan ini meresahkan orang Islam dan Melayu, UMNO dan Pas semakin menjadi sandaran. Kehilangan kuasa pada UMNO mulai dirasai dan diinsafi ramai orang  Melayu. Seperti Awang tulis minggu lalu, ambillah iktibar dan belajar daripada Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun.
Parti itu yang memerintah sejak tahun 1955 kecundang pada pilihan raya  2009 kepada Parti Demokratik Jepun (DPJ). Maka ramai penganalisis meramalkan era LDP sudah berakhir. Namun selepas tiga tahun iaitu pada pilihan raya 2012, LDP menang dan kembali berkuasa.
Maka pemilihan  kali ini akan menjadi pemangkin kepada UMNO membina kekuatan baharu di sebalik apa pun dugaan. Yang penting pada Awang, parti itu mesti memperlihatkan kesungguhan untuk berubah kerana penolakan kepada UMNO bukan bersifat kekal.  Marah dan merajuk orang Melayu terhadap UMNO tidak lama.

 

Pulanglah ...
Awang tidak bersetuju dengan tindakan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Jamal Md. Yunos melarikan diri ke luar negara.
Mereka yang dicari oleh pihak berkuasa sepatutnya pulang sahaja ke tanah air bagi membantu apa sahaja siasatan dalam kes yang dikaitkan. Lagi cepat Musa dan Jamal menyerah diri serta bekerjasama dengan pihak polis, lagi cepat isu mereka boleh diselesaikan.
Tindakan melarikan diri hanya akan memburukkan keadaan dan menjejaskan lagi imej masing-masing. Musa selaku pemimpin UMNO di Sabah tidak sewajarnya meninggalkan tanggungjawabnya kepada parti dalam keadaan ahli terkapai-kapai. Beliau sepatutnya memimpin UMNO Sabah mengharungi cabaran, bukannya sebagai orang yang kelihatan dua kali kalah kerana gagal menerima realiti.
Begitu jugalah pendirian Awang terhadap beberapa individu yang dicari oleh pihak berkuasa Malaysia berhubung siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Mereka iaitu ahli perniagaan kontroversi Jho Low atau nama sebenarnya  Low Thaek Jho, Tan Kim Loong ( rakan niaga), Pengarah Urusan SRC International Sdn. Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Halmi dan tokoh perbankan Goldman Sachs, Roger Eng. Lebih-lebih lagi waran tangkap dan notis merah Interpol telah pun dikeluarkan ke atas mereka.
Kelmarin Jho Low melalui peguamnya menyatakan kesediaan membantu siasatan. Awang harap beliau tampil segera bagi menamatkan segala teka-teki dan kebuntuan. Kepada kesemua yang berkenaan, hadapi sahaja proses mencari keadilan ini dan sebarang kemungkinannya - dengan yakin dan tanpa gentar. Lambat-laun semua itu akan berlaku jua.

 

68 jawatan
Prinsip Awang mudah, yang baik harus diakui baik. Begitulah dengan beberapa langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad minggu ini.
Ketika sebahagian inisiatif dipersoalkan ramai dan sebahagian janji yang belum ditunaikan, ada beberapa langkah lagi dilihat positif.
Antaranya pegawai kerajaan tidak dibenarkan memegang lebih daripada lima jawatan dalam syarikat milik kerajaan (GLC). Awang tersentak apabila mendapat tahu seorang pegawai memegang 68 jawatan dalam pelbagai syarikat. Umpama super hero melaksanakan sebegitu banyak tugas. Ini bukan pendekatan yang efisien. Isunya ialah bagaimana pegawai kanan awam itu dapat memberi tumpuan terbaik kepada tugas hakikinya.
Selain itu ia mengehadkan peluang dan potensi lebih ramai pegawai lain untuk menyandang kedudukan dalam GLC. Juga pelbagai lagi kesan negatif sehingga mewujudkan apa yang dianggap sebagai Napoleon Kecil. Sebelum ini sudah ada rungutan malah kesedaran berkaitan isu tersebut tetapi tiada tindakan diambil. Dengan apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir berhubung isu itu sebenarnya ia tidaklah rumit untuk diperbetulkan.

 

Ancaman serius...

Apa yang dikhuatiri akan berlaku, kini sudah berlaku.  Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu diasak dengan gejala penghinaan, yang belum  pernah disaksikan dalam sejarah.
Daripada pelbagai komen liar dan  maki hamun dalam laman sosial hinggalah kepada tulisan tokoh dan reaksi pemimpin Pakatan Harapan – ia ancaman serius kepada kedudukan Raja-Raja kita. Awang menyertai majoriti rakyat Malaysia sedih dengan gejala ini yang jika tidak dibendung segera akan mengundang padah kepada keharmonian  negara.
Siapa pernah menduga bahawa perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong dan Istana Negara boleh didedahkan pada khalayak bertujuan membangkitkan kebencian dalam kalangan rakyat kepada Seri Paduka. Kegagalan untuk bertindak dalam isu ini akan memberikan mesej yang salah kepada rakyat Malaysia seolah-olah era pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan membuka laluan dan mengizinkan semua itu.
Selepas ini perbelanjaan raja negeri mana pula yang akan menjadi sasaran pendedahan? Selepas ini berapa banyak komen jelek lagi, mungkin ribuan yang akan disiarkan menerusi media dan laman sosial tanpa tindakan tegas?
Selepas ini berapa ramai lagi yang mahu mendesak Ketua Polis Negara, Fuzi Harun  agar tidak meneruskan siasatan dan tindakan ke atas pendedahan dan tulisan bersifat hasutan terhadap Raja kononnya atas nama kebebasan? Selepas ini apa provokasi dan tekanan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja seolah-olah golongan pembesar itu kini menjadi belasahan umum atas motif politik?
Apa, apa dan apa lagi selepas ini? Awang melihat semua ini sebagai pencerobohan-pencerobohan kecil yang membentuk gelombang pencerobohan besar terhadap kedaulatan institusi Raja-raja Melayu.
Apabila perkembangan mendadak ini berlaku, persoalan yang berlegar apakah gejala menggugat institusi raja itu menjadi sebahagian daripada ciri Malaysia baharu?
Awang tidak fikir ini yang dimahukan oleh rakyat Malaysia yang telah membuat penentuan pada PRU-14. Ramai pengundi sekadar mahu menukar kerajaan tetapi bukan mandat untuk menjadikan Malaysia negara republik sebagaimana agenda Malaysian Malaysia tajaan DAP.
Berdasarkan reaksi pelbagai pihak dan masyarakat yang mahukan ketegasan, Awang berharap Fuzi dan pihak berkuasa tidak tunduk demi melaksanakan tanggungjawab memelihara keamanan dan mendokong Perlembagaan. Bendunglah sentimen anti-Raja ini sebelum membawa mudarat  besar. Kemarahan dan rasa tidak puas hati rakyat terhadap gejala menghina Raja-raja Melayu ini tidak boleh diambil mudah. Juga sudah sampai masanya kerajaan Pakatan Harapan memperlihatkan keazaman tinggi menyantuni dan menjaga institusi raja. Ia dengan sendirinya akan dapat meredakan keadaan sambil membuka ruang lebih besar kepada rakyat terutama orang Melayu  untuk menyokong Pakatan Harapan.
Harus diingat Pakatan Harapan tidak mendapat sokongan majoriti orang Melayu  pada PRU-14 iaitu sekadar 25.47  peratus. Maka janganlah memandang ringan suara orang Melayu secara keseluruhan yang boleh bangkit bersatu demi mempertahankan institusi Raja. Apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita  tindakan pihak yang menghina serta menghasut rakyat membenci institusi raja, ia memerlukan langkah susulan yang menyeluruh. Baginda menyeru gejala itu yang turut dilakukan oleh segelintir orang Melayu dihentikan.
Hakikatnya semakin ramai orang Melayu termasuk pemimpin dan tokoh sudah galak berbuat demikian hanya kerana motif politik, dendam dan dicengkam pemikiran liberal. Malah rasa hormat dan kesetiaan kepada Raja-raja Melayu makin terhakis. Ada pihak yang senyum puas dan tidakkah ini petanda buruk?