Tidak perlu orang lain menjatuhkan lagi reputasi Dr. Mahathir Mohamad, cukup dengan kenyataan demi kenyataan yang dibuatnya kebelakangan ini. Terbaru, dakwaan beliau kononnya pemberian BR1M kepada rakyat adalah rasuah mengundang bantahan pelbagai pihak, daripada rakyat sehinggalah kepada pemimpin dan mufti.
Lebih-lebih lagi kepada rakyat penerima BR1M, apa yang Mahathir lemparkan itu suatu penghinaan sedangkan rakyat berhak menerima bantuan seperti itu yang cukup bermakna. Mesej semua kepada Mahathir, BR1M bukan rasuah. Awang sedih kenyataan seumpama itu datang daripada seorang negarawan yang pernah 22 tahun menjadi Perdana Menteri. Usahlah merapu iaitu bercakap secara tidak rasional disebabkan amarah dan dendam.  
Salahkah kerajaan meringankan beban golongan rakyat berpendapatan rendah, yang bukan kaya seperti Mahathir dan keluarganya. Untuk apa menafikan hak rakyat?
Walaupun BR1M diperkenalkan pada era Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak, beliau seharusnya berlapang dada memperakukan kebaikannya. Bantuan itu adalah konsisten, bukannya bermusim.   
Ramai pemimpin pembangkang termasuk Presiden PKR, Dr. Wan Azizah bersikap realistik dengan menyanggah kenyataan Mahathir berhubung isu tersebut.
Cuma beberapa kerat termasuk Menteri Besar Selangor, Azmin Ali juga Timbalan Presiden PKR, menyokong Mahathir. Awang percaya jika Azmin mahu menghentikan BR1M di Selangor, rakyat akan bangkit menentang kerana merampas hak mereka. Lagipun bantuan BR1M bukanlah menyamai banyak bailout menelan puluhan bilion ringgit ketika era pentadbiran Mahathir - diperoleh pihak tertentu sahaja. Sebaliknya BR1M adalah sumbangan untuk kesejahteraan rakyat, yang kaedah itu dipuji serta diperakukan oleh institusi kewangan dunia.           
Janganlah Mahathir menjatuhkan keyakinan diri untuk bersaing politik dengan Najib hanya kerana faktor BR1M. Atau itu bertujuan mencari alasan memandangkan gerakan politiknya yang tidak mendapat sambutan rakyat. Isu lebih besar adalah bagaimana Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang diasaskannya dapat membina keyakinan rakyat dengan perspektif yang realistik dan terbaik. Awang tertarik dengan komen ADUN Ketereh, Md. Alwi Che Ahmad yang meminta Mahathir kembali ke pangkal jalan supaya rakyat menghormatinya sebagai negarawan.
Beliau menyifatkan tindak-tanduk bekas Perdana Menteri itu sudah keterlaluan. Awang setuju. Pemimpin bukan sahaja dinilai dengan apa yang dimulakan tetapi bagaimana pengakhirannya.        

KEJUTAN 2017?
Bermulalah tahun 2017 hari ini. Syukur, Malaysia sebagai sebuah negara dapat mengharungi dugaan 2016 dengan rakyat terus memilih untuk mempertahankan kestabilan dan keamanan. Semoga iltizam itu diperkukuhkan bagi tahun baharu ini.  Awang jangkakan 2017 akan menjadi satu lagi tahun yang mencabar sama ada di dalam negara mahupun senario dunia.
Tumpuan nanti sudah tentu kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang sudah diramal berlangsung tahun ini. Inilah  penentuan bagi parti-parti politik, yang bahangnya sudah dirasakan sekarang.  
Bila tarikh PRU14 akan terus menjadi teka-teki. Tidak kurang menjadi perhatian dan mula diperkatakan adalah Sukan SEA yang Malaysia menjadi tuan rumah pada Ogos. Misi kita diharap bukan sahaja menang dari segi penganjuran malah memperoleh pingat emas tertinggi dalam sejarah dengan kedudukan nombor satu.  
Sebenarnya banyak persoalan berlegar dalam menghadapi hari-hari mendatang ini. Apakah kejutan dan drama pada 2017? Siapa lagi tokoh dan nama besar yang akan dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan rasuah? Siapakah menteri besar yang bakal digugurkan selain apa nasib Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkaitan isu rasuahnya? Mampukah kita terus membendung ancaman pengganas Daesh?
Juga menjadi harapan Awang agar misteri kehilangan pesawat MH370 terlerai dan suspek yang menembak jatuh pesawat MH17 diheret ke muka pengadilan. Ini soal maruah dan kedaulatan negara.
Semoga kita bersatu dan lebih tabah hadapi dugaan 2017. Apa pula azam Awang? Mudah sahaja, mahu lebih banyak senyum. Selamat Tahun Baharu.

MISTERI TERUNGKAI?
Setelah banyak tanda tanya bermain di fikiran, akhirnya penantian rakyat Malaysia terhadap kes rasuah di Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) terjawab. Bekas Pengarah JANS, Awang Mohd. Tahir Mohd. Talib, 54, isterinya, Fauziah Piut, 51, dan Penasihat Teknikal Kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah, Lim Lam Beng, 62, dihadapkan di Mahkamah Seksyen Kota Kinabalu, Khamis lepas atas 37 tuduhan menyeleweng dana infrastruktur berjumlah RM61.48 juta serta memiliki barang mewah secara salah.
Pendakwaan itu menandakan perkembangan besar pada kes tersebut yang pembongkarannya Oktober lalu menggemparkan negara.  
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merampas sejumlah RM52 juta wang tunai dipercayai hasil aktiviti rasuah.
Ketika kes itu didedahkan, jumlah keseluruhan wang rasuah termasuk rampasan tunai itu berjumlah lebih RM112 juta. Ia kejayaan terbesar SPRM di bawah teraju Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad. Tahniah sekali lagi kepada SPRM.  
Pada Awang, kes rasuah itu luar biasa, yang menuntut iktibar buat semua pihak. Yang tentunya menarik untuk diketahui selepas ini, siapa lagi akan diheret ke mahkamah, bagaimana semua itu boleh berlaku dan terpalitkah jerung?
Persoalan lain, apakah ada lagi misteri yang belum terungkai?         

ZULHASNAN, AS
Pemilihan tokoh politik berpengalaman dan berwibawa terus menjadi sandaran bagi mengetuai misi diplomatik ke Amerika Syarikat (AS). Awang amati formula tersebut sebelum ini ternyata berjaya dengan peranan yang diberikan kepada Allahyarham Jamaluddin Jarjis dan Dr. Awang Adek Hussin sebagai Duta Besar Malaysia di negara kuasa besar itu. Jamaludin, bekas menteri kabinet telah memberi impak dengan membina fasa hubungan baharu yang terbaik di sebalik banyak kompleksiti. Bekas timbalan menteri, Awang Adek pula memperkukuhkannya.  Kini giliran bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Zulhasnan Rafique membawa hubungan kedua-dua negara ke peringkat lebih tinggi. Beliau diberi mandat sebagai Duta Besar Malaysia ke Washington berkuat kuasa pertengahan Januari ini sebagaimana diumumkan baru-baru ini.  Walaupun cabaran yang menanti beliau begitu besar, lebih-lebih lagi di bawah era Presiden Donald Trump, bekas juruterbang pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia itu (sebelum melangkah ke dunia korporat), mampu menyerlah dengan pendekatannya sendiri. Walau apa pun tafsiran dan perkembangan politik antarabangsa serta percaturan Malaysia dalam perimbangan melibatkan kuasa-kuasa besar, hubungan dengan AS amat penting. Dasar luar Malaysia yang realistik di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Najib Tun Razak, yang adakala menyaksikan pendirian kita tidak memihak kepada AS,  bukanlah kekangan kepada jalinan lebih strategik. Kepada Zulhasnan, Awang ucapkan tahniah dan selamat berjaya. Kini beliau adalah jambatannya.      
        
TENGKU AMIR, AZMIN
Awang tidak terkejut dengan peletakan jawatan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS). Sememangnya suara mahukan Azmin berundur sudah lama kedengaran. Ia makin kuat kebelakangan ini termasuk daripada kelab penyokong FAS selain keresahan dalam exco FAS terhadap kepimpinan beliau yang dilihat sangat lesu.
Reputasi Azmin dilihat tidak sama dengan Khalid Ibrahim ketika menerajui FAS. Khalid lebih profesional, kerap turun padang, menghormati exco FAS dan perlembagaan persatuan,  tidak berpolitik dan sentiasa berusaha mencari jalan mengatasi apa sahaja masalah.
Lagipun elok Azmin berundur sebelum keadaan lebih parah. Masalah kewangan meruncing dan terdapat pemain tidak dibayar gaji.  Biarlah beliau menumpukan soal pentadbiran negeri dengan pelbagai isu yang belum selesai seperti masalah air, lambakan premis judi haram, rumah urut dan pusat maksiat.
Inilah masa tokoh lain menerajui FAS bagi menyelamatkan bola sepak negeri itu, yang mempunyai tradisi kecemerlangan antaranya 33 kali menjuarai Piala Malaysia.
Calon utama yang kini disebut-sebut ialah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, yang Awang yakin baginda akan menyinar.  

AYAM BERKOKOK...
Hipokrit dan dangkal. Itulah yang Awang rumuskan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mencemari sambutan Hari Krismas dengan ucapan memburukkan negara sendiri.
Ucapannya itu bercanggah dengan semangat Hari Krismas yang mementingkan keharmonian. Penjenayah dan samseng juga tahu menghargai perayaan dengan kata-kata yang baik termasuk terhadap musuh dengan mengetepikan seketika persengketaan.  
Awang sekadar senyum apabila Guan Eng antara lain mendakwa  Malaysia negara yang gagal pada ketika rakyat beragama Kristian mahu menyambut Krismas.
Pada Awang, ucapan itu adalah tohmahan dan berbau hasutan. Guan Eng asyik terlupa mencermin diri. Hakikatnya Pulau Pinang yang diterajuinya adalah negeri yang begitu banyak  kepincangan dan kelemahan. Golongan miskin makin terpinggir.
Malah Guan Eng terlebih 'elit' dengan dirinya sendiri terpalit dengan gejala rasuah yang memalukan sehingga didakwa di mahkamah. Maka nilailah ucapan Ketua Menteri yang hadapi isu integriti amat serius tetapi masih tebal muka enggan  meletakkan jawatan. Beliau kini liabiliti nombor 1 kepada DAP.
Inilah yang dikatakan bagai ayam berkokok berderai-derai, ekor bergelumang najis, yang Guan Eng tentu faham maksudnya.