Semalam, sekurang-kurangnya 16 orang penduduk dibunuh oleh tentera Israel dan lebih 1,400 lagi cedera dalam bantahan besar-besaran di sempadan Gaza. Walau apa pun dugaannya, Awang berharap umat Islam tidak berputus asa apatah lagi lesu dalam agenda membela Palestin.

Kita belum hilang segala-galanya. Umat Islam masih ada kuasa doa, kuasa pengguna dan kuasa membina solidariti. Awang sentiasa percaya doa adalah senjata paling bernilai maka usah putus berdoa. Begitu juga kuasa pengguna termasuk boikot yang sewajarnya. Tafsirlah dengan bijak dan yakin supaya ia memberi impak.

Meskipun umat Islam dan negara-negara Islam dilanda perpecahan, janganlah ia asyik dijadikan alasan untuk menghalang usaha meningkatkan muafakat bagi menyelamatkan Palestin.

Teruslah menyumbang apa sahaja, setidak-tidaknya solat hajat. Awang percaya ruang untuk bangkit sentiasa ada dan obor keyakinan itu harus terus menyala. Ini bukan sebarangan jihad.

PPBM haram?

Dalam sedikit hari lagi, Awang jangkakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan ( ROS ) akan mengumumkan keputusan mengenai status Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Berdasarkan masalah yang gagal diatasi oleh kepimpinan PPBM ekoran ratusan aduan ahlinya, nasib parti itu tidak sukar diramal. Tidak menjalankan mesyuarat agung di cawangan dan bahagian, tiada pendaftaran keahlian serta tiada penyata kewangan, adalah kecacatan besar yang melanggar perlembagaan parti. Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin sendiri akui kegagalan parti itu.

Maka Awang melihat kebarangkalian PPBM dibatalkan pendaftaran adalah tinggi menjadikan ia parti haram dan tidak sah. Ini bermakna kelulusan bagi permohonan pendaftaran Pakatan Harapan (meliputi DAP, PKR, PPBM dan PAN) untuk bertanding atas satu logo pada PRU-14, adalah tipis. Bukan itu sahaja, calon-calon PPBM terpaksa bertanding atas tiket DAP, PKR, PAN selain calon bebas. Dalam hal ini, pemimpin PPBM perlu menyalahkan diri sendiri atas kelemahan dan kepincangan sehingga pakatan turut menanggung akibatnya. Perkara paling asas tidak diurus dengan baik.

Jangan menuding jari kepada ROS yang cuma memastikan segala perlembagaan dan peraturan parti dipatuhi mengikut undang-undang. UMNO juga pernah diharamkan dan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP bagi 2012 dan 2013 pernah didapati tidak sah. Apa penentuannya, kita tunggu dengan hati terbuka.

Makin hanyut

DR. MAHATHIR MOHAMAD
DR. MAHATHIR MOHAMAD

Pada usia 93 tahun, berstatus negarawan dan bergelar Tun, Dr. Mahathir Mohamad terus memberikan isyarat yang salah kepada rakyat Malaysia. Dalam minggu ini sahaja, beliau banyak melemparkan tohmahan yang keterlaluan.

Antaranya mendakwa Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak menyembah wang dan bukannya Tuhan. Beliau turut menyifatkan bantuan wang daripada kerajaan yang rakyat terima adalah haram. Dr. Mahathir juga menuduh peti undi pos mengandungi undi palsu.

Awang sedih kerana beliau makin hanyut dengan tingkah laku yang memalukan diri sendiri, Pakatan Harapan dan parti pimpinannya PPBM. Dr. Mahathir bukan sahaja sudah songsang pendirian politiknya malah menjadi lebih DAP daripada DAP.

Buktinya beliau menyertai perhimpunan anjuran Bersih membantah cadangan persempadanan semula pilihan raya dengan ucapan yang menghasut. (Hakikatnya beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, berlaku tiga kali persempadanan semula). Lebih mengganggu fikiran, beliau ghairah mahu mengambil urusan Allah SWT. Menuduh Najib menyembah wang, bukannya Tuhan dan bantuan wang yang rakyat terima sebagai haram, adalah amat serius. Sebelum ini beliau mengkafirkan Pas.

Maka Awang boleh faham mengapa sebelum ini terdapat beberapa mufti dan ulama menasihatkan Dr. Mahathir supaya bertaubat dan mengingat kematian. Namun beliau belum bersedia untuk berubah daripada pendekatan politiknya yang memudaratkan Islam. Perhimpunan Bersih membantah persempadanan semula yang beliau sertai turut gagal kerana sambutan hambar. Realitinya Dr. Mahathir sudah hilang elegan dan tiada lagi pengaruh besar.

Pada firasat Awang, lebih banyak Dr. Mahathir bersuara lebih banyak beliau akan melakukan kesilapan. Ini menjadikan beliau liabiliti utama Pakatan Harapan. Dengan politik ekstremnya itu, sekali lagi Dr. Mahathir melepaskan kesempatan terbaik untuk memenangi hati rakyat Malaysia khususnya umat Islam. Musuh beliau yang sebenar adalah dirinya sendiri.

Hanipa perlu dirawat

Ahli Parlimen Sepang (PAN), Mohamed Hanipa Maidin terlupa bahawa beliau pernah pengsan akibat pendarahan dalam otak di Dewan Rakyat, April lalu. Kejadian itu dikatakan berlaku sejurus selepas beliau bercakap berapi-api ketika sesi perbahasan.

Setelah menjalani pembedahan dan hampir pulih sepenuhnya, Hanipa sewajarnya mengambil iktibar. Beliau perlu lebih rasional dan tenang ketika berada di Dewan Rakyat.

Rupa-rupanya tidak, Hanipa mengulangi gaya lamanya yang penuh emosi, celupar dan angkuh. Lebih buruk lagi ungkapannya ‘ kalau saya Tuhan, sudah lama saya hapuskan kamu’ yang ditujukan kepada Ahli Parlimen Baling (BN) Abdul Azeez Rahim ketika pertelingkahan lidah.

Apakah beliau sama hebat atau lebih hebat daripada Tuhan bagi kepercayaan umat Islam iaitu Allah SWT. Hanipa sepatutnya sedar bahawa orang Islam tidak boleh membayangkan dirinya Tuhan.

Apatah lagi Tuhan dengan niat dan pengucapan mahu menghapuskan insan lain hanya kerana perbezaan politik. Itu sudah melampau. Awang sangat berharap Hanipa segera menarik balik dan memohon maaf selain bertaubat.

Ini bukan lagi soal ego tetapi soal akidah. Jika perlu dapatkan khidmat rawatan kaunseling untuk membimbing beliau. Usah malu.

Angkuh itu jijik

LIM KIT SIANG diarah keluar dewan selepas berdegil enggan mematuhi arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat
LIM KIT SIANG diarah keluar dewan selepas berdegil enggan mematuhi arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Melihat tingkah laku Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini sehingga beliau digantung selama enam bulan, Awang geleng kepala.

Sebagai pemimpin veteran, Kit Siang sepatutnya menjaga tertib di dewan yang mulia itu dan menjadi contoh kepada yang lain. Perbuatan beliau secara berterusan mengganggu pembentangan laporan kajian semula persempadanan adalah tidak bertanggungjawab, laksana samseng jalanan.

Walaupun diarah keluar oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia, Kit Siang dengan muka tebal masih berdegil sehingga sidang ditangguhkan minggu ini. Siapa lebih berkuasa di dewan itu sama ada Yang Dipertua atau Kit Siang ? Begitu juga dengan anaknya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang terkenal dengan imej angkuh. Pada Awang, ia adalah cerminan kepada ciri-ciri kediktatoran Dinasti Lim yang telah dibina lama dalam DAP.

Bayangkan jika Pakatan Harapan dikuasai Dinasti Lim memerintah negara maka terserlahlah belang sebenar. Kepada Kit Siang, jangan lupa keangkuhan itu jijik dan hodoh.

Calon peguam

Memandangkan Pakatan Harapan mempunyai ramai pemimpin muda dalam kalangan peguam, BN khususnya UMNO perlu tampilkan beberapa muka baharu daripada profesion tersebut pada PRU-14.

Awang menerima maklum balas ini daripada akar umbi bagi memperlihatkan bahawa UMNO juga tidak kurang calon peguam. Nama-nama peguam berwibawa seperti Hasnal Rezua Merican. M. Reeza Hassan, Adzli Manas dan Nor Azli Ahamed boleh dipancing serta menjadi sandaran.

Sama ada mereka mahu atau tidak, itu soal lain. Sebenarnya ramai peguam yang menyokong kerajaan tetapi persoalannya apakah mereka diberi tempat dan laluan. Inilah masanya.

Mencari Hamzah

HAMZAH ABU SAMAH
HAMZAH ABU SAMAH

Tiada lagi rayuan. Akhirnya Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sah meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Awang melihat rata-rata peminat sukan bola sepak sudah boleh menerima keputusannya itu. Hormatilah dan pasti ada hikmahnya.

Perkembangan tersebut bermakna tempoh TMJ menyandang jawatan itu tidak sampai setahun iaitu paling singkat dalam sejarah FAM. Ia menyerlahkan betapa jawatan itu sememangnya panas.

Persoalannya siapa pula yang akan menggantikan Tunku Ismail. Apakah Setiausaha Agung, Hamidin Mohd. Amin seperti yang dicadangkan oleh TMJ? Lalu ramai tertanya-tanya mengapa Hamidin yang menjadi pilihan sehingga melangkaui dua Timbalan Presiden iaitu Subahan Kamal dan Yusoff Mahadi.

Apakah cadangan TMJ itu akan menjadi kenyataan pada Mesyuarat Agung FAM bulan depan atau sebaliknya. Sukar untuk diramal pada peringkat ini termasuk sama ada kemahuan TMJ disahut oleh yang lain atau ditolak secara diam. Awang tidak kisah sesiapa pun jadi Presiden FAM.

Cuma ciri-ciri asas yang perlu dimiliki adalah cekal, tidak mudah mengalah dan bijak mengurus tekanan termasuk kritikan. Negara memerlukan Presiden FAM seperti Hamzah Abu Samah sebagaimana era kecemerlangan 70-an dan 80-an.

Selain berwibawa dan disayangi, beliau sentiasa tenang. Carilah bakat yang boleh menjadi tokoh seperti itu, yang ketiadaannya dirasakan sehingga hari ini.