Namun di sebalik itu semua termasuk gerakan sabotaj ekonomi negara oleh para pemimpin Pakatan Harapan, pelbagai petunjuk positif terus terserlah. Ekonomi Malaysia  menunjukkan prestasi di luar jangkaan pada tahun lalu dengan pertumbuhan 5.9 peratus, melepasi unjuran para penganalisis termasuk Bank Dunia.

Minggu ini sahaja banyak khabar gembira dan melegakan tentang iklim ekonomi negara, yang Awang sebagai rakyat dan pengamal media, begitu bersyukur. Prestasi beberapa syarikat dan bank utama bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017,  sudah cukup untuk menceritakan tentang hakikat ekonomi kita. 

Keuntungan bersih Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) melonjak 91.2 peratus kepada RM45.4 bilion daripada RM23.8 bilion pada 2016. Prestasi Petronas adalah petunjuk utama ekonomi Malaysia. 

Tenaga Nasional Bhd. (TNB) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM2.74 bilion di atas sokongan perolehan berjumlah RM15.82 bilion untuk tahun kewangannya yang lebih pendek bermula 1 September hingga 31 Disember 2017, merangkumi tempoh hanya empat bulan.

Keuntungan bersih Malayan Banking Bhd. (Maybank) pula meningkat sebanyak 12 peratus kepada rekod RM7.80 bilion iaitu kali pertama melebihi paras RM7 bilion.

Sebuah lagi perbankan utama, CIMB Group Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM4.61 bilion iaitu meningkat 26.8 peratus. 

Keuntungan bersih Telekom Malaysia Bhd. (TM) meningkat kepada RM730.55 juta berbanding RM613.40 tahun sebelumnya.

Dua minggu lalu, menerusi pengumumannya,  Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mencatatkan lonjakan 84.7 pe­ratus dalam keuntungannya sebelum cukai kepada RM2.89 bilion berban­ding RM1.57 bilion pada tahun sebelumnya. Ia merupakan tahun terbaik Khazanah dan menjangkakan kecemerlangan yang berterusan pada tahun ini. 

Permodalan Nasional Berhad (PNB) terus mencapai kejayaan sepanjang 2017 termasuk merekodkan peningkatan pendapatan bersih sebanyak 7.1 peratus kepada RM15.4 bilion.
Rata-rata syarikat dan bank utama mencatatkan perolehan lebih tinggi. 

Banyak lagi petanda positif yang membuktikan  Malaysia jauh daripada muflis malah sebaliknya berada pada landasan terbaik. 

Kelmarin jualan gudang bagi produk Apple di Kuala Lumpur diserbu ribuan orang menyebabkan ia terpaksa dibatalkan. Awang lihat selain keghairahan terhadap gajet termasuk jenama Apple, ia adalah manisfestasi kemakmuran ekonomi Malaysia. Walau apa pun tafsiran, itulah realitinya.

Sebab itu Awang tertarik apabila Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tony Fernandes menyatakan penghargaan kepada polisi kerajaan dan pengurusan ekonomi di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Najib Tun Razak di atas kejayaan syarikat penerbangan itu. Beliau bukan sahaja mengenang budi tetapi realisitik dan objektif. Semoga kecemerlangan 2018 lebih memberi impak. Tahniah kepada semua.
 

Kemelut PPBM
Awang percaya kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini menyedari akan kesilapan besar mereka. Kegagalan mengurus pentadbiran parti meliputi soal pendaftaran keahlian, perjalanan mesyuarat agung semua peringkat dan penyata kewangan kini membawa padah. 

Semua itu adalah perkara asas yang tertakluk di bawah peraturan dan perlembagaan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). UMNO sendiri pernah diharam pendaftarannya. Dua pemilihan Jawatankuasa Eksekutif

Pusat (CEC) DAP iaitu pada 2012 dan 2013 didapati tidak sah sebelum akhirnya pemilihan ketiga dilulus baru-baru ini. 

Isunya sama iaitu bermula dengan aduan dan bantahan kepada ROS oleh ahli-ahli sendiri bersama bukti. Dalam kemelut yang melanda PPBM sekarang, ia kelihatan lebih serius bukan sahaja dari segi jumlah aduan mencecah lebih 400 malah suasana tegang yang tercetus.

Jika dari awal, semua aspek berkaitan pentadbiran parti diuruskan dengan baik dan cekap, PPBM tidak akan berisiko diambil tindakan oleh ROS. 

Dengan kata lain, parti itu sendiri yang menjadi punca permasalahan, bukannya pihak lain. Maka apa status siasatan ROS kini dinanti. Apakah PPBM bebas beroperasi, digantung atau dibatalkan? Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. 

Buang yang keruh
Setelah penafian daripada hartawan Robert Kuok bahawa beliau tidak merancang untuk menumbangkan kerajaan pada PRU-14 termasuk membiayai DAP, isu itu tidak seharusnya berpanjangan.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz yang sebelum ini mengeluarkan komen agak keras terhadap Kuok, juga telah membuat penjelasan. 

Nazri menyatakan penghargaan atas penafian Kuok yang juga mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak atau individu yang memulakan dakwaan tersebut. 

Namun Pemuda MCA telah mengadakan demonstrasi kecil di ibu pejabat MCA semalam menuntut Nazri mohon maaf kepada Kuok. Awang tidak nampak kewajaran untuk terus menekan Nazri hanya kerana isu Kuok.

Banyak lagi cabaran yang menanti Barisan Nasional  dan isu lebih utama yang perlu diselesaikan oleh MCA. 

Sebenarnya isu tersebut boleh diselesaikan dengan baik bagi mengelakkan ada pihak menangguk di air keruh. Bertenanglah. 


Wang digital
Akhirnya penantian rakyat Malaysia mengenai dasar mata wang digital atau kripto di negara ini terjawab. Mata wang digital diputuskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai tidak sah selepas menjalankan kajian mengenainya terutama menyentuh soal risiko.  

Memandangkan banyak negara  lain melaksanakan dasar yang sama, Awang sudah menjangka BNM mengambil langkah tersebut. 

Pengumuman yang dibuat BNM pada Selasa lalu itu menamatkan segala kesamaran berhubung isu tersebut pada ketika wang digital kini menjadi fenomena di seluruh dunia sejak diperkenalkan pada 2009. Dengan kata lain, perniagaan mata wang berkenaan tidak dilindungi oleh standard atau aturan amalan kehematan dan pasaran yang terpakai kepada institusi kewangan yang dikawal selia oleh BNM. 

Awang yakin semua pihak termasuk pelabur wang kripto antaranya seperti Bitcoin, akan akur dengan garis panduan BNM. Lebih-lebih lagi dalam konteks Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan
Pembanterasan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT) bagi Mata Wang Digital. 

Kepada para pelabur Bitcoin yang mengharapkan urus niaganya sah, usah kecewa. Awang lihat masih ada ruang dan kemungkinan dasar itu akan berubah pada masa depan bergantung kepada perkembangan. Apa pun keputusan itu ada hikmahnya. 


Sesak dan iktibar
Kesesakan teruk lebih 10 jam ekoran kren terbalik di Jalan Lingkaran Tengah 2 ( MRR2) menghala Ampang dekat ibu negara, Isnin lalu mencetuskan kemarahan ramai pengguna. 

Pihak berkuasa dilihat mengambil masa yang begitu panjang untuk memulihkan segera lalu lintas. Bayangkan kerugian dari segi produktiviti dan masa selain tekanan kepada ramai warga kota yang terjejas. Pada Awang, ia satu lagi kegagalan dalam pengurusan trafik di Kuala Lumpur dan Lembah Klang, yang kini menjadi keluhan rakyat. Siapa harus bertanggungjawab dan di mana silapnya?

Awang berharap Kabinet mengambil serius masalah tersebut dan perlu memberi kejutan kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab. Menangani kesesakan dan memastikan  jalan raya tidak berlubang serta diturap dengan sempurna, juga adalah feel good kepada rakyat. Ambillah iktibar.


Masjid teladan
Masjid Darul Ehsan Subang Jaya, Selangor mempunyai beberapa tarikan antaranya pengurusan yang dinamik oleh jawatankuasanya.  Salah satu perkara yang Awang teruja adalah aspek ketelusan. Sumbangan jemaah terutama setiap kali Solat Jumaat dipaparkan menerusi televisyen litar tertutup sebelum khutbah. 

Bukan itu sahaja, ke mana wang sumbangan itu disalurkan antaranya aktiviti masjid dan penyelenggaraan, disiarkan perinciannya setiap minggu bagi makluman jemaah. Pada Awang, masjid perlu menerapkan pengurusan terbaik kerana ia mencerminkan tuntutan Islam dan teladan buat ummah. Masjid Subang Jaya telah membuktikannya. Syukur dan tahniah.