Hari pertama sahaja kecoh apabila ahli parlimen pembangkang bertindak keluar dewan kerana tidak setuju dengan pelantikan Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof yang dianggap tidak mengikut peraturan setelah nama beliau tidak dimaklumkan dalam tempoh 14 hari terlebih awal.

Bagaimanapun wakil rakyat berkenaan masuk semula ke dewan untuk majlis mengangkat sumpah masing-masing setelah protes berkenaan tidak diendah oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah.

Sedangkan perkara yang sama berlaku pada tahun 1999 apabila pelantikan Tun Mohamad Zahir Ismail sebagai speaker dibantah dan Perdana Menteri ketika itu adalah Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Antara ahli parlimen pembangkang ketika itu adalah Mohamad Sabu, Mahfuz Omar daripada Pas serta Tang Seng Giew dari DAP.

Ketua Pembangkang pada masa itu Ustaz Fadzil Noor membantah pemilihan Tun Zahir berdasarkan Peraturan Mesyuarat 4(1) berhubung tempoh 14 hari menghantar nama calon Speaker dan mereka yang dicadangkan mesti bersetuju.

KUALA LUMPUR, 17 Julai -- Senator Liew Chin Tong mengangkat sumpah
KUALA LUMPUR, 17 Julai -- Senator Liew Chin Tong mengangkat sumpah

 

Pelantikan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong sebagai Timbalan Menteri Pertahanan juga menjadi isu kerana ia dikatakan melanggar prinsip yang diamalkan oleh DAP tidak akan mengambil dalam kalangan calon yang kalah pada pilihan raya sebagai menteri.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker mengulas isu berkenaan berkata, pada masa ini Pakatan Harapan bebas melakukan apa sahaja ibarat orang yang sedang bercinta, segalanya wangi dan indah.

Sedangkan DAP mempunyai banyak lagi wakil rakyat yang menang pada pilihan raya lalu boleh dipilih memegang jawatan di dalam Kabinet.

Berbeza dengan pelantikan Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon sebagai timbalan menteri kerana parti itu kekurangan calon yang menang pada pilihan raya, tetapi tetap dituduh sebagai menteri pintu belakang.

Chin Tong yang paling kuat mempertikai pelantikan Sin Woon pada ketika itu, akhirnya menjilat ludahnya.

Bagaimanapun semuanya OK, kerana ini tempoh bercinta atau bulan madu, segala boleh diterima majoriti rakyat.

Satu lagi tidak kurang heboh di media sosial apabila kehadiran seorang lelaki yang agak aneh cara berpakaian dan penampilannya di bahagian pemerhati ketika majlis mengangkat sumpah di Dewan Negara hari ini. Gambar berkenaan diambil daripada Twitter Tan Sri Dr. Ali Hamsa. - UTUSAN ONLINE