Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

ANALISIN MINGGUAN - 22 JANUARI 2017

Dr. M, KIT SIANG TPM...

Selain kenyataan Pusingan U oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Dr. Mahathir Mohamad  yang mahu meneruskan pemberian BR1M jika pembangkang berkuasa iaitu selepas dengan lantang menyifatkannya sebagai rasuah, pengesahan beliau bahawa DAP mahukan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), mengundang perhatian besar.

Maka terserlah kebenaran apa yang didedahkan oleh bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim baru-baru ini bahawa ada perancangan sulit untuk melantik Mukhriz Mahathir sebagai Perdana Menteri (PM) dan pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang sebagai TPM.

Dalam reaksi sebelum ini, Kit Siang mengancam untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas Tunku Aziz dan media yang melaporkan pendedahannya itu. Tunku Aziz tetap berpegang pada kenyataannya dengan mencabar Kit Siang membuat akuan bersumpah jika menafikan dakwaan itu, yang setakat ini tidak disahut. Kini dengan pengesahan Mahathir bersama bukti rakaman video, Awang lihat apa yang terang bertambah terang.  Dengan kata lain, Mahathir membuktikan bahawa sememangnya perancangan itu wujud dan Kit Siang bakal mencatat sejarah sebagai  TPM bukan Melayu pertama jika Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke-14, satu lagi pencapaian besar DAP.  

Semua ini hasil kerjasama strategik PBPM dan DAP pimpinan Kit Siang, yang puluhan tahun adalah musuh utama Mahathir. Benar seperti kata Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak, selama lebih 22 tahun (tempoh menjadi Perdana Menteri), Mahathir mengutuk Kit Siang sebagai rasis, anti-Islam dan  anti-Melayu tetapi tiba-tiba mahu memberi jawatan TPM kepadanya. Itulah juga kemarahan dan keresahan orang Melayu terhadap Mahathir kerana perubahan secara ekstrem semata-mata untuk kepentingan politik peribadi, yang tidak boleh diterima akal. Di mana prinsip beliau, yang Awang nampak ke tahap sifar. Yang nyata Mahathir bukan lagi aset kepada Pakatan Harapan sebaliknya liabiliti yang perlu ditanggung gerakan pembangkang. Liabiliti yang ada pada UMNO sudah beralih sepenuhnya kepada Pakatan Harapan.

Awang dapat tahu, beberapa pemimpin pembangkang termasuk DAP dan PKR kerap geleng kepala atas masalah demi masalah yang dicetuskan oleh Mahathir. Nasi sudah jadi bubur. Kini beliau dilihat peneraju utama Pakatan Harapan menenggelamkan pengaruh  Anwar Ibrahim dan Kit Siang, biarpun PPBM  sekadar parti serpihan yang kecil (pelancaran PPBM Sabtu lepas hambar, kurang mendapat sambutan dan banyak kerusi kosong) tetapi laungannya sahaja kuat. Kerosakan dalam Pakatan Harapan makin serius dan rumit untuk dibaik pulih. Siapa mahu bertanggungjawab, Mahathir atau sekutu utamanya, Kit Siang?

 

MENJIJIKKAN...
Tidak sabar rasanya Awang untuk menunggu pendakwaan di mahkamah ke atas beberapa pengawal peribadi yang membelasah tanpa belas ihsan seorang pemandu lori  di Bukit Antarabangsa, dekat Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Rakaman insiden tersebut yang viral di laman sosial, mengundang kemarahan     rakyat Malaysia.   Keganasan yang dilakukan oleh kumpulan pengawal peribadi itu tidak boleh diterima dek akal seolah-olah mereka paling berkuasa di negara ini. Amat menjijikkan. Inikah wajah Malaysia yang kita mahu?

 Menerusi rakaman video, boleh dilihat bagaimana pemandu lori itu yang sudah rebah disepak bagai bola di kepala dengan kuat sehingga berdarah. Sedihnya, orang di sekeliling hanya sekadar memerhatikan. Awang bimbang budaya samseng di negara ini makin menjadi-jadi. Yang lemah terus dibuli dan dimangsai. Yang kuat dan ganas itu dianggap benar.  Maka kegagalan untuk bertindak tegas terhadap kumpulan pengawal peribadi dalam  kejadian di Bukit Antarabangsa, hanya akan memberi mesej yang salah kepada rakyat.

Walaupun difahamkan kemungkinan ada penyelesaian antara kedua-dua pihak, tindakan tetap perlu diambil ke atas pengawal peribadi sebelum lebih banyak kejadian seumpama itu terjadi sewenang-wenangnya. Tidak kira sama ada mereka pengawal orang kenamaan atau dilindungi sesiapa, tiada kompromi. Ini bukan negara mafia.            


TIDAK WAJAR
Antara isu paling panas minggu ini adalah cadangan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mengkaji kemungkinan melaksanakan larangan ke atas motosikal berkapisiti rendah atau 'kapcai' memasuki Kuala Lumpur sebagai langkah mengurangkan kadar pelepasan karbon.

Cadangan tersebut yang telah disuarakan Menterinya, Tengku Adnan Tengku Mansor  mendapat bantahan banyak pihak terutama para pemilik motosikal. Pelbagai hujah dijadikan sandaran selain mempersoalkan mengapa kenderaan berat seperti lori tidak dikenakan larangan seumpama itu.

Awang tidak fikir cadangan itu akan dilaksanakan. Jika ia dilihat baik sekalipun, belum masanya untuk dijadikan kenyataan. Banyak isu sebenarnya perlu diselesaikan terlebih dahulu. Ia juga berkait rapat dengan kos hidup golongan berpendapatan rendah, yang banyak bergantung kepada penggunaan motosikal. Tentu ada strategi dan langkah lain bagi mengawal pelepasan karbon serta jenayah ragut, yang boleh diambil tanpa menjejaskan golongan itu.

Sebaliknya rakyat marhaen ini harus terus dibela agar apa sahaja dasar yang diambil tidak menambah tekanan kepada mereka. Malah sudah sampai masanya golongan penunggang motosikal yang jumlahnya makin bertambah besar di ibu negara, diperkasakan. Antaranya ialah menyediakan lorong-lorong motosikal untuk jalan-jalan utama yang sibuk selain bagi mengurangkan nahas.  Ini masanya untuk ambil pendekatan inovatif dan sudah tentunya - lebih sensitif.        


KHALID DAN IKTIBAR 
Ketua Penerangan PAN dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad tentu mendapat pengajaran bernilai daripada keputusan Mahkamah Rendah Syariah Kelang, minggu ini. Beliau dijatuhi hukuman denda RM2,900 kerana melakukan kesalahan mengajar agama di sebuah surau di Klang tanpa tauliah pada 16 Ogos 2011.

Segah-gah Khalid akhirnya terkena jua. Pada Awang, inilah akibat jika ahli politik melanggar undang-undang kerana keghairahan berpolitik termasuk di masjid dan surau. Sebagai pemimpin, beliau seharusnya menjadi teladan dalam mematuhi Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Selangor. Untuk rekod, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Shah selaku ketua hal ehwal agama Islam negeri itu selalu menitahkan kepada semua pihak agar tidak menjadikan surau dan masjid sebagai pentas politik demi menjaga institusi Islam serta keharmonian ummah.       

Ekoran hukuman denda tersebut, Khalid berdepan risiko hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen. Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, seseorang Ahli Parlimen akan hilang kelayakan jika dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau didenda lebih RM2,000. Ini kes pertama Ahli Parlimen didenda melebihi jumlah tersebut, yang harus dijadikan iktibar buat semua. Status beliau akan diketahui pada sesi rayuan nanti. Semoga Khalid dapat belajar tunduk dan jangan asyik mahu mendongak.   
 

SIAPA BOHONG?
Aneh, di sebalik bantahan orang ramai dan badan- badan bukan kerajaan (NGO) di Selangor terhadap kempen bebas beg plastik, Menteri Besar, Azmin Ali mendakwa ia mendapat sambutan positif daripada rakyat.

Azmin juga mendakwa caj 20 sen untuk setiap beg plastik menerima sokongan para pengguna. Awang sekadar senyum sambil tertanya-tanya, siapakah yang berbohong - Azmin atau rakyat negeri Selangor?
Dengan setiap hari suara bantahan itu kedengaran terutama melalui  media sosial dan menjadi bahan bualan  kedai-kedai minum serta majlis kenduri, mustahil untuk merumuskan bahawa kempen itu diterima baik apatah lagi dialu-alukan.  

Lebih menjadi persoalan yang belum terjawab ke manakah caj 20 sen wang rakyat itu disalurkan? Apakah benar untuk tujuan khidmat sosial masyarakat (CSR), yang pelbagai pihak sangat ragukan. Juga, mengapa mengenakan caj 20 sen untuk satu beg plastik, yang relatifnya masih mahal.

Bayangkan jika jutaan transaksi pembelian dalam sehari, berapa banyak wang diperoleh. Tidak hairan jika sudah ada pihak yang percaya berlaku penyelewengan dalam hal ini, yang menuntut siasatan. Persoalan lain, jika benar Azmin mahu Selangor bebas daripada penggunaan beg plastik, mengapa tidak mengarahkan peniaga menyediakan beg kertas atau beg yang mudah terurai?

Akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat negeri Selangor dan para pengguna, umpama dirompak secara terang-terangan di khalayak terbuka. Kasihan...

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain