Ia merupakan Perhimpunan Agung terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Sudah tentu ia menjadi medan untuk UMNO mengukuhkan lagi solidariti dan keyakinannya selain memeriksa diri bagi menghadapi PRU-14 nanti yang disifatkan paling mencabar. Sama ada suka atau tidak untuk diakui, UMNO kini berada pada kedudukan paling teguh berbanding parti-parti lain terutama Pakatan Harapan. 
Parti yang menerajui Barisan Nasional (BN) itu telah melepasi gelombang dugaan dalam pelbagai isu beberapa tahun ini dan kini kelihatan bersedia melakar impak kebangkitan. Semua itu tidak datang bergolek. 
Ia hasil faktor kepimpinan, muafakat,  ketabahan, kesetiaan ahli akar umbi  dan sokongan majoriti Melayu. Biarpun ada pemimpin yang melakukan pengkhianatan besar seperti kisah si kitul, ia sebenarnya hikmah untuk membina kekuatan baharu. 
Pada Awang, atas nama agama, bangsa dan negara, bahtera bernama UMNO ini mesti belayar dan terus belayar. Selamat bersidang.

 

KRONI AZMIN?

PEMBONGKARAN kegiatan melombong pasir dan batu haram yang menyaksikan tahanan reman anak saudara Menteri Besar Selangor, Khamis lepas mengundang misteri. 
Mohd. Nuzul Fadli Mohd. Noriyualsaid, 34, iaitu anak saudara Mohamed  Azmin Ali adalah antara empat lelaki yang ditahan reman bagi membantu siasatan terhadap aktiviti tersebut di Kajang. Ekoran penahanan keempat-empatnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  membekukan akaun sebuah syarikat bernilai RM4 juta. 
Banyak persoalan berlegar tentang pembabitan Mohd. Nuzul dalam kes tersebut  termasuk gaya hidupnya yang mendapat  perhatian sebelum ini. 
Seperti juga yang menjadi tanda tanya besar dalam media sosial, Awang ingin tahu apakah kegiatan haram Mohd. Nuzul itu mempunyai kaitan tertentu dengan Azmin. Berlakukah salah guna kuasa selain kronisme? 
Komen Ummi Hafilda Ali iaitu adik Menteri Besar Selangor yang mendakwa telah lama tahu tindak-tanduk Nuzul  dan Azmin berhubung kemungkaran tersebut dan tidak mahu bersubahat, menjadikan  isu itu makin panas. 
Setakat ini tiada sebarang penafian dan reaksi daripada Azmin. Kes terbaru ini menjadi satu lagi tamparan kepada Menteri Besar Selangor itu yang berdepan banyak kritikan terhadap pelbagai kepincangan pentadbirannya.
Banyak isu berkaitan integriti belum terjawab termasuk yang terkini skandal Tanah Sg. Yu yang     dibantah ramai. Untuk makluman, Selangor menjadi satu-satunya negeri yang belum melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR)  bersama SPRM yang bertujuan mendokong integriti.
Inilah akibat keangkuhan Azmin yang bagai ayam kokok berderai-derai ekor bergelumang najis. 

 

SWAFOTO DAN IBADAT

LANGKAH kerajaan Arab Saudi melarang jemaah umrah dan haji merakamkan gambar ketika berada di Masjidilharam dan Masjid Nabawi, menarik perhatian. 
Pada Awang, ia bukan suatu masalah jika jemaah benar-benar memahami tuntutan ibadat di tanah suci. Lagipun larangan yang sama pernah dikuatkuasakan pada akhir 1980-an ke atas jemaah yang menggunakan kamera biasa. 
Bezanya kali ini kemudahan kamera terdapat pada telefon bimbit, yang lebih mikro. Cukuplah sekadar jemaah dibenarkan membawa telefon bimbit di Masjidilharam dan Masjid Nabawi, itu pun kelegaaan besar kepada jemaah. 
Awang boleh faham mengapa larangan bergambar terpaksa dilaksanakan. Ini kerana ia memberi kesan negatif seperti mengganggu kelancaran pergerakan dan privasi jemaah lain terutama wanita serta soal urusan keselamatan. 
Dengan langkah terbaru ini, Awang berharap ia boleh mengekang keghairahan ramai jemaah berswafoto ketika beribadat di kedua-dua tempat suci itu. Amat menyedihkan apabila terdapat jemaah lebih memberi perhatian kepada kualiti gambar disebabkan obses berswafoto berbanding kualiti ibadat. 


GURU DUKA LARA

SEBENARNYA bukanlah terlalu rumit untuk menangani isu yang lama menghantui seperti guru duka lara asalkan ada kemahuan yang tinggi. 
Sejak Menteri Pendidikan, Mahdzir Khalid  komited untuk mengatasinya tahun lalu, sebanyak 11,600 guru terpisah jauh dengan pasangan masing-masing antara 1 Januari 2016 - 1 Januari 2018, dapat disatukan. 
Pada Awang, ia adalah pencapaian besar kepada Kementerian Pendidikan dalam mengurangkan tekanan kepada golongan guru tersebut. Daripada duka lara kini bertukar kepada lega ceria. 
Besar maknanya buat mereka, yang Awang tumpang gembira dan syukur. Terdapat 30,000 guru yang berjauhan dengan pasangan mereka di negara ini. Semoga hajat lebih ramai guru duka lara tercapai selepas ini. Sinar baharu.
      Bukankah tujuan mengerjakan umrah dan haji untuk khusyuk  dan kudus  beribadat bagi  menyucikan jiwa?

 

TABIK POLIS

AWANG tersentuh dengan keprihatinan anggota polis  menumpangkan seorang ibu dan bayi yang membonceng motosikal ketika hujan,  menaiki kereta peronda polis. Kedua-dua bersama seorang penunggang kelihatan basah kuyup. 
Insiden itu dirakamkan oleh seorang pengguna jalan raya yang kemudian dimuatkan ke Facebook. Tidak dinyatakan di mana kejadian itu, begitu juga tidak diketahui identiti ibu dan anak serta anggota polis berkenaan.
Walau siapa pun petugas kereta peronda itu, Awang  bangga dengan sifat belas ihsan mereka kerana sanggup  melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan yang menjangkaui tugas hakiki. 
Tahniah kepada PDRM.  Kepada anggota polis berkenaan, Awang tabik.

 

RCI DAN LIABILITI

SKANDAL kerugian luar biasa urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada sekitar 1990-an yang lebih dua dekad berstatus X kini hampir terlerai misterinya. 
      Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal itu ekoran pendedahan bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Abdul Murad Khalid pada Januari tahun ini, memasuki dimensi baharu iaitu siasatan polis. 
Laporan  RCI itu membuktikan bahawa pendedahan Murad berasas dan kerugian sebanyak RM31 bilion yang sebelum ini cuba dinafikan, adalah nyata. Malah antara lain laporan RCI merumuskan: 

  • Terdapat bukti kemungkinan wujudnya kesalahan pecah amanah; 
  • Kerugian sebenar disembunyikan oleh beberapa individu; 
  • Urus niaga mata wang asing melampaui had dan bersifat spekulatif; 
  • Menteri  Kewangan sengaja sembunyikan fakta dan maklumat serta membuat kenyataan mengelirukan kepada Kabinet dan 
  • Perdana Menteri ketika itu merelakan tindakan Menteri Kewangan.

Awang ucap tahniah kepada Murad atas keberanian tampil membongkar skandal itu demi mencari kebenaran. Apatah lagi ia merupakan kerugian urus niaga mata wang yang terbesar dalam sejarah dunia. Negara bukan sahaja kerugian sebanyak RM31.5 bilion bahkan Kerajaan Persekutuan hilang pendapatan dividen mencecah RM1 bilion setahun bagi tempoh  1993 hingga 1997, yang memberi kesan negatif kepada ekonomi. 
Hal ini disahkan oleh Pengerusi RCI, Mohd. Sidek Hassan sebagaimana terkandung dalam laporan suruhanjaya itu. Banyak lagi implikasi kepada negara akibat skandal itu yang tidak boleh dibiarkan tanpa mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. 
Maka atas kewajaran itu RCI mengesyorkan siasatan dilakukan ke atas empat tokoh iaitu bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad, dua bekas Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim dan Daim Zainuddin serta bekas Penasihat BNM, Nor Mohamed Yakcop.
Ia bagi menentukan sama ada setiap daripada mereka boleh disabitkan dengan kesalahan berkaitan seperti dinyatakan RCI tidak menolak kemungkinan Nor Mohamad adalah individu utama bertanggungjawab melakukan pecah amanah terhadap dana BNM berdasarkan bukti yang diperoleh. Awang yakin polis akan menjalankan siasatan terbaik dan menyeluruh berpandukan RCI. 
Dalam hubungan ini, pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang seharusnya berpuas hati kerana desakan beliau sebelum ini supaya RCI diwujudkan bagi menyiasat kerugian BNM itu telah disempurnakan oleh kerajaan. Hajatnya tidak lama dahulu untuk melihat tokoh-tokoh berkenaan disiasat, juga kesampaian. 
Tanpa dijangka, ia kini sudah menjadi beban masalah kepada Pakatan Harapan kerana Dr. Mahathir dan Anwar adalah pemimpin PPBM dan PKR. Dahulunya mereka seteru tapi sekarang sekutu utama kepada Kit Siang. Juga bermakna liabiliti sudah berpindah.