Bunyinya macam mementingkan diri sendiri. Tetapi tidak. Bukan kita hendak mementingkan diri sendiri. Sebenarnya itulah hakikatnya. Anak sendiri, sendirilah yang patut jaga. Tetapi sekarang tidak. Adakalanya orang sekeliling yang terpaksa memikirkan nasib anak orang lain. Masa depan anak orang lain.

Orang sekeliling yang merasa bimbang apa yang akan jadi pada anak itu. Sedangkan, ibu bapa anak itu buat tidak tahu sahaja. Sibuk dengan hal sendiri. Anak-anak dianggap macam satu beban yang menyusahkan. Walhal, anak-anak satu tanggungjawab, tidak boleh dikata bebanan.

Inilah yang terjadi dalam masyarakat kita. Ibu bapa dera anak-anak, balun anak cukup-cukup, kita orang luar terasa sakitnya dan bersedih. Kadang-kadang boleh hilang ‘mood’ satu hari apabila membaca berita-berita tentang penderaan anak-anak. Macam dia pula yang pukul anak kita.

Ibu bapa tidak pedulikan anak-anak, biarkan anak-anak merayau ke sana sini sampai awal pagi dan kemudiannya berlaku macam-macam hal termasuk terlibat dalam jenayah, kita jugalah yang paling sibuk mengambil tahu dan sakit kepala memikirkan kenapa anak itu dibiarkan begitu.

Kita jadi tukang sedih, tukang sibuk dan tukang beri cadangan. Membincangkan macam-macam perkara untuk mengatasi masalah yang melibatkan anak-anak yang terbiar dan didera ini, sementara itu ibu bapa jenis ini terus ada dalam masyarakat dan macam semakin bertambah pula.

Menjadi masyarakat prihatin memang bagus. Itu sesiapa pun tidak boleh nafikan. Tetapi sedar atau tidak, perasaan kita turut didera oleh ibu bapa yang sebegini. Kita jadi sedih dan marah tidak semena-mena. Kita seolah-olah terpaksa memikirkan segala-galanya untuk mereka!

Mereka ini hanya menyerahkan tugas menjadikan anak pandai atau anak berkelakuan baik kepada cikgu-cikgu di sekolah. Tak pergi sekolah, anak dipukul tetapi mereka sendiri tidak pernah ambil tahu tentang perkembangan anak atau mengajar apa-apa. Sibuk dengan kerja atau menjaga anak yang lebih kecil. Dalam kepala mereka, hanya memikirkan macam mana hendak cari duit, beri anak makan dan fikir letih bekerja. Itu saja.

Bila tidak cukup duit atau banyak hutang, mulalah anak jadi mangsa dimarah atau dipukul. Bila ada masalah rumahtangga pun begitu. Yang mendatangkan masalah itu, isteri atau suami, tetapi anak pula yang menanggung lebih-lebih `kesakitan’ itu.

Bukan mudah menjadi seorang ibu atau seorang bapa. Tugas bukan sekadar melahirkan anak ke dunia. Itu yang perlu bakal ibu atau bapa tahu. Tetapi tugas seterusnya itulah yang diabaikan apabila kita melihat banyak kes anak terbiar, didera dan terlibat dalam jenayah.

Dan lebih teruk, apabila anak menjadi nakal atau jahat, ibu bapa menyalahkan orang lain. Menyalahkan guru yang dituduh tidak tahu mengajar. Menyalahkan anak orang lain yang beri pengaruh buruk. Menyalahkan bekas suami atau bekas isteri. Semuanya salah orang lain, diri sendiri tidak salah apa-apa.

Maka, apabila ada seorang rakan berkata, jika tidak mahu atau tidak tahu menjaga anak, jangan beranak. Bunyinya begitu kasar! Tetapi sebenarnya, amat dalam dan banyak kebenarannya. Yalah, kita asyik cakap berlapik kerana mahu menjaga hati.

Baru-baru ini seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemukan bukan sahaja berbogel malah tidak sedarkan diri serta lehernya dirantai pada tong gas di sebuah rumah di Indera Mahkota, Pahang. Perbuatan itu dilakukan bapa tiri kanak-kanak itu yang dikatakan tidak tahan dengan kedegilan anaknya yang tidak mahu ke sekolah.

Semalam, polis memberitahu, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun disyaki didera ibu ­kandungnya setelah pemeriksaan di badan mangsa oleh Perak Community Specialist Hospital mendapati banyak kesan calar. Ibunya mengaku memukul budak itu dengan tangan dan penyangkut baju. Anak itu, katanya hiper aktif. Sebelum ini banyak kes dera melibatkan kematian dilaporkan. Dan kita mahu terus cakap berlapik lagi.