Keputusan PRU-14 lalu itu bukan sahaja mengejutkan rakyat Malaysia malah negara-negara di Asia Tenggara terutamanya seakan tidak percaya dengan ke­putusan itu. Ini dapat dilihat apa­bila media-media utama di negara-negara Asia Tenggara dan Asia lain tidak putus-putus membuat liputan mengenai transisi kerajaan ketika itu.

Mana tidaknya, BN bukan sahaja sebuah parti yang mempu­nyai nilai sentimental dan berjasa kepada rakyat Malaysia sahaja selama ini tetapi ia juga adalah parti yang berpengaruh serta dihormati di Asia Tenggara.

Bagaimanapun PRU-14, BN tam­pil dengan cerita berbeza. Ini ke­rana, buat kali pertama­nya da­lam sejarah pilihan raya umum di negara kita, parti ini dilihat lemah dan tidak berpengaruh.

Malah, ia hanya bergantung harap kepada parti terbesar da­lam gabungan itu semata-mata iaitu UMNO kerana gabungan lain seperti MCA dan MIC hampir lumpuh serta telah hilang kepercayaan daripada masyarakat yang diwakili mereka.

UMNO pula, semakin tertekan. Bergerak berseorangan di se­pan­jang musim kempen. Berbe­za dengan Pakatan Harapan yang nampak erat persaudaraan dalam kalangan parti gabungan di dalamnya. Tidak ada parti yang keseorangan. Baik wakil yang mewakili PPBM mahupun DAP, mereka tetap bergerak bersama membawa panji PKR.

Apa pun ceritanya, PRU-14 adalah manifestasi anak muda. Segala isu yang ditimbulkan di­sebarkan oleh anak-anak muda menerusi media-media sosial. Mereka mula meniupkan angin perubahan dan sama-sama me­ngajak untuk mewujudkan apa yang dikenali sebagai Malaysia Baharu.

UMNO pula tidak pernah ber­ubah, ketika Pakatan Harapan meletakkan ramai calon orang muda, UMNO pula masih konservatif. Lebih gemar meletakkan calon-calon ‘otai’ berban­ding orang muda untuk mewakili parti tersebut. Walaupun tidak di­nafikan memang ada calon muda, cuma jumlahnya tidak ramai.

Berbeza dengan Pakatan Harapan, mereka menjadikan calon muda sebagai satu fenomena. Calon-calon seperti Syed Saddiq Abdul Rahman dari Muar dan Syefura Othman menggambarkan betapa mereka menjanjikan satu perubahan kepada Malaysia.

Bayangkan, Syed Saddiq yang seawal usia 25 tahun diberi kepercayaan untuk mewakili ma­syarakat Muar di Parlimen! Tidak cukup dengan itu, wakil rakyat dari Parlimen Batu iaitu Prabakaran hanya berusia 22 tahun. Walaupun, beliau bolehlah dianggap sebagai wakil rakyat tangkap muat kerana pada asalnya beliau bertanding atas tiket Bebas akan tetapi takdirnya untuk menjadi wakil rakyat tercipta selepas Pakatan Harapan memberi endorsement kepadanya susulan kegagalan Tian Chua untuk dicalonkan atas faktor perundangan.

Kesemua anak muda Pakatan Harapan ini, kini berada di Parlimen. Mereka akan mewakili suara anak-anak muda yang merupakan penggerak kepada Malaysia Baharu.

Namun, selepas Pakatan Harapan menjadi kerajaan, cerita perubahan melibatkan anak muda itu dilihat sebagai satu retorik semata-mata. Mungkin anak-anak muda yang disebutkan tadi menjadi calon Pakatan Harapan kerana mereka tidak ada pilihan. Pendek kata, mereka tidak ada calon. Akhirnya, terpaksa menjadikan calon muda ini sebagai calon bidan terjun.

Cakap-cakap ini mula kede­ngaran. Mana tidaknya, selepas hampir sebulan kerajaan dibentuk, masih tidak ada anak muda yang diangkat memegang jawatan penting di dalam kerajaan. Yang ada cumalah ‘Majlis Penasihat’ yang dianggotai oleh orang lama di penghujung usia.

Orang lama diangkat kononnya untuk menyelamatkan Malaysia. Walhal, angin perubahan itu sebenarnya ditiup oleh anak muda. Bukannya, pemimpin kitar semula seperti mereka itu.

Pokok pangkalnya, kini adalah zaman anak muda. Apatah lagi separuh daripada jumlah keseluruhan pengundi di Malaysia adalah anak muda berusia 21 hingga 39 tahun. Maka biarlah orang muda yang tentukan hala tuju Malaysia.

Kepada UMNO pula, jika benar-benar mahu berubah, parti itu perlu memberi laluan kepada lebih ramai orang muda. Jangan hidup di alam fantasi lagi. Hanya pemimpin-pemimpin muda sahaja yang mampu mengembalikan kepercayaan orang ramai kepada parti Melayu terbesar di negara kita ini.

Pemimpin-pemimpin Pergerakan Pemuda di peringkat Pusat, bahagian mahupun cawangan perlulah berani ke hadapan menawarkan diri untuk memegang jawatan penting di dalam parti. Untuk jawatan di dalam Pergerakan Pemuda, berilah kepada yang berumur di bawah 40 untuk mengisinya. Mereka di atas 40 pergilah ke peringkat yang lebih tinggi.

Dengan cara ini, UMNO pasti mampu berubah. UMNO pasti mampu mengembalikan kepercayaan rakyat kepadanya pada PRU akan datang.

Janganlah takut-takut lagi wahai anak muda di dalam UMNO. Pergilah bertanding!

PENULIS ialah Pengerusi Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara.