Namun berbeza dengan negara kita apabila keharmonian dalam kehidupan masyarakat majmuk memberi banyak kebaikan untuk dimanfaatkan bersama.

“Kita hidup atas rasa percaya antara satu sama lain. Hendak peroleh bukan senang, hendak pertahan pun bukan satu kerja yang mudah.”

Itu ungkapan pemilik Ramly Kopitiam Ramli Hashim, 54, yang mengusahakan sebuah kopitiam terkenal di Batu Pahat,Johor.

Di Batu Pahat, kalau kita bertanyakan orang tempatan, di mana kedai untuk sarapan, rata-rata mereka akan menyuruh kita pergi ke sebuah kopitiam berdekatan pasar awam.

Kedainya kelihatan seperti biasa sahaja. Menu yang terdapat di situ pun tidak ubah seperti di kedai makan lain. Cuma istimewanya adalah budaya makanan tempatan iaitu sate, roti bakar, dan makanan berlauk untuk sarapan.

Meskipun ia hanyalah sebuah kedai lama yang usianya menjangkau 90 tahun, namun cerita di sebalik pembukaan dan warisannya begitu unik.

“Dahulu, kira-kira 20 tahun lalu sebelum pasar Jalan Ibrahim dinaik taraf seperti sekarang, di hadapan kedai ini, ada orang India menjual surat khabar.

“Orang Melayu pula jual sate dan makanan berlauk, manakala kedai orang Cina jual air minuman. Begitulah cara pelanggan diraikan ketika datang ke kopitiam ini.

“Sebab itulah, awak boleh tengok pelanggan datang tanpa mengira kaum..., baik India, Cina ataupun Melayu. Mereka suka datang ke sini untuk sarapan. Bukan kerana teknik ‘marketing’ tetapi nilai sentimental yang ada di sini,” katanya ketika penulis sedang menikmati sarapan di kopitiamnya.

Seperti yang diceritakan Ramli, kopitiam itu asalnya dimiliki seorang warga Cina dan nama kedainya ialah Kedai Makan Tong Ah.

Ramli merupakan generasi keempat yang mewarisi perniagaan tersebut daripada bapa angkatnya yang berbangsa Cina.

“Perkenalan saya dengan bapa angkat, Tan Yan Yoo, bermula lebih 40 tahun lalu. Ketika itu, saya masih bersekolah dan selalu dibawa ke sini oleh ayah untuk minum pagi.

“Ayah saya dan tauke dahulu memang sangat rapat. Ada satu hari, bapa angkat hendak cari seorang pembantu kedai, kemudian ayah bertanyakan kepada saya, kalau berminat.

“Saya setuju, sebab suka lihat orang berniaga dan melayan tetamu. Hari pertama jadi pembantu, saya telah diajar untuk bancuh air, sediakan roti bakar dan sebagainya.

“Sejak itulah, saya mula rapat dengan tauke dan akhirnya menjadi bapa angkat saya sampai sekarang. Dengan dia jugalah, saya belajar pelbagai perkara tentang pengurusan perniagaan, fotografi dan bahasa Mandarin,”ujarnya yang fasih berbahasa Mandarin.

Ramli turut bercerita tentang saat bapa angkatnya hendak menyerahkan perniagaan dan premis kedai tersebut kepadanya.

Beliau menganggap pemberian tersebut terlalu bermakna dan nilai kepercayaan bapa angkat kepadanya begitu tinggi.

“Saya hampir tidak percaya apabila bapa angkat mewariskan perniagaan dan kedai ini kepada saya pada 2012. Sedangkan saya hanyalah seorang anak angkat dan dia pula ada ramai anak kandung.

“Katanya, dia hendak saya kekalkan konsep kopitiam dan teruskan keharmonian pelanggan yang sama datang setiap hari, dari dahulu sampai sekarang.

“Kalau datang hari Ahad, kita boleh sembang dengan pelanggan Cina dan India. Ramai antara mereka merupakan pelanggan tetap sejak puluhan tahun lalu,” ujarnya.

Hari ini, Ramly Kopitiam menjadi tempat di mana semua kaum akan bertemu dan bersembang sehinggakan kedai tersebut menjadi tumpuan pemimpin kerajaan dan tokoh politik.