Tup Tup, beberapa hari lepas rahsia seorang remaja ber­usia 13 tahun yang menjadi mangsa rogol bapa dan datuknya sendiri di dua lokasi berbeza di kawasan Malim Nawar dekat Kampar, Perak terbongkar.

Rupa-rupanya kes kejam itu sejak lima tahun lagi dah. Bayangkan dalam usia semuda lapan

tahun lagi remaja itu sudah diratah si dua lahanat itu. Pasti sekali masih ada kes seumpamanya sedang terjadi.

Abang hensem bangkitkan isu sumbang mahram dalam kolum sesantai ini sebab abang hensem perhatikan orang perempuan terutama sebilangan kaum ibu tidak peka dengan keselamatan anak-anak gadis mereka.

Bila anak gadis sunti nak bermalam di rumah bapa saudara waktu musim cuti sekolah terus diizinkan. Perhatikanlah dan wujudkan sedikit ‘rasa curiga’ dalam diri yang keluarga bapa saudara pun ada anak bujangnya.

Eh! janganlah hentam abang hensem kata nak cuba renggangkan silaturrahim pula. Jangan ‘bubuh’ abang hensem begitu bang. Sebabnya, dalam dunia hari ini yang dilingkungi gajet yang merata bahan lucah di dalamnya, apa sahaja boleh berlaku.

Kadang-kala di malam hari waktu anak gadis sunti kita tidur dalam bilik, tak diketahui keadaannya pakaiannya. Mungkin ‘terselak sana sini’. Dan waktu itulah si bapa saudara atau anak bujangnya tiba-tiba ‘berada di waktu dan tempat yang salah.’

Jadi, bising-bisinglah sedikit wahai kaum perempuan pada anak gadis. Kalau nak bermalam, angkut sekali anak beranak, bapa maknya sekali.

Seperkara lagi, asingkan tempat tidur anak lelaki dan pe­rempuan seawal usia tujuh tahun lagi. Maksud pisah tempat tidur ini yang paling tak boleh adalah berkongsi selimut. Kalau rumah sempit pun pastikan anak perempuan tidur dalam bilik.

Orang perempuan kena bising-bisinglah sikit. Orang lelaki atau si suami ni biasanya busy cari rezeki. Ada yang out station cari wang lebih. Jadi, di sinilah peranan orang perempuan.

Kalau balik beraya bulan Jun nanti pun di kampung yang sampai enam tujuh keluarga sekali harung, dengan rumah kampung tu sempit dan tidak berbilik, elok saja keluarga yang ada anak-anak perempuan mereka sewa bilik hotel.

Perjelaskan baik-baik pada emak ayah sebab apa menginap di hotel.

Mungkin fikiran abang hensem ini agak ‘ekstrem’ sampai tak peduli perasaan orang tua. Tapi kalau bilik mandi atau bilik tidur di kampung pun tak berpintu, apalah sangat difikirkan soal perasaan. Apa agaknya komen Akak Cute akan hal ini ya.