Sedangkan lidah lagikan tergigit inikan pula suami isteri, begitu lumrah dalam rumah tangga. Namun tidak semua pasangan suami isteri boleh melakukan yang terbaik dalam menjaga hati dan perasaan pasangan mereka terutama dalam soal kesetiaan terhadap antara satu sama lain.

Apa kata kita ikuti kisah pilihan saya minggu ini, kiriman Tasya (bukan nama sebenar) tentang sikap ayahnya yang mempunyai kekasih gelap.

Ini cerita Tasya.

“Saya bukanlah hendak aibkan sesiapa terutama ayah saya tetapi sebagai anak yang sayangkan rumah tangga ibu ayah, saya perlu kongsi cerita ini dengan masyarakat supaya tidak ada yang mengalami masalah seperti yang ibu saya hadapi.

“Saya anak sulung dalam tiga beradik, berusia dari 13 hingga 21 tahun. Ayah seorang penjawat awam dan ibu pula pegawai di sebuah syarikat swasta.

“Ayah seorang yang penyayang, begitu juga ibu. Rumah tangga ayah dan ibu sangat bahagia. Sejak kecil ayah sangat menjaga kebajikan kami. Selalu bawa kami sekeluarga bercuti.

“Tapi sejak ayah naik pangkat tiga tahun lalu, dia mula berubah. Selalu bergaduh dengan mak, selalu cari kesalahan mak. Sebelum ini, ayah tidak pernah marah mak, jauh sekali hendak menengking mak.

“Sejak setahun lalu, saya nampak mak selalu menangis setiap kali ayah hendak keluar rumah atau balik kerja. Ayah macam tidak ambil peduli lagi dengan mak. Bila saya tanya mak, mak diam dan minta saya jangan masuk campur urusan dia dengan ayah.

“Saya tahu mak dan ayah ada masalah besar. Saya tahu ayah ada perempuan lain sebab selalu balik kerja lambat dan hujung minggu, jarang ada di rumah. Ayah berubah 360 darjah.

“Satu hari, ayah cas telefon di ruang tamu, sebelum ini tidak pernah dia berbuat demikian. Dia terlupa hendak ambil telefon itu kerana tergesa-gesa hendak keluar rumah.

“Selepas ayah keluar, menderu-deru mesej masuk. Saya pun pelik, kenapa sampai meriah begitu telefon ayah. Memang saya tahu berdosa baca mesej orang tetapi saya tidak ada pilihan. Kerana geram, saya buka mesej ayah dan baca.

“Berderu darah saya apabila membaca mesej berkenaan. Apa yang saya teka selama ini menjadi kenyataan, memang ayah ada kekasih gelap. Mesej yang dikirim perempuan itu jadi bukti. Kata-kata manja dan mesra orang bercinta.

Meloya juga saya membacanya.

“Rupanya selama ini, mereka hanya berhubungan melalui mesej dan aplikasi WhatApps semasa di rumah, padanlah ayah selalu duduk di luar rumah, konon menghisap rokok dan mengambil angin. Rupanya tunggu ‘kekasih’ WhatApps.

“Saya bagi tahu mak, sebaliknya mak marah saya, sebab baca mesej ayah. Saya minta maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Rupanya mak sudah tahu rahsia ayah, sebab itu mereka asyik bergaduh sahaja.

“Bila ayah balik, saya dengar ayah marahkan mak kerana membaca mesej masa dia tertinggal telefon. Saya diam tapi kasihan mak yang kena marah. Saya lihat mak rileks sahaja. Tidak menjawab pun.

“Selepas itu, saya lihat mak asyik termenung. Kadang-kadang menangis bila bercakap dengan ayah. Saya sangat sedih melihat keadaan mak. Rasa bersalah sangat-sangat kerana sebab saya, mak kena marah.

“Saya bagi tahu Pak Long, abang sulung ayah tentang perangai ayah, saya minta dia tolong nasihatkan ayah. Saya ceritakan juga yang ayah selalu marah mak dan jarang lekat di rumah pada hujung minggu.

“Lama juga ayah buat perangai. Mak makan hati sambil tidak putus berdoa supaya ayah berubah dan kembali ke pangkal jalan. Ahamdulillah, doa kami Allah makbul.

“Satu hari ayah balik dalam keadaan marah. Terus masuk ke bilik tanpa bercakap dengan sesiapa. Rupanya ayah sudah putus dengan kekasih gelapnya yang bermain kayu tiga dengan lelaki lain.

“Pak Long yang menyiasat latar belakang kekasih gelap ayah mendapati perempuan itu hanya mengikis duit ayah...,dia tak sayang ayah pun. Ayah rupanya telah terjumpa perempuan itu dengan lelaki lain.

“Apa lagi mengamuklah ayah. Duit sudah banyak habis dikerjakan perempuan itu. Berminggu jugalah ayah mendiamkan diri. Sehinggalah mak pujuk ayah dan maafkan ayah. Kata mak, anak-anak dah dewasa, malu pada anak-anak kalau asyik bergaduh.

“Pujukan mak dan usaha Pak Long membuahkan hasil. Ayah insaf dan minta maaf dengan mak dan kami, anak-anaknya. Saya menangis pada hari ayah minta maaf dan menyesal dengan perbuatannya.

Kata ayah, perkara ini tidak akan berulang lagi kerana ayah kata dia pun tidak tahu kenapa dia boleh berubah dan terjebak dengan perempuan itu.

“Apa pun, saya bersyukur, keadaan kembali seperti sedia kala. Saya dan adik-adik dapat semula ayah kami yang penyayang dan bertanggungjawab. Semoga kebahagiaan kami kekal sampai ke syurga,” ujar Tasya menutup ceritanya.

Syabas Tasya, anda telah berjaya mengembalikan hubungan ayah dan mak dengan cara yang sangat baik. Anda seorang anak yang baik, dan prihatin dengan keluarga anda.

Saya sangat kagum dengan kebijaksanaan anda menangani isu ini walaupun terpaksa membaca mesej ayah tanpa pengetahuannya. Semoga Allah ampunkan dosa anda demi kebaikan rumah tangga ayah dan mak anda.

Menutup catatan, pesanan ikhlas saya, kadang kala kita terpaksa bertindak di luar kotak untuk mendapatkan atau menyelamatkan sesuatu. Bukan niat menjaga tepi kain tetapi untuk kesinambungan sebuah kebahagiaan.

Salam.

[email protected]