Sejak itu, nama An Najwa anak keempat dari lima beradik ini sentiasa meniti di bibir para peminatnya. Lantaran itu, beliau banyak menerima pelbagai pujian, sanjungan dan sokongan dari para peminatnya yang teruja dengan kehebatannya di gelanggang bola jaring.

Bahkan sehingga ke hari ini An Najwa mengaku, beliau masih berada dalam situasi ‘demam populariti’ akibat diserbu peminat tanpa henti yang ingin berswafoto, meminta autograf, nombor telefon dan tidak kurang yang ‘jatuh cinta’ dengan kecantikannya.

Ketika ditanya tidakkah An Najwa merasa rimas apabila sentiasa diekori, diajak bergambar dan hilang privacy selepas menjadi popular dalam sekelip mata?

An Najwa yang kini sedang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang mengakui selepas menjadi popular, ramai peminat yang memberi perhatian kepadanya tanpa mengira lelaki atau pun wanita.

Malah, An Najwa tanpa berselindung mengakui ada peminat lelaki yang ‘jatuh cinta’ dengannya selain ramai yang meminta nombor telefon untuk berkenalan dengannya. Namun itu semua katanya lumrah kehidupan.

“Itu semua saya anggap satu pujian untuk diri ini bukan satu bebanan. Saya gembira kalau mereka suka dengan apa yang saya berjaya lakukan. Memang saya amat menghargai sokongan mereka (peminat).

“Sokongan peminat juga memberi motivasi untuk diri saya sebagai atlet. Saya hargai semua peminat-peminat bola jaring tanah air dan saya harap para peminat terus sokong pasukan bola jaring kebangsaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di UPM Serdang, Selangor.

Kenangan manis

Menurut An Najwa, hanya beliau seorang satu-satunya anak dalam kalangan lima adik beradik yang aktif di dalam bidang sukan sebagai atlet. Selain itu, ayahnya Azizan Azmi juga merupakan bekas pemain ragbi kebangsaan yang pernah menyarung jersi Malaysia dari tahun 1981 hingga 1998.

Berbekalkan ketinggian 1.78 sentimeter (5 kaki 9 inci), aksi An Najwa memang mengagumkan sesiapa sahaja ketika bermain sebagai posisi Goal Shooter (GS) bersama rakan sepasukannya.

“Masa final dengan Singapura, saya hanya kira yang tak masuk hanya dua kali. Berapa banyak saya jaring saya dah tak ingat lagi. Bila jaring gol, saya rasa ringan.

“Rasa tak ada beban. Saya enjoy!” cerita An Najwa mengimbas kembali kejayaan pasukan negara menewaskan Singapura 65-41 di Stadium Juara Bukit Kiara dalam temasya Sukan SEA yang lalu.

Selama tujuh tahun terlibat sebagai pemain bola jaring kebangsaan banyak kenangan manis dilalui An Najwa.

Namun, kenangan paling manis dicapainya apabila menerima Anugerah Pemain Terbaik Asia 2016 - Most Valuable Player (MPV) selepas menjuarai Kejohanan Bola Jaring Asian Championship mengatasi Sri Langka selepas kemarau selama 31 tahun.

Ketika ditanya bagaimana Najwa boleh jatuh cinta dengan ‘bola jaring’, An Najwa menceritakan beliau sebenarnya terlebih dahulu terlibat di dalam sukan olahraga iaitu lompat jauh sebelum beralih ke sukan bola jaring ketika berusia 13 tahun lagi.

“Saya mula bermain bola jaring selepas memasuki Sekolah Sukan Kuala Lumpur (SSKL) apabila diajak coach menyertai latihan bola jaring,” katanya tersenyum.

Ketika ditanya selain para peminat siapakah yang telah mendorongnya untuk berjaya menjadi seorang atlet negara dan pada masa sama sebagai mahasiswi UPM, An Najwa menjawab: “Mom (ibu) motivate saya!”.

Buat masa ini, An Najwa memberitahu, bagi mengelakkan tekanan dan sebarang masalah mengganggu jadual hariannya sebagai atlet dan mahasiswi, ibunya, Norsila Jaafar bertindak sebagai pengurusnya.

“Kalau ada pihak media atau siapa-siapa nak interview saya, mak akan bantu uruskan supaya saya tak serabut. Saya nak tumpu pelajaran dan sukan.

“Mak juga selalu pesan supaya saya buat perkara yang saya minati dan sukai, tiada sebarang paksaan dan ikhlas. Melalui cara itu saja, saya rasa seseorang itu boleh pergi jauh (berjaya),” tambahnya.

Bagaimana pula An Najwa membahagikan masa antara sukan dan pelajaran?

“Memang struggle. Bila kita sayangkan sesuatu, bila kita betul-betul nak, kita akan buat apa saja sedaya upaya untuk capai matlamat itu. Tak senang, nak jadi senang, tak susah nak jadi susah,” katanya seakan berfalsafah.

Ketika ditanya kenapa memilih jurusan komunikasi, An Najwa memberitahu jurusan itu memang pilihannya sendiri dan turut dipersetuju oleh ibunya.

“Sebenarnya mak juga teringin sangat nak tengok Najwa masuk televisyen sebagai pengacara atau sebagainya,” katanya gembira.

Apa pula sasaran An Najwa sebagai atlet di masa depan?

“Buat masa sekarang saya nak enjoy dulu dan fokus apa yang ada di depan mata dulu.

"Saya bersyukur dengan segala anugerah yang saya terima sekarang. Saya amat berharap semua pihak terus menyokong pasukan bolajaring negara,” luahnya mengakhiri perbualan.