Ini membawa kepada perang proksi di antara dua kuasa besar ini seperti berlaku di Vietnam sekitar 1970an; Amerika cuba me­ngekalkan rejim demokrasi-ka­pitalis bagi Vietnam Selatan ma­nakala Soviet Union menyokong pe­nyatuan dengan Vietnam Utara sebagai sebuah negara sosialis ko­munis. Sebaik sahaja selesai Perang Dunia Kedua, Jerman telah terbahagi dua mengikut aliran ideologi politik yang berbeza, Jerman Timur dikuasai oleh Soviet Union menganuti ideologi sosialis-komunis manakala Jerman Barat dikuasai oleh blok Amerika-Britain mengamalkan ideologi liberal-demokrasi. Ibu kota Berlin turut terbahagi kepada Timur dan Barat dengan dipisahkan tembok tinggi.

Contoh lain ialah perpecahan Korea iaitu Korea Utara yang pro-Soviet Union menganuti faham sosialis-komunis dan Korea Selatan yang pro-Amerika menganuti faham demokrasi liberal dan ekonomi kapitalis. Keadaan ini kekal hingga ke hari ini dengan ketegangan hubungan sering berada pada paras yang tinggi.

Berhampiran Amerika Utara, negara kecil Cuba yang asalnya pro-Amerika dan mengamalkan ekonomi kapitalis digulingkan melalui pemberontakan dan perang gerila yang dipimpin oleh Fidel Castro dan rakan sekutunya Dr. Che Guevara. Ia menjadi ‘duri dalam daging ‘ bagi Amerika Utara kerana Soviet Union membekalkan senjata nuklear kepada Cuba.

Melalui badan risikannya CIA atau Central Intelligence Agency, Amerika secara sulit mengamalkan dasar ‘pertukaran rejim’ bagi negara-negara Dunia Ketiga yang tidak memihak kepadanya dan berkiblat kepada Soviet Union. Di Asia Tenggara, negara paling awal yang menjadi mangsa dasar pertukaran rejim Amerika adalah Indonesia.

Indonesia di bawah pimpinan presidennya yang pertama Sukarno anti-Barat dan berkiblatkan blok Soviet Union. Ketika Sukarno melancarkan dasar konfrontasi terhadap penubuhan Malaysia pada 1963, berlaku pergolakan dalaman di negara itu apabila Parti Komunis Indonesia (PKI) semakin berpengaruh dan mampu menguasai pemerintah dan Sukarno. Sejurus percubaan rampasan kuasa oleh pihak pegawai kanan tentera yang pro-PKI gagal, CIA melancarkan ‘rampasan kuasa secara senyap’ melalui lantikan Jeneral Suharto sebagai pemerintah de-facto manakala Sukarno secara perlahan-lahan dilucutkan kuasa serta jawatannya sebagai Presiden Indonesia.

Memasuki abad ke-21 apabila para pengkaji politik dunia meng­anggap Perang Dingin sudah ber­akhir, dasar ‘pertukaran rejim’ Amerika semakin ketara. Bermula dengan perang saudara di Afghanistan, membawa kepada perang Iraq-Kuwait serta permusuhan Iran-Iraq, dasar pertukaran rejim lebih terpusat kepada negara Islam di Asia Barat. Di sebalik pergolakan politik dan peperangan termasuk ancaman terbaru oleh ISIS atau Daesh yang bermula dengan kebangkitan Arab Spring pada 2011, Israel dan Yahudi yang berfahaman Zionis menjadi dalang dasar Amerika itu. Tujuannya tidak lain untuk mewujudkan ketidakstabilan dalam kalangan negara Islam di Asia Barat bagi melemahkan mereka supaya kewujudan Israel tidak diancam oleh mana-mana negara Islam yang kuat dan tidak bersekongkol dengan Amerika-Israel.

Apabila Ikhwanul Muslimin memenangi Pilihanraya Umum di Mesir, ia dikhuatiri tidak akan berkiblat kepada Amerika dan menjadi rejim yang bakal menentang Israel. Maka dengan cepat digulingkan untuk meletakkan seorang pemimpin tentera yang le­bih pro-Amerika dan tidak membahayakan kewujudan Israel.

Begitulah juga pola perubahan rejim yang berlaku di Iraq, Tunisia, dan Libya. Pemimpin yang tidak pro-Amerika ditukar. Pergolakan paling parah sesudah kejatuhan Saddam Hussein di Iraq dan Muammar Ghadafi di Libya yang masing-masing anti-Israel dan anti-Amerika ialah di Syria yang menjadi mangsa kerana pro-Soviet Union.

Bagaimana pula senario politik semasa bagi negara kita Malaysia? Adakah tidak akan terjebak ke kancah dasar pertukaran rejim Amerika yang amat membahayakan itu atau secara halus sedang diusahakan tanpa kita sedari?

Jawapan kepada soalan itu masih bersifat spekulasi. Tetapi secara terang-terangan, sejak PRU-13 melalui gerakan Bersih 1, 2 dan sebagainya yang dikatakan dibiayai oleh ‘kuasa luar’ bertujuan melemahkan kerajaan sedia ada. Ini disusuli isu 1MDB yang diketengahkan sendiri secara terbuka oleh Department of Justice (DoJ) Amerika yang melabelkannya sebagai skandal rasuah terbesar di Malaysia yang melayakkan pemimpin tertinggi negara meletak jawatan.

Tindakan DoJ itu senada dan seirama pula dengan seruan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan serta pemimpinnya yang dipilih secara sah melalui PRU13. Semasa era konfrontasi Indonesia-Malaysia (1963-1965), be­berapa pemimpin pembangkang yang menyokong Indonesia menentang Malaysia telah disumbat ke dalam penjara.

Dari perspektif dasar luar Malaysia, kemasukan pelabur dari China secara besar-besaran akhir-­akhir ini dilihat oleh Amerika bahawa negara tidak lagi berkecu­ali atau pro-Barat. Kepentingan geostrategik Amerika di rantau ini dalam keadaan tidak selesa kerana mungkin terancam.

Kemungkinannya, Amerika me­lihat ‘perubahan rejim’ sebagai satu keperluan supaya Malaysia kembali berkiblatkan Amerika. Ini boleh dan akan cuba dilaksanakan melalui PRU14 serta proksinya, iaitu mereka yang mengalu-alukan campur tangan asing ke dalam isu dalaman negara ini asalkan matlamat untuk menyingkirkan pucuk pimpinan negara sekarang tercapai.

Pemimpin ini melakukan tindakan beliau melalui prinsip politik ajaran pemikir dari Itali, Niccolo Machiavelli melalui bukunya, The Prince yang menganjurkan prinsip matlamat menghalalkan cara. Awaslah wahai bangsaku dan negaraku Malaysia, serta bangunlah daripada tidurmu!

PENULIS ialah Profesor Emeritus di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan bekas Ahli Parlimen Gerik.