Sorry...maaf, abang hensem terlupa, ini bukan radio Sinar FM atau IKIM yang ‘sejuk halwa telinga’ abang hensem dengar dalam perjalanan kurang sikit 40 kilo­meter ke ofis abang hensem setiap hari.

Ini cuma kolum santai yang tidak bergaung, hanya coretan yang memercik pengajaran berguna untuk renu­ngan sendiri dan peminat abang hensem (wah! angkat dirilah pulak).

Okeylah! cerita berat yang abang hensem nak kongsi ialah kelihatannya orang muda di sekeliling abang hensem ini kurang minat dalam politik.

Orang perempuan apatah lagi. Bagi mereka, politik ini dikuasai orang lelaki.

Bukan perli ya, ini fakta. Kata Kesatuan Parlimen Antarabangsa (IPU), negara kita ini berada di kedudukan 156 daripada 190 negara dari segi perwakilan wanita di Parlimen. Bilangan wanita yang dipilih ke Parlimen dari 1.9 peratus pada 1955 kepada 11.3 peratus pada 2008. Terkini, hanya 10.8 peratus Ahli Parlimen adalah wanita.

Kabinet Persekutuan kita cuma mempunyai tiga menteri wanita, sementara Kabinet di negeri hanya ada seorang ahli wanita di setiap dewan eksekutif mereka, kecuali Selangor, Kedah dan Perak dengan dua wanita. Terengganu langsung tidak mempunyai seorang wanita di Majlis Eksekutif Negeri.

Kalau ikut Peta Politik atau Politic’s Map 2017 yang dilancarkan oleh IPU dan Wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), suara wanita masih hilang dari cawa­ngan eksekutif kerajaan dan parlimen di seluruh dunia.

“Apakah demokrasi? Adakah rakyat untuk rakyat atau lelaki untuk rakyat,” kata Pengarah Eksekutif Wanita PBB, Phumzile Mlambo-Ngcuka di New York tahun lepas.

“Kempen politik mahal,” balas Mlambo-Ngcuka yang mengenal pasti beberapa cabaran dihadapi wanita bekerjaya.

Ha! macam mana? Pening kepala ke baca fakta-fakta berat yang abang hensem sebutkan tadi. Tapi abang hensem percaya otak kiri orang perempuan lebih pantas berkembang dari orang lelaki, seawal umur 0-6 tahun lagi.

Otak kiri dikatakan mengatur bahagian tubuh sebelah kanan - bekerja untuk mengingat kata-kata, matematik, lisan, logik, fakta, analisis, syair, nyanyian, terperinci dan lebih teratur.

Sedangkan otak kanan cenderung kepada kreatif, warna, artistik, visualisasi, gagasan, khayalan, holistik, muzik, bentuk dan ruang.

Maka tak hairanlah semenjak di bangku sekolah lagi, pelajar perempuan duduki ranking teratas dalam kelas sehinggalah ke peringkat universiti.

Abang hensem bukannya apa. Teruja dengan kecerdikan orang perempuan dalam akademik. Dan bila periksa rekod pihak berkuasa yang handle pilihan raya, didapati separuh atau lebih sedikit 50 peratus daripada kira-kira 13 juta pe­ngundi di negara ini rupa-rupanya orang perempuan.

Dan apabila pilihan raya selesai, hanya sebilangan kecil wanita pegang kedudukan dalam kepemimpinan (maaf ya, ini fakta tau).

Ingatan yang ingin sangat abang hensem harap orang perempuan terutama yang baru menginjak umur 21 tahun renung-renungkan hal ini ialah supaya mereka sama-sama ambil bahagian dalam membuat keputusan di hari pengundian nanti.

Tak mahulah asyik bergosip, mengumpat atau asyik fikirkan pasal kecantikan, make-up, pakaian berjenama atau benda-benda yang luxury sampai terlupa siapa yang sepatutnya perlu didudukkan di atas kerusi pemerintahan.

Bersembang pasal ‘impak tangan menghayun buaian’, abang hensem nak ambil contoh Iceland yang telah lama dianggap tempat terbaik di dunia untuk seorang wanita. Sepanjang sembilan tahun lalu, negara itu mendahului indeks kesamaan jantina Forum Ekonomi Dunia.

Namun untuk capai tahap itu bukan mudah. Pada 24 Oktober 1975, wanita Iceland bersepakat mogok kerja. Mereka enggan memasak, membersihkan atau menjaga anak-anak mereka. Pada hari itu, kedai-kedai di Iceland kehabisan satu-satunya makanan yang disediakan masa itu, sosej.

Memanggilnya simbolisme, tetapi dengan cara ‘me­nyerang’ sebegitu, wanita-wanita Iceland berjaya memastikan orang lelaki menghormati pekerjaan mereka dan menuntut gaji sama.

Dan hari ini Iceland menjadi negara pertama di dunia berjaya membuktikan majikan tidak membayar wanita kurang daripada lelaki untuk kerja yang sama. Malah, majikan bergegas untuk mematuhi peraturan baharu dalam mengelakkan denda.

Wanita di Iceland sangat berpendidikan. Dan menyaksikan peratusan yang tinggi memegang jawatan pengurusan. Wanita tidak melepaskan kerjaya mereka untuk mempunyai anak-anak. Pada penghujung 2017, Iceland mendapat perdana menteri wanita kedua, berusia 41 tahun memiliki tiga anak lelaki.

Eh! dalam siri kali ini lain macam jer abang hensem. Nampak cenderung pula pada orang perempuan. Sudah akak cun minggu lepas bantai perangai buruk orang lelaki, ni abang hensem nak bela orang perempuan pula lebih-lebih.

Ya lah...ya lah abang hensem faham. Cuma dalam siri hari ini abang hensem ‘cuak sikit’ kalau-kalau orang pe­rempuan terlepas pandang undi berharga mereka pada pilihan raya nanti.

Logo abang hensem

ada info di bawah

Petikan:

“Abang hensem ‘cuak sikit’ kalau-kalau orang perempuan terlepas pandang undi berharga mereka pada pilihan raya nanti.”