Pada pendapat saya, kontroversi dalam isu pelancaran koleksi hijab di sebuah kelab malam yang berlaku baru-baru ini boleh dielak sekiranya penganjur membuat sedikit kerja rumah terutama berkaitan dengan pemasaran dan budaya setempat.

Hakikatnya, semua aktiviti perhubungan awam, pemasaran, promosi dan pengiklanan perlu dikaitkan dengan budaya masyarakat setempat serta golongan sasar.

Sebagai contoh, syarikat ubat gigi Colgate pernah mengeluarkan produk yang diberi jenama Cue untuk pasaran di Perancis tanpa menyedari bahawa jenama tersebut adalah jenama sebuah majalah porno di negara berkenaan. Malah istilah cue juga adalah slanga yang merujuk kepada punggung dalam masyarakat di sana.

Contoh yang lain iaitu sekitar April 2007, pelakon Hollywood terkenal Richard Gere mencium pelakon Bollywood, Shilpa Shetty pada satu majlis kesedaran AIDS di New Delhi untuk menunjukkan penyakit itu tidak berjangkit melalui ciuman.

Malangnya tindakan itu tidak diterima dan kemudian telah mencetuskan kemarahan warga India sebuah negara yang menganggap tindakan menzahirkan perasaan peribadi di khalayak ramai sebagai taboo. Kecaman bertubi-tubi kepada Gere memuncak dengan pembakaran patung berwajah beliau.

Kedua-dua insiden ini hanyalah sebahagian kecil daripada kisah pemasaran gagal. Ada banyak kisah lain yang boleh dipelajari oleh penganjur untuk dijadikan pedoman dan panduan.

Walaupun ada laporan mengatakan koleksi hijab yang dilancarkan itu terjual laris dalam masa 24 jam, itu hanyalah laporan daripada aspek jualan sahaja. Bagaimana pula dengan kerugian akibat jenama yang tercalar? Bagaimana pula kepercayaan pelanggan yang hilang? Banyak kesan negatif rantaian akibat kontroversi ini.

Bukan mudah untuk membina sesebuah jenama. Namun dengan sekelip mata jenama itu boleh termusnah akibat kelalaian. Belajarlah daripada sejarah dan elakkan kontroversi yang memberi kesan negatif yang mahal.

CIK DAH

USJ